SUKA ENTRY DI SINI???

Sunday, September 21, 2014

~Ulasan Buku Tetamu Istimewa~

Teks : Fyda Adim
Foto : Sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Selamat pagi semua. Sudah beberapa kali tertangguh untuk menyiapkan entri ini. Ini adalah entri tugasan buatku. Tugasan untuk apa? Rahsia. Aku disuruh membuat ulasan tentang buku Tetamu Istimewa karya Cikgu Mohd Helmi Ahmad. Sejak aku kembali berjinak-jinak dengan hobi zaman sekolah, banyak novel dan buku-buku aku beli. Walhal ada buku yang belum terusik. Kekangan masa mengatasi segalanya namun masih lagi mencari peluang dan ruang untuk membaca.

Suatu hari, kebetulan aku menerjah blog Cikgu Helmi ini, terus berminat mahu membeli bukunya bertajuk 'Tetamu Istimewa' yang menghimpunkan cerpen-cerpen remaja. Aku ni dah jauh sangat umurnya kalau hendak digelar remaja. Tapi sesekali ubah selera membaca, apa salah kita meremajakan diri kita semula. Ada kawan panggil aku 'remaja purba'. Katanya. Marilah aku ulas serba sedikit tentang buku Tetamu Istimewa ini.

Buku bertajuk Tetamu Istimewa ini menghimpunkan sebanyak 15 buah cerpen hasil penulisan kreatif Mohd Helmi Ahmad. Tajuk buku ini diambil daripada salah satu tajuk cerpen yang terkandung dalam buku tersebut. Pertama kali aku membaca buku yang dihasilkan daripada seorang lelaki. Selalu aku beli penulisnya perempuan. Cerpen-cerpen yang terkandung dalam buku tersebut adalah :-

1) Rancanganku Rancangan-Mu
2) Kedondong untuk Cikgu
3) Tetamu Istimewa
4) Mercun dari Kuala Lumpur
5) Bunga Telur Kenduri Kahwin
6) Kuih Bakul Limau Mandarin
7) Haruan di Pinggir Sawah
8) Pusaka Tanpa Nilai
9) Piala Penentuan
10) Rombongan Masuk Jawi
11) Setitis Budi, Semarak Kasih
12) Hanya Geran
13) Pulut Durian Santan Kelapa
14) Muhammad al-Islam
15) Tentang Waris

Secara keseluruhan, cerpen-cerpen yang terkandung sangat menarik dan digarap cantik. Kagum dengan idea-idea penulis. Cerpen-cerpen yang terkandung mengisahkan tentang kekeluargaan, persahabatan, nilai-nilai murni dan bertemakan kasih sayang yang sesuai dengan diri remaja. Antara cerpen yang aku suka Setitis Budi Semarak Kasih. Kisah pengorbanan seorang ayah dan anaknya yang sentiasa memikirkan tentang ayahnya.

Selain cerpen itu, Kedondong untuk Cikgu dan Haruan di Pinggir Sawah juga menarik. Kisah konflik antara cikgu dan anak muridnya. Namun konflik tersebut akhirnya dapat dileraikan. Dan cerpen Tetamu Istimewa pun membuatkan aku terfikir sejenak apakah yang dimaksudkan dengan 'tetamu'. Membaca permulaan cerpen itu membuatkan aku meneruskan pembacaan kerana diri tertanya-tanya apakah itu? Cerpen ini yang unik antara cerpen-cerpen yang lain. Walaupun buku ini tidaklah setebal mana namun aku mengambil masa juga untuk menghabiskannya. Kadang baca sampai tertidur. Bukan kerana buku tersebut tidak menarik tapi memang gitu aku kalau membaca. Cikgu jangan berkecil hati ye.:D

Itu sahaja ulasan aku untuk buku Tetamu Istimewa. Aku tak pandai nak ulas panjang-panjang. Memang tabik dengan idea penulis ini. Semua cerpen-cerpen beliau ada mesej yang tersendiri. Jadi tidak rugilah untuk mendapatkan buku ini untuk dijadikan bahan bacaan kita. Boleh berhubung sendiri dengan penulis di blognya di SINI. Penulis ada buat promosi jualan buku tersebut. Dapatkan segera! Sekian dan wassalam...

Aku Penulisnya,






                                                                                                                   


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Angel Wing Heart