Wednesday, March 28, 2018

Sahabat Yang Hadir

Assalamualaikum.

Menganjak usia separuh siri 30-an, sahabat-sahabat lama sewaktu sekolah muncul kembali. Kerinduan yang menggebu seakan menghilang sedikit demi sedikit. Tempoh hari aku sempat menyertai reunion sekolah. Walaupun yang hdir hanyalah beberapa kerat, sekurang-kurangnya impian kita orang nak merealisasikan satu perjumpaan telah terlaksana.

Rupanya, hobi aku membeli dan membaca novel adalah salah satu sebab hubungan persahabatan yang lama kembali bertaut. Selain itu, hobi menonton drama. Rupanya ada sahabat yang lain juga mempunyai hobi yang sama.

Kita orang boleh berwhatsapp semata-mata nak mengulas drama yang kita orang tengok. Sekarang ini sedang kemaruk dengan drama Tak Ada Cinta Sepertimu. Kemaruk dengan Syafiq Kyle. Ingat zaman remaja agaknya menggilakan artis. Oh ya, kemaruknya tidak keterlaluan. Masih lagi berbatas-batas. Nanti ada saja yang berspekulasi. Pernahlah aku terbaca status seseorang.

'Dah kahwin pun nak minat artis lelaki.'

Gitulah bunyinya. Ini kira aku olah cara sopan. Dia tulis memang menjengkelkan. Tapi aku tak terasa sebab aku pun tak kenal dia. Haha.

Maksudnya, kalau dah mak-mak orang, dah bini-bini orang tak boleh minat artis. Minat aje kut. Bukannya ada apa-apa niat. Terpulang pada hati masing-masing. Selagi minat itu tidak menyimpang dan mendatangkan nafsu dan sebagainya, rasanya tidak salah.

Okey, aku dah melalut pula. Suka sangat menyimpang kut lain. Saja nak bagi panjang entri. Tulis pendek-pendek ini memang tak menyeronokkan. Baiklah, berbalik pada tajuk. Nak cerita fasal sahabat lama. Entahlah, aku gembira.

Masih ada lagi kawan-kawan yang ikhlas.
Masih ada lagi kawan-kawan yang mengingati.
Masih ada lagi kawan-kawan yang menyayangi.

Macam semalam pagi, aku sampai pejabat awal. Jadi aku pun scroll instagram. Ternampak pula gambar Sapik dipeluk perempuan. Mula nak membawang. Ingatkan adik-beradik rupanya bukan. Terus teringat kat kawan aku. Saja cari fasal nak membawang gamaknya. Aku cakap dengan dia nampak gambar Sapik terus teringat dia.

Dia pulak dok whatsapp.

"Lagu Marsha bermain-main dalam minda aku sekarang. Terpaksalah aku hafal lirik sekarang."

Aku pun balas.

"Kannnn...Aku dah ulang banyak kali."

Dia balas lagi.

"Aku rasa kita ada link. Dari tadi bermain-main dalam kepala aku. Sweet plak kita. Di minda aku ada kamu."

Adoi. Seriuslah. Aku kalau baca whatsapp kawan aku ni memang boleh senyum sorang-sorang depan skrin. Kalau orang nampak memang aku dibawangi pulak.

"Masalahnya dengar lagu tu aku boleh bayangkan Sapik dengan Zahirah pegang payung."

"Hahaha. Kita nanti pegang payung emas. Eh??Suka si polan."

Begitulah.

Adakalanya, kita sedih dan kecewa dengan seseorang. Tapi Allah itu Maha Adil. Kekecewaan itu tidak dibiarkan berpanjangan. Ada hikmahnya. Kadang dia ambil yang ini, dia gantikan dengan yang lain. Mungkin jauh lebih baik.

Jadi pada kalian yang sedang berdukacita, janganlah berpanjangan melayan rasa sedih itu. Cepatlah rawat hati dan hilangkan rasa sedih itu. Percayalah. Sahabat itu memang datang dan pergi. Akan tetapi seorang sahabat yang baik akan sentiasa di belakang kita tidak kira walau apa pun keadaannya. Semoga kita pun akan menjadi seorang sahabat yang baik buat kawan-kawan kita juga. Amin. Mudah-mudahan hendaknya.

Sampai sini dulu entri pagi ini. Nanti bersambung lagi. Aku kembali mencari momentum menulis. Ini menahan mata sebenarnya malam tadi. Mata dah berair sebab mengantuk sangat. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



Tuesday, March 27, 2018

Pre Order Dibuka : Sebuah Karya Mak-Mak Lah Sanggattt...

Assalamualaikum.

Pembuka bicara untuk entri pagi ini. Entri hari ini aku ingin kongsikan tentang buku pertama aku untuk tahun ini yang akan terbit pada awal April nanti sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan berlangsung selama sepuluh hari dari 27 April hingga 6 Mei 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pada para pencinta buku, sudah semestinya ini adalah detik yang ditunggu-tunggu. Dalam perancangan, aku mahu ke sana juga. Kalau tahun ini aku pergi, ini bermakna sudah lima tahun berturut-turut aku ke PBAKL.

Jadi untuk kali ini, hati berbunga riang kerana pertama kalinya untuk tahun ini buku akan diterbitkan. Naskah anekdot yang mengisahkan 200 cerita daripada 10 orang penulis. Para penulisnya adalah Adila Hassan, Faizah Mohd Noh, Suhaila Sharif, Monalita Mansor, Nur Dila, Suhana Saleh, Suzana Jumadil, Norika Kadir, Nurul Hashim dan termasuk aku sendiri.

Kisah lucu yang menghimpunkan kisah mak-mak dan bakal mak-mak. Ada kisah mentua, kisah anak, kisah isteri, kisah pengasuh, kisah mbak, kisah kampus dan juga kisah si tukang masak. Kalau mahu tahu selanjutnya bolehlah membuat pesanan awal.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan pada emel alfidah83@gmail.com. Semoga sokongan kalian dapat mewarnai industri penulisan kita. Naskhah ini juga boleh dihadiahkan pada insan tersayang. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Nama:
Email:
Saya mahu: Antologi Cerpen Tribunal Cinta, RM20 (SM) RM25 (SS)
Antologi Cerpen Suara Kekasih Cinta, RM25 (SM) RM30 (SS)
Antologi Cerpen Kelip-kelip Kusangka Api, RM38 (SM) RM41 (SS)
Anekdot Mak-Mak Lah Sangat, RM25 (SM) RM27 (SS)
Pos Laju:
Alamat penuh:
Nombor Telefon
Nota Tambahan (jika ada):

Wednesday, March 21, 2018

Dua Hari Berkursus

Assalamualaikum...

Dua hari, isnin dan selasa aku berkursus. Dekat aje pun. Dalam Melaka. Kursus HRMIS. Tak habis-habis mengadap HRMIS. Dulu, kini dan selamanya. Hati begitu riang bukan kepalang sebab boleh lari sekejap daripada suasana pejabat yang begitu memberi tekanan sejak dua menjak ini. Rasa berdosa bila berperasaan sebegini sebab itu tempat aku mencari rezeki demi sesuap nasi. Tapi itulah, manusia ini kan macam-macam perasaannya.

Dua hari ini pun sudah cukup memberi ketenangan pada diri. Tak perlu hadap manusia yang tak habis-habis nak push orang bawahan ni. Stres kut. Jadi aku dengan rela hati menawarkan diri untuk menghadiri kursus ini.

Selain itu, minggu ini boleh dikategorikan sebagai minggu bertenang. Anakanda berdua cuti sekolah. Maknya yang teruja lebih. Yelah, tak perlu berkejar-kejaran di waktu pagi dan juga petang. Jalan aje tak boleh ke? Kenapa perlu berkejaran?

Memegang status isteri jarak jauh ini memang memerlukan ketahanan diri yang kuat. Fizikal mahu pun mental. Adakalanya memang meletihkan. Letihnya sampai boleh tahap menangis. Belum lagi hadap kerja di pejabat.

Gambar diambil ketika aku sudah tiba di hadapan bangunan tempat berkursus. Pemandu amatur haruslah sampai awal sebabnya nak cop parking. Sejenis perangai kalau pergi tempat yang tak biasa memang awal lah sampainya.

Hari ini kembali ke pejabat semula. Cadangnya nak cuti hari ini bawak anak-anak menonton wayang tetapi sebab ada kerja yang perlu aku siapkan maka terpaksalah ditangguhkan. Hati berkobar-kobar nak pergi menonton KL Special Force. Kan ada si Pattah. Sebagai peminat tegar Pattah haruslah aku pergi menontonnya. Siapa sudah menontonnya?

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Wednesday, March 14, 2018

Sibuk Membaca

Assalamualaikum.

Saya sibuk membaca hinggakan sampai tidak ada masa untuk menulis. Ya. Memang sungguh saya tinggalkan kejap menulis ini sebab ralit dengan membaca buku-buku yang ada. Rehat kejaplah kan. Ini pun saya menulis sebab mahu siapkan biodata untuk dihantar bagi Projek Anekdot Mak-mak lah sangat. Dalam proses untuk diterbitkan awal April ini. Jadi saya kena siapkan seperti yang diminta oleh pihak editor.

Bermalas-malasan saya duduk di depan komputer menyiapkan biodata. Adoi. Gigihkan jugak menaip biodata sendiri. Alang-alang sudah depan komputer saya siapkan cerpen yang mahu dihantar dan tulis sekali satu entri di blog ini.

Rindu nak menulis. Tapi auranya belum kunjung tiba. Lama sangat dia menghilang. Hilang kejap sudahlah. Jangan lama-lama. Ada banyak projek tapi itulah masa amat mencemburui saya. Hari ini saya cuti sebenarnya. Badan tak berapa sihat. Jadi lepas saya hantar anak-anak saya balik ke rumah dan rehat. Saya tidur. Adoi rindu tidur yang berkualiti. Sesekali bila dapat memang nikmat.

Saya baru habiskan baca buku ini. Kumpulan cerpen yang ditulis oleh Hafizah Iszahanid. Cerpen-cerpennya memang menarik dan agak berat. Saya masih belum mampu untuk menulis dan berfikir seperti beliau. Memang kagumlah. Jadi kena lebih banyak membaca lagi lepas ini.

Sekarang sedang melayan dua buah novel ini. Ini versi tamak. Entah mana satu nak dibaca dulu pun tak tahu. Sebenarnya saya ikut dramanya di televisyen. Novelnya saya pinjam jiran merangkap kawan sekastam dengan suami. Sekarang sedang baca Tiada Arah Jodoh Kita. Tapi itulah, drama Tak Ada Cinta Sepertimu pun macam best. Jadi tak sabar nak baca novelnya jugak. Dah tua-tua baca buku pun sebanyak-banyak dalam satu masa.

Nanti bila dah ada masa, saya kembali menulis lagi di sini. Banyak cerita nak kongsi. Kisah hiking. Kisah Run Fit. Oh ya, sekarang saya aktif dengan aktiviti luar. Tak tahulah berapa lama sedangkan saya memang tak berapa aktif pun sebenarnya. Hahaha.

Doakanlah semoga semua urusan saya dipermudahkan. Lagi dua hari nak cuti sekolah kemudian anak-anak cuti seminggu. Maknya yang ho ho horey. Undur diri dulu. Semoga urusan kalian yang membaca entri saya ini juga dipermudahkan dan berjalan lancar ya. Amin...

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Monday, March 5, 2018

Orientasi Tahun Satu

Assalamualaikum.

Sudah masuk bulan ketiga, anak saya Muhammad Ammar Qayyum melangkah ke tahun satu. Sememangnya, pada mulanya perasaan susah hati banyak menghantui diri. Ditambah pula saya susah nak move on anak lelaki saya sudah masuk tahun satu.

Mungkin sebab nampak dia macam kecil lagi. Waktu kakaknya saya tak dihantui perasaan begini sebab nampak kakaknya lebih matang. Itulah orang kata, budak lelaki lambat matang. Mungkin ada benarnya sebab itulah perbezaannya.

Ditambah lagi masa enam tahun, tiap hari saya mengadap Ammar menangis sewaktu saya hantar ke sekolah. Memang emosi dia terganggu. Emosi maknya pun turut terjebak. Entahlah. Mungkin dia tidak serasi dengan sekolah cina. Sebenarnya saya sayang nak tukarkan mereka sekolah tetapi saya tak mahu memaksa anak-anak. Mereka yang nak ke sekolah.

Macam kita, kalau sudah hilang keseronokan di tempat kerja. Begitulah keadaannya. Jadi saya ikut minat mereka. Entah berapa kali saya nak ceritakan hal ini. Marilah tatap gambar-gambar yang sempat saya ambil sewaktu hari orientasi.

Anak mama sudah besar.

Mama dan kakak setia menemani Ammar. Hehe...

Masa ni kami mendengar taklimat. Ammar pergi ambil ujian.

Suasana masa itu. Masing-masing menunggu anak yang sudah habis menduduki ujian.

Dah nampak Ammar.

Selesai semuanya, baru mama berselera nak makan.

Begitulah cerita orientasi Ammar. Alhamdulillah. Ammar tidak menangis dan mama sudah senang hati. Hari ini saya terajin menulis cerita terobek lama ini sebab saya cuti kecemasan. Ammar demam hari ini jadi dia tidak hadir ke sekolah. Sekian dulu entri pendek untuk hari ini. Kejap lagi saya tulis entri lain pula.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Thursday, March 1, 2018

Pembuka Bulan Baharu

Assalamualaikum.

Selamat petang.

Selama 28 hari kita menusuri bulan Februari, kini Februari telah menutup tirainya. Mac kunjung tiba. Maknanya telah masuk bulan ketiga kita di tahun 2018. Semoga apa yang belum dikecapi sepanjang dua bulan lepas dapat diteruskan pada bulan ini dan bulan-bulan seterusnya. Saya masih mengumpul kerajinan dan memanggil mood untuk kembali menulis.

Sudah agak lama mood itu tidak bersekongkol dalam diri. Jenuh juga saya menunggu. Sesungguhnya saya amat merindui untuk menulis menulis dan menulis. Ada satu halangan saya di rumah. Ada masanya internet di rumah tersangatlah slow membuatkan saya tidak ada hati untuk menulis di sini. Sudahnya saya tutup komputer dan bergolek-golek layan drama atau baca novel.

Minggu ini banyak cerita panas. Tapi cerita panas yang mendatangkan kebahagiaan pada saya dan tak tahulah orang lain bahagia juga atau tidak adalah majlis resepsi Fattzura. Allahu. Tersangatlah manis pasangan merpeti dua sejoli itu. Memang nak ulang kali tengok segala macam gambar dan video yang diup di Instagram.

Kalah orang sedang kemaruk bercinta. Hehe. Suka tengok Fazura dan suka tengok Fattah. Semoga perkahwinan mereka diberkati, dirahmati dan berkekalan hingga ke jannah.

Kemudian dengan cerita pelancaran tudung. Saya tidak tahu nak komen. Saya memang tak pakai pun tudung dia. Adalah jugak baca kecaman netizen yang teruk juga bunyinya. Biarlah. Manusia kan tidak lari daripada melakukan kesilapan. semoga kesilapan itu tidak berulang.

Disusuli dengan kisah isteri pertama yang diceraikan setelah enam bulan hidup bermadu dengan seorang artis. Allahu. Saya memang tak boleh nak hadam kalau baca kisah-kisah isteri diceraikan, kisah curang, hidup bermadu yang tidak adil. Memang tersangatlah emosi. Semoga diberikan kekuatan fizikal dan mental paada isteri yang diceraikan itu. Sesungguhnya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kita hanya mampu mengucapkan kata 'sabar' sedangkan sabar itu perlukan kekuatan untuk mendapatkannya.

Itu sahaja yang mampu saya tulis untuk entri pertama bulan ini. Tak mahu komen panjang-panjang. Ada rupa makcik bawang pula. baiklah, buku antologi Suara Kekasih Cinta masih ada beberapa naskah pada saya. Boleh emel saya kalau berminat. Cerpen saya bertajuk Separuh mati Ku Bercinta ada di dalam naskah tersebut. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim