SUKA ENTRY DI SINI???

Monday, August 18, 2014

~Cerpen : Air Mata Syawal~

Teks : Fyda Adim
Foto : Carian Google

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Selamat petang. Minggu ni minggu akhir Syawal. Hari ini sdauh 22 Syawal. Lagi beberapa hari saja lagi Syawal juga akan melabuhkan tirainya. Sedih! Hari ini ingat nak puasa tapi terpaksa dibatalkan niat itu sebab tidak sihat. Tekak sakit. Batuk! Okeylah petang ini mari aku sajikan dengan cerpen untuk tatapan semua. Siapa yang sudi baca, bacalah. Idea datang tiba-tiba dan ini hasilnya. Selamat membaca! Aku hanya penulis picisan. Jika ada terkurang harap dimaafkan.

Laungan takbir raya yang mendayu-dayu mulai memecahkan kesunyian alam. Sayup-sayup kedengaran takbir yang mula bergema di segenap ruang angkasa raya. Subuh hening itu menjadi sayu namun awan pagi menampakkan keriangan menyambut hari lebaran yang tiba. Tatkala mendengar takbir raya yang sedang bergema, hatiku tiba-tiba diruntun hiba. Hati siapa yang tidak tersentuh tatkala mendengar takbir raya yang berkumandang. Bukan sahaja yang berada di perantauan, malah sesiapa sahaja akan turut merasainya. Nadanya bukan sekadar menyapa halwa telinga sebaliknya menyelusup masuk hingga ke jiwa bagi mengagungkan Allah, tuhan sekalian alam.
Aku yang sudah bersiap mengenakan baju kurung biru lembut dan bertudung litup sedondon, duduk di buaian luar rumah sementara menunggu suami dan anak-anak bersiap. Seperti tahun-tahun sebelumnya, usai solat subuh kami bersiap untuk menziarahi pusara terlebih dahulu sebelum melangkah ke masjid bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri. Entah kenapa pagi ini aku bersiap lebih awal daripada tiga beranak itu. Sejak semalam terasa tidak sedap hati. Berdebar-debar. Mata kanan pula asyik berkedip-kedip. 
‘Orang jauh mana pula yang aku nak jumpa,’ bisik hatiku sendiri sambil terus  melayan perasan.
“Termenung apa tu pagi raya ni Puan Yatt oi?” suara garau yang menyapa telinga segera mematikan lamunanku. Suara garau itu milik suamiku. Aku segera berpaling lantas melemparkan senyuman pada lelaki yang sedang berdiri di muka pintu. Suamiku sudah siap berbaju melayu berwarna biru lembut serta bersampin kain songket. Lelaki itu tetap nampak segak di mataku walaupun usianya sudah melewati angka 40-an. Senyuman turut terukir di bibir lelaki itu lalu menampakkan lesung pipit pada kedua belah pipinya. Lesung pipit yang mahal dan mencairkan hatiku.
“Mana ada Yatt termenung bang,”  sangkalku cepat-cepat.
“Abang dah berdiri lama kat sini, Yatt. Janganlah nak bohong abang. Yatt melayan perasaan sampai tak perasan abang kat sini.  Kalau sudah termenung jauh adalah yang awak fikirkan tu. Bukan abang tak boleh baca perangai awak.”  Panjang lebar jawab lelaki itu lalu melabuhkan punggung bersebelahanku. Aku hanya diam tidak berkutik. Memang benar kata lelaki itu tetapi aku tidak tahu bagaimana mahu meluahkan padanya apa yang sedang membelenggu diriku.
Beberapa minit kemudian, muncul pula anak gadis dan anak terunaku. Qistina sudah menjinjit beg telekung dan Qayyid pula sudah siap bersongkok. Setelah memastikan pintu rumah sudah berkunci, kami empat beranak beredar meninggalkan rumah.
*****
Usai menunaikan solat sunat Aidilfitri, kami terus pulang ke rumah. Sebaik sahaja tiba di rumah, seperti biasa kami sekeluarga akan bersalam-salaman memohon kemaafan sesama sendiri. Saat ini yang paling menyebakkan diriku. Aku cuba menahan sendu apabila mula menghulurkan tangan untuk bersalaman. 
“Abang, Yatt nak mohon maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki. Halalkan makan minum Yatt selama Yatt menjadi isteri abang. Maafkan Yatt kalau selama ini ada perbuatan Yatt melukakan hati abang, buat abang terasa hati,” kataku sendu sebaik sahaja aku sudah duduk berhadapan dengan suamiku.  Lelaki itu mengucup dahiku perlahan menambahkan sendu di hati lalu aku cium tangan lelaki itu.
“Yatt, abang patut minta maaf pada Yatt. Abang yang pernah bersalah pada Yatt. Abang pernah melukakan hati Yatt dan Yatt masih boleh menerima abang walaupun abang tahu jauh di sudut hati Yatt menyimpan rasa. Abang rasa sangat berdosa pada Yatt,” tutur suamiku perlahan membuatkan aku tergamam. Aku merenung anak mata lelaki itu. Dalam-dalam. Lantas suamiku menundukkan sedikit wajahnya. Melarikan daripada terus direnung olehku. 
‘Kenapa perlu diingatkan lagi kisah lama,’ desis hatiku.  Aku menggenggam erat tangan suamiku.
“Abang, kenapa perlu diungkit kisah lama. Kita dah janji untuk melupakan segalanya. Itu silap abang, mungkin ada juga silap yang datang daripada diri Yatt juga. Manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan, bang. Kita hanya manusia yang serba kekurangan.”
“Abang tak tahu kenapa hari ini abang terasa pilu sangat lebih-lebih lagi bila abang memandang air muka Yatt. Isteri abang yang pernah abang lukakan suatu ketika dulu,”  sambung suamiku perlahan.  Ada sendu dalam bicaranya.
“Sudahlah bang. Hari ini adalah hari untuk kita bergembira. Bukan untuk kita bersedih. Kita patut bersyukur kerana kita masih lagi diberi peluang untuk hidup sebagai suami isteri. Kita masih dapat merasai nikmat sebuah keluarga yang bahagia walaupun kita hampir-hampir...” Aku tidak dapat meneruskan kata-kata. Air mata sudah menderas di tebing pipi. Begitu juga dengan suamiku. Lelaki itu turut menangis!
Walaupun kisah itu sudah berlalu bertahun-tahun lamanya namun kisah itu masih segar dalam ingatanku. Tiada satu pun yang pernah luput dari kotak fikiranku. Aku hampir dibuang oleh lelaki yang sedang duduk di hadapanku. Namun saat aku telah memaafkan lelaki itu, kisah itu tidak perlu diungkitkan lagi. Kisah itu hanyalah masa silam. Masa silam yang menyakitkan hati tidak perlu lagi dikenang-kenang.

“Tina! Tolong mama letakkan mangkuk ketupat ni atas meja makan,” laungku pada anak daraku yang sedang kalut mengisi kuih raya ke dalam balang merah jambu. Siapa lagi yang mahu diharapkan kalau tidak pada anak dara yang satu itu.
“Mana mama?”  soal Qistina sebaik muncul di ruang dapur. Aku hanya memuncungkan mulut ke arah mangkuk ketupat yang sudah terletak di atas kabinet.
“Susun atas meja itu elok-elok. Jangan berterabur ye sayang, “  Pintaku lembut sebelum Qistina menghilang dari ruang dapur.
Saat aku sedang sibuk di dapur, kedengaran bunyi loceng pintu yang ditekan beberapa kali.  Dari arah dapur aku terdengar suamiku menjawab salam lalu pintu dibuka.
Tidak lama kemudian, kedengaran namaku pula dipanggil lalu aku mencapai tudung sengkuap yang sedia tergantung di kerusi. Aku bergegas ke depan seraya menyarungkan tudung sengkuap yang sudah berada di tangan.
Langkahku terhenti di muka pintu sebaik sahaja terpandang ke arah seorang wanita di atas kerusi roda di perkarangan rumah. Wanita itu mengenakan baju kurung berwarna krim, berselendang putih serta berkaca mata hitam. Di belakang wanita itu pula kelihatan seorang gadis manis yang juga mengenakan baju kurung moden. Pada pemikiranku mungkin umurnya sebaya dengan Qistina. Aku menapak menghampiri suami dan anak-anakku yang sudah berada di luar rumah.
“Assalamualaikum.”  Salam kesucian kesejahteraan dihulurkan wanita itu. Salam itu segera aku jawab tanpa rasa ragu-ragu.
“Siapa ni bang?”  soalku pada suamiku. Sedikit terpinga-pinga.
Suamiku memandang aku sepintas lalu dan berkata, “ Yatt tak kenal ke?” Bahuku dirangkul lembut oleh lelaki itu. Aku hanya menggeleng. Memang aku gagal mengenali wanita yang berada di depanku. Puas aku mengecam. Namun tidak aku ketemui jawapannya. Siapakah gerangan susuk tubuh yang berkerusi roda ini? Adakah aku mengenalinya?
“Yatt, kau tak kenal aku lagi ke?”  soal wanita itu lantas menanggalkan kaca mata hitamnya.  Aku agak terkejut apabila namaku disebut wanita itu. Aku mengatur langkah menghampiri wanita berkerusi roda itu. Wajahnya yang agak berparut menyukarkan aku untuk mengecamnya. Aku renung sedalam-dalam wajah wanita itu saat aku sudah berdiri hanya beberapa langkah daripadanya. Wajahnya nampak pucat tanpa sebarang alat solek.
“Zalila?”  Itu sahaja yang terpacul daripada mulut sebaik sahaja mataku tertancap pada tahi lalat di pipi kanannya. Tanda itu sudah cukup membuatkan aku mengenali siapa gerangan wanita itu walaupun antara kami telah bertahun tidak bersua muka sejak peristiwa itu. Namun seraut wajah itu tidak pernah aku lupakan hingga kini kerana dia pernah hadir dalam hidupku sebagai seorang sahabat baik sebelum dia mengkhianatiku.
Dia hanya memandang tepat pada anak mataku. Kelihatan manik-manik jernih di tubir matanya.  Aku cuba  mengawal emosi. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dihalau keluar jika difikir-fikirkan balik apa yang telah dilakukannya padaku. Cepat-cepat aku beristighfar. Memohon pada-Nya semoga diberi kesabaran yang menebal di dalam diri.
“Kenapa kau datang rumah aku?”  Mendatar sahaja suaraku melemparkan soalan pada Zalila.  Sedikit bergetar.  Dia masih membisu sehinggalah anak gadisnya bersuara.
Aunty Yatt, maafkanlah ibu. Ibu datang rumah aunty hari ini sebab dia nak sangat berjumpa dengan aunty. Ibu nak minta maaf dengan aunty.  Tolong maafkan ibu, aunty.”  Lirih anak gadis yang masih lagi tidak berganjak di belakang kerusi roda ibunya.
Perasaanku menjadi sayu. Hatiku menjadi lemah mendengar luahan anak gadis itu. Aku menjadi serba salah. Bila diingatkan apa yang telah aku hadapi lima belas tahun yang lalu, membuatkan aku benci pada Zalila. Benci yang sangat dalam bak api marak yang tidak pernah terpadam. Dia hampir meragut kebahagiaan rumahtanggaku. Aku hampir berpisah dengan suamiku disebabkan dengan pengkhianatan Zalila padaku.
*****
Bersambung.... 
Nota : Sambungan cerpen ini boleh dibaca di SINI.







                                                                                                    

1 comment:

BABY(MAMA AMANA&ARIEF) said...

kalau minat menulis..cubalah hantar ke mana2 tulisan tue.. mana tau ada luck :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Angel Wing Heart