Monday, September 4, 2017

Perginya Dak Garfield

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa. Bismillah.

Hai semua.

Selamat pagi semua. Nasiblah hari ini diberikan cuti oleh Tok Jib. Seronoklah tidak terhingga. Baru berkesempatan untuk menulis. Malam tadi bersengkang mata. Dalam fikiran, sibuk fikirkan blog. Sibuk fikirkan cerpen. Sibuk fikirkan buku antologi yang nak terbit. Banyak sangat pecahan dalam kepala ini. Kebelakangan ini memang tidak produktif sungguh. Semuanya tidak menjadi. Ada yang aku tak dapat nak kejar pun tarikhnya. Dibiarkan berlalu sepi sahaja.

Genap sebulan Dak Oren pergi sabtu lepas dan sabtu itu jugak Dak Garfield pula pergi. Sekali lagi aku menangis. Iye, sungguh-sungguh aku menangis. Walhal aku bukan pencinta kucing. Entah kenapa. Tiga hari sebelum Dak Garfield pergi, anak Dak Oren mati. Tak tahu apa puncanya. Mati di tempat tidurnya. Mungkin sebab si kecil itu baharu sahaja dengan aku, kesedihan itu tidaklah terlampau sangat.

Sewaktu si kecil itu mati, Dak Garfield hilang. Selalunya dia pulang ke rumah. Tak pernah dia hilang berhari-hari begitu. Dua hari aku tunggu dia balik. Malam rabu baru dia muncul depan rumah. Sewaktu itu aku berada dalam bilik. Kami baru sampai rumah sebenarnya. Jemput anak-anak di rumah mentua. Suami panggil aku.

"Tengok siapa balik ni."

Sungguh Garfield. Tetapi keadaan dia sesuatu sangat. Dia tidak boleh mengeow. Suaranya tak keluar. Tak tahu kenapa. Anak-anaknya sudah menerpa Dak Garfield nak menyusu. Malam itu masukkan semua anak-anak bulu dalam sangkar.

Esoknya, selepas balik dari tengok perarakan Hari Kemerdekaan suami terus bawak ke klinik. Doktor sahkan Garfield kena jangkitan virus. Kena suntik. Doktor kata Garfield susah nak bernafas. Cadang hari sabtu itu, nak bawak ke klinik yang lain sebab suami kata doktor tu tak berapa nak periksa. Dua hari aku dok bercakap dengan Garfield suruh dia bertahan.

Iye, sejak ada anak-anak bulu kat rumah, kerja aku bercakap dengan depa. Aku memang bukan pencinta kucing tapi bukan pembenci. Ada ke ayat serupa itu? Hentam ajelah. Bukan tak suka, tapi aku ada perangai geli-geleman bila kucing dekat-dekat. Biar aku yang pegang atau usap-usap depa. Jangan depa datang kat aku. Faham tak situasi aku?

Garfield ditanam di depan rumah. Sewaktu ini aku sungguh-sungguh menangis. Sedih kut. Aku pun keliru siapa tuan kucing. Suami aku relax aje. Tapi dia usap-usap Garfield sebelum dikambus tanahnya. Masa Oren mati, lagi bersungguh aku menangis. Memandu sambil menangis. Ko menangis macam orang putus cinta. Gitu sekali penangan anak-anak bulu ini.

Ini anak Dak Oren. Buat pertama kalinya, aku tidur dengan anak oren ini. Sehari selepas maknya mati. Ceritanya ada di SINI. Timbul rasa kasihan sebab dia sendiri. Jadi aku suruh anak aku yang sulung bawak masuk. Walau dia tak tidur dengan aku tapi kami tidur setoto. Tahu tak macam mana perasaan itu. Antara takut dan kasihan. Malam itu, beberapa kali aku terjaga. Tengok dia tidur elok je. Dalam jam 3.00 pagi aku terjaga. Dia tidur kat kaki aku. Terus terduduk. 

Begitulah aku dan anak-anak bulus. Walau sudah beberapa ekor anak bulu dalam rumah aku tetap takut bila dia datang menggesel dan sewaktu dengannya. Memang dari zaman muda-muda. Gamaknya sekarang sudah tua lagi perangai itu menjadi-jadi. Haha. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim

No comments: