Monday, September 18, 2017

Bila Kecewa Dengan Manusia Atau Sesuatu Keadaan

Assalamualaikum.

Salam tengahari. Makan apa tengahari ini?

Saya berpuasa. InsyaAllah.

Manusia memang tidak lari daripada rasa kecewa kepada manusia. Selagi kita bergantung harap pada manusia rasa itu pasti akan hadir. Jadi, usahlah bergantung harap terlalu tinggi pada manusia. Hati manusia bukan kita yang mengemudinya. Mudah berbolak-balik. Allah yang memegangnya. Titipkanlah doa pada Allah agar hati kita sentiasa terpelihara.

Bila rasa kecewa itu hadir, perbanyakkan berdoa agar rasa kecewa itu akan terubat. Adakalanya bila kita kecewa dengan seseorang, kita diajar untuk memujuk hati kita sendiri. Mungkin seseorang itu tidak pernah perasan dia sedang mengecewakan diri kita. Begitu juga dengan kita.

Sebenarnya, kecewa adalah ujian hati. Bagaimana cara kita mahu menangani rasa kecewa itu. Marahkah kita? Dari situ kita boleh mendidik hati kita agar tidak terlalu kecewa berpanjangan. Andai kita kecewa dengan sahabat, pujuklah hati kita agar kita juga tidak menjadi seperti itu. Mana tahu kita secara tidak sengaja pernah mengecewakan juga.

Apa pun biarlah waktu menyembuhkan semuanya.

Biarlah rasa kecewa itu sirna sendiri.

Jangan putus berdoa agar hati kita sendiri terjaga.
Sentiasa terpelihara.

Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan.
Seringkali didatangkan dengan rasa kecewa mengajar kita agar lebih berhati-hati.
Kita akan lebih menjaga hati orang lain.
Sudah tentu kita tidak mahu orang lain rasa sebagaimana yang kita rasai sekarang.

Sebolehnya dan sebaiknya adalah dengan berdiam.
Diam adalah bahasa yang terbaik jika kita sedang kecewa dengan sesuatu keadaan mahu pun dengan manusia.

Percayalah, setiap daripada kekecewaan itu pasti akan didatangi kegembiraan.
Usah bersedih terlalu lama.
Hidup ini terlalu singkat.

Minggu lepas, seorang kawan saya mengalami kekecewaan.
Kecewa dek cinta.
Mood merudum teruk.
Saya nampak dia sedang bersedih.

Saya cuba memberi kata-kata semangat padanya.
Cuba membantu.
Tapi diri sendiri yang kena bangun.
Kalau diri sendiri yang tak kuat membangunkan apa yang telah jatuh, berpuluh mahu pun beratus patah pun kalau kawan berikan tidak akan mampu mengubah apa-apa.

Kan orang kata, kalau jatuh bangunlah sendiri.

Jadi, tunggu apa lagi.

Bangunlah sendiri.
Buang masa memendam rasa.

Sudahnya saya hulurkan buku motivasi yang ada dalam simpanan saya.
Tajuknya buku tersebut 'Move On'.

Moga dia boleh bangkit segagah-gagahnya.

Saya pun sedang kecewa.
Kecewa dengan seseorang.
Biarlah, saya tidak mahu meluahkan.
Manusia akan lupa bila dia sudah senang.

Saya tidak mahu simpan rasa kecewa itu terlalu lama.
Saya perlu maju ke depan.

Semoga kalian juga begitu!

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


No comments: