Monday, January 5, 2015

~Drama Zahira TV3~

Tesk : Fyda Adim dan sumber dari SINI
Foto : Carian Google

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...

Selamat petang semua. Hujan lebat membasahi bumi Melaka. Dalam pejabat sudah terasa kesejukannya hingga ke tulang sumsum. Mata makin memberat aje. Perut kenyang ditambah dengan kesejukan yang melampau ni. Mahu tunggu waktu pulang.

Sebelum itu nak kongsi drama kegemaran dan kegilaan aku buat masa ini. Drama Zahira di saluran TV3 yang menampilkan Ady Putra dan Zara Zya. Memang tersangatlah sweet drama ini lebih-lebih lagi pelakon kegemaran yang berlakon. Memang tidak ketinggalan.

Seperti biasa aku memang tak mengikuti dari mula. Akan tetapi bila dah tengok di tonton dari episod pertama sudah mula terjatuh cinta. Hahaha...Haruslah ikut sampailah episod sekarang. Aku siap beli credit dekat tonton lagi untuk tengok episod akan datang. Tak sabar nak tunggu minggu depan punya. Lambat bebenor.

Okeylah mari kita saksikan bagaimana kisah Zahira dan Iqbal. Selamat menonton!

Zara Zya dan Adi Putra.

Sinopsis:

ZAHIRA, sebuah drama bersiri terbitan Excellent Pictures Sdn Bhd ini membariskan para pelakon handalan seperti Adi Putra, Zara Zya, Bea Balqis, Ryzal Jaafar dan Fazreen Rafi. Ianya menyelami keikhlasan hati dan perasaan cinta sejati antara sahabat dan kekasih. Dalam kehidupan ini, kita diduga dengan pelbagai permasalahan dan semuanya dapat diselesaikan dengan usaha, jujur dan keikhlasan. Begitu juga yang terjadi dengan Zahira, seorang gadis yang mempunyai ijazah sarjana muda jurusan kejuruteraan perisian, ditipu oleh kekasih hatinya demi untuk mendapat pekerjaan. 

Cinta itu buta…dan sebab itulah Zahira tidak pernah mengendahkan nasihat daripada sahabatnya Amira supaya berhati-hati dengan kekasihnya. Bagi Zahira, Sufian merupakan keutamaannya di samping ibu angkat yang telah menjaganya sejak kecil iaitu Mak Ani. Selain impian Zahira ingin mengahwini Sufian, dia juga bercita-cita untuk mendapat pekerjaan dan membantu mengurangkan beban Mak Ani dengan membayar hutang keluarga mereka. 

Selepas tamat pengajian, Zahira dan Sufian berusaha mencari pekerjaan. Suatu hari, Zahira ditawarkan pekerjaan di syarikat kejuruteraan Datuk Othman iaitu Intellect Sdn Bhd, dan dipanggil untuk menghadiri sesi temuduga. Sehari sebelum temuduga itu, Zahira telah berkongsi perisian yang diciptanya kepada Sufian. Ini membuatkan Sufian merasa cemburu dan mencuri ciptaan tersebut tanpa pengetahuan Zahira.

Keesokan harinya sewaktu ditemuduga, pihak pengurusan memaklumkan bahawa Zahira sememangnya memiliki ciri-ciri pekerja yang mereka cari. Akan tetapi, seorang lagi calon yang ditemuduga sudah membentangkan idea sama yang dikemukakan Zahira. Zahira bertambah hairan memandangkan perisian yang diciptanya itu sememangnya baru dan tidak terdapat di pasaran lagi. Apabila ditanya siapakah calon tersebut, Zahira amat terkejut apabila mendengar nama Sufian. Ini membuatkan Zahira benar-benar kecewa! Apatah lagi apabila mendapat tahu Sufian diterima bekerja di sana dan kini Zahira pula yang menganggur! Setelah berjaya, Sufian mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan mereka.

Lebih kecewa apabila mendapat tahu syarikat tersebut semakin berjaya dengan perisian ciptaannya yang dicuri oleh Sufian! Kekecewaan itu menambahkan lagi semangat Zahira untuk mendapat pekerjaan kerana terutamanya dengan sokongan kawan baiknya Amira dan Mak Ani. Tanpa berfikir panjang, Zahira mencuba nasib dalam bidang perhotelan. Pada hari sesi temuduga itu, Zahira terlambat dan tidak berjaya bertemu dengan penemuduga iaitu Syed Iqbal Hakim, seorang yang mementingkan disiplin. Syed Iqbal telah memberitahu pengurus hotelnya agar jangan terima sesiapa yang lambat termasuklah Zahira. Perwatakan Zahira yang ceria dan sangat pandai mengambil hati pengurus hotel membuatkan dia diterima bekerja tanpa pengetahuan Syed Iqbal. 

Bagaimana perjalanan kehidupan Zahira setelah bekerja di hotel dan berpisah dengan Sufian? Saksikan episod Zahira seterusnya menerusi slot Samarinda pada setiap Rabu dan Khamis, jam 10.00 malam hanya di TV3! Udada Ubabye!!


Sekian dan wassalam.


Aku penulisnya,



1 comment:

ibuayu said...

mcm best je cerita ni..kena follow gak lepas ni..