SUKA ENTRY DI SINI???

Wednesday, January 22, 2014

~Perkahwinan Itu Indah...~

Assalamualaikum...
 
Selamat petang semua.  Tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Kak Suri ( betul kut namanya) editor majalah Mingguan Wanita di blognya.  Setelah mendapat keizinan daripada tuan empunya blog maka aku kongsikan entrinya di sini buat tatapan semua.  Yang baik boleh kita ambil dan yang tidak baik bolehlah dijadikan sempadan.
 
NURI SUPIAN
 
Setiap pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga, pasti mempunyai pengalaman tersendiri. Sama ada ia seindah yang dibayangkan ketika belum hidup berumah tangga ataupun jauh daripada apa yang diimpikan. Kebahagiaan dalam perkahwinan bergantung sebanyak mana kita menghargai erti perkahwinan itu sendiri.
 
Namun ada yang mengeluh selepas beberapa tahun berkahwin, pasangan hidup mereka telah jauh berubah. Pasangan dirasakan sudah tidak semesra dan seromantis dulu. Mereka mula mencari cacat dan cela pada pasangan yang mereka nikahi itu. Cacat cela yang tidak pernah mereka kisahkan ketika zaman bercinta dulu.

Ombak dan pantai, umpama suami dan isteri. Mereka saling memerlukan...

Sekiranya kita melihat perkahwinan akan `merosakkan’ sesebuah percintaan sebenarnya kita tersilap, kerana perkahwinan adalah satu ikatan suci yang membenarkan kita menikmati hidup berkasih sayang tanpa sepadan bersama pasangan. 

Biarpun dalam perkahwinan ada pelbagai ranjau duri, ada liku-liku dan ada pasang surutnya, namun dalam perkahwinanlah kita mampu membina pelbagai perasaan. Di dalamnya tersimpan rasa bahagia, cemburu, sedih, gembira, tangisan dan senyuman. Perkahwinan ada sejuta wajah. Di dalamnyalah kita mengumpul dosa dan pahala. Bersamanya kita belayar dalam lautan madu dan mengharungi ombak menderu.
 
Pelbagai tantangan dan tanggungjawab dalam perkahwinan sentiasa menghiasi hari-hari kita. Selalu kita tersenyum dan ada juga ketikanya kita berduka dalam membina rumah tangga, terutama ketika menghadapi kerenah pasangan dan anak-anak. Namun kerana rencah inilah kita menjadi akrab bersama ahli keluarga kita terutama suami, isteri dan anak-anak.

Jangan ubah perasaan cinta tetapi ubahlah persepsi tentang cinta dalam rumah tangga...

Semakin lama usia perkahwinan kita semakin banyak yang harus kita selesaikan. Dalam tempoh itu sudah pasti beberapa sikap kita dan pasangan akan berubah. Kita tidak lagi boleh sentiasa hidup dalam kepura-puraan. Tidak boleh lagi sentiasa mahu berkepit dan meliuk-lintuk manja bersama pasangan. Kita harus maju memburu masa depan yang lebih realistik. Kita tidak lagi boleh hidup dalam igauan atau mimpi. Kita mesti bangun dan bergerak pantas. Kita tidak lagi sepatutnya terkongkong oleh sandiwara masa lalu. Kecantikan dan ketampanan yang berubah kerana mengikut edaran masa, pasti digantikan dengan kecantikan dan ketampanan yang lebih murni sifatnya. Kita tidak akan lagi terjebak dengan pesona, sebaliknya kita mahukan kecantikan hakiki.
 
Sifat penyayang, penyabar dan kebijaksanaan dalam tanggungjawab memajukan rumah tangga mampu menggantikan beberapa perkara yang mungkin pudar dibawa zaman. Tidakkah sifat-sifat ini lebih memberi manfaat kepada kita dan keluarga?  Jadi bersyukurlah jika kita masih mampu mempertahankan sebuah ikatan suci yang bernama perkahwinan, biarpun diancam gelombang dan gelora.
 
Satu pesan saya untuk semua pasangan yang sudah berumah tangga, sebesar apa pun dugaan yang datang dalam perkahwinan, berikhtiarlah untuk mengatasinya. Jangan lari daripada `medan perang’ selagi perang belum tamat... 
 
Ramai yang menganggap perkahwinan itu umpama pokok mawar. Cantik tapi berduri. Bagi saya kerana duri itulah mawar ini istimewa. Duri umpama penjaga dan pelindung yang baik. Orang akan berhati-hati untuk memetik dan menciumnya. Kadangkala berterima kasihlah pada perkara yang kita anggap menyusahkan.
 
 
Credit : http://nurisupian.blogspot.com







                                                                                                          





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Angel Wing Heart