Thursday, April 5, 2018

Sembilan Tahun Usia Blog

Assalamualaikum.

Tanggal 3 April 2018 genap sembilan tahun blog aku. Maknanya sembilan tahun sudah aku menjadi penulis blogger. Blogger suam-suam kuku tetapi daripada blog ini juga aku dapat ramai kenalan. Ada kenalan blog yang sudah bertemu dan ada yang masih berstatus kenalan alam maya. Daripada blog ini juga aku belajar banyak perkara. Daripada blog ini juga aku melangkah setapak menjadi seorang penulis cerpen yang pada mulanya aku terjebak menyertai pertandingan menulis ebook anjuran Maxis.

Penulisan pertama aku berjudul Dia, Pilihan Hatiku telah menjadi antara lima yang tertinggi undian waktu itu. Cerita ala-ala novelet. Kisah pendek. Tak silap ada 16 bab aje. Memang kenangan sungguh menulis kisah itu. Tak tahu tiba-tiba hati terdorong untuk menyertai pertandingan itu. Waktu itu aku masih kosong lagi tentang dunia penulisan. Sungguh kosong. Atas izin Allah, aku dipertemukan dengan seorang hamba Allah ini yang kebetulan menyertai juga pertandingan ebook itu. Perkenalan kami bermula dengan private message di laman muka buku. Rasanya aku yang mulakan dulu menegur dia. Sekarang kami dikira rapatlah juga. Sudah dianggap seperti seorang kakak.

Semoga aku terus istiqomah untuk menulis. Semoga aku terus istiqomah menulis yang baik-baik. Andai kata ada penulisan aku yang buat anda tidak selesa jangan segan silu menegurnya secara berhemah. Manusia adakalanya terlupa diri. Manusia adakalanya terlampau mengikutkan emosi. Semoga jalinan kita di laman blog ini akan terjalin sampai bila-bila. Pada rakan blogger yang selalu meninggalkan komen, aku sangat terharu. Terima kasih kerana sudi membaca blog yang tidak seberapa ini.

Sekian dulu entri untuk pagi ini. Oh ya, buku Anekdot Mak-Mak Lah Sangat sudah sampai proses yang terakhir. Doakan semoga diberikan kelancaran terhadap penerbitan buku tersebut. Kiranya itu adalah buku pertama aku tahun ini walaupun berkongsi dengan sembilan penulis yang lain. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


1 comment:

TheEunola said...

dah sembilan tahun usianya, mesti banyak pengalaman menulis ni.