Pages

Sunday, April 1, 2018

April Membuka Tirai

Assalamualaikum.

Entri pertama untuk bulan baharu ini. Mac sudah melabuhkan tirainya. Kini April pula membuka lembaran. Hari pertama dilalui biasa-biasa sahaja. Sehari sebelum penutup Mac, keluarga kami diduga bila mak long dimasukkan ke hospital. Jumaat lepas dimasukkan ke hospital atas sebab badan banyak air. Mak long adalah kakak kepada mak aku.

Jumaat lepas, kebetulan waktu rehat panjang aku pergi melawat dia di rumah sebelum dibawa ke hospital. Pagi itu memang mak long ada appointment di hospital. Bila diperiksa keadaan mak long, doktor pun arahkan untuk warded. Memandangkan belum ada katil kosong, mereka suruh balik dulu. Dalam jam 12.30 tengah hari pihak hospital telefon suruh datang. Kemudian kakak sepupu bersiap dan aku ke pejabat semula. Menunggu perkembangan dari grup whatsapp sahaja.

Balik dari hospital pagi itu, kakak sepupu sempat singgah rumah mak aku sebab mak long nak jumpa. Aku pun pergi tengok mak long sebab kakak sepupu kata dia dok menyeru nama aku aje. Yelah, mak long pernah jaga aku masa aku kecil. Memang mak long yang bela aku dan adik masa mak pergi kerja. Kami pernah tinggal serumah. Kalau masa raya mak long siap buatkan aku biskut candy. Berbotol dia buatkan aku. Itu masa dia sihat. Kalau aku buat kenduri dialah tukang masaknya.

Allah.

Rindunya zaman itu. Banyak yang sudah ditarik. Mengingatkan aku zaman akan berubah dari semasa ke semasa. Kadang bukan aku tak nak menjengah tetapi rutin aku yang ke hulu ke hilir uruskan anak-anak buat aku lelah. Tadi aku pergi bawak mak aku. Keluarga kami kecil. Anak mak long hanya seorang. Kakak sepupu aku tu jelah satu-satunya yang rapat dengan aku. Kalau dia susah, dia sedih aku turut terkena tempiasnya.

Minggu lepas, masa anak buah aku yang duduk Bangi balik dia dah beremosi. Whatsapp aku katanya dia sedih tengok nenek. Dahlah kita orang bersedih-sedihan di dalam whatsapp. Begitulah sedikit kisahnya.

Ini gambar kami petang tadi semasa melawat mak long aku. Hanya kami saja yang ada sebab anak cucu ada yang duduk jauh. Walaupun kami keluarga kecil tapi cukuplah membantu apa yang patut. Yang ada tadi berapa kerat ni pun macam nak terbalik. Kalau yang lain balik lagilah huru-hara. Mohon doakan mak long yang aku panggil obek (panggilan orang bawean) Fatimah Arippin cepat sembuh dan dipermudahkan urusannya.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


No comments: