Thursday, May 9, 2019

Kisah Percutian Ke Krabi Dalam Mingguan Wanita

Assalamualaikum.

Selamat tengah hari.

Kisah ini sudah lama tersiar dalam Mingguan Wanita. Keluaran Mac tempoh hari. Memandangkan hari itu sibuk dengan nak berpindah, jadi aku tak ada hati nak berkongsi pun. Menulis jauh sekali. Memikirkan hal nak ke tempat orang sahaja.

Kisah percutian aku dan keluarga ke Krabi dan Hatyai tersiar dalam Mingguan Wanita. Sudahlah nak beli majalah ini susah nak jumpa. Entah kenapa masa itu susah benar aku nak dapatkan majalah ini. Kalau masa tak nak beli, bersepah-sepah. Bila dicari tak pula timbulnya.

Covernya si cantik Sari Yanti bersama anaknya.

Sebanyak dua muka surat kisah ini ditulis.

Adalah sekeping gambar aku seorang diri terselit di situ.

Inilah rupa penuhnya.

Percutian ke Krabi dan Hatyai memang sangat menyeronokkan. Trip ke sana secara road trip dan berkonvoi. Oleh kerana percutian ini paling indah bagiku, aku titipkan sedikit kenangan Cerita Krabi dan Hatyai aku belum pernah siarkan di blog. Nantilah aku tulis kalau rajin.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Ikhtilat, Biarlah Kena Dengan Caranya

Assalamualaikum.

Imej yang berkaitan
Sumber: Google

Definisi ikhtilat : Ikhtilat merupakan suatu bentuk pergaulan secara bebas antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (bukan muhrim) sama ada di tempat sunyi mahupun di tempat terbuka.

Pada masa sekarang, ikhtilat ini seolah-olah tidak dapat dielakkan. Baik di tempat kerja, sekolah, universiti dan lain-lain lagi. Hal ini menimbulkan tanda tanya kepada kita, apakah dibolehkan hubungan sebegitu??

Hubungan secara bebas antara lelaki dan perempuan ini merupakan suatu ciri bentuk pergaulan pada zaman jahiliyyah dahulu dan juga berasaskan nilai-nilai dan sistem hidup masyarakat jahiliyyah. Apabila datangnya Islam yang dipimpin oleh Rasulullah, hubungan seperti ini ditolak dan suatu bentuk sistem dan nilai hidup yang berpandukan kepada Al-Quran dan Sunnah diperkenalkan untuk menjaga diri manusia itu sendiri.

Tetapi, pada masa sekarang ikhtilat dilihat memang tidak dapat dielakkan. Saya pernah terbaca suatu artikel yang membicarakan soal hubungan antara lelaki dan perempuan, dan dalam artikel tersebut penulisnya telah menukilkan pendapat Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam masalah ikhtilat.

Katanya : pertemuan/perjumpaan dan perhubungan antara lelaki dan perempuan tidaklah diharamkan secara mutlak. Dalam keadaan yang lain, perhubungan seperti ini diharuskan jika tujuannya adalah mulia (spt menuntut ilmu), memberi manfaat, dan menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Ia juga diharuskan dalam keadaan di mana terdapat sesuatu perkara yang berhajatkan bantuan dan pertolongan dari kedua-dua belah pihak (lelaki dan perempuan), tetapi dengan syarat mestilah berlandaskan batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak, tujuan yang betul dan pelaksanaannya yang berkesan.

Ikhtilat terbahagi kepada dua bentuk :

a) ikhtilat ghoiru syar’ie (tak ikut syariat Islam)

b) ikhtilat syar’ie (berlandaskan syariat Islam)

Ikhtilat ghoiru syar’ie :

Percampuran yang boleh menjatuhkan maruah.
Percampuran yang boleh menimbulkan fitnah, seperti perhubungan antara lelaki dan perempuan di tempat yang sunyi.
Bercanggah dengan adat dan adab etika Islam, seperti bergurau senda antara lelaki dan perempuan yang ajnabi.
Bukan berhajat. Yakni tidak mempunyai sebarang hajat yang perlu melibatkan hubungan antara lelaki dan perempuan.
Tidak ikut adab Islam.
Tidak mengasingkan tempat lelaki/perempuan.
Ikhtilat syar’ie :

Mempunyai hajat, iaitu ada perkara yang perlu melibatkan kaum lelaki dan perempuan.
Menjalankan tuntutan dakwah, yakni amar makruf nahi mungkar.
Menghadiri jemputan, contohnya : kenduri kahwin dan lain-lain.
Menunaikan haji dan umrah.
Bermesyuarat atau pembentangan, yakni yang perlu melibatkan kaum lelaki dan perempuan.
Dan, setiap ikhtilat pula mestilah mematuhi syarat berikut :

Tidak bersentuhan
Menjaga aurat
Menjaga adab bercakap
Mengasingkan tempat (pada tempat2 tertentu).
Terdapat batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang telah digariskan dalam Islam. Batas-batas ini harus diikuti dan dan dipatuhi demi menjaga hubungan itu sendiri daripada hukum harus menjadi haram. Antara batas-batas pergaulan yang mesti dijaga ialah :

1. Elakkan berurusan dengan lelaki selagi masih boleh dan berpeluang untuk minta tolong daripada perempuan. Kecuali dalam hal-hal yang di luar kemampuan wanita seperti dalam hal baiki kereta, baiki laptop dan sebagainya. Disebabkan keterbatasan kemampuan wanita dalam hal tersebut, maka terpaksalah juga akhirnya minta bantuan daripada orang lelaki. Dalam keadaan ini ia diharuskan.

2. Kalau terpaksa berkomunikasi dengan orang lelaki, gunalah medium perantaraan dalam bentuk tulisan seperti SMS, e-mel atau nota kecil. Gunakan perkataan-perkataan formal, dan bukannya bahasa pasar. Contoh : maaf (bukan sorrie..), terima kasih (bukan time kacih). Lagi satu, tak payahlah buat smiley face ke =), gelak ke (hihihi..), dan lain-lain yang kurang berfaedah.

Dan elakkan bercakap melalui telefon kalau belum betul-betul terdesak. Ini kerana suara wanita amat lunak dan boleh menggetarkan jiwa insan bernama lelaki. Buktinya sampai Allah menasihati kepada wanita supaya keraskan suara! Rujuk Quran Surah Al-Ahzab, ayat 32 :

“Wahai isteri-isteri nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah lemah-lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik.”

Kalau rasa ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri nabi sahaja, sepatutnya kita juga menyahut seruan tersebut untuk mencapai darjat yang sama seperti mereka-darjat wanita bertaqwa dan darjat wanita-wanita yang terpilih.

3. Tundukkan hati. Apabila terpaksa berurusan dengan lelaki, kita sepatutnya merasa bulu roma kita meremang-kerana takut pada ALLAH! Kita sangat takut sekiranya disebabkan kita, lelaki tersebut tertarik kepada kita. Sewaktu berhadapan dengan lelaki-lelaki tersebut, banyakkan beristighfar dan berdoa “ YA ALLAH, janganlah KAU jadikan lelaki ini tertarik kepadaku. Jauhkan pandangannya daripada panahan-panahan syaitan.”

4. Tundukkan pandangan. Jangan tertipu dengan subjek communication skills yang pernah kita belajar, “make eye contact with the person you’re talking to..”. Ianya dapat diaplikasikan kalau kita bercakap dengan sesama jantina sahaja. Kalau ada eye contact dengan orang yang berlainan jantina, kita akan mendapati teori “dari mata turun ke hati” itu benar-benar boleh berlaku.

Kita juga mestilah tidak memandang kepada aurat dan tidak memandang dengan syahwat. Dari panahan mata sahaja, sudah cukup untuk membawa ke arah perkara-perkara yang lebih besar. Kita doakan agar kita dijauhi daripada perkara-perkara tersebut.

Para sahabat dahulu pun, ALLAH perintahkan supaya tahan pandangan mata mereka apabila berurusan dengan isteri-isteri nabi. Rujuk kembali Surah Al-Ahzab, ayat 53 :

“…apabila kamu meminta sesuatu daripada isteri nabi, mintalah dari belakang tabir. Itu lebih suci bagimu dan hati mereka…”.

Tetapi kita bukanlah disuruh membawa tabir ke mana-mana kita pergi. Kalau susah sangat nak jaga mata, tutuplah pandangan dengan buku ke, fail ke..

Kita lihat betapa ALLAH sangat mengambil berat masalah hati para sahabat dan isteri-isteri nabi supaya mereka tidak tewas ke dalam kemungkaran. Kalau kita nak jadi sehebat mereka, mestilah aplikasikan apa yang mereka lakukan. Takkan nak tunggu ALLAH sebut nama kita dalam Quran baru nak buat. Contohnya :   “Wahai cik _____, tundukkanlah pandangan..”. Isk,isk..tak layaknya..

5. Sentiasalah berakhlak muslimah dalam semua perkara, terutamanya ketika bermuamalat dengan lelaki. Contohnya : percakapan, mestilah tidak melunakkan suara sehingga dapat merangsang dan membangkitkan perasaan.

6. Menjauhi bau-bauan ataupun wangi-wangian yang boleh membuatkan lelaki tertarik dengannya, dan menjauhi juga warna-warna terang dan terlampau menarik yang mana sepatutnya hanya dipakai di rumah bukannya ketika perjumpaan dengan lelaki.

7. Jangan sesekali membiarkan  hanya seorang lelaki dan seorang perempuan berjumpa tanpa mahram di sisi mereka, ianya ditegah dalam sebuah hadis sahih mengenainya, (sesungguhnya yang ketiga daripada keduanya ialah syaitan), tidak patut membiarkan api dan kayu bersama (makin terbakar la kalau dibiarkan berdua). Yang patut diambil berat juga ialah kaum keluarga terdekat, seperti ayah mertua, ipar dan sesiapa pun yang bukan mahramnya daripada berduaan.

8. Hendaklah sepanjang perjumpaan itu hanya dalam lingkungan hajat (cth : mesyuarat) dan perkara-perkara yang diperlukan, tidak perlu hendak memanjangkan dengan perkara luar dari hajat itu tadi dengan berbual-bual kosong, bergosip-gosipan ataupun perkara yang boleh melalaikan dari tujuan sebenar perjumpaan tersebut.

9. Cepatkan urusan. Perkara ini mungkin dapat diaplikasikan kepada para pelajar atau orang yang dah bekerja dan terpaksa berurusan dengan team lelaki. Dah tak dapat nak dielakkan, mereka sahaja teammate kita. So, apa-apa kerja yang dibuat bersama, buat sahajalah kerja tersebut. Tak payahlah nak berborak-borak, tanya hal peribadi, gelak-gelak, buat lawak…TAK PERLU! Siapkan kerja cepat2, then go.

10. Tempat perbincangan pula buatlah di tempat yang terbuka dan berurusanlah secara profesional.

Hasil carian imej untuk iktilat maksud
Sumber: Google

Semoga bermanfaat dan semoga kita dikenali sebagai wanita mu’minah yang ada identiti, yang taat perintah ALLAH dan takutkan hari pembalasan. Nasihat ini bukan sahaja ditujukan kepada kaum wanita, kaum lelaki turut dapat mengambil manfaatnya. Patuhilah semua peraturan-peraturan dalam berikhtilat supaya tidak timbul perkara-perkara maksiat yang dimurkai Allah. Dan nasihat saya, kalau boleh dijauhkan ikhtilat, maka jauhkanlah kerana itu yang lebih utama. Wallahua’lam.

Sekian, terima kasih.

Sumber: https://wasyafiq.wordpress.com/2011/08/26/tips-untuk-muslimah-ikhtilat-biarlah-kena-dengan-caranya/

Salam pena,
Fyda Adim


Wednesday, May 8, 2019

Kisah Ramadan: 3 Ramadan 1440

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Malam ini berkesempatan mahu menulis tentang juadah berbuka untuk 3 Ramadan. Masih lagi bertahan setakat ini walaupun terasa hampir tewas. Memanjat tangga sampai ke tingkat 4 sudah satu hal. Bergetar lutut mahu sampai rumah. Cabaran sungguh tahun ini. Aku percaya ada hikmah di sebalik semua ini namun aku masih menjumpainya.

Minggu ini bolehlah menarik nafas lega sebab suami kerja shif pagi. Aku bolehlah ikut dia pergi kerja sekali. Itu sudah tentu-tentu seronok sebab aku boleh membuta dalam kereta sepanjang perjalanan sampai ke pejabat. Sekali-sekala.

Untuk menu 3 Ramadan, juadah yang ringkas dan mudah dimasak. Janganlah buat permintaan suruh masak nasi lemak, nasi minyak bagai. Dalam tempoh satu jam setengah nak masak macam-macam memang tak jadi apalah. Biarlah kita berbuka puasa secara bersederhana sahaja.

Sambal telur pecah lagi aku ulang masak. Kemudian masak ayam goreng kunyit bersama kacang panjang permintaan suami. Mempedal goreng suami beli di bazaar. Sambal belacan aku buat lebih.

Sambal telur hancur.

Ayam goreng kunyit. Aku main campak-campak sahaja. 

Itulah serba sedikit coretan 3 Ramadan kami di perantauan. Menghitung hari mahu balik ke Melaka. Tak sabar sebenarnya. Dua minggu sudah tidak berjumpa dengan mak. Sabarlah duhai hati.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Kisah Ramadan: 2 Ramadan 1440

Assalamualaikum.

Selamat petang.

Semalam masih memasak untuk juadah berbuka. Sampai sahaja rumah terus menyingsing lengan baju. Mujurlah minggu ini boleh ikut suami ke kerja sekali sebab dia kerja pagi. Jadi aku hanya bersantai-santai sahaja pergi dan balik kerja.

Dalam perjalanan balik, kami singgah di Kampung Kurnia untuk beli murtabak. Aku beli sebungkus murtabak cheese. Kemudian meneruskan perjalanan pulang untuk menjemput anak-anak di taska dan sekolah.

Kalau kat Melaka, masak lebih-lebih selalunya bagi jiran tetangga. Tahun ini macam tak berapa nak meriah sahaja rasanya. Jiran tetangga pun tak nampak bayang. Sebulan aku duduk di flat ini orang sebelah belum nampak bayangnya. Pergi balik kerja pintunya asyik tertutup sahaja.

Rindu suasana di Melaka. 
Serius rindu gila!

Kat Melaka, meriah dengan jiran tetangganya. Jiran sebelah yang jadi teman menyembang. Kadang nak jauh sikit untuk hulur-hulur makanan pergilah kat kawan-kawan yang berlainan lorong. Suruh anak-anak hantar.

"Nana, tolong hantar makanan ini ke rumah Aunty Dila."

"Nana, tolong hantar makanan ini ke rumah Aunty As."

Segala macam aunty yang keluar.

Aunty Umi ada.
Aunty Ela ada.
Aunty Amy ada.
Aunty Nor ada.
Aunty Shahrina ada.

Sebut sahaja.
Macam-macam aunty ada.

Kalau jauh dari lorong rumah nanti pergilah dua beradik itu naik basikal. Kalau setakat rumah Aunty Dila, dia orang akan masuk ikut lubang pagar. Hahaha. Daripada lubang kat pagar itu kecil sahaja tapi sampai aku pun boleh masuk ikutlubang itu kalau nak ke rumah sebelah. Malas nak lalu depan. Tapi aku lalu situ masa suami dia tak adalah.

Kadang aku tolong angkatkan kain baju dia orang kat ampaian masa dia orang balik kampung. Bukakan lampu. Tengokkan rumah dia. Tahun ini tiada lagilah suasana sebegitu.

Juadah berbuka semalam. Aku balik goreng sayur, goreng ikan bilis dan masak sambal telur pecah. Kuantitinya semua sikit-sikit.

Kacang panjang goreng.

Ikan bilis goreng kicap. Resipi mak aku. Mak selalu masakkan untuk aku dulu.

Sambal telur pecah permintaan suami.

Sambal belacan juga permintaan suami.

Begitulah coretan untuk 2 Ramadan di perantauan. Hati ini tersangat rindu dengan suasana di Melaka. Terbayang-bayang di ruang mata apa yang aku lakukan pada tahun lepas. Sebak tiba-tiba bila ingatkan. Mohon kawan-kawan doakan agar aku akan kembali ke kampung halaman semula. Bila mak ayah semakin berumur, perasaan mahu duduk dekat dengan mereka sahaja.

Doakan ya. Manalah tahu ada antara doa kalian diangkat lebih-lebih lagi doa dalam bulan Ramadan. Ya Allah, semoga apa yang aku impikan akan dimakbulkan. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Menuju Ke Pejabat

Assalamualaikum.

Selamat pagi.

Ini adalah gambar pagi semalam sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja. Kebetulan minggu ini suami kerja shif pagi jadi dapatlah kami pergi saing ke kerja. Bila suami pelawa mahu menghantar, apa lagi. Aku terus bersetuju. Bagai orang mengantuk disorong bantal. Begitulah.

Bila ada yang menghantar, dapatlah aku mengambil gambar. Selalu bila kena memandu sendiri memang tidak berkesempatan mahu mengambil gambar-gambar permandangan. Tempat baharu haruslah diambil gambarnya sana sini.

Buat kenangan.

Manalah tahu nanti balik Melaka boleh ditatap gambarnya dan berbisik sendiri.

'Aku pernah hidup merantau.'

Inilah jalan untuk aku ke pejabat. Sudah sebulan aku melalui jalan ini. Pada mulanya aku begitu cuak untuk ke kerja sendiri. Sampaikan aku cakap dengan suami aku nak naik grab sahaja ke kerja. Hari pertama memandu sendiri ke kerja, aku ikut belakang suami.

Memang fokus betul waktu itu sebab nak menghafal jalan. Pergi dan balik. Waktu balik aku cubalah guna aplikasi Waze. Mujurlah sekarang ada kemudahan itu. Jadi tidaklah susah hati sangat. Sekarang alhamdulillah, aku sudah menghafal jalan pergi dan balik. Tidak perlu menggunakan waze.

Sikit hari lagi aku mahu belajar untuk ke IKEA pula. Hehehe. Apa-apa pun tempat sendiri juga yang lebih menyeronokkan.  Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Tuesday, May 7, 2019

Sebelum Meninggalkan JKM

Assalamualaikum.

Selamat petang.

Entri kali ini penuh gambar. Aku tak sempat nak simpan dalam komputer kat rumah Melaka. Henfon sudah memberat. Jadi aku titipkan di sini buat kenangan. Sebelum meninggalkan JKM, banyak kenangan manis. Hari-hari terakhir menjadi semakin sebak dan sendu dalam hati ini. 

Mahu tak sebak. 12 tahun aku di JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka). Ada yang lebih 10 tahun aku berkawan. Suka duka dilalui bersama. Itu yang buat hati dihantui pelbagai rasa. Tetapi sudah sampai masanya aku pergi sebab sudah 12 tahun aku di sana. Kena cari suasana baharu dan pengalaman baharu juga walaupun hati tersangatlah berat mahu meninggalkannya.

Ini aku kenal daripada kawan aku di JKM, Myra Mokhtar. Ini kawan sekolahnya, Ezza. Dia minat menulis. Itu yang membuatkan kami berkawan. Dia datang pejabat hantar roti jala beberapa hari sebelum aku berpindah. Terharu sangat.

Ini kawan JKM dan juga kawan setaman. Dia pun sudah berhijrah ke Nilai mengikut suami. Sedih juga sebab dulu anak-anak kita orang duduk transit yang sama. Anak-anak Kak Ela selalu bermain dengan anak-anak aku. Sekarang Kak Ela ini sedang cuti tanpa gaji. Rumah dia sudah disewakan pada orang. InsyaAllah, satu hari nanti kami akan bersatu kembali di taman itu.

Ini geng makan, geng gelak, geng nangis kat JKM. Nak-nak Myra Mokhtar (kanan) tempat aku berkongsi suka duka aku. 

Ini bos Bahagian Khidmat Pengurusan. Puan Cheng Li Siang namanya.

Ini kawan setaman juga tapi dia baru dua tahun kat JKM.

Masa ni sebelum bertolak ke tempat majlis perpisahan.

Ini pula Kak Rehan. Dia sudah bersara. Aku jumpa dia masa pergi kenduri kahwin anak dia tempoh hari. Dapatlah berjumpa dengan dia setelah sekian lama tak jumpa.

Berjumpa dengan CC Habibah dari  STB Sungai Lereh. Kenal dengan CC ni baru lagi tapi kami agak akrab juga. Mungkin sebab selalu tanya pasal kerja.

Ini aku jumpa masa balik Melaka tempoh hari. Jumpa kejap sahaja. Jadilah sebab kesuntukan masa.

Ini sehari sebelum aku ke JB. Dia orang ajak makan tengah hari.

Aku dan Kak Zana. Ini hari terakhir aku di JKM. Dulu ada seseorang kata muka kita orang sama. Entah mana samanya.

Ini geng BKP.

Aku dan Maziana. 10 tahun lebih dengan dia di JKM.

Kakak-kakak kerani yang uruskan perkhidmatan.

Gambar ini guna kamera Kak Zana.

Masa Kak Zana whatsapp, dia kata.

"Gambar ini samar macam tahu-tahu hati pun tengah samar."

Macam itulah katanya. Ingat-ingat lupa ayat-ayatnya.

Bergambar beramai-ramai sebelum aku pulang dan menangis petang itu. Petang itu penuh dengan tangisan. Tangisan perpisahan. Perpisahan yang membolehkan kita untuk bertemu lagi. Perpisahan itu menyakitkan lebih-lebih lagi perpisahan yang tidak akan bertemu sampai bila-bila.

Ramadan pertama tanpa Obek Nah. 
Al-fatihah buat mereka yang telah pergi.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim