Thursday, September 27, 2018

Pengasuh Dari Neraka - Suhaila Sharif

Assalamualaikum.

Selamat petang semua.

Petang ini aku akan kongsikan sedikit sedutan yang terkandung dalam buku anekdot yang akan diterbitkan tidak lama lagi. Sekali lagi seramai sepuluh orang penulis bergabung dalam naskhah ini sama seperti buku sebelumnya iaitu Pok Pek Pok Pek Mak-maklah sangat. Kali ini enam orang penulis akan menampilkan anekdot mereka tentang pengasuh dan empat orang penulis menampilkan cerpen yang berkaitan dunia pengasuh.

Cerpen berjudul Boyak karya Suhaila Sharif.

Emak akan mengalu-alukan kedatangan saya dengan senyuman manis yang dibuat-buat. Beria-ia menyambut saya daripada dukungan mama. Meletakkan hidung peseknya di pipi gebu saya bertubi-tubi seakan-akan rindu benar rupanya, tanpa menghiraukan aroma saya yang kadang-kadang harum mewangi dan kadang-kadang tengik masam bahana lampin yang tidak sempat disalin mama.

Selepas emak menyambut bakul yang berisi keperluan saya daripada tangan mama, giliran mama pula mengucup pipi saya. Arghh! Pasti tercalit gincu mama di pipi mulus saya. Mama berlalu pergi selepas mencubit-cubit pipi saya dan bertukar-tukar senyum dengan emak.

Sebaik sahaja kereta papa hilang daripada pandangan, barulah muncul laku emak yang sebenar. Saya diletakkan dengan agak kasar di atas tilam berhampiran sofa ruang tamu. Senyuman dan wajah manisnya tadi hilang serta-merta. Televisyen memang sudah sedia terpasang untuk tontonan saya sepanjang hari.

Jika berminat dengan naskhah ini, bolehlah menghantar pesanan pada saya melalui whatsapp 017-6741270 atau ke emel saya alfidah83@gmail.com. Naskhah ini dijangka diterbitkan pada pertengahan Oktober ini.

Salam pena,
Fyda Adim