Friday, April 3, 2020

Aktiviti Sepanjang Duduk di Rumah

Assalamualaikum.

Selamat tengah hari.

Salam Jumaat buat semua. Jumaat ketiga kita berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan dan ini bermakna sudah tiga kali Jumaat tiada solat Jumaat. Sebak menghimpit dada. Terasa lain sekali suasananya.

Allahu.

Semoga keadaan ini cepat-cepatlah berakhir. Setiap kali selesai solat, air mata pasti tumpah. Mengenangkan semua. Sudah tidak ada kata-kata yang mampu diungkapkan selain daripada bersujud dan berdoa kepada Allah.

Hari ini sudah 17 hari kiranya aku dan anak-anak duduk di rumah. Aku memang tidak keluar langsung. Urusan membeli barang dapur diuruskan oleh ketua keluarga kami. Aku hanya menyenaraikan barang-barang yang mahu dibeli. Mujur waktu mahu membeli barang dapur memang sudah sampai waktu kami membeli barang bulanan. Tiada istilah belian panik pada kami. Beli yang betul-betul mahu dimasak dan diperlukan saja.

Jadi, sepanjang tempoh berada di rumah aku memang akan memasak. Anak-anak memang suka makan lebih-lebih lagi Ammar. Jadi aku perlu memasak untuk mereka. Awal pagi sudah menanya.

"Mama masak apa hari ini?"

Adakalanya tak sempat tunggu hari esok, soalan sudah dilontarkan di malam hari. Jadi kerja aku untuk menyediakan juadah untuk suami dan anak-anak.

Hikmah PKP ini, dapat memasak untuk keluarga. Jika hari kerja, pulang ke rumah sudah kepenatan. Penat fizikal. Penat mental. Sudahnya, diangkut semuanya ke kedai mamak. Ada masanya, cuba-cuba juga masak. Melawan kepenatan yang ada.

Sebelum ini, bawang sampai busuk dibuatnya. Sekarang bawang sampai tak cukup sebab hari-hari memasak. Kalau difikirkan kita berada dalam tertekan, fikirkanlah ini sebahagian hikmahnya.

Adakah kita terlampau leka mengejar dunia luar hingga tidak mengendahkan yang di depan mata. Semuanya ada hikmah. Bersangka baik.

Aku kongsikan gambar masakan sebagai kenangan buat diri sendiri. Akan datang, panjang umur boleh dikenang bahawasanya aku pernah melalui fasa sebegini. Fasa yang tidak pernah terlintas dek akal fikiran. Terus terkenangkan zaman atok nenek kita yang berkurung waktu zaman Jepun.

Sepatutnya, kita dikira bersyukur. Masih ada makanan yang boleh dimakan. Ada juga siaran televisyen yang pelbagai. Ada juga teknologi canggih yang boleh berhubung.

Permintaan suami nak char kuetiau dan aku buatkan bubur jagung sebagai pencuci mulut.

Mi basah. Ada kuetiu lebih aku campur sekali.

Ketam masak lemak, kubis masak tomyam dan tempe goreng.


Menu sardin dan paru goreng sambal.

Nasi goreng sardin yang dimasak untuk sahur.

Sarapan yang ringkas.

Sardin lagi. Satu lauk saja masa ini.

Maggi goreng campak-campak saja bahan yang ada.

Nasi goreng sardin lagi.

Anak perempuan suruh buatkan marshmallow coklat.

Kurma telur.

Kerang ala Thai.

Ini pula roti john.

Itulah serba-sedikit menu kami. Semuanya makan biasa-biasa. Tak ada makan mewah pun. Kalau orang cakap ketam mewah kami makan sesekali. Ini pun ada kawan jual murah. Bersyukurlah dengan rezeki yang kita ada. Jangan usah iri hati dengan rezeki orang.

Semoga kita sentiasa terpelihara iman dan juga terpelihara dalam berkata-kata. Tulis baik-baik dan berkatalah yang baik-baik juga. Jika tidak mampu untuk berkata yang baik-baik adalah lebih baik kita berdiam saja daripada melukakan hati orang.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


2 comments:

Warisan Petani said...

Sedap2 menunya

SalbiahM said...

Alhamdulilllah, walaupun sekadar duduk rumah tapi rezeki makanan masih cukup. semoga covid19 akan pulih sebab ramai yang hilang mata pencarian di luar sana