Wednesday, March 13, 2019

Hijrah Itu Satu Permulaan

Assalamualaikum.

Selamat pagi.

Semoga perjalanan hari ini dan hari-hari akan mendatang dipermudahkan. Aku kini sedang sibuk mengemas barang-barang walaupun dalam erti kata lain baru susun-susun beg baju dan kotak-kotak yang aku ambil daripada kedai depan rumah.

Sebenarnya, tak tahu nak mula daripada mana sesi mengemas ini. Hati sendu kerana aku akan meninggalkan bumi Melaka dan berhijrah ke Johor Bahru. Perjalanan penghijrahan ini tidak pernah terlintas langsung dalam kepala.

Sedih menghantui sejak menerima tarikh kuatkuasa pertukaran aku. Sedihnya sebab mahu tinggalkan Melaka.

Nak tinggalkan mak ayah.
Nak tinggalkan keluarga.
Nak tinggalkan rumah.
Nak tinggalkan kawan-kawan rapat.

Permohonan aku dibuat sejak Januari. Tiga kali juga buat surat atas sebab-sebab tertentu. Syukur juga Allah permudahkan sebab aku tidak menunggu lama untuk berhijrah ke Johor Bahru dan tinggal bersama suami.

Kami akan kembali berempat walaupun sebenarnya harapan aku suami yang akan bertukar balik ke Melaka tetapi apa yang diharapkan olehku tidak menjadi kenyataan. Aku dan anak-anak yang akan bertukar ke sana. Berat hati sewaktu mahu membuat keputusan namun pengorbanan perlu dilakukan sekali lagi. Demi suami dan anak-anak.

Setiap apa yang telah direncanakan oleh Allah adalah yang terbaik untuk kita. Aku perlu kuat dan tabah untuk berhijrah ke tempat baharu walaupun diri ini sedang dihantui pelbagai rasa.

Ada suka.
Ada juga duka.

Beg baju dan beberapa kotak yang telah aku susun untuk diisikan barang-barang. Walaupun tidak semua barang yang aku nak bawa tapi pening juga bab-bab mengemas ini.

Semoga penghijrahan ini akan memberikan seribu satu kebaikan dan hikmah pada kami sekeluarga. Doakan aku dan anak-anak akan serasi di tempat orang. Semoga perjalanan penghijrahan ini akan memberi pengalaman baharu dan manis pada aku dan anak-anak.

Marilah cari hikmahnya.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim

1 comment:

as samsudin said...

InsyaAllah ada manisnya...