Tuesday, May 7, 2019

Outing Bersama Geng Lari

Assalamualaikum.

Selamat tengah hari.

Sudah hari kedua Ramadan. Alhamdulillah. Kita patut bersyukur kerana masih diberikan kesempatan untuk merasai Ramadan lagi. Entri kedua untuk hari ini. Memandangkan aku sudah siap-siap dalam draf tempoh hari, jadi aku tuliskan juga di sini untuk kenangan.

Memandangkan tempoh hari aku akan berpindah ke JB, jadi dua orang kakak ini ajak keluar melepak. Sesi bonding kiranya. Sedih tau aku nak tinggalkan mereka tapi ada yang lebih penting perlu didahulukan. Yelah, mereka antara penghibur yang aku ada.

Jadi, malam sabtu kami keluar melepak di warong untuk makan sup. Memandangkan aku kena angkut askar aku dua ketul itu, aku hantar ke rumah mak kejap. Kita orang jumpa adalah dalam setengah jam saja. Begitulah gaya mak-mak kalau keluar. Kadang makan pun macam tak kunyah dan ada masa nak tercekik sebab mengenangkan yang ditinggalkan di rumah.

Kami bertiga di kedai makan. Lepas makan, aku pusing jemput anak-anak dan kita orang ke Dataran MBMB semata-mata nak bergambar. Sudahlah malam itu siap ada dress code bagai nak keluar. Aku memula dah siap pakai baju lain sekali kawan aku yang sorang suruh pakai tudung pink baju hitam. Ehhhh. Nak tak nak aku tukarlah juga. Apa salahnya untuk meraikan permintaan orang kan. Bahagia orang lain, insyaAllah kita juga turut bahagia.

Gambar ini anak aku yang sulung tolong tangkap. Mujur bawa dia senang nak suruh ambilkan gambar.

Gigih tak kami bertema bagai.

Aku suka sangat gambar ini. Nampak macam adik-beradik. Maklumlah aku tak ada adik-beradik perempuan, jadi kalau kawan-kawan perempuan yang rapat dengan aku memang aku suka. Yang penting aku bongsulah. Hahaha.

Gambar ini pun aku suka.

Seboleh-boleh nak muatkan muka.

Yang tengah itu nampaknya konker.

Yang sebelah kiri itu memang suka bergambar. Kalau tengok IG dia memang kreatif cara dia bergambar. Pastu dia letaklah caption sweet-sweet.

Lagi gigih bila bergambar gaya begini. Siap duduk atas rumput di tengah-tengah khayalak ramai.

Gambar-gambar ini akan menjadi kenangan. Memori ini akan tersemat dalam hati. Akan datang boleh imbau kembali gambar-gambar ini. Walau terpisah jauh, semoga hati kita tidak turut terpisah. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Larian MBMB Bersama Mereka

Assalamualaikum.

Hai.

Ini larian terakhir yang aku turut serta di Melaka sebelum aku berpindah ke JB. Dapatlah aku lari dengan suami dan anak-anak serta geng lari aku sendiri. Tarikhnya sudah aku lupa. Kalau tak silap 23 Mac 2019. Awal pagi kami sudah keluar walaupun pagi itu sebelum keluar kita orang agak kalut dengan anak bulu yang terberanak. Anak dia tiba-tiba boleh keluar daripada sangkar.

Jadi uruskan dulu anak-anak bulus, barulah kita orang gerak ke Banda Hilir. Masa itu geng aku semuanya sudah sampai di Banda Hilir. Dia orang dah whatsapp tanya kat mana. Lagi bertambah kalut aku dibuatnya. Mujurlah kita orang sampai sebelum acara bermula.

Sebelum bermula, aku sempat berposing.

Inilah permulaannya.

Sempat bergambar dulu sebelum mulakan larian.

Macam-macam gaya kalau nak bergambar. Orang yang tukang amik belum satu hal. Orang belum ready sudah disnapnya.

Aku berialah pakai jam ini. Larinya main-main.

Budak ini sampai dulu dengan apaknya. Aku dan Nana sampai lambat.

Inilah medal kita orang semua.

Aku dan pak encik. Perginya sama. Larinya dia tinggal aku.

Seperti biasa bila sudah habis haruslah photoshoot.

Entah apa yang tiga orang ini sedang berbincang. Bukan main serius wajah masing-masing.

Kami empat beranak.

Lepas lari marilah kita mencekik. Dapatlah nasi sorang satu. Sedap pula itu.

Gambar kami yang semenggah sikit.

Posing daripada empat orang bini orang.

Inilah lelaki-lelaki yang ada dengan kami hari itu.

Kemudian kami panjat Bukit St. Paul. Sempatlah aku posing tiga beranak.

Aku suruh laki aku posing. Apa gaya posingnya begitu.

Sebelum pulang, satu kali gambar dengan mereka. Rindu mahu begini. Entah bila berpeluang untuk begini lagi. Setahun kami berkongsi hobi yang sama. Lari yang menyatukan kami. Lari juga yang memesrakan kami. Lari juga yang memanjangkan ukhwah kami. Semoga persahabatan kami tetap utuh. Selain lari, kami berkongsi minat pada drama dan artis. Itu sahaja modal yang selalu disembangkan di dalam grup whatsapp.

Itu sahaja entri pagi ini. Baru datang mood menulis di tempat baharu. Semoga aku kembali normal. Bila aku kembali menulis itu namanya emosi aku kembali stabil. Hahaha. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim

Monday, May 6, 2019

Kisah Ramadan: 1 Ramadan 1440

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Walaupun berada di perantauan, aku masih berpeluang untuk menulis blog ini. Mula-mula sampai memang agak kalut sedikit. Sudahlah Unifi kena potong sebab kawasan tempat aku tinggal tiada coverage untuk Unifi TV. Kemudian data telefon hanya 10GB. Memang tidak mencukupi.

Alhamdulillah, minat aku masih mampu diteruskan di sini. Jadilah untuk mengubati kesedihan hati yang jauh dari kampung halaman. Memang tahun ini banyak yang berlaku. Banyak yang berubah. Jauh sekali berubahnya.

Panjang sangat mukadimah aku malam ini. Nak cerita menu untuk hari pertama berpuasa. Alhamdulillah. Masih diberi peluang untuk menyediakan juadah untuk suami dan anak-anak.

Suami menyoal, "Awak seronok tak nak berpuasa dengan saya?"

Apa tak seronoknya. Tiga tahun duduk jauh baru kali ini kami merasa untuk berpuasa sama-sama lagi. Tapi lebih seronok kalau kita berpuasa kat Melaka. Apa yang dirancang semuanya tidak menjadi. Perancangan Allah itulah yang terbaik. 

Menu kami untuk hari pertama Ramadan. Kari ikan siakap dan kobis masak lemak putih.

Kobis masak lemak putih cara aku. Campak-campak sahaja.

Ini pula kari ikan siakap.

Alhamdulillah atas nikmat yang diberikan Allah. Suatu hari nanti sirih akan pulang ke gagang. Mudah-mudahan Allah bantu. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Sebulan Sudah Di JB

Assalamualaikum.

Hai.

Pejam celik sudah sebulan aku dan anak-anak di Johor Bahru. Kami masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dengan keadaan di sini. Betul kata peribahasa, 'Hujan emas di negeri orang, orang batu di negeri sendiri.' Aku ini memang jenis orang yang kalau merantau memang akan homesick. Dari dulu lagi. Dari zaman belajar memang macam itu. Dulu belajar kat Perak tiap minggu aku balik Melaka. Kerja kat Putrajaya pun aku balik tiap minggu. 

Ini mujurlah aku ada suami dan anak-anak. Kalau aku sorang memang tak tahu nak cakap. Ada hari-hari berendam air mata. Maklumlah dah biasa keluarga depan mata. Keluarga dekat. Bila berjauhan akan terasa lainnya.

Inilah rupa kereta aku masa nak bertolak ke JB.

Mak whatsapp masa aku beritahu nak bertolak.

"Selamat jalan along."

Aku balas, "Bye mak. Nanti along balik. Mak doakan along tau."

Aku dah bergenang-genang air mata masa balas mesej mak aku. Dulu masa aku belajar kat Ipoh, ada satu tempoh aku lama tak dapat balik Melaka sebab petang jumaat ada kelas. Sampai aku jatuh demam. Aku suruh mak aku datang Ipoh. Elok kejadiannya bila mak aku datang sana.

Sampai JB, malam itu kita orang pergi beli barang dapur.

Hari pertama aku masak di rumah sewa. Nasi lemak dan kawan-kawannya.

Petang itu, kami keluar ke IKEA.

Dapatlah aku makan meatball.

Inilah suasana IKEA Tebrau.

Suami aku belanja makan meatball sebab dia tengok aku dok kemurungan saja di tempat baharu.

"Kenapa mama asyik nangis?"

"Mama homesick."

Betapa kecilnya dunia ini bila Adriana terserempak dengan kawan sekolahnya dari Melaka di IKEA. Ini pun aku boleh jadi sebak.

Hari pertama anak-anak mula bersekolah. Pagi itu aku buatkan sarapan sebab aku masih lagi bercuti. Dua hari aku uruskan anak-anak sebelum aku pula mulakan kerja.

Adriana dan Ammar. Sedih juga ini sebab dia orang sudah berpisah waktu sekolah. Sudah tidak sama sesi persekolahan mereka. Banyak benda baharu yang kena kami tempoh.

"Ma, tahun ini macam-macam yang jadi. Nana baru jadi pengawas kita dah kena pindah. Sekolah agama Nana dapat jadi penolong ketua kelas, Nana dapat masuk sukan kat sekolah pagi."

"Tak apalah Na. Tak ada rezeki. Rezeki Nana sampai situ saja. Kadang-kadang kita kena lepaskan benda yang kita suka."

Dalam hati mama serasa mahu menangis.
Allah.
Hati ini seringkali sahaja mahu merintih.

Hari pertama aku melapor diri di tempat baharu.

Suasana tempat baharu.

Ammar dengan baju baharunya.

Waktu ini kami ke AEON Tebrau.

Aku dan anak-anak.

Sendiri. Gambar ini suami yang tolong ambil.

Gaya aku dan Ammar.

Berposing dengan suami.

Waktu ini aku beriadah di Laman Tasik Pandan.

Anak-anak seronok.

Begitulah serba-sedikit cerita aku dan anak-anak sewaktu mula sampai di Johor Bahru. Anak-anak sudah mula mendapat kawan baharu. Aku pun alhamdulillah sudah ada kawan baharu. Semoga kami dapat mengumpul kenangan manis di tempat orang walaupun masih mengenang tempat sendiri.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim.

Ramadan Tiba Lagi

Assalamualaikum.

Hai.

Selamat berpuasa buat semua kenalan di sini. Ramadan tiba lagi. Ramadan yang dirindui. Ramadan bulan beribadah. Ramadan bulan penuh kerahmatan. Ramadan bulan pengampunan. Ramadan juga bulan kebebasan. Semoga Ramadan kali ini menjadikan kita insan yang lebih baik daripada sebelumnya. Menjadikan kita insan yang lebih beramal ibadah.

Tahun ini Ramadan aku di perantauan. Berjauhan dengan keluarga (mak, ayah dan adik-beradik) namun aku dapat berpuasa dengan suami setelah 3 tahun kami menjalani kehidupan sebagai pasangan jarak jauh. Hati terasa sayu sebenarnya. Dekat dengan suami tetapi berjauhan dengan keluarga. Kalau dulu dekat dengan keluarga namun jauh dengan suami pula.


Allah berikan sesuatu mengikut keperluan kita bukan mengikut kehendak kita. Adakalanya, sesuatu perkara yang kita suka belum tentu yang terbaik buat diri kita. Jadi kita seharusnya mengikuti sahaja perjalanan hidup ini dengan hati yang tenang dan berlapang dada. Semoga Allah permudahkan urusan aku dan keluarga di tempat orang.

Doa untuk pindah ke Melaka tidak pernah putus. Doa itu sentiasa tersemat dalam setiap sujudku. Semoga akan ada sinar dan pengakhiran yang manis untuk kami sekeluarga. Aamin. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Thursday, May 2, 2019

Mei Membuka Tirai

Assalamualaikum.

Hai semua.

Mei membuka tirai. Tiga hari lagi kita bakal bertemu dengan Ramadhan. Semoga kita diberi peluang untuk bertemu dan menjalani ibadah dengan sempurna sepanjang bulan Ramadhan nanti. Semoga kita diberi kesihatan yang baik sepanjang Ramadhan.

Dua puluh lapan hari aku dan anak-anak berhijrah ke bumi Johor Bahru. Melaka kami tinggalkan dengan penuh kesedihan. Demi tuntutan di bumi ini kami melangkah dengan pelbagai rasa di hati.

Allahuakbar.

Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan yang aku lalui sekarang ini. Penghijrahan ini tidak pernah sesekali terlintas dalam kepala. Tidak pernah sama sekali. Tak mengapa. Aku harap ini hanyalah sementara. Semuanya akan kembali asal suatu hari nanti.

Tak perlu diperjelaskan rasa ini. Orang kata dah tinggal sebumbung dengan suami sedih lagi? Hal itu memang tidaklah sedih. Yang menjadi sedih bila berjauhan dengan mak ayah. Bayangkan hampir 13 tahun duduk di Melaka, tinggal berdekatan dengan mak ayah selepas aku dapat tukar dari Putrajaya itu yang menambah sebak di dada.

Allah Maha Mengetahui.

Selagi terdaya berdoalah agar kami empat beranak akan kembali ke buni Melaka. Di situ semuanya ada. Mana mungkin aku lupakan.

Panjang sangat mukadimah aku. Itu yang malas nak mula menulis mesti panjang lebar akan terluah daripada isi hati.

Sempena cuti Hari Pekerja, kami menghabiskan masa empat beranak. Dari pagi sampai ke malam tidak berhenti dengan bermacam aktiviti.

Sebelah pagi kami beriadah di Laman Tasik Pandan.

Usai beriadah kami pulang ke rumah dan bersiap untuk membeli barang basah. Balik membeli aku sibuk di dapur untuk prep barang-barang basah.

Malam itu aku masak makaroni sup bersama cili kicap.

Inilah makaroni sup bersama cili kicap.

Begitulah pembuka Mei aku dan keluarga di perantauan. Sesungguhnya hati ini tersangatlah sayu bila Ramadan semakin menghampiri. Aku harap akan ada keajaiban yang berlaku untuk kami pulang ke kampung halaman kami semula.

Ingin menulis?

Namun tiada masa?

Aku ada tawarkan perkhidmatan menulis (Ghostwriter) dengan kadar yang berpatutan. Semoga aku akan peroleh semangat di tempat orang.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim