Sunday, May 20, 2018

Majlis Hari Lahir Nayli Dan Dania

Assalamualaikum.

Selamat tengah hari semua.

Mac hari tu adalah hari ulangtahun kelahiran anak buah aku si Nayli Firzanah. Anak buah yang selalu ikut aku kekadang tu. Jadi adik aku bercadang nak buat makan-makan sikit. Jemput ahli keluarga rapat aje. Sebelah kita orang dan sebelah adik ipar. Majlisnya sebelah petang lepas asar. Aku ke Muar dulu sebab ada jemputan perkahwinan anak CC Noraini.

Selesai urusan di Muar, kita orang terus balik Melaka. Tak balik rumah pun terus ke rumah mak. Masa tu dah petang juga dalam jam dua lebih macam itu. Tak ada apa nak dikejar pun sebab makanan adik aku cuma order dengan kawan dia. Jadi tak adalah huru-hara nak masak bagai. Kita orang cuma buat persiapan untuk candy booth.

Kebetulan hari lahir Nayli sama dengan hari lahir sepupu sebelah uminya. Jadi memang buat sekali untuk budak berdua tu. 

Genap usia mereka enam tahun.

Candy booth hasil adik dan adik ipar aku. Tema minnie mouse.

Menu hari tu mee ayam, sate dan nasi impit.

Ini meja candy. Kanak-kanak suka orang tua pun suka.

Macam biasa ini geng yang meriuhkan suasana. Aku suami, dan anak-anak buah.

Penuh rumah mak aku.

Cantik dan sedap kek ini.

Sesi memotong kek.

Bukan selalu dapat bergambar kiri kanan lelaki. Haha. Aku, suami dan anak buah. Aku panggil anak buah aku tu Sufi Kyle (baca: Syafiq Kyle).

Aku dan ayah.

Lama tak bergambar dengan ayah. 

Sebelum pulang, haruslah bergambar beramai-ramai. Macam biasa tak cukup korum sebab anak buah aku lagi sorang, sekeluarga tak balik. Jadi kita orang hanya mampu mengetag dia gambar di laman muka buku mahu pun di Instagram buat dia terbakar hati. Haha. Bengang aje dia.

Itu sahaja titipan yang boleh disandarkan sebagai kenangan. Adakalanya masa begini bersama keluarga dan sedara-mara adalah sesuatu yang sangat berharga. Jadi gunakanlah selagi boleh. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Color Run A'Famosa

Assalamualaikum.

Entri kedua untuk hari ini. Aku join larian lagi. Kejadiannya pada 16 April 2018. Kebetulan cuti umum Melaka Bandaraya Bersejarah. Mujurlah isnin tu cuti. Jadi tak kisahlah nak larian macam mana masa ni sebab esok cuti. Jadi bolehlah beristirehat. Oleh sebab larian ini jatuh pada hari Ahad. Anak-anak aku hantar ke rumah mak.

Seperti biasa, janji dengan dia orang lepas aje mama lari mama datang jemput kat rumah nenek. Terpaksalah kejap. Kebetulan jiran selang satu buah rumah dari rumah aku pun ikut serta larian ini, jadi aku tumpang dia aje ke A'Famosa Alor Gajah.

Geng larian aku sorang aje yang ikut. Sorang lagi macam biasa tak dapat ikut sebab ada kelas. Jadi tak cukup korumlah kita orang. Larian ni sejauh 6km. Gigihlah aku berlari.

Race kit yang kawan aku dah ambilkan.

Jiran aku yang sebelah kiri.

Selesai berlari. Memang habislah baju dan tudung sebab dia orang baling warna. Jenuh jugaklah aku mengelak daripada terkena warna.

Selesai sudah. Alhamdulillah. Tapi kali ni terasa sengal kaki sebab dah lama berhenti berlari.

Inilah Kak Zana. Salah seorang geng lari.

Seperti biasa, dah penat-penat berlari haruslah berswafoto bagai.

Berswafoto lagi dengan isteri officemate kita orang.

Selagi belum balik selagi itulah kita orang bergambar.

Tengoklah tudung dengan warna bagai. Kononnya aku balik nak terus keluar rumah terpaksalah menyalin baju bagai. Takkan nak bawa anakanda berdua jalan dengan rupa itu.

Ini rupa medalnya. Tak puas hati sikit dengan medal run ini. Bayar boleh tahan mahalnya tapi medalnya ala kadar aje. Cantik lagi medal yang kita orang tak payah bayar. Banyak pulak komplennya kan. Kiranya ini medal keempat aku untuk tahun ini. Ada lagi satu cerita larian aku ikut serta sebelum puasa. Nanti aku kongsikan.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Pok Pek Pok Pek Sebuah Karya Mak-Mak Laa Sanggattt

Assalamualaikum.

Selamat pagi ahad.

Sekejap sudah masuk 4 Ramadhan. Sekarang masa berlalu dengan begitu pantas sekali. Baiklah, entri ini aku ingin kongsikan buku pertama aku untuk tahun ini. Sebuah buku anekdot yang menghimpunkan 10 orang penulis. Setiap penulis ada berkongsikan 20 buah anekdot. Sebuah karya mak-mak yang ada kisah mak yang pjj (perhubungan jarak jauh), ada kisah mak mentua, ada kisah pengasuh, ada kisah mbak dan macam-macam lagi kisahnya yang bakal membuatkan kalian tersenyum dan terhibur tatkala membaca naskhah Pok Pek Pok Pek.

Ini bukan naskhah membawang. Ini anti membawang walaupun judulnya seakan mahu membawang. Dalam naskhah ini walaupun ada makcik-makcik tapi bukanlah edisi makcik bawang ya. Haha. Ini bawang holand agak terhad.

Inilah rupa buku anekdot pertama aku untuk tahun ini.

Kisah-kisah yang terdapat dalam naskhah itu.

Setiap permulaan anekdot akan terselit gambar. Ini gambar kami empat beranak.

Aku berkongsikan kisah anekdot perihal perhubungan jarak jauh selama tiga tahun. Kiranya ini sebagai kenangan.

Cenderahati yang pertama untuk pembeli. Fridge magnet.

Cenderahati kedua. Penanda buku.

Ini pula voucher daripada rakan penulis yang menjalankan perniagaannya agar-agar ville. Sumbangan daripada Husna.

Sesiapa yang berminat mahu mendapat naskhah berkenaan bolehlah hubungi saya selagi stok masih ada. Boleh juga jadikan naskhah tersebut sebagai hadiah untuk mak-mak yang bergelar isteri. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



Saturday, May 19, 2018

Masa Untuk Drama

Assalamualaikum.

Selamat malam. 

Sudah selesai berterawih? Alhamdulillah. Masih diberi kesihatan yang baik untuk melakukan terawih. Tak kisahlah. Kalau sempat boleh berjemaah di masjid kalau tidak boleh terawih di rumah saja. Asalkan kita buat sebab solat terawih ini hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Jangan lepaskan peluang keemasan ini.

Mula awal bulan hari tu banyak drama-drama yang best ditayangkan di televisyen. Aku sempatlah ikut beberapa drama yang menarik itu. Kalau tak sempat menontonnya di televisyen, aku akan menonton secara online.

Mujurlah internet di rumah sudah laju sejak menggunakan UNIFI. Kalau tidak memang mereput tunggu dia loading cerita. Itu sebab dulu aku agak malas nak tulis blog. Nak upload gambar sudah makan masa. Nak menyusun ayat lagi. Ish memang sudahnya aku tutup sahaja komputer.

Hasil carian imej untuk drama nur
Drama Nur lakonan Syafiq Kyle dan Amyra Rosli yang aku tunggu-tunggu. Sudah mula ditayangkan di televisyen mulai 14 Mei 2018. Aku memang ikut dari awal cerita ini.

Hasil carian imej untuk drama cinta fatamorgana
Cinta Fatamorgana pun aku ikut awalannya. Tapi sejak episod kebelakangan ini yang tak boleh diterima dek akal aku berhenti ikut drama ini. Babak yang Huzair rebut dan bawa lari bini orang dan Rifqi macam tak ada ambil apa-apa tindakan. Aku memang tak boleh cerna babak tu. Sudahnya aku berhenti tengok. Haha. Aku suka tengok cerita yang santai dan tak memberat sehingga menganggu emosi penonton.

Hasil carian imej untuk drama klik pengantin musim salju
Pengantin Musim Salju aku baru tengok sampai episod 3. Pelakon drama ini hero heroinnya pun kegemaran aku. Gandingan Siti Nordiana dan Alif Satar kira serasilah. Aku ikut mereka sejak drama Dia Semanis Honey.

Hasil carian imej untuk bila aidil ada fitri
Bila Aidil Ada Fitri. Drama ini agak komedi cinta. Memang lawak. Sejak tengok episod 1 sudah boleh meneruskan ke episod seterusnya. Drama begini aku suka sebab kita terhibur. Boleh gelak-gelak. Pandai juga Siti Saleha berlakon.

Hasil carian imej untuk pelangi cinta 100 plus
Pelangi Cinta drama pendek. 10 minit saja. Aku dan kawan aku gigihlah tengok sebab ada Syafiq Kyle. Haha.

Hasil carian imej untuk rahsia hati perempuan
Rahsia Hati Perempuan belum sempat tengok tapi mesti tengok sebab ada Mira Filzah dan Hisyam Hamid. Selalu aku suka tengok drama berdasarkan siapa para pelakonnya.

Hasil carian imej untuk bila hati kau curi
Halalkan Hati Yang Ku Curi akan menggantikan Cinta Fatamorgana. Aku rasa drama Cinta Fatamorgana aku akan tengok episod akhir aje. Nak tahu ending saja. Lain episod tak mahu tengok. Punya emosi. Kadang kalau sudah masuk babak yang tak masuk akal memang aku berhenti tengok. Macam drama Kekasih Paksa Rela. Aku suka menonton drama tu sebab ada Remy Ishak. Tapi bila babak peluk sudah terlampau-lampau aku tak tengok pun. Aku terus tunggu ending cerita aje.

Begitulah. Dalam pada sibukkan hal dunia jangan dilupakan hal akhirat juga. Lebih-lebih lagi pada bulan yang mulia ini. Sama-samalah kita melakukan ibadah sebaik mungkin. Semoga apa yang kita lakukan akan diterima oleh Allah swt. 

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Kisah Ramadhan: 2 Ramadhan

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Pasti semuanya sudah selesai berbuka puasa. Alhamdulillah. Jangan makan terlampau kenyang. Nanti tak larat nak berterawih pula. Entri kali ini nak berkongsikan menu berbuka puasa untuk hari kedua Ramadhan.

Semalam, aku sudah kerja. Anak-anak pula sekolah. Suami sahaja yang bercuti. Dalam tengah hari suami sudah bertanya mahu masak apa berbuka nanti. Aku yang belum sampai ilhamnya sekadar jawab belum tahu.

Kemudian suami buat permintaan mahu makan nasi tomato. Mujurlah bulan puasa aku balik awal. Aku pilih untuk balik jam empat petang. Memang tiap kali bulan puasa sejak jadi isteri pjj ni aku balik awal. Yelah, nak kejar jemput anak-anak di sekolah agama. Mana nak kejar masak. Kadang memang tak terkejar. Haha. Jadi kita berjalan ajelah.

Jadi semalam aku berjayalah menyiapkan juadah berbuka dalam masa dua jam. Huru-hara juga dapur jadinya.

Menu yang aku siapkan semalam. Suami nak paru goreng sambal juga. Tak apa kita layankan sebab dia ada hujung minggu aje. Hari lain dia jadi orang perantauan. Kesian. Haha.

Nasi tomato.

Ayam masak merah.

Paru goreng sambal.

Jelatah yang suami buat. Aku bagi arahan aje sebab dah tak kecukupan kaki dan tangan.

Papadom.

Akhir sekali, butterscotch puding roti untuk pencuci mulut. Suami suka puding roti jadi bila puasa aje yang aku rajin nak buat. Haha. Perangai sangat. Dah lama tak segigih ni masak-masak kat dapur. Selalu masak yang biasa aje. Betul orang kata, aura bulan puasa lain macam. Semangatnya ada saja. Bulan puasa sempat aje nak mengaji walaupun kebelakangan ini aku terasa macam banyak benda nak buat. Semoga dipermudahkan urusan aku untuk menguruskan suami dan anak-anak lebih-lebih lagi bila sewaktu berjauhan dengan suami. Amin.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Kisah Ramadhan: 1 Ramadhan

Assalamualaikum.

Salam Maghrib.

Sudah siapkah juadah berbuka? Alhamdulillah. Kita sudah ke penghujung hari ketiga Ramadhan. Semoga semuanya berjalan lancar dari sudut kesihatan dan amal ibadah. Seperti saban tahun, aku suka berkongsi menu berbuka puasa. Sekadar berkongsi untuk tatapan sendiri dan mungkin boleh membantu korang mendapat idea untuk memasak pula.

Hari pertama Ramadhan, warga Melaka cuti umum sempena sambutan bulan Ramadhan. Jadi tak ada masalah nak memasak sebab hari cuti. Macam biasa waktu aku masuk ke dapur dalam jam lima petang.

Menu berbuka puasa kami untuk hari pertama.

Sayur kacang panjang goreng.

Ikan bilis goreng.

Sambal sardin.

Perut masak lemak cili padi.

Pencuci mulut pula koktel. Makan sejuk-sejuk memang best lalu kat tekak.

Itulah menu untuk hari pertama Ramadhan. Nanti rajin aku kongsikan resipi untuk buat koktel sebab ada yang minta resipinya. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim