Showing posts with label Cerita Seorang Kakak Kerani. Show all posts
Showing posts with label Cerita Seorang Kakak Kerani. Show all posts

Thursday, March 7, 2019

Menanggung Kerja Part 2


Hari Pertama



Hari pertama aku sampai pejabat sahaja aku terus campak beg atas meja dan terus meluru ke bilik PA. Berdebar-debar. Sebaik aku melangkah ke dalam bilik PA, aku perhati atas meja. Berlambak surat-surat atas meja. Aku duduk sebentar. Pandang atas meja. Kemudian aku petik suis untuk hidupkan komputer. Dalam kepala memikirkan nak buat apa.

Sebaik komputer sudah terpasang, aku pandang lagi surat-surat di atas meja. Berkata-kata di dalam hati.

'Mana aku nak mula dulu?'

Aku lost dan blur. Aku dengan perangai sebegitu berpisah tiada. Semedang nak lost. Semedang nak blur. Perlahan-lahan aku belek surat-surat atas meja dan aku susun satu-persatu. Aku capai cop tarikh di atas tray sebab nak cop tarikh pada surat-surat yang diterima. Puaslah aku nak tukar tarikhnya tetapi aku tak reti nak buka cop itu. Datang kebodohannya. Teringat pula pada cerita P.Ramlee.

"Bapak saya bilang hari ini hari bodoh saya."

Aku bangun cari kawan aku di belakang. "Neelofa, tolong aku tukarkan tarikh dia. Dan-dan aku tak reti."

Kawan aku ambil cop di tangan aku dan menukarkannya. "Macam nilah." Dia tunjukkan padaku.

"Allah. Aku senang aje. Dan-dan aku jadi bodoh hari ini." Si Neelofa sudah tergelak-gelak. 

"Kau jangan. Sebulan kau nak duduk tempat PA tu. Mahu sebulan kau jadi bodoh."

"Alah, macam dialog cerita P.Ramlee tu. Bapak saya bilang hari ini hari bodoh saya." Aku ulang balik apa yang terlintas kat kepala aku tadi. Si Neelofa mengekek ketawa.

Selesai fasal cop, aku kembali ke meja. Dengan pantas aku mengecop tarikh terima pada surat-surat yang aku dah susun tadi. Aku dah rasa macam kerja kat Imigresen pun ada. Macam cop pasport pula. Macam kerja pejabat pos pun ada. Hahaha. Macam-macamlah yang diberangankan. Selesai semuanya aku terus sahaja masukkan surat-surat tersebut ke dalam bilik Pengarah. Cepat Pengarah minit cepatlah aku dapat edarkan.


Emel


Selain itu, aku perlu cek dan baca emel Pengarah juga. Alahai. Nervous datang lagi. Yelah, aku memang gemuruh betul kalau berurusan dengan orang pangkat-pangkat ini. Itu sebab aku tak jadi PA daripada dulu. Jenis tak suka nak ke depan, jenis berat mulut memang mendapatlah kau kalau kena kerja macam ini. Segala mak nenek password sudah kakak PA berikan pada aku sebelum dia bercuti.

Oh ya, bila tadi aku masuk hantar surat-surat waktu itu Pengarah ada dalam bilik. Aku bagi salam dan aku cakap. "Bos ini surat-surat yang nak minit."

Tuan Pengarah jawab aje salam aku. Aku pula tak tahu nak cakap apa itu saja yang aku cakap walhal dia tahu kut surat-surat masuk itu mestilah nak diminit. Apalah. Lantaklah janji aku bercakap. Bila Pengarah beri respon sebegitu tahap kerisauan aku yang ada di level 10 sudah turun ke leven 5. Separuhlah turunnya.

Berbalik kepada emel, aku buka dan baca. Mana yang penting aku perlu cetak dan tunjuk pada Pengarah. Aku tekan-tekan pada peti kandungan emel tetapi aku tak jumpa mana gambar untuk cetak. Datang lagi kebodohan aku.


Aku panggil Puan IT tolong ajar macam mana nak cetak surat daripada dalam emel. Wah. Datang tiba-tiba kau tak tahu. Walhal selalu boleh saja buat sendiri. Memang blur sungguh-sungguh waktu itu. Biasalah. Orang kalau gelabah boleh datang kebodohannya. Akulah tu; tak cakap orang lain.

Berlalulah sebulan aku menanggung kerja di tempat PA. Satu pengalaman sebab di luar bidang kerja aku. Memang agak terkial-kial sebenarnya. Macam-macam perasaan yang aku lalui waktu itu. Mujurlah keadaan terkawal juga walaupun sesekali terbabas bila datangnya kerja sekali harung. Itu memang agak huru-hara sedikit. Hari pertama balik jari-jemari penuh dengan dakwat. Mujurlah tak bercop-cop muka aku dengan dakwat.

Punyalah teruk.

Manakan tidak. Waktu itu nak buka cop pun tak reti. Mau tidak terpegang segala dakwat yang ada. Akhirnya, berakhir juga keazaban itu sebab bulan Mac kawan aku pula ambil alih. Aku mahu selesaikan kerja-kerja aku pula sebelum aku berangkat.

Berangkat?

Nanti akan aku ceritakan di sini di lain entri ya. Jiwa sedang kacau dilanda gelora. Mohon doakan agar dipermudahkan urusanku.

Sekian.

Salam pena,
Fyda Adim


Tuesday, February 12, 2019

Menanggung Kerja Part 1

Arahan Menanggung Kerja



Suatu hari sedang aku sibuk membuat kerja-kerja hakiki di meja, tiba-tiba bos bahagian aku datang sambil tersenyum-senyum. Dari senyumannya seperti ada perkara penting yang mahu disampaikannya. Sebenarnya dia memang suka senyum sahaja.

"Fida, nanti bincang dengan Mira Filzah, Uqasha Senrose dan Maya Karin untuk agih-agih kerja siapa yang nak tanggung kerja ya. Tempat EO yang nak bersara, tempat PA, tempat CC dan bilik fail." Bos aku melontar kata sebaik sahaja dia berdiri di sebelah meja.

Termangu kejapan aku cuba menghadamkan kata-katanya. Sangkaanku tidak meleset sama sekali. Sudah aku jangkakan itu yang mahu disampaikannya memandangkan PA ganti akan mula Cuti Tanpa Gaji lagi beberapa hari. PA sebenar pula sedang bercuti belajar selama 4 tahun. 

Bila bos suruh bincang sesama sendiri, makanya dengan kata sepakat (walaupun tidak berapa sepakat) yang ada aku akan menanggung kerja PA (Pembantu Setiausaha Pejabat). Yang lain itu, sudah diagih-agihkan kerja pada yang lain. 

Apabila sudah tahu yang aku akan menanggung kerja PA, aku pun pergilah menuntut ilmu pada PA yang sedia ada. Satu-persatu kakak itu ajar aku. Rekod surat daftar masuk, surat lepas Pengarah minit mahu diberi pada siapa, urus jadual Pengarah, terangkan fasal minit mesyuaratlah dalam satu masa sampaikan aku sebenarnya tak faham pun apa yang diajar.

Sebenarnya kena buat baru boleh faham. Setakat ajar-tunjuk begitu memang aku lost semasa dia menerangkannya. Terkapai-kapai begitu. 

Sampai aku cakap pada kakak itu, "Kak, kita sambung belajar esoklah. Saya dah blur."

Kakak PA itu pun jawab, "Okeylah."

Duduk semula di tempat sendiri sambil termenung. Dalam hati berkata-kata sendiri. 'Boleh atau tidak aku nak uruskan dua kerja.'

Yelah, kerja aku sendiri pun dah cukup banyak-melimpah ruah. Duduk di Bahagian Khidmat Pengurusan ditambah dengan kerja pentadbiran. Kerja yang ada pun sudah cukup campur-aduk. Ini mahu ditambah lagi.

Baiklah, tarik nafas. InsyaAllah boleh. Pujuk hati sendiri walaupun level kerisauan aku berada di tahap 10.



SURAT ARAHAN



Aku menerima surat arahan menanggung kerja berkuatkuasa 29 Januari 2019 yang lepas. Ya. Sepatutnya aku kena mula tanggung kerja mulai 28 Januari 2019 tetapi hari itu anak-anak aku jatuh sakit. Cirit-birit dan demam. Aku kenalah jaga anak-anak aku memandangkan aku pun isteri jarak jauh. Tetapi bukan semua boleh faham. Adalah juga cerita yang dipanjang-panjangkan dan disampai-sampaikan singgah di pendengaran aku.

"Dia kata mesti kau nak elak buat kerja PA. Itu sebab kau cuti hari ini." Itulah ceritanya yang aku dengar. Kebetulan masa itu aku telefon kawan sepejabat. Aku cuma tergelak sahaja walaupun sebenarnya jauh di lubuk hati terasa sakitnya mendengar kata-kata itu. Tercalar dan terhiris hati ini. Ouch! Ah, pedulikan.

Jadi hari itu aku hanya menjaga anak-anak tanpa menghiraukan kata-kata negatif daripada netizen. Hahaha. Kalau kita ini hidup dengan takutnya pada kata-kata manusia, hidup kita akan selalu dihantui. Jadi abaikan sahaja. Itu sahaja caranya.

Pesan kawan aku, "Hari ini tak payah nak serabutkan kepala. Rehat-rehat saja di rumah. Esok baru fikir."

Ya.

Memang aku fokus jaga anak-anak. Sudahlah dari malamnya aku melayan sorang yang muntah-muntah. Sorang yang cirit-birit. Mujurlah Allah beri aku sihat untuk menjaga mereka berdua.

Malam itu, aku susah nak tidur sebenarnya. Hahaha. Biasalah aku. Kalau ada apa-apa perkara mesti susah nak tidur. Esok punya hal sampai terganggu tidurku.

Apa jadi kat aku pada hari pertama di tempat PA?

Horror and hectic.

Nanti aku sambung. 
Okey.