Friday, January 5, 2018

Azam Tahun Baru

Assalamualaikum.

Salam sejahtera semua.

Entri di tengah malam yang baru sahaja memunculkan dirinya. Saya baru berkesempatan untuk menulis. Sepatutnya mahu menulis siang tadi tapi entahlah. Moodnya tiada. Saya ketandusan idea. Aksara bertempiaran menjauhkan diri daripada saya. Jenuh juga nak mencari momentum untuk menulis semula.

Bukan sahaja blog. Malah saya terhenti seketika menulis cerpen. Ini baru mahu mencari mood semula. Azam tahun baru mahu semakin produktif daripada tahun lepas. Sekarang sedang sibuk menyiapkan projek bersama team TSJD.

Marilah menulis. Menulis dapat mengurangkan kestresan dalam diri. Itu saya. Saya tidak tahu orang lain. Cara yang menenangkn diri dengan menulis. Antara perkara paling bahagia bila dapat menulis. Tak kiralah menulis di blog, menulis di dinding muka buku, menulis cerpen. Sekarang mencari ruang untuk kembali menulis artikel untuk Zcoop Zalora Magazine. Editornya sudah emel bertanyakan fasal saya sudah lama tidak menghantar emel.

Kena buat jadual.

Syaratnya kena disiplin. Ikut jadual. Mesti dapat punya. Kata seorang sifu, membaca agar tidak terputus idea. Oh ya, saya sedang praktikkan juga perkara itu. Tapi masalahnya, saya membaca suka berbaring. Sudahnya buku ke mana, saya ke mana.

Haha. Masalah diri sendiri sebenarnya.

Mahu cabar diri sendiri, sekurang-kurangnya satu cerpen satu bulan. Kemudian hantar dan tunggulah. Harap tahun ini lebih banyak cerpen yang akan terhasil. Doakan saya agar terus istiqomah.

Pencapaian saya untuk tahun lepas. Tiga buah buku antologi cerpen. Cerpen Bayangan Cinta dalam Tribunal Cinta. Rotan Terbelah dalam Kelip-kelip Kusangka Api dan Separuh Mati Kubercinta dalam Suara Kekasih Cinta. Dua buah cerpen berjudul Rindu Di Hati Abah dan Khilaf pula tersiar dalam akbar Utusan Malaysia.

Itu sahaja perkongsian saya malam ini. Semoga terhibur. Harap saya juga rajin menulis blog ini yang telah menginjak sembilan tahun usianya. Bulan April ini genaplah ulangtahunnya. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


No comments: