Thursday, April 4, 2019

Permandangan Yang Mendamaikan

Assalamualaikum.

Gambar lama ini sudah tersimpan lama di dalam draft. Oleh sebab sedang gigih menulis apa sahaja sebelum keberangkatan aku ke Johor Bahru, aku coretkan sedikit di sini. Gambar-gambar ini sudah diambil dua tiga tahun yang lepas sewaktu bercuti di Port Dickson.

Permandangan indah amat menenangkan.
Permandangan indah amat mendamaikan.






Kalau ada peluang teringin mahu ke sini lagi. Cubalah bercuti di Avilion Port Dickson. Permandangan cantik bagus kalau dapat bergambar. Mesti cantik.

Salam pena,
Fyda Adim






Kenangan Bersama Myra Mokhtar

Assalamualaikum.

Entri kedua untuk hari ini. Hari ini mungkin ada beberapa entri throwback memandangkan hari ini adalah hari terakhir aku di JKM. Selain Kak Hanisah yang rapat dengan aku di JKM, Myra Mokhtar adalah orang kedua rapat dengan aku. Sewaktu aku dalam kesusahan dulu, mereka berdua yang ada dengan aku. Aku tidak akan lupakan mereka kerana waktu itu adalah sangat-sangat menduga aku dan mereka tetap ada.

Waktu kesusahan aku dulu, memang aku hilang arah. Hilang tawaku. Hilang ceriaku. Selalu aku paling bersemangat bercerita tapi waktu itu semuanya hilang sama sekali. Myra selalu cakap, "Kak, aku nak ko yang dulu. Aku tak nak ko macam ini."

Sedih waktu itu.

Lapan tahun bersama Myra Mokhtar. Banyak kenangan manis dan pahit kami lalui bersama. Suka dia, sukalah aku. Sedih dia, sedihlah aku. Cuma dulu aku paling pelik bila dia sedih bila kucing dia mati sampailah aku sendiri ada kucing dan aku menangis beria-ia masa Dak Oyen mati.  Barulah aku tahu kenapa Myra Mokhtar menangis. Itulah ko. Rasakan. Masa itu aku boleh jadi kemurungan bila dia kemurungan kucing dia mati. Dia dah tentu murung sebab kucing mati. Aku pula murung tengokkan dia murung.

Terlalu banyak cerita kami lalui bersama. Dulu, kita orang suka melayan drama. Nanti akan ulanglah part-part sweet hero dan heroin sampaikan kita orang sendiri rasa nak termuntah. Memang tak boleh blah perangai itu.

Kalau aku tengok drama, aku suka bercerita pada dia. Dari mula sampai akhir. Bila dia tengok dia akan cakap.

"Kak, ko cerita sebijik macam dalam drama. Tak payah tengok pun tak apa."

Kenangan paling manis kami lalui bersama adalah memenangi pertandingan e-book anjuran Maxis dan juga menghadiri audition Kotex. Hasil mengelinjang masa itu menanglah RM800 dan dibahagilah tiga.

Aku letak gambar-gambar kami sepanjang persahabatan kami. Banyak lagi dan inilah antaranya. Setiap gambar punya ceritanya sendiri. Biarlah gambar ini menjadi pengubat rindu suatu hari nanti.

Waktu ini kami bercanda di tepi pantai.

Waktu ini dia kurus lagi. Maklumlah kanak-kanak ribena lagi. Hahaha.



























Dan ini gambar paling baru. Dua minggu lepas. Inilah kami sekarang. Semoga persahabatan kami tetap baik dan kasih sayang tetap utuh walaupun berjauhan.

Wahai sahabat,
Adakalanya jarak menjadi pemisah kita
Bukan bermaksud tidak mengendahkan
Bukan bermaksud melupakan

Cukuplah jarak yang memisahkan kita
Jangan hati terikut terpisah juga
Ketika jarak memisahkan kita, biarlah doa yang mempertemukan
Semoga hati kita tetap bersama walaupun kita berjauhan.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



12 Tahun Bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka

Assalamualaikum.

Selamat pagi semua.

Hari ini adalah hari terakhir aku di JKM setelah 12 tahun 3 bulan aku berkhidmat. Tipulah kalau aku cakap aku tak sedih nak tinggalkan JKM yang setelah sekian lama aku bersamanya. Sedih nak tinggalkan kawan-kawan. Namun sudah lumrah kehidupan. Setiap pertemuan itu pasti ada perpisahannya. 12 tahun di JKM sudah sama dengan usia perkahwinan aku. Manakan tidak aku masuk JKM bulan November 2006 dan aku bernikah Disember 2006 yang waktu itu banjir besar di Melaka. Momen yang tidak dapat aku lupakan.

Aku mula melangkah ke Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka setelah mendapat pertukaran dari Kementerian Luar Bandar dan Wilayah Putrajaya. Merasalah aku merantau di Putrajaya selama 8 bulan sebelum bertukar ke Melaka.

Sewaktu kemasukan aku di JKM, kakitangannya tidak ramai mana. Adalah dalam 18 orang rasanya dan ada beberapa orang pekerja kontrak. Awal-awal masuk JKM memang agak struggle. Aku kena buat segalanya. Akulah yang buat kerja-kerja untuk federal dan juga buat kerja-kerja state. Boleh bayangkan betapa sotongnya aku waktu itu. Dari A-Z sendiri buat. Memang berat sedikit sebab aku tidak ada tempat mahu merujuk waktu itu.

Merasalah aku pergi mesyuarat sana-sini ikut bos. Dah itu saja yang ada. Nak balik Melaka sangat kan. Rasakanlah masa itu. Memang semuanya kena belajar sendiri dan juga buat sendiri. Awal-awal itu memang selalu juga aku merembeskan air mata. Hahaha. Biasalah aku. Aku dan air mata berpisah tiada. Mujurlah ada kawan yang baik hati yang memujuk.

Orang pertama yang aku kenal masa di JKM. Sampai sekarang kami berkawan. Kak Nisah masuk JKM sama tahun dengan aku. Dia awal 2006 aku penghujung 2006 tapi dia sudah bertukar ke Markas Garison pada 2015. Masa ini aku mengandungkan Adriana. Kak Nisah pula rasanya lepas bersalin anak kedua.

Aku dan Kak Sham.

Ini gambar lagi lama. Waktu ini aku tengah alahan. Mabuk teruk masa ini. Tengoklah rupa dah macam apa saja.

Pengarah kami masa ini yang berbaju melayu. Haji Hanafi rasanya namanya. Aku pun dah lupa.

Aku, Kak Nisah, Ernim dan Shidah. Budak dua orang itu pekerja sambilan.

Awal-awal dulu sebab tak ramai orang kat JKM itu, kenalah paksa masuk nasyid. Bersungguh buat latihan.

Persembahan nasyid diadakan di Dewan Rumah Budak Laki-Laki Tun Abdul Aziz Durian Daun.

Nampak tak aku. Dua dari kanan. Bukan main ketat muka aku. Fokus kononnya. Nanti lupa lirik. Hahaha. Itulah serba-sedikit cerita awalan aku semasa datang ke JKM.

Sebenarnya, dua tahun aku di JKM pernahlah mohon tukar tapi pengarah suruh stay. Dia kata baru dua tahun. Sudahnya sampai 12 tahun aku stay kat JKM. Nantilah aku sambung sedikit kenangan aku di JKM di lain entri. Sampai sini dulu.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim

Wednesday, April 3, 2019

10 Tahun Menulis Di Sini

Assalamualaikum.

Selamat petang.

Kecederaan emosi semakin menjadi-jadi. Asal aku tulis kisah kawan-kawan yang akan ditinggalkan mulalah merembes air mata. Belum lagi masuk kisah mak ayah aku lagi. Ini hanya catatan ringkas sempena meraikan ulangtahun blog aku ini.

Happy 10th bloggersary.

10 tahun sudah menulis di sini. Bermacam-macam kisah aku coretkan di sini. Blog ini sudah umpama diari. Kisah anak, kisah keluarga, kisah kawan-kawan, kisah diri sendiri juga ada aku coretkan di sini. Ada orang kata semua nak cerita. Ada orang kata semua nak ditunjukkan. Terpulang pada penerimaan masing-masing.

Aku tulis di sini untuk kenangan. Baik penerimaan orang, baiklah jadinya. Begitulah sebaliknya. Hidup di dunia ini tidak ada apa yang perlu dimegahkan. Semuanya hanya pinjaman semata-mata. Sampai masanya akan dipulangkan.

Adakah blog ini akan bertahan atau berkubur?

Entahlah. Buat masa ini tiada jawapan. Selagi jiwa menulis ada di dalam diri mungkin blog ini akan bertahan selagi mampu. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim

Tuesday, April 2, 2019

Surat Pertukaran Diterima

Assalamualaikum.

Selamat pagi.

Menghitung hari untuk mengakhiri perkhidmatan di Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka. 12 tahun berkhidmat di JKMN Melaka sama lamanya usia perkahwinanku kerana sebulan selepas bertukar ke JKMN Melaka, aku pun mendirikan rumah tangga.

Surat pertukaran aku terima sebaik aku pulang berjimba-jimba dengan kawan-kawan. Malam itu, aku dapat rasakan yang aku akan bertukar dalam masa terdekat. Semasa suami menelefon malam itu, aku kata padanya, "Jangan esok lepas balik suka-suka dapat berita pertukaran."

Balik sahaja petang itu, aku buka emel jabatan. Tiba-tiba sahaja. Waktu itu baru sahaja berbaring. Sebaik sahaja melihat emel kiriman daripada JPA, aku terus terduduk.

Emel itu adalah pengesahan persetujuan pertukaran aku. Termenung kejapan. Perasaan waktu itu bercampur-baur.

Berita gembira ke berita sedih?

Tak tahulah nak kata. Hahaha. Dua-dua sekali rasanya. Gembira dalam duka. Begitulah kaedahnya. Pertukaran ini tidak pernah terlintas dalam kepala. Mungkin bertukar jabatan dalam Melaka pernahlah terlintas. Tetapi nak keluar Melaka itu sangat-sangat tidak terlintas sebenarnya. 

Gembira itu mestilah gembira sebab akan kembali berempat. Aku dan anak-anak akan tinggal dengan suami. Nanti ada pula orang kata aku tidak gembira ikut suami. Suami jauh, sedih. Duduk dengan suami pun sedih juga.

Apa kau nak sebenarnya?

Adakalanya, Allah tak berikan apa yang kita harapkan itu bersebab. Aku memang berharap yang suami akan bertukar ke Melaka. Namun Allah sebaik-baik perancang.

Sedih itu tentulah akan hadir. Sedih nak tinggal mak ayah. Sedih nak tinggal rumah. Sedih nak tinggal keluarga. Sedih nak tinggal kawan-kawan. Umur dah 36 tahun, anak sudah dua barulah nak merantau. Mahu tidak kejutan budaya.

Yelah, suatu masa pun semuanya akan ditinggalkan terus. Beginilah kehidupan yang perlu dihadapi. Semoga akan ada kebahagiaan kami di tempat orang. Apa yang sudah direncanakan itulah yang terbaik untuk kita.

Kiriman emel yang aku terima.

Esoknya barulah aku balas emel tersebut. Walaupun kena jawab BERSETUJU tetap mahu menunggu esok sahaja.

Selang seminggu daripada hari aku terima emel pengesahan persetujuan pertukaran, aku pun menerima emel surat pertukaran aku.

Sekali lagi, perasaan gembira dan sedih itu hadir beriringan. Tak tahulah macam mana nak diungkapkan perasaan itu. Macam mana aku maklumkan pada kawan-kawan rapat semasa aku terima pengesahan persetujuan, macam itu juga aku maklumkan pada mereka.

Dan hari itu, aku lihat sahabat aku menangis. Masa itu dia di surau. Aku datang tegur dia tapi dia tunduk saja. Rupanya dia nangis. Aku tinggalkan dia. Aku hantar whatsapp pada dia.

"Wei, janganlah nangis. Kau ni buat aku sebak betul lah."

Dia balas. "Aku sedihlah. Macam tak percaya. Tengok surat tadi sedih pastu kau datang pulak. Sorry kak sedihlah. Nak tengok kau pun aku dah nangis. Selama ini orang rasa macam lama lagi. Bila tengok surat ko tadi baru terasa sangat."

Okeylah, dah tak mahu sambung lagi. Air mata dah bercucuran membasahi pipi. Kecederaan emosi sekarang ini. Kalau menulis tentang ini memang automatik air mata akan bercucuran laju. 

Gambar kami tiga empat tahun yang lalu. Semoga perjalanan persahabatan kami akan sentiasa erat walaupun berjauhan.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Friday, March 22, 2019

Memaafkan Dan Meminta Maaf

Assalamualaikum.

Hai semua.

Salam jumaat korang.

Memaafkan dan meminta maaf adalah dua perkara yang berbeza. Namun dua-dua perkara ini memerlukan kekuatan untuk kita melakukannya. Kalau tiada kekuatan dalam diri agak mustahil untuk menzahirkan kata maaf dan juga melahirkan kemaafan daripada dalam diri.

Manusia memang sudah zahirnya tidak lari daripada melakukan kesilapan. Kalau tak buat silap baiklah tukar jadi malaikat. Itu kata seorang teman aku suatu ketika dulu. Namun jangan diambil kesempatan untuk melakukan kesilapan itu berulang kali.

Kesilapan itu perlu diperbetulkan.
Kesilapan itu perlu dipelajari.

Bukan untuk diulang.
Hingga manusia lain sudah tidak yakin.

Semoga kita punya kekuatan untuk memaafkan dan meminta maaf sesama manusia yang pernah buat kesilapan pada kita dan juga kesilapan kita pada manusia lain pula.

Andai ada hati yang terluka dan sedang mengumpul kekuatan untuk memaafkan semoga dipermudahkan urusan kalian.

Lakukanlah bila sudah tiba masanya kerana dua-dua perkara ini memberi kebaikan pada diri kita sendiri. Jika hari ini kita memaafkan orang, esok lusa giliran kita pula dimaafkan.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim