Thursday, April 2, 2020

Sepanjang dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Apa khabar semua?

Selamat datang April. Baru berkesempatan mahu menitipkan sesuatu di sini. Walaupun berada di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi ada kesibukan lain. Siapa jangka wabak yang sedang menular memberi kegusaran serta meresahkan aku dan semua orang. Simptom yang bermula dengan sakit tekak, selsema, demam dan akan menyerang paru-paru sehingga mampu meragut nyawa.

Semua orang sedang mengalami fasa tertekan. Cuma kita haruslah pandai mengawal diri. Tipulah kalau tidak tertekan dengan situasi sekarang namun semuanya ujian yang didatangkan oleh Allah. Pasti ada hikmahnya yang kita belum nampak.

Aku sekeluarga menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tempat orang. Kami di Johor Bahru di mana lokasinya zon merah. Aku sekeluarga pulang ke JB sehari sebelum PKP dijalankan memandangkan suami kena kerja.

Jadi, marilah aku ceritakan hari-hari kurungan seorang Fyda Adim.

Aktiviti memasak itu bertambah-tambah aktif. Kalau waktu kerja ada hari-hari yang akan ada fasa 'malas' masak. Akhirnya akan melepak di mamak. Sepanjang PKP ini, anak-anak makan di rumah. Dapatlah merasai air tangan maknya. Aku pun begitu rajin memasak bila isi rumah asyik mengadu lapar.

Menu hari pertama PKP. Ayam masak kicap dan kacang panjang goreng.

Menu hari kedua PKP. Nasi minyak, kari ayam dan jelatah.

Malamnya, aku buat fruit tart memandangkan crust tart ada. Sebenarnya crust tart itu sudah berbulan menghuni di dalam kabinet. Mujurlah PKP, jadi bergeraklah crust tart itu. Aku hampir lupa sebenarnya aku ada stok crust.

 Puding roti kegemaran suami.

Puding roti yang sudah dituang sos kastard.

Selain memasak, aku membaca. Biaslah novel-novel yang berderet menunggu untuk dibaca. Hari kerja memang masa terhad. Membaca pun agak perlahan. Bila ada waktu sebegini, kita gunakanlah ruang ini sebaik mungkin.

Ada saja aku update di IG, novel-novel yang mahu dibaca. Memang sekarang pun sedang mahu menghabiskan sebuah lagi novel.

Novel Bramfield House:Rumah Inggeris Bertiang Seri karya Maria Kajiwa sudah habis dibaca. Menarik sangat jalan ceritanya.

Kemudian, aku menulis manuksrip. Mana tahu dapat habiskan dalam tempoh PKP ini. Aku sudah menaip sampai 30k patah perkataan. Banyak lagi sebenarnya.

Melayan drama pun salah satu aktiviti sepanjang duduk di rumah. Sudah agak lama juga aku tak melayan drama tapi sebab tertarik dengan sedutan drama ini yang aku tengok di IG, aku pun terus menontonnya.

Drama inilah yang aku maraton. Ada 20 episod semuanya. Aku tertarik dengan watak hero-heroin dan juga kawan hero-heroin. Memang menghiburkan. Selalu aku tengok Fadlan Hazim (hero) bawa watak serius. Dalam drama ini agak berlainan wataknya.

Antara menu masakan aku untuk hari-hari seterusnya dalam PKP fasa pertama. Rendang ayam, paru goreng sambal, puding roti dan kek batik. Itu boleh buat pencuci mulut untuk beberapa hari. Bertahanlah juga dalam dua hari.

Inilah rupa kek batik yang sudah dipotong.

Aktiviti anak-anak. Penat belajar, sambung main dan tidur.

Dua beradik ini yang membuat lego. Sudah macam-macam rupa.

Ini adalah sebahagian kerja yang cikgu bagi pada anak-anak melalui aplikasi Whatsapp.

Selain itu, mengaji seperti biasa dan bila cuti ini dapatlah mengaji dengan kerapnya. Dapat melakukan solat-solat sunat juga.

Jumaat lepas, mendengar perutusan PM tentang Pakej Ransangan Ekonomi. Alhamdulillah. Tidak ada seorang pun yang dikecualikan.


Menu sarapan hari kesepuluh PKP.

Inilah form yang hari-hari aku isi sepanjang PKP.

Ini pula bila PM umumkan tempoh PKP dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

Semoga wabak ini akan cepat berakhir dan kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Ingatlah, ini semua ujian. Kita semua sedang diuji. Jadi ini bukan masanya untuk bercakaran. Semua sedang mengalami rasa resah dan rasa takut yang belum berpenghujung. Setiap hari ada kes baharu. Kematian pun ada. Belum lagi yang dapat keputusan. Kes semakin menaik angkanya. Semua pun tahu tentang itu.

Jadi didiklah diri kita agar dapat mengawal diri masing-masing. Jagalah diri kita sendiri. Ciptalah bahagia dan kegembiraan dengan cara yang tersendiri supaya kita lebih bertenang berada di rumah. Allah beri kita rehat dan kita semua sedang diuji. Gunakanlah ruang dan peluang ini sebaik mungkin. Semoga kita sama-sama dapat mengatasi semuanya dengan mudah.

2020 tahun yang begitu mencabar namun kita tetap kena tempuh! Jaga diri semua.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


No comments: