Sunday, December 30, 2018

Anak Mama Dah Berkhatan

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Alhamdulillah. Tanggal 9 Disember 2018 yang lalu, anak kedua aku Muhammad Ammar Qayyum telah selamat berkhatan. Balik sahaja daripada bercuti di Krabi dan Hat Yai memang sudah rancang nak sunatkan dia. Kira hadiahlah selepas balik jalan. Hehehe.

Macam biasa, maknya cuak selalu. Memang dengan Ammar ni aku ada sedikit cuak. Bukan sikitlah tapi banyak. Risau kut dia melalak ke apa. Jadi aku kerja hari kejadian tu. Cuma aku bercadang akan keluar kejap jengah dia di klinik. Itu pun aku datang masa dia dah masuk dalam bilik doktor. Kebetulan masa tu hari jumaat, sedang eloklah sebab rehatnya panjang.

Ini gambar sebelum bersunat. Suami aku yang hantar. Konsep sebelum berpantang makan silalah makan sepuasnya.

Sudah bersiap sedia. Senyum saja dia.

Operasi sudah dimulakan. Ini pun suami yang hantar gambar kat whatsapp. Masa ni aku sudah kat luar bilik doktor.

Dari dia orang kecil masa dia orang kena inject bulanan memang aku tak pernahlah ikut masuk bilik doktor. Sejenis perangai kalau ke klinik aku yang gemuruh lebih. Sakit perutlah. Memulaslah. Ingatkan anak dah dua hilang penyakit tu tapi makin menjadi-jadi. Silap hari bulan aku yang dok dalam bilik air.

Alhamdulillah. Selamat sudah.

Masa ni dia okey lagi sebab ubat bius masih ada lagi.

Masuk saja dalam kereta dia sudah merengek. 

"Adoi, ma. Duduk sakit. Berdiri pun sakit."

Ah, sudah. Sampai rumah memang dia bantai melalak. Jenuh juga aku nak memujuk dia. Usap kepalalah, tiup kepalalah. Bawah yang sakit tapi mak kau tiup kepala dah kenapa kan. Dua minggu juga dia berpantang. Sekarang dah sihat walafiat. Mama pun senang hati. Anak mak dah besar.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



Monday, December 24, 2018

Semalaman Di Batu Pahat

Assalamualaikum.

Selamat petang.

Entri ini lama sudah duduknya dalam folder draft. Kesibukan aku sangat membataskan aku menulis di sini. Kalau nak update laju aku cuma upload di Instagram aje dulu. Tapi yelah, nikmatnya lain. Aku masih lagi nak menulis di sini. Baru selesai dua tugasan iaitu projek untuk tahun depan. Itu yang buatkan aku tidak dapat memberikan komitmen di blog ini.

Ini kisah bulan Oktober. Kebetulan hari sabtunya kami ada jemputan kahwin di Batu Pahat. Jadi hari jumaat malam ikutlah suami balik sana dan bermalam semalaman di rumah sewa suami. Malam itu kami gerak lepas maghrib. Dalam jam 9.00 malam selamat tiba di Batu Pahat.


Oleh sebab selalu aje tak dapat makan bila ke IOI Mall. Jadi suami bawa ke Batu Pahat.

Ramen kegemaran Ammar.

Menu yang kami pesan. Lupa sudah namanya.

Ini yang glamer menunya.

Ayam salut cheese. Sedap.

Bersungguh si Ammar makan.

Bila sudah kenyang tersenyumlah kami.

Aku dan anak-anak.

Lepas makan sempatlah bersiar-siar di atas bangunan. Tak silap tempatnya nama Old Street. Kalau tak salah akulah.

Tengah-tengah malam laki aku suruh posing.

Betul lah. Inilah tempatnya.

Dua beradik yang disuruh bergambar memang senang kalau apaknya ada.

Esoknya, ke kenduri kahwin. Bergambar dengan orang Kastam.

Lepas dari kenduri, balik rumah sewa suami. Tukar baju sebab bas aku jam 4.00 petang.

Sudah sampai masanya untuk pulang. Tinggallah suami di Batu Pahat untuk mencari rezeki buat kami. Begitulah kehidupan kami sebagai suami isteri jarak jauh. 

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Dua Puluh Satu Hari Berulang Ke Hospital

Assalamualaikum.

Selamat tengah hari.

Baru datang kekuatan untuk menulis di sini setelah beberapa hari berhibernasi. Hati memberontak mahu menulis tetapi bila sign in aje mesti writer's block. Aku pula sedang sibuk dengan tugasan yang berderet-deret tu. Kemudian sibuk dengan nak pergi bercuti. Itu yang makin menjadi-jadi blog ini terbiar begitu sahaja.

Catatan entri ini mengimbas kenangan 21 hari menghadap mak saudara aku (kakak emak) yang terlantar di hospital. 21 hari juga kami penuh kerisauan. Entahlah, waktu itu perasaan masing-masing bercampur baur. Makan tidak selera, tidur pun tidak lena. Sepanjang mak saudara di wad, kakak sepupu dan satu-satunya anak mak long yang aku panggil obek yang menjaganya. Aku pula memang sentiasa berjaga-jaga telefon. Sepanjang waktu itu juga, bila ada saja panggilan kakak sepupu hati berdebar-debar mahu menjawabnya.

Beberapa panggilan yang mendebarkan aku terima sepanjang 21 hari itu. Tengah hari lepas makan, aku terima panggilan. Kakak sepupu kata obek sesak nafas. Aku keluar pejabat awal dan terus bergegas ke hospital.

Permandangan inilah yang kami lihat sepanjang 21 hari di hospital.

Masa ni aku hantarkan makanan pada kakak sepupu aku. Dia ni dah macam kakak aku. Dia pula anak tunggal. Aku membesar dengan dia. Beza kami 17 tahun.

Anak-anak pun aku angkut sekali.

Waktu ni obek (panggilan aku pada mak saudara) memang sudah berkhayalan. Dia banyak sebut nama orang yang sudah tiada. Doktor pun telah memaklumkan pada kami, bila-bila masa saja obek boleh pergi.

Setiap petang kami akan ke hospital. Dalam tempoh 21 hari ini, pernahlah aku dan adik naik hospital jam 12.00 tengah malam selepasa menerima panggilan daripada kakak sepupu aku.

Genggaman tangan yang terakhir. Dalam tempoh tu juga obek pernah dimasukkan darah sebab kurang darah. Lepas masuk darah tu, obek sedar. Dia tanya aku, "Da, boleh masakkan aku mi goreng? Dapat sikit pun jadilah." Serba-salah dibuatnya sebab obek tak boleh makan. Entahlah, masih teringat-ingat kata-katanya. Sebenarnya, petanda-petanda yang dia nak pergi tu dah ada. Salah satunya, dia asyik sebut nama arwah nenek dengan atok. Kemudian dia tanya lambat lagi ke nak kebumi?

Dah paling syahdu, aku dengan kakak sepupu aku berdua aje yang ada masa tu. Dia panggil kakak sepupu aku tu satu-satunya anak obek aku. Dia hulur tangan.

"Nak salam. Mana tahu ni salam terakhir."

Bergenang air mata aku. Rindunya pada obek memang tak terucap. Selain mak, aku belajar masak dengan obek. Masa zaman sihatnya, aku selalu telefon dia.

"Bek, macam mana nak masak nasi minyak?"

Dia cakap aku salin dalam buku.

Ini masa obek kat hospital sebelum sekali lagi dia masuk untuk 21 hari. Masa ni obek boleh duduk-duduk lagi. Aku masak spageti goreng dan bawa untuk dia.

"Mak tabber, Da?" (Kenapa tawar, Da?") - cakap bawean

Itulah kali terakhir dia merasa masakkan aku. Dan kali terakhir dia datang rumah aku setelah sekian lama dia tak datang sejak sakit masa bulan September. Masa tu aku masak nasi lemak.

Inilah kunjungan terakhir obek ke rumah aku dan gambar terakhir kami berdua. Sesungguhnya, kerinduan itu tidak terucap. Sesekali bila teringat zaman kecil aku bersama obek, memang akan menangis. Dia satu-satunya mak saudara aku yang paling rapat.

"Obek, along akan kenang obek selalu."

Nak berhenti dulu, sebab air mata sudah bertakung di kelopak mata. Itulah yang aku ambil masa untuk menulis kisah obek di sini.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Monday, December 17, 2018

Bengkel Penulisan Kisah Hidup Sri Diah

Assalamualaikum.

Selamat pagi.

Kembali bersiaran. Setelah 17 hari di bulan Disember, ini entri pertama untuk bulan ini. Gigihlah aku menulis malam tadi. Banyak cerita sebenarnya. Cerita fasal kepulangan mak long ke negeri abadi pun belum aku kongsikan di sini. Nantilah. Belum ada kekuatan nak bercerita. Tapi akan aku tuliskan juga di sini untuk dijadikan kenangan.

Baiklah, berbalik pada tajuk entri. Sabtu lepas aku menghadiri Bengkel Penulisan Kisah Hidup di bawah bimbingan penulis tersohor, Puan Sri Diah. Kiranya, ini kali kedua aku menghadiri bengkel penulisan. Tujuan utama memang untuk menambah pengetahuan dalam bidang penulisan. Kemudian aku mahu bercampur orang sebab aku kan susah bercampur orang. Orang katalah. Bukan aku kata. Aku okey je campur ke tidak. Hahaha. Jadi mahulah menambah kawan baharu.

Kebetulan, ada kawan di kawasan kejiranan tag aku fasal bengkel ini. Aku pun terus hantar mesej pada beliau. Rupanya dia cikgu sekolah anak aku. Betapa kecilnya dunia ini. Bukan. Betapa kecilnya Melaka ini. Aku memang nak menyertai Bengkel Kisah Hidup Sri Diah tapi masa tu bengkel tersebut diadakan di Shah Alam. Aku tak dapatlah nak pergi. Memang rezeki sungguh bila bengkel ini diadakan di Melaka. Aku tak fikir apa memang terus daftar.

Sabtu lepas, terpaksa berkorban tinggalkan pak encik dan anakanda berdua untuk memberi ruang aku menuntut ilmu.

Selamat tiba di tempat bengkel dalam jam 8.00 pagi.

Di sinilah tempatnya aku berbengkel daripada pagi hingga ke petang.

 Sampai saja aku daftar dulu.

Kemudian kami disajikan hidangan untuk sarapan.

 Di suatu sudut ada meja menjual buku.

 Oleh sebab diberi keizinan untuk menjual, aku angkutlah buku-buku juga untuk dijual.

 Sesi berkenalan pada mulanya.

 Adalah beberapa pembuka bicara.

Kagum sangat dengan beliau.

 Ada lima modul yang disampaikan hari itu.

Sebelah aku ni doktor pakar sakit puan di Hospital Besar Melaka. Malam tu memang aku suarakan pada pak encik. 

"Bengkel esok ada doktorlah, pensyarahlah, cikgulah...Saya je kerani. Rasa segan pula." Luahku malam sebelum ke bengkel.

Sudahnya, doktor tu yang duduk di sebelahku. Lima belas minit pertama, aku membisu. 

Makan tengah hariku. Berbaloilah bayar mahal-mahal makanan pun memuaskan. Selera aje aku makan.

 Kemudian sambung sesi petang.

Doktor tu wakil kumpulan kita orang untuk presentation. Suruh aku cakap kat depan memang tidaklah.

Ini kawan aku bersama Puan Sri Diah. Sebenarnya aku kenal kawan aku ni daripada Myra Mokhtar. Kawan atas kawan. Bukan kawan makan kawan ya.

Aku dan Puan Sri Diah. Semoga aura Puan Sri sedikit sebanyak meresap dalam diri aku.

Sebahagian daripada kami.

Ini grup kita orang seramai 6 orang.

Majlis penyampaian sijil oleh Puan Sri Diah. Menarik sangat.


Kawan-kawan baharu aku hari itu. Ada yang sudah add friend di laman muka buku. Jika diizinkan Allah, kami akan ada buku secara berjemaah. Semoga dipermudahkan urusan kami semua. Buku kisah hidup yang mungkin boleh dijadikan bahan bacaan santai.

Sebelum pulang, aku sempat menandatangani buku-buku yang dibeli. Allahu, pertama kali nak sign depan orang boleh rasa tak nervous aku macam mana. Siap cari pen tak jumpa. Punyalah kalut.

Sekeping gambar bersama pembeli buku-buku aku. Ada lagi dua orang aku terlupa nak bergambar dengannya. Tak apalah. Semoga buku-buku ini memberi manfaat pada semua. Akhir kata, semoga bengkel ini akan memberi hasil yang berbaloi-baloi pada kami semua. Semoga impian kami akan tercapai. InsyaAllah.

Sekian dan wassalam.

Salam pena, 
Fyda Adim