Wednesday, December 27, 2017

Rutin Harian Disember

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hai semua.

Selamat tengahari. Sudah makan? Saya setakat ini masih berpuasa. InsyaAllah. Lagi dua hari mahu menghabiskan hari kerja untuk tahun ini. Apa yang lebih penting, lagi 5 hari sahaja lagi sekolah akan mula dibuka. Kembali ke sekolah. Kembali berposak. 'Berposak' cakap orang Melaka  katanya. Entahlah saya memang orang Melaka.

Bulan Disember ini perjalan rutin harian agak santai sedikit. Anak-anak saya sudah duduk di taska mereka. Memang dekat sangat dari rumah dan sejalan saya nak ke kerja. Itu sebab bulan Disember saya boleh masuk kerja WP1. Masuk kerja jam 7.30 pagi dan balik jam 4.30 petang. Kemudian terus jemput anak-anak di taska. Taska ini yang akan uruskan mereka nanti bila sekolah dibuka. Jemput anak-anak di sekolah pagi dan hantar ke sekolah petang pula.

Saya sudah boleh melepaskan lelah sedikit sebabnya saya tidak perlu menempuh perjalanan yang jauh untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan berpatah bali untuk ke kerja. Harapnya selepas ini kehidupan kami lebih terurus. Bukanlah selama ini tidak terurus tapi lebih kepada terkejar-kejar.

Kemudian anak-anak sekolah di SJKC pula itu. Jadi di situ memang mencabar sedikit. Demi keselesaan saya dan anak-anak, saya pindahkan mereka sekolah. Emosi mereka perlu dijaga, emosi saya juga perlu dijaga.

Gambar pagi tadi sewaktu sampai di tempat parkir. Sebab masuk WP1, tak perlulah saya berperang mencari parking.

Tadi saya keluar sekejap ke sekolah agama untuk membayar yuran dan mengambil buku teks untuk anakanda berdua. 5 hari yang berbaki ini, bolehlah siapkan apa yang patut supaya tidak huru-hara nanti. Itu sahaja coretan untuk hari ini. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim

Tuesday, December 26, 2017

Program Dua Kali Sabtu

Assalamualaikum.

Salam sejahtera.

Salam pembuka bicara untuk malam ini. Lamanya saya tidak menulis di sini. Ye, memang agak lama saya meninggal blog ini. Menyepi. Bersawang. Bukan tidak mahu menulis di sini tapi kekangan masa. Ada perkara lain yang saya perlu utamakan. Walhal dalam hati menjeruk rasa sebab tak dapat meluangkan masa di sini.

Walaupun tidaklah sampai sebulan, cuma lebih kurang dua minggu tetapi kerinduan itu sangat menggebu dalam diri. Banyak cerita yang tertangguh. Cerita yang melawat ke muzium di Kuala Lumpur pun saya belum sempat kongsikan di sini.

Oh, masa.

Sangat mencemburui. Dihimpit dengan banyak perkara. Tugas hakiki, tugas harian dan tugas mingguan. MasyaAllah. Adakalanya bila mood menjengah ke sini, aksaranya bagai tidak mahu bersekongkol. Sudahnya saya tutup dan tidur.

Entri malam ini juga adalah cerita lama. Memang sudah basi. Cerita makanan pun sudah menjadi bahan kumbahan. Hehe. Sekadar berkongsi cerita dan dijadikan kenangan untuk diri saya sendiri. Bila sudah lama, mesti kita baca balik cerita-cerita lama. Terubatlah jugak. Sekurang-kurangnya tengok gambar lama kita akan terdetik, "Eh, dulu aku kuruslah."

Begitulah.

Kisah sabtu berturut-turut yang sudah beberapa minggu berlalu. Saya kongsikan sebab saya dan keluarga ada aktiviti yang dilakukan sabtu-sabtu yang berlalu.

Singgah makan di Marry Brown.

Waktu ini, suami sedang berbual dengan kawannya di luar. Terserempak masa nak masuk ke Marry Brown. Jadi bergambar bertiga sahaja.

Sebelah petang, lepas sudah mengenyangkan perut marilah hiking. Bakar balik lemak yang terkumpul. Jangan disimpan.

Kononnya panjat Beruang Hills. Serius, saya mengundur diri sebelum sampai ke puncak. Bukitnya sangat condong. Saya memang tak larat. Dengan jalannya bertar. Rupanya ada jalan hutan yang tidaklah secabar ini.

Tengok jalannya rupa ini.

Dak Ammar sudah menangis-nangis. Waktu ini saya sudah tidak ikut mereka. Turun dulu menyelamatkan diri. Hahaha. Suami yang bercerita Ammar bantai menangis.

Itu saya dengan Adriana masa nak naik. Dok berhenti-henti sampai Dak Adriana pun bengang. "Ma, lain kali jangan ikut. Mama tak larat ni." Motivasi sangat anak saya bagi.

Ini gambar daripada telefon bimbit suami. Saya dah turun. Balik rumah muntah. Memang pening. Tak mahu lagi saya pergi kalau diajak. Bagi duit pun tak mahu. Boleh rasa tak fobianya?

Sabtu seterusnya yang saya pun dah lama berapa tarikhnya. Masak ringkas-ringkas sahaja sebab nak keluar.

Suami mahu beli bola golf.

Kemudian mahu servis kereta. Jalan di Klebang bukan main sesak. Melaka, bila hujung minggu atau masa cuti memang beginilah keadaannya.

Sementara menanti kereta siap marilah berswafoto anak-anak.

Dari tempat servis kereta singgah makan. Mee sup gian orang panggil. Saya panggi mee Sudirman.

Sudah lama tak makan popianya. Mengah-mengah nak menghabiskannya.

Kemudian ke Banda Hilir pula. Sesak jugak.

Jalan-jalan di pusat membeli-belah yang baru. Namanya The Elements. Kalau tak silap. Ada 'the' ke tidak saya pun dah tak ingat.

Salah satu ruang yang terdapat dalam pusat membeli-belah itu. Kami sempat singgah Mr. DIY dan membeli sedikit barang keperluan. Kemudian jalan-jalan sekitarnya. Ada beberapa buah kedai sahaja yang sudah dibuka. Ada masa boleh pergi lagi. Itu sahaja coretan saya untuk malam ini. Nanti saya sambung lagi. Mahu tidur dulu. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Wednesday, December 13, 2017

Pulang Ke Negeri Abadi

Assalamualaikum.

Salam sehati sejiwa. Hai semua.

Saya baru berpeluang untuk mencoretkan sesuatu di sini. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini aksara bertempiaran tidak mahu bersekongkol dengan saya. Bila mahu menulis cerpen, fikiran kosong. Larilah ke blog pula. Kononnya nak menulis entri-entri yang tertunggak dalam fail draf. Sama juga kejadiannya.

Lama saya memandang skrin dan sudahnya saya ambil keputusan untuk tutup sahaja. Kalau tidak tidur, saya bacalah novel, kalau tak membaca saya menonton televisyen. Begitulah kesudahannya. Minggu ini pula selsema menyerang. Badan terasa sakit-sakit. Jadi semalam saya ke klinik dan doktor pun bagilah cuti sakit sebanyak dua hari. Kemudian, semalam juga atok suami meninggal dunia.

Saya menerima panggilan sebelah malamnya daripada suami menyampaikan khabar duka. Atok sudah seminggu di hospital. Ahad lepas, ulangtahun kelahirannya yang ke 91 tahun. Isninnya atok meninggal. Sudah sampai masanya atok pergi.

Ini pun saya menggagahkan diri untuk menaip entri ini. Banyak sebenarnya benda nak dikejar. Deadline yang berderet-deret. Tengoklah mana yang termampu dek diri ini.

Gambar yang sempat saya rakam. Perjalanan terakhir atok. Selamat pulang ke negeri abadi. Walaupun saya hanya cucu menantu, kesedihan itu turut terasa.

Usai jenazah dikebumikan, hujan rahmat turun membasahi bumi seakan tahu bahawa kami juga bersedih atas pemergian atok lebih-lebih lagi insan-insan yang menjaga atok siang dan malam. Semoga kebaikan mereka dibalas dengan pahala daripada Allah Taala.

Sekian dulu coretan ringkas untuk hari ini. Kisah duka yang lain biarlah saya simpan. Apa yang berlaku saya perlu jadikan iktibar. Ego manusia tidak ke mana. Sejauh mana mahu hidup di atas bumi ini dengan sikap bongkak. Setiap kelakuan kita pasti dibalas. Andai baik, baiklah dapatnya. Semoga dijauhkan sikap-sikap sebegitu dalam diri.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Friday, December 8, 2017

Kelip-kelip Kusangka Api Dan Suara Kekasih Cinta

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa.

Bismillah.

Hai semua.

Salam jumaat. Salam pembuka bicara. Pagi ini saya ingin kongsikan dua buah buku antologi cerpen yang saya sertai. Kiranya ini adalah buku kedua dan ketiga antologi yang terselit karya kecil saya. Buku antologi yang menyusul selepas Antologi Cerpen Tribunal Cinta. Alhamdulillah. Kiranya tahun ini saya lebih produktif menulis selepas tempoh berhibernasi.

Buat masa ini, saya hanya mampu menulis cerpen dan mungkin akan berjinak-jinak dan melangkah untuk menulis novel pula. Allahu. Macam tak tercapai dek akal. Mampukah atau tidak? Itu yang sering dipersoalkan pada diri sendiri.

Jadi untuk tahun ini, lima buah cerpen yang telah tersiar. Baru lima buah sahaja. Untuk penulis baharu seperti saya, ini pun sudah cukup membuatkan hati berbunga riang. Mari saya kongsikan buku-buku tersebut.

Antologi Cerpen Kelip-kelip Kusangka Api. Terbitan Jemari Seni. Ada 40 buah cerita daripada 40 orang penulis. Kiranya ini salah satu impian saya yang sudah tercapai bila cerpen saya terpilih untuk dibukukan dalam naskhah ini. Memang impian nak menyertai keluarga Jemari Seni. Saya memang suka beli koleksi novel-novel daripada Jemari Seni. Lebih-lebih lagi saya sekarang sudah minat dengan salah seorang novelisnya iaitu Noor Suraya. Bukan mengipas ya. Sebab Kak Su ini adalah penyelenggara untuk Kelip-kelip Kusangka Api .

Ini pula kira buku penutup untuk tahun ini. Suara Kekasih Cinta. Gabungan cerpen dan puisi. Terbitan Pena Padu. Kali kedua saya menyertai Pena Padu.

Untuk belian koleksi-koleksi buku ini, saya akan iringkan dengan cenderahati sebagai tanda penghargaan untuk pembaca. Semoga apa yang dinukilkan dalam antologi ini memberi sesuatu kepuasan. Sesungguhnya yang buruk itu datang daripada diri saya sendiri.

Sesiapa yang berminat hendak membeli naskhah ini, bolehlah whatsapp saya di talian 017-6741270 (Fyda Adim).

Kelip-kelip Kusangka Api (RM38)
Suara Kekasih Cinta (RM25)

Stok cenderahati sangat terhad. Selagi stok masih ada. Jom dapatkan segera buku-buku ini. Boleh dijadikan koleksi untuk diri sendiri atau dijadikan sebagai hadiah. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Wednesday, December 6, 2017

Disember Membuka Tirai

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa.

Hai semua.

Selamat pagi. Beberapa hari tidak menulis di sini. Kiranya, ini adalah entri pertama untuk Disember. Disember telah membuka tirainya. Kita sudah tiba di penghujung tahun 2017. Dua puluh lima hari sahaja lagi kita bakal meninggalkan tahun 2017 ini. Saya masih lagi kesibukan. Biasalah sibuk dengan rutin harian. Cumanya, cuti sekolah agak santai. Tidaklah kalut dan lagaknya seperti Charlie Chaplin.

Hujung tahun ini saya sibuk memgejar mss dan projek anekdot bersama beberapa rakan penulis. Jadi masa saya agak terhad untuk menulis di sini. Projek 1000 patah perkataan saya sudah tidak terkejar. Sudah ketinggalan jauh di belakang.

Bulan Disember ini saya hantar anak-anak menyertai program cuti sekolah di taska. Taska itu akan dijadikan tempat transit anak-anak saya nanti tahun depan. Seorang yang dalam gambar di atas adalah anak buah saya. Hari yang ada program saya jadi mama tiga orang anak.

Begitulah sedikit coretan pagi ini. Coretan untuk melepaskan sedikit kerinduan yang menjalar dalam diri. Doakan semoga urusan saya dan juga urusan kalian dipermudahkan hendaknya. Amin.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim

Thursday, November 30, 2017

Tahniah Buat FattZura

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa.

Hai korang.

Malam ini keluarlah satu entri sementara mahu menunggu waktu untuk ke ceramah perdana Syamsul Debat yang diadakan di taman perumahan saya ini. Terujalah nak pergi sebab pertama kali menyaksikan beliau secara live. Selalu tengok dekat youtube saja. Jadi malam ini berpeluang untuk menghadiri ceramah itu. Tak jauh pun dari rumah. Boleh dengar dari rumah je pun sebab dekat sangat tempatnya. Jadi boleh menapak aje.

Baiklah, entri malam ini saya ingin kongsikan beberapa keping gambar artis terkenal yang baru bernikah pada 27 November 2017. Siapa lagi kalau bukan Fattah Amin dan Fazura. Dulu saya memang bukan peminat Fattah Amin. Awalan dia berlakonkan sungguh macam kayu. Dengan rupa dia yang cengkung. Amboi pandai kau nak kecam-kecam orang. Bukanlah, macam auranya tak sampai lagi untuk kita minat dia. Hah, gitew.

Alah biasalah, budak budak mesti cengkung. Kurus. Alahai. Macam laki saya dulu-dulu pun gitu. Hah, dah babitkan laki kau pulak. Laki saya dengan Fattah jauh beza. Tak sama. Haha. Jadi semakin hari bila dia menjadi hingga sekarang, saya minatlah juga walaupun ada yang suka kecam dia. Eleh, dengkilah tu.

Setiap cerita-cerita dia saya ikutlah juga sampailah bila dia bertunang dengan Fazura, gembiralah juga. Memang khabar yang sangat dinanti-nantikan sampailah mendapat berita tentang pernikahannya. Tahniah Fattah dan Fazura.

Kalau Fazura, memang minat dia berlakon. Jadi sekarang pasangan ini menjadi artis kegemaran dan pasangan idola sayalah. Harap perkahwinan kalian berkekalan hingga ke jannah. Beberapa hari ini asyik membelek gambar-gambar kahwin depa dan video pernikahan depa. Kemudian tersenyum-senyum sendiri. Ini kalau laki aku nengok memang sakit mata aje dengan perangai bini dia.

Rupanya ada beberapa kawan saya yang lain pun rupa itu. Jadi bukan saya seorang sahaja yang kemaruk mahupun taksub. Macam semalam kawan saya whastapp.

"Ya ampun. Akak senyap-senyap la ni dok giler tengok youtube Fattzura.(emoji senyum)"

Saya balas.

"Lor, ingatkan saya sorang dok kemaruk. Saya dok tengok video kat IG depa."

Kawan balas.

"Apa IG depa?"

Screenshot dan hantar pada kawan itu. Selamatlah menilik gambar-gambar depa yang manis-manis dan nampak seri pada wajah mereka.

Mereka telah selamat dinikahkan. Doakan baik-baik untuk rumahtangga mereka dan juga rumahtangga kita. Tak perlulah kecam sana sini. Tak perlulah pertikaikan apa-apa. Marilah lihat gambar-gambar sweet dia orang. Gambar credit IG Fattah Amin dan Fazura.

Sama cantik.
Sama padan.
Bagai pinang dibelah dua.

Alahai, manjanya Fattah pada Fazura.

Seronok tengok depa.

Itu sahajalah yang mahu saya kongsikan. Semoga perkahwinan mereka disinari dengan kebahagiaan seadanya. InsyaAllah. Amin. Esok sudah masuk ke bulan baru dan bulan terakhir dalam tahun 2017. Bulan ulangtahun perkahwinan saya. Jadi kita boleh bergambar ala-ala FattZura barangkali. Tak kuasa laki aku nak melayan. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim




Kenapa Perlu Bersedih

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa.

Hai semua.

Menyusul dengan entri kedua untuk hari ini. Terlebih rajin menulis malam tadi. Hakikatnya, sekarang memang kebanyakkan entri semuanya entri berjadual. Masa nak menulis memang tersangat terhad. Perlu hadap beberapa perkara lain. Sekarang sedang sibuk siapkan projek anekdot dan juga manuskrip. Semoga dipermudahkanlah segala urusan saya. Baik urusan untuk diri sendiri mahu pun urusan keluarga.

Kebelakangan ini saya berperang dengan perasaan sendiri. Sesekali perasaan sedih itu menjalar dalam diri hingga ke relung hati. Entahlah. Sukar diungkap. Adakalanya, mahu hilangkan perasaan itu saya imbas momen-momen indah sahaja. Pasti terubat segala kerinduan itu. Semuanya bersandarkan pada kenangan suatu ketika dahulu.

Saya rindu zaman menulis bersama-sama. Memang tersangat rindu detik itu tetapi hakikatnya semua itu sudah berlalu dan kini hanya menjadi sebuah kenangan. Namun apa yang pasti, Allah telah gantikan kesedihan saya itu. Saya dapat sekumpulan kawan-kawan menulis. Walaupun kami tidak pernah bertemu dan hanya berkenalan di alam maya dan bersandarkan pada grup whatsapp, hubungan kami akrab seolah-olah sudah mengenali lama antara satu sama lain. Allah bukan gantikan dengan seorang tetapi sembilan orang. Saya gembira bila berborak bersama mereka.

Sebenarnya, banyak lagi perkara sedih yang saya lalui telah diganti Allah swt. Saya akui dengan kata-kata setiap kesedihan pasti akan terselit kegembiraan. Kalau dulu selalu berkongsi menonton drama, kini Allah hantar orang lain pula. Tiba-tiba sahaja. Seperti apa yang pernah saya lalui dulu dan kini pun sama cuma orangnya sahaja yang berlainan. Betapa hebatnya kuasa Allah.

Saya merintih.
Saya sedih.

Namun, berbalik kepada diri sendiri. Muhasabah diri sendiri. Manusia, hatinya berbolak-balik bukan. Kalau bukan pada orang lain, mungkin pada kita pula. Bukan mudah untuk mendapat seorang sahabat yang akan ada dengan kita selama-lamanya.

Ada orang, bila sudah senang dia lupa kawan seperti perumpamaan kacang lupakan kulit. Oh ya, kacang memang selalu lupakan kulit. Ada orang, bila sudah punya kawan baharu, dia akan lupakan kawan lamanya.

Begitulah putaran kehidupan kita seadanya. Menangislah jika itu mampu melegakan hati namun jangan biarkan kesedihan itu berpanjangan menghantui diri. Hidup kita ini singkat sahaja. Banyak lagi perkara yang lebih berfaedah boleh kita fikirkan. Kena move on agar perkara negatif itu tidak memberi kesan pada hidup kita. Cari semangat. Cari insan yang lebih ikhlas dan mahu berkawan dengan kita. Mudah bukan?Semoga berjaya dan selamat menjadi seorang sahabat yang baik untuk para sahabat yang lain. Mudah-mudahan kita tergolong dalam sahabat yang baik. InsyaAllah. Amin.

Salam pena,
Fyda Adim


Hari Kanak-Kanak Tadika Keh Seng

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa.

Hai semua.

Momentum menulis datang dan pergi. Sekejap semangat itu penuh di dada. Sekejap semangat itu mengendur. Kebelakangan ini, situasi sekeliling yang kurang positif memberi kesan pada diri. Kata kawan, pucuk pangkal hati kita. Saya sedang menyesuaikan dengan suasana baru buat diri sendiri. Baiklah, berbalik pada tajuk di atas.

Dua minggu sebelum cuti sekolah, sekolah anak-anak adakan sambutan Hari Kanak-kanak. Ammar pula eritahu saya dia ada menyertai pertunjukkan. Mulanya, dia kata "Ammar masuk menari, ma tapi kan cikgu suruh Ammar berjalan je."

Jenuh juga maknya nak menghadamkan apa yang disampaikannya. Rupanya dia masuk pertunjukkan fesyen. Adoilah. Saya tanya cikgu kelasnya. Memandangkan ini tahun terakhir Ammar di sekolah cina, saya teruja untuk melihat dia beraksi di atas pentas.

Jadi hari itu, saya minta kebenaran untuk keluar sekejap dan ke sekolah Ammar. Saya sampai mereka belum ke dewan. Masih di dalam kelas.

Saya tinjau dari luar. Dia sedang makan masa tu. Makan mcdonald.

Masa ini dah bersiap keluar untuk ke dewan. Suruhlah bergambar beramai-ramai dulu.

Sekejap dah besar anak lelaki saya.

Kawan kelas Ammar. Entah apa namanya. Saya dah lupa. Budak ini cukup murah dengan senyuman setiap kali berselisih dengan saya semasa saya hantar Ammar ke sekolah. Datang moodnya elok dia akan tegur, "Hai aunty."

Ini beg goodies yang anak-anak dapat.

Dapat vitamin pula tu. Eloklah sangat untuk stok bulan ini.

Begitulah ceritanya kisah Ammar menamatkan zaman tadikanya. Tahun depan dia sudah melangkah ke sekolah rendah. Betapa cepatnya masa berjalan. Bila anak-anak semakin membesar, kita juga semakin tua sebenarnya. Semoga saya diberikan kesihatan yang baik untuk membesarkan anak-anak saya.

Antologi Cerpen Suara Kekasih Cinta sudah tiba. Karya kecil saya berjudul Separuh Mati Kubercinta ada di dalam naskhah ini. Berminat mahu mendapatkannya boleh hubungi saya. RM25 tidak termasuk posa beserta cenderahati daripada saya khas buat pembeli.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Monday, November 27, 2017

Ilmu Manusiawi

Assalamualaikum.

Hai semua.

Selamat pagi semua. Selamat cuti sekolah pada anak-anak. Selamat bekerja pada mak pak yang sememangnya makan gaji. Saya bekerja seperti biasa. Dua tiga minggu ini saya berhadapan dengan manusiawi spesis rare. Allahu. Memang dugaan kali ini berat juga sepanjang saya sudah sebelas tahun berkhidmat. Saya menangis bila terpaksa memikul beban sebegini tetapi terpaksa berselindung di sebalik senyuman.

Sejak baca komen seseorang, di pejabat tiada istilah kawan baik semua jaga periuk nasi sendiri je. Cukuplah bersederhana itu lebih tepat. Memang benar. Kata-kata itu saya akui sangat-sangat. Saat semua orang mengata atau mengkondem tak ada siapa yang tampil untuk mempertahankan. Saat kau seorang diri terkontang-kanting menguruskan tugas hakiki yang berlambak-lambak tak ada seorang pun yang tampil menghulurkan tangan.

Apa yang tahu, tanya kerja dah siap? Tanya dah baca emel atau belum? Namun nak bertanya apa masalah yang sedang dihadapi memang jangan diharapkan. Situasi ini sama sahaja kau kerja seorang diri kat bahagian itu. Tak perlu ramai-ramai kalau seorang pun tak membantu. Sudahnya markah kau menjunam ke gaung.

Isu markah tak mahu saya ulas. Hujung tahun biasalah. Markah menjadi nilai ukuran pada kerja kita sepanjang tahun. Penilai itu, manusia. Dia menilai selain dari pengetahuannya mungkin juga dengan emosi. Memang tak ada manusia yang boleh adil. Lebih kita terkilan bila markah orang yang kerja entah apa-apa, asyik dok menghilang lebih tinggi. Situ memang terselit rasa sedih dan kecewa. Saya tidak mahu mempertikaikan kerja orang. Noktah!


Kecewa?

Memang mengecewakan sebab kita rasa dah buat sehabis baik. Tapi kena ingat satu hal. Ada orang yang bekerja berpuluh tahun, langsung tidak dihargai. Saya pernah melihat situasi begini. Dia sudah berkhidmat berpuluh tahun namun bila tiba waktu persaraannya, dia tidak diraikan. Tetapi bila dilihat dari sudut lain, sekarang nampak dia lebih bahagia. Sebelum dia bersara lagi, ada orang tawarkan dia untuk berkhidmat di rumah orang tua di Paya Ikan. Kira penjaga rumah orang tua tersebut. Allah gantikan dia dengan cara yang lain. Orang luar lebih menghargai dia.

Lagi satu, ada orang kerja jujur tapi orang yang belot jugalah yang dapat naik pangkat. Sebab apa? Sebab Allah sudah pilih kita untuk diuji. Allahu.

Lagi yang mengecewakan?

Saya paling kecewa bila mana ada orang yang jadi penyampai sedangkan dia sendiri 'kawan kita.' Kalau kita tahu sejauh mana sikap dan perangai kawan kita tak perlu dikhabarkan berita yang tidak enak didengar olehnya. Menyedihkan kalau situasi begini terjadi.

Down beberapa hari. Hahaha.

Kadang orang sekeliling tak tahu pun hujung pangkalnya tapi buat ulasan seolah-olah dia ada dari awal sampai akhir. Contohnya, seseorang ini tiba-tiba dijerkah dengan ketua dan dia sedang menahan diri supaya tidak menangis. Kemudian bila ketuanya bercakap dia tidak menunjukkan respon. Orang sekeliling pula buat kesimpulan dia kurang sopan. Walhal masa awalan dia tak tahu pun puncanya. Cuba letakkan diri kita pula. Apa reaksi kita?

Memang secara logiknya, dia perlu tidak menunjukkan perangai sebegitu di hadapan seorang ketua. Tetapi andai itu yang boleh kuatkan diri agar dia tidak menangis di khayalak ramai, apa lagi yang perlu dia buat? Ketuanya pun patutnya tidak perlu menjerkah. Begitulah. Cuma pandangan saya yang tidak seberapa.

Kadang-kala, kalau kita menjatuhkan air muka orang di hadapan orang lain takut berbalik pada kita pula satu hari nanti. Kalau kita jaga aib orang, insyaAllah aib kita juga terjaga. Manusia sememangnya tidak sempurna.

Kau ketua.
Kau kuli.

Sama sahaja.
Semuanya tidak sempurna.

Andai hari ini kita berada di atas, mana tahu esok lusa kita berada di bawah pula. Tiada siapa yang tahu melainkan Allah swt. Semua urusannya. Jadi jagalah diri kita sendiri daripada sibuk mencanang keburukan orang.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



Friday, November 24, 2017

Hari Terakhir Sesi Persekolahan

Assalamualaikum.

Hai semua.

Selamat pagi.

Salam jumaat. Hari yang penuh barakahnya. Semoga hari ini menjadi lebih baik daripada semalam. Begitulah selalu yang diharap-harapkan. Bukan hanya pada hari jumaat sahaja malah untuk hari-hari lain juga biarlah menjadi baik-baik untuk kita semua.

Hari ini adalah hari terakhir sesi persekolahan untuk tahun 2017. Hari ini juga adalah hari terakhir anak-anak saya bersekolah di SJKC Keh Seng. Semalam pula adalah hari terakhir rutin harian saya menjadi mama supir memandangkan hari ini suami saya yang hantar anak-anak ke sekolah. Perasaan sedih itu ada membelenggu diri. Tiga tahun Adriana sekolah di situ, dua tahun Ammar tadika di situ juga. Dua tahun lebih saya yang menguruskan menghantar anak-anak setiap pagi selama empat hari.

Sedih.

Adriana terutamanya. Dia sedih sebab nak berpisah dengan kawan-kawannya. Tapi keadaan memaksa untuk saya tukarkan Adriana ke Sek Kebangsaan. Perkara utamanya, saya sudah tidak larat terkejar-kejar menghantar mereka. Sekolah mereka jauh dari rumah dan saya kena berpatah balik ke pejabat. Dulunya sebab sekolah kini dekat dengan rumah mak.

Perkara kedua, Adriana sudah tidak mampu nak mengikuti subjek Bahasa Cina walaupun dia sekarang sudah pandai bercakap cina. Saya tak nak dia tertekan. Sebab dia tidak boleh nak kejar memandangkan saya hantar dia ke sekolah agama sebelah petang. Dari situ dia banyak ketinggalan. Begitulah serba-sedikit kronologinya.

Semalam, sewaktu menunggu mahu melintas jalan saya sempat rakamkan gambar ini. Sedihlah juga. Saya ni sudah perangai jenis susah nak move on. Tapi ini semua dilakukan untuk kebaikan dan keselesaan kami anak-beranak.

Jadi, tahun hadapan saya dan anak-anak akan menghadapi suasana baru, kawan-kawan baru dan rutin harian yang baru. Semua yang tinggal akan menjadi kenangan. Semua yang datang akan menjadi harapan. Semoga urusan saya dan anak-anak dipermudahkan sepanjangan berjauhan dengan suami. 

Jalan hidup ini banyak cabarannya. Pandai-pandailah melangkah. Andai jatuh, bangunlah sendiri. Itulah kehidupan. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Monday, November 20, 2017

Minggu Akhir

Assalamualaikum.

Hai semua.

Selamat makan tengahari. Saya setakat jam ini masih berpuasa. In sha Allah. Semoga dipermudahkan urusan hari ini tanpa sebarang halangan. Minggu ini minggu akhir sesi persekolahan Tahun 2017. Hanya berbaki empat hari sahaja lagi untuk meneruskan perjuangan menjadi makcik supir. Lpeas ini, sebulan lebihlah makcik supir berehat. Jadilah kan.

Alhamdulillah. Pertukaran telah dibuat. Urusan pertukaran persekolahan anak-anak semuanya sudah diproses. Berjanlan lancar. Jadi tahun depan, saya dan anak-anak bakal menghadap suasana baharu. Semoga perubahan ini menjadi yang lebih baik kepada kami. In sha Allah. Mudah-mudahan hendaknya. Harapnya begitulah kan.

Selingan seketika. Memperkenalkan, ini ahli keluarga kami yang baru. Jumpa dalam longkang. Saya panggil dia Putih. Manja macam Dak Oren. Minggu ini bukan setakat minggu akhir sekolah, minggu ini juga saya sibuk dengan tugasan saya. Pusingan sudah tiba ke pusingan 14 namun saya tersekat di skala 7. Haha. Yang sekumpulan dengan saya sahaja yang tahu tentang apa. Mereka pun sebegitu. Mengejar target. Semoga impian kami akan terlaksana hendaknya.

Kebelakangan ini, hati sedikit tercalar. Tapi tak apa. Saya dalam proses merawatnya sendiri. Betul kata orang, Allah akan menggantikan sesuatu dengan yang lebih baik. Kini saya dikelilingi dengan sahabat-sahabat penulisan saya yang begitu ambil berat antara satu sama lain walaupun kami berkenalan hanya dalam alam maya. Semoga ukhwah ini terjalin selama-lamanya. Hati kita Allah yang pegang. Berdoa sentiasa agar tidak berbolak-balik.

Menulis kan salah satu terapi buat diri. Pesan seorang kawan, senyum tak perlu kata apa-apa. Dia sempat kirimkan mesej melalui aplikasi whatsapp.

Tak apa Fidah. Jadilah diri sendiri. Itu lebih baik.

Rupanya ada juga yang boleh rasa saya sedang berperang dengan perasaan sendiri. Bila jadi begini, baru saya sedar mimpi yang dialaminya memang sudah menjadi kenyataan. Cuma dia sahaja yang tidak sedar.

Sekian catatan ringkas saya tengahari ini. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Tuesday, November 14, 2017

Jangan Terlalu Rapat Dengan Seseorang

Assalamualaikum.

Hai semua.

Selamat pagi. Semoga hari ini lebih baik daripada semalam. Semalam sudah tentu monday blues. Biasalah kan bila hadap hari isnin mulalah dengan penuh kesenduan. Kemurungan. Kesadisan. Entah apa-apa lagi perasaan yang membelenggu diri. Isnin anda-anda semua semalam bagaimana? Adakah berada dalam neuron-neuron keceriaan?

Isnin saya?

Monday blues ditambah dengan cerita yang tidak enak menjadi santapan halwa telinga. Semalam memang belajar sesuatu. Kena jadikan iktibar buat diri sendiri. Begitulah kehidupan. Saya pun sedang berperang di pejabat sebab menguruskan hal tanggung kerja. Sebenarnya, tak menang tangan tetapi apa boleh buat. Suka atau tak kena juga memikul tugasan tersebut. Tak payah cerita sebab takkan ada orang faham situasi itu sekarang.

Berbalik pada tajuk di atas. Saya ingin berkongsi tentang sebuah cerita yang pernah diceritakan pada saya. Hal ini berkait rapat tentang sahabat. Bukan fokus terhadap pasangan bercinta atau sahabat berlainan jantina.

Bukan ya.

Ini berkait rapat dengan sahabat kita. Setiap orang pasti akan ada seseorang sahabat yang akan ada dalam kehidupan mereka. Itu sudah pasti. Semua orang pasti ada. Paling kurang pun seorang sahabat kerana sahabat itu diumpamakan sebagai matahari. Menyinari. Ada ketika senang dan ada ketika susah. Itu baru namanya sahabat. Bukan yang ada ketika senang dan hilang ketika kau dilanda kesusahan. Itu tak layak pun digelar sahabat.

Bukan senang hendak dapat seorang sahabat begini. Yang ada ketika senang dan ada ketika susah. Pada yang mempunyai ciri-ciri sahabat sebegini, hargailah kewujudannya. Mungkin kita akan menyesal andai satu hari sahabat ini tiada lagi dalam hidup kita. Bak kata orang, sahabat datang dan pergi.

Pernahlah seseorang bercerita dengan saya.

"Kak, saya terkilan sangat. Mula-mula kita orang sangat rapat tapi bila dia dah ada kawan baru dia rapat dengan kawan baru dia dan menjauhkan diri daripada saya. Walhal mula-mula dulu dia yang beria menjaga persahabatan ini."

Manusia boleh berubah. Hati manusia berbolak-balik. Ini bukan kira pada pasangan kita sahaja dalam soal hati. Dalam persahabatan juga diambil kira juga soal menjaga hati bukan. Jadi perkara itu lebih kurang sama sahaja.

Pernah rasa situasi ini?

Kau rapat dengan seseorang. Tapi bila kawan kau tu dah ada kawan lain dia dah mula ignore kau walaupun dia kata tak ignore dalam erti kata lain yang kononnya dia masih anggap kau kawan baik dia dunia akhirat. Gitu. Tapi kita boleh rasa. Kita boleh rasa suasananya sudah berbeza. Mustahil lah dia tak rasa. Dulu dan sekarang itu adalah sangat berbeza. Tipu sangat-sangat.

Sebagai contoh, dulu kau berkawan berdua sahaja. Tapi satu masa akan datang dua tiga orang kawan datang dan menjadi rapat antara kau berdua. Kat situ pun dah berbeza suasana dan situasinya. Nanti akan timbul isu kalau kau rapat dengan kawan baru dan kawan kau pula mempertikaikannya. Begitu juga sebaliknya.

"Aku tengok kau sekarang rapat dengan Si Peah. Macam sesuatu."

Ini bukan zaman sekolah lagi. Kau nak berebut kawan. Nak kawan siapa. Tak nak kawan siapa. Zaman dah tua-tua ni suka hatilah. Rapat jadi isu, tak rapat pun jadi isu. Buat hal sendirilah. Kita berkawanlah dengan siapa yang selesa nak berkawan dengan kita. Apa yang penting dalam persahabatan adalah sebuah keikhlasan.

Jadi kesimpulannya, berpada-padalah kalau hendak rapat dengan seseorang. Kalau hari ini kau boleh rapat, esok lusa kau boleh ada jurang. Samada kawan kau jumpa kawan baru atau kau yang jumpa kawan baru. Kata orang, orang yang paling rapat dengan kita yang akan mengecewakan kita. Jadi biarlah berpada-pada supaya kau tidak akan kecewa.

Sebabnya, kalau kita rapat dengan seseorang kita akan expect macam-macam dari dia. Tapi saat kau tak dapat apa yang kau fikirkan tentang dia, kau akan kecewa. Sampai satu tahap nanti, kau akan lebih selesa berseorangan. Bukan berkawan-kawan kerana bukan senang nak menjaga hati orang.

Kau rapat dengan sini, salah. Kau rapat dengan sana pun salah juga. Baiklah sendiri. Bersahabat secara bersederhana. Dalam bersahabat ini ada beberapa adab yang perlu dijaga. Nanti kita sambung lagi. Sayangilah sahabat anda!

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



Monday, November 13, 2017

Menonton Tombiruo

Assalamualaikum.

Hai semua.

Sejak minat tengok lakonan Zul Ariffin dalam drama Titian Cinta, saya memang mengikutlah beberapa drama yang dilakonnya. Dulu tak berapa tengok kalau dia berlakon. Tambah lagi kalau dia berlakon dengan Ayda Jebat atau Fathia. Lagilah saya tak tengok. Cuma sekarang ini kalau AJ, bolehlah diterima lagi bila sekarang suka dengar lagu-lagu dia. Fathia memang tak boleh lagi sampai sekarang. Haha.

Jadi saya berminatlah nak menonton Tombiruo walaupun wajah Zul Ariffin takkan kelihatan pun hingga ke penghujungnya. Janji Zul Ariffin berlakon. Gitu sekali kekdahnya. Lagi pun baca review orang yang sudah menonton macam menarik. Itulah salah satu yang membuatkan saya teringin untuk menontonnya.

Pujuk sang suami. Saya kira kalau drama aksi dia tak keberatan nak teman saya memandangkan filem Bisik Pada Langit saya pergi sendiri. Memang tak nak ajak suami pun sebab filem tersebut kisah sedih. Sudah tentu saya akan berdrama air mata. Sebelum dijadikan bahan dek laki sendiri, baik saya pergi menonton bersama teman.

Akhirnya, suami setuju nak bawa menonton Tombiruo. Dengan anak-anak sekali kami pergi. Dah lama tak pergi menonton wayang empat beranak.

Kami menonton di MBO dekat Melaka Mall sahaja. Lagi pun dekat dari rumah.

Sebelum masuk panggung haruslah bergambar di luar.

Berswafoto bersama anak-anak.

Kami empat beranak.

Bukan main tekun orang belakang mengulit telefon bimbitnya.

Sempat bergambar di dalam panggung.

Ini sudah keluar panggung.

Lepak kat sini dulu sambil memikirkan mahu makan malam di mana.

Akhirnya, makan di McDonald sahaja.

Keluar wayang, anak-anak asyik bertanya. Sebenarnya dari dalam panggung wayang telah disuarakan rasa tidak puas hatinya.

"Ma, kata ada Zul Ariffin tak ada pun." Itu dialog Dak Adik.

"Ma, kenapa Zul Ariffin kena pakai topeng?" Itu Dak Kakak pula bertanya.

"Kenapa dengan muka Zul Ariffin?" Dialog bersama dua-beradik.

Jenuh juga saya nak menjawab dan menerangkannya. Hihi. Budak-budak biasalah. Tak lari daripada sesi bersoal jawab.

Secara keseluruhannya, saya puas hati dengan filem Tombiruo ini. Walaupun Zul Ariffin tidak menampakkan wajahnya namun lakonannya masih mantap berganding dengan Faizal Hussein yang sememangnya hebat. Cuma wataknya sebagai ayah sekejap sahaja.

Adalah sedikit babak-babak yang terkehel, itu biasalah. Mana ada keseluruhannya sempurna. Tidaklah memberi impak sangat pada filem tersebut dan tidaklah saya rasa terkilan menontonnya. Saya memang tak pernah ikut novelnya sebab saya tak gemar baca thriller. Tapi selepas menonton Tombiruo saya rasa saya perlu menukar gaya bacaan saya. Novel Tombiruo yang kulit bukunya gambar pelakon telah pun saya beli tempoh hari usai beberapa hari saya menonton filemnya. Nampaknya saya perlu hadamkan novelnya pula.

Inilah novelnya yang baru saya beli seminggu yang lepas. Belum sempat membacanya. Akan diselitkan juga masanya sebab sekarang sibuk menulis. Ada banyak benda nak kejar jadi aktiviti membaca perlu diperlahankan buat seketika waktu. Itu sahaja perkongsian saya untuk hari ini. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim