Selamat malam.
Entri penutup kiranya untuk bulan Februari. Bulan ini paling sikit menulis di blog. Ini kiranya entri ketiga untuk bulan ini. Tersangatlah sedikit sepanjang saya menulis blog. Semakin hari terasa diri semakin sibuk. Walhal saya dah lama tak menulis. Bukan blog saja malahan menulis cerpen pun. Kiranya dua bulan ni berehat kononnya.
Mungkin satu sebab saya sibuk membaca. Membaca novel dan buku antologi. Kemudian ditambah dengan sibuk melayan drama-drama menarik yang ditayangkan di kaca televisyen. Itulah satu kerja tak menjadi.
Sibuk dengan rutin harian tu memang dah biasa. Saya sibuk melayan drama dari Kekasih Paksa Rela membawa ke Syurga Yang Kedua. Sekarang sibuk dengan Dia Anak General dan Lafazkan Kalimah Cintamu. Kalau terlepas tengok saya ulang menontonnya secara online.
Itulah yang bertambah-tambah santainya. Sebenarnya dalam masa membaca saya mencari momentum menulis kembali. Biasalah, kalau tidak menulis haruslah membaca. Kalau sudah menulis memanglah tidak sempat membaca.
Hari ini saya cuti. Bukan cuti nak berjalan ke mana-mana pun. Cuti sebab nak bawa mak ke Poliklinik untuk pemeriksaan berkala. Biasalah, dah warga emas haruslah membuat lawatan ke klinik. Kalau tidak dua bulan sekali pasti tiga bulan sekali. Bergantung pada keputusan yang diperolehi.
Cuma hari ini hampir setengah hari juga di klinik sebab mak kena cek jantunglah, kena X-Ray kemudian jumpa doktor lagi. Nasiblah saya mohon cuti. Dalam jam 11.00 pagi selesai. Kemudian saya dan mak pergi makan. Usai makan saya hantar mak balik dan saya terus balik rumah. Dalam kepala banyak kerja rumah saya nak buat. Sudahnya sampai rumah, saya jalankan mesin basuh kemudian berbaring di sofa. Rupanya saya terlelap. Jam 3.00 petang baru tersedar.
Allahu.
Betapa letihnya. Bila dapat letak kepala dan bersendiri memang lena tidurnya. Bila bangun cepat-cepatlah siapkan kerja sebelum petang sebab nak menjemput anak-anak pula di taska dan sekolah. Begitulah perjalanan kisah untuk hari ini.
Ada masanya bila begini kita mahu orang fahamkan situasi kita. Walau tidak mampu menghulurkan bantuan cukuplah sekadar memahami. Tahu tak betapa strugglenya kita menguruskan pelbagai urusan.
Semoga kita pun akan memahami orang lain yang punya masalah dan kesempitan. Berhenti sini dulu. Nanti akan saya tulis lagi. InsyaAllah. Sekian dan wassalam.
Salam pena,
Fyda Adim