Wednesday, April 25, 2018

12 Tahun Berkhidmat

Assalamualaikum.

Tanggal 27 Mac 2018, genap 12 tahun aku berkhidmat sebagai penjawat awam. Tak sangka sudah masuk angka belas-belaslah juga. Tiada lain yang mampu diucapkan. Alhamdulillah. Masa itu aku berusia 23 tahun semasa aku melapor diri di Putrajaya. Tempat pertama aku ditempatkan adalah di Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah. Merasalah aku selama sepuluh bulan berkerja di Putrajaya sebelum aku berpindah balik ke Melaka.

Waktu aku terima tawaran itu, aku baru sahaja bertunang. Rezeki kan. Itu yang aku mohon pindah balik ke negeri sendiri sebab bakal suami kerja di Melaka. Begitulah kisahnya. Apa-apa pun kenangan berkhidmat di Putrajaya sentiasa dalam ingatan.

Kawan-kawan yang sama lapor diri.
Kawan-kawan masa di KKLW.

Kenangan pergi BTN.
Kenangan Kursus Induksi Umum.
Kenangan Kursus Induksi Khusus.
Tak pernah dilupakan.


Gambar ini semasa aku menghadiri kursus induksi di PD. Bersama pegawai kami iaitu Encik Afnan.

Antara kawan rapat semasa di KKLW. Azliyana namanya. Sampai sekarang masih berhubung. Dia juga antara bridesmaid masa aku kawin.

Bersama Kak Linda. Tak silap masa ini kita orang nak berbuka puasa.

Inilah keluarga KKLW semasa aku berkhidmat di sana.

Itulah kenangan yang ada. Banyak lagi gambar tapi biarlah hanya menjadi tatapan aku. Sebahagiannya masih lagi berhubung. Sama ada di grup whatsapp atau pun di laman muka buku. Semoga kenangan manis ini tetap menjadi ingatan. Sekian dan wassalam.

Salam pena.
Fyda Adim


Tuesday, April 24, 2018

Cerita 15 Februari 2018

Assalamualaikum.

Kebetulan anak buah yang duduk di Bangi balik bercuti seminggu. Masa itu sebelum cuti Tahun Baru Cina. Jadi bila semua ada kita orang pakat-pakatlah nak keluar sama. Bukan senang nak sama-sama macam ini bila masing-masing sudah berkahwin. Adakalanya terikat dengan macam-macam komitmen. Bila sorang dapat pelepasan begini kami yang kat rumah mestilah seronok.

Merancang nak keluar sama-sama walaupun sekejap. Dapat bersembang dan bersantai sambil makan-makan. Nak shopping memang tidaklah kan. Dapat keluar sekejap pun sudah cukup heaven. Aku keluar jumpa dia orang lepas balik kerja.

Aku jemput dia orang kat rumah. Sebelum keluar mestilah bergambar. Paling suka gambar ini. Terima kasih pada photoGnya.

Sekali lagi. Cucu aku sudah tak reti nak tengok kamera.

Dalam kereta pun mesti nak berswafoto. Setiap pergerakan mesti dikenang. Begitulah kononnya.

Kami ke AEON Ayer Keroh dan melepak di KFC. Itu saja yang paling mampu ketika itu sebab perlu berjimat gaji awal nak raya cina.


Bergambar tak habis-habis. Cucu aku sampaikan tertidur.


Aku dan Adibah. Kebetulan dia dapat keputusan master dia dengan cemerlang. Alang-alang kira meraikan dia sekali.

Kemudian aku nak beli hadiah kawin untuk kawan sekolah.

Sementara menunggu hadiah dibalut.

Inilah cucu aku, Amanda Dareena namanya.

Kita orang masuk Popular dan ternampak buku Antologi Cerpen Kelip-kelip Kusangka Api. Suruhlah anak buah aku bergambar dengan buku aku tu.

Ini pula sementara menunggu Adibah. Dia tengah beli barang masa ini.

Baru bergambar semuanya. Kita orang ini nama semua pangkal A. Alfidah, Afiqah, Amirah, Amanda dan Adibah. Gigihkan. A with love. Hahaha.

Sebab viewnya cantik aku pun bergambar dengan Amanda. Semenggah lagi nenek mendukung budak kecil. Sudah lama tak dukung bayi memang lenguh jugalah tangan. Amanda pun sudah semangat badannya. Itulah cerita kami untuk beberapa jam keluar berjalan. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



Segmen Motivasi Sihat Dalam Mingguan Wanita

Assalamualaikum.

Hai semua.

Alhamdulillah. Momentum menulis macam dah sampai. Hari ini muncul lagi dengan entri yang baharu tapi ceritanya sudah lama. Oleh sebab memang sudah terperam dalam folder draft, marilah aku coretkan sedikit sebagai kenangan. Kenangan buat aku dan keluarga sekurang-kurangnya.

Awal tahun hari itu kisah aku dan keluarga terselit dalam ruangan Motivasi Sihat dalam Majalah Mingguan Wanita. Dapatlah aku berkongsi serba sedikit tentang aktiviti hiking yang aku selalu ikut tok laki.

Jadilah kenangan dalam majalah.

Kononnya jadi pembakar semangat. Begitulah harapannya. Semoga walaupun tidak berhiking sekurang-kurangnya aku dapatlah meneruskan cara kehidupan sihat dengan lebih baik. InsyaAllah. Mudah-mudahan.

Inilah ruangan yang dapat aku dan keluarga terselit. Terima kasih pada wartawannya kerana sudi menyiarkan kisah aku yang tidak seberapa. Alhamdulillah. Sekian dulu entri ringkas untuk pagi ini. Nanti aku muncul dengan entri yang lain pula. Wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Monday, April 23, 2018

Hiking Di Bukit Batu Putih

Assalamualaikum.

Entri ketiga untuk hari ini. Gigihlah mencari kekuatan untuk menulis entri untuk hari ini.  Mungkin mood sudah kembali. Kononnya mood ke laut. Entah laut mana yang dia menjunam. Ini mungkin angin monsun sudah tiup balik ke darat. Terbaca blog Kak Dalin Ali. Aku suka dengan ayat yang dia tulis.

"Bagi orang yang suka menulis, dia macam ada silence sadness tau bila kau tak dapat menulis. Iyelah kau suka, cuma kau tak ada masa."

Betul.

Aku tersangatlah setuju. Memang memendam rasa ajelah. Kau nak menulis dalam masa yang sama kau dihimpit dengan pelbagai pekerjaan lain. Kerja di rumah dan kerja di pejabat. Bila dah penat otak di pejabat kau memang takkan ada masa nak memikirkan ayat-ayat yang sepatutnya.

Kadang hanya mampu tulis 'Assalamualaikum.' Kemudian sign out. Berbulan-bulanlah entri itu terperam dalam folder draft. Sama juga dengan entri ini. Aktiviti hiking ini tahun lepas punya cerita. Kami ke Batu Putih dalam bulan Disember. Aku memang ikut hiking ini sebab hobi YDC (Yang Dicintai). Nak tak nak kenalah ikut juga. Aku bukan seorang yang suka dengan aktiviti lasak. Itu pun atas bukit pun boleh jadi bertekak.

Sebabnya aku yang membebel cari fasal dengan tok laki.

"Tau saya tak ikut. Duduk tunggu kat bawah lagi bagus. Penat ni."

"Bernafas ikut mulut. Tarik nafas lepas." Masa itulah dia ajar aku teknik nak bernafas. Risau kalau aku pengsang bila tengok bini dah mencungap semacam. Hahah. Penat wei.

Housemate suami pun ikut sekali. Aku macam biasa di belakang sambil bergambar.

Rumah Api Tanjung Tuan.

Pemrandangan dari rumah api.

Kami empat beranak.



Permandangan yang indah dari atas bukit.

Hiking punya fasal tudung dengan baju tak sedondon pun tak apa.

Sempatlah bergambar secara semenggah atas bukit tu. Punya seksa nak panjat celah-celah batu. Aku tak pernah terfikir nak jadi selasak itu.

Sempat suruh laki amik gambar.

Swafoto kami suami isteri. Anak-anak dah ke depan ikut Uncle Hafiz (housemate suami).

Aku sudah sampai. Anda bila lagi? Tanya macam sampai buat umrah atau haji aje.

Ini aku sudah lega sebab sudah selamat sampai bawah. Tinggal nak menapak ke kereta aje. Huh. Sakit segala urat sendi.

Lega sangat bila sampai kat kereta. Dia punya nak sampai tu rasa nak merangkak pun ada. Tengok aku fefeeling dekat Adriana. Mak hang punya seronok bila dapat melabuhkan punggung. Seronok tak terkata. Itu sahaja cerita aku serta keluarga. Nanti aku ceritakan kisah hiking yang keluar di Majalah Mingguan Wanita. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



Gathering Ex SMK Infant Jesus Convent

Assalamualaikum.

Entri kedua untuk hari ini. Gigihlah aku menulis malam tadi untuk keluarkan entri ini untuk hari ini. Kisah Disember tahun lepas. Entri ini memang aku peram dulu sebabnya aku ada hantar kisah reunion ini di Majalah Mingguan Wanita. Itu yang ceritanya aku tak boleh nak tulis lagi.

Disember, menemukan kami. Bekas pelajar SMK Infant Jesus Convet. Pertemuan mengejut yang dirancang dalam masa lima hari sebelum hari kejadian. Selalunya yang dirancang berbulan-bulan tidak pernah menjadi. Alhamdulillah, yang dirancang saat-saat akhir menjadi pula.

Walaupun tidak ramai, sekurang-kurangnya pertemuan ini menjadi setelah beberapa tahun tidak berkumpul begini. Kami habiskan dalam masa lima jam sesi pertemuan ini. Pertemuan di tepi Tasik Ayer Keroh secara potluck.

Aku dan seorang kawan aku yang kebetulan balik Melaka untuk bercuti akhir tahun. Dia yang paling tercampak jauh nun di Sarawak. Aku dan dia yang mengaturkan sesi pertemuan ini. Kita orang whatsapp setiap kawan-kawan kita orang. Siapa yang boleh datang dan siapa yang tidak boleh. Lepas semua dah beri keputusan, kami wujudkan grup whatsapp untuk pertemuan ini. Senang nak berbincang nak bawa apa, nak beli apa. Begitulah.


Ini grup awal yang hadir. Bergambar dulu sementara menunggu yang lain.

Antara makanan yang ada pada hari itu.

Sandwich, bihun goreng, asam pedas daging, sayur, nasi, rendang ayam dan macam-macam. Aku pun dah lupa.

Sambil makan sambil bersembang. Kisah dua puluh tahun diimbas kembali pun ada. Gigih nak mengingatkan. Bersembang satu hal. Gelak tak ingat dunia pun dah satu hal. Itu sebab kita orang pilih tempat terbuka supaya gelak tawa kami tidak menganggu manusia sekeliling.

Swafoto lagi sebab yang depan tu baru sampai. Bising ajak bergambar.

Kebetulan ada dua orang yang sambut hari lahir, tokey kek sponsor kek.

Inilah dua orang yang sambut hari lahir.

Tokey kek yang tudung merah. Kali ini ada dua orang yang baru datang. Itu yang asyik bergambar.

Bergambarlah selagi terdaya sebab ini yang akan menjadi kenangan.

Kami datang secara solo. Suami dan anak-anak tinggal sebab nak fokus untuk kita orang bersembang. Kebetulan ada sorang yang sedang menunggu hari. Dia saja yang mengangkut suami dan anak-anak.

Macam-macam gaya. Bersembang sambil kejung-kejung pipi sebab gelak. Kawan-kawan aku ni semua jenis yang happy go lucky. Buat lawak spontan pun kau dah boleh mengekek gelak.

Memang seronoklah rasanya pertemuan ini. Kami yang seramai 11 orang pun dah cukup gamat suasana.

Sebelum pulang, dapatlah bergambar lagi. Tadi gambar duduk. Nak berdiri pula. Selagi tak balik selagi itu bergambar. Dari kiri: Azliza Daud, Siti Maslizah Abdul Rahman, Nor Fadhlin Jaafar, Noor Hafiza Nekmat, Alfidah Adim (aku), Farah Eyani Zainal Abidin, Nur Hanani Zamani, Norni Maulud dan Khalisah Md Nor.

Oh ya, untuk warga Melaka kalau berminat nak tempah kek dengan kawan aku boleh ke Instagramnya di SINI. Bolehlah ajukan soalan pada empunya badan. Macam-macam jenis kek dia buat. Bolehlah request macam mana bentuk. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Fit Malaysia Run Di UTC

Assalamualaikum.

Entri ini agak lama tersimpan dalam folder draf. Entah kenapa sekarang susah sangat nak kejar untuk tulis entri mengikut jadual. Kadang berbulan-bulan terperam. Sudahnya mood pun hilang begitu sahaja. Bila cerita dah lama dan basi memang lagilah aku malas nak menulisnya. Memang entri itu akan kekal menjadi draf buat selama-lamaya.

Tahun ini entah mood apa yang merasuk. Aku teringin nak masuk larian. Ini adalah aktiviti larian aku yang pertama aku ikut serta. Rancangan last minit. Aku terpandangkan iklannya di dinding muka buku. Kemudian cari kawan yang berminat. Memang Allah nak temukan dengan mereka. Rupanya mereka pun berminat. Alhamdulillah.

Adakalanya, sesuatu minat boleh mendekatkan hubungan seseorang. Tak semestinya pasangan. Kawan contohnya. Minat tengok drama kau carilah yang boleh bersekongkol dengan kau kan. Kalau minat lari kau carilah kawan yang sehala dengan kau. Sama juga dengan pasangan. Adakalanya minat tak sama tapi kita boleh cuba cari keserasiannya di situ.

Eh, aku dah termerepek apa ni. Berbalik pada tajuk. Aktiviti larian ini aku serta masa Januari. Lama gila punya cerita. Dah hujung April barulah gigih nak menulisnya. Gambar dah lama aku upload tapi nak menulis bukan main bercinta.

Pagi itu yang aku ingat hujan. Memang hujan dan kita orang berlari dalam hujan. Gigih kan.

Wajah-wajah kami yang pertama kali ikut serta. Dari kiri : aku (Kafida), Mardiana (KaMar) dan Zanariah (Kazana). Nama dalam kurungan tu nama manja masing-masing. Haha. Kami bukan sebaya tapi aku kira yang kecik. Gitu.

Selagi tak lari selagi itu bergambar.

Memang trend bergambar tunjuk kasut.

Ini setelah selesai tiba di garisan penamat.

Medal pertama kami. Dapatlah kami berlari sejauh 3km masa tu.

Selesai lari pekena secawan limau suam dan dua biji telur separuh masak. Alhamdulillah. Pengalaman pertama untuk tahun ini. Sudah menjadi sebahagian aktiviti untuk diri sendiri. Nanti aku ceritakan lagi. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim