Showing posts with label Hubby Wifey Stories. Show all posts
Showing posts with label Hubby Wifey Stories. Show all posts

Thursday, September 13, 2018

Genap Tiga Tahun Sebagai Pasangan Jarak Jauh

Assalamualaikum.

Selamat pagi semua.

1 September 2018, aku dan Tuan Apen genap tiga tahun menempuh hidup sebagai pasangan jarak jauh. Walaupun jaraknya tidaklah berapa jauh sangat, hanya sebelah negeri sahaja tetapi dua jam juga nak sampai kalau nak berjumpa. Setakat tiga tahun ini, Tuan Apen yang akan balik setiap hujung minggu. Ini juga bermakna tiga tahun juga kami menempuh cuti hujung minggu yang tidak sama. Cuti hujung minggu dia, jumaat dan sabtu manakala cuti hujung mingguku sabtu dan ahad.

Tahun pertama aku menempuhnya adalah tersangat haru biru. Pertama kali sebagai pasangan jarak jauh memang sangat mencabar dan memberi kesan pada aku. Tipulah kalau cakap awal-awal aku kental. Tidaklah. Setiap kali suami nak balik sana, aku dan anak-anak menangis berjemaah. Hahaha. Teruk betul rasanya.

Waktu itu pula, Ammar masih tadika. Ditambah lagi dia rapat dengan apaknya. Jadi memang aku sedikit susah menguruskan emosi Dak Adik. Emosi aku sendiri pun kadang tunggang-langgang. Hahaha.

Menjadi pasangan jarak jauh ini membuatkan aku belajar untuk hidup berdikari. Sebenarnya aku ni sejenis perangai penakut. Memang serba-serbi penakutnya tetapi sejak suami kerja jauh, aku belajar untuk memberanikan diri walaupun tidaklah berani mana pun. Ada juga dalam sesetengah keadaan yang aku penakut.

Dalam pada masa inilah, aku tahu siapa yang mengambil berat dan selalu bertanya khabar aku dan anak-anak sepanjang ketiadaan suami. Alhamdulillah. Mujurlah aku tinggal berdekatan dengan rumah mak ayah aku. Dekat sangat tu tidaklah tapi sekurang-kurangnya aku ada keluarga di sini. Tidaklah terkontang-kanting sendiri.

Tipu kalau cakap aku tak sedih kalau tengok orang lain yang suaminya ada aje di rumah. Mula-mula memang perasaan itu hadir dan membelenggu diri. Tapi aku tepis-tepis juga perasaan itu. Aku cari kawan yang segeng dengan aku. Aku kena cari kelompok yang sama supaya kita tidak akan rasa perasaan yang bukan-bukan.

Dalam tiga tahun ini, banyak juga perkara yang pernah terjadi. Kereta rosaklah, tayar pancitlah, tersadai tepi jalan; tiba-tiba-kereta-tak-boleh-dihidupkan, kucing matilah, kucing hilanglah, macam-macamlah yang pernah berlaku.

Semua tu melibatkan tekanan pada diri dan bebanan emosi. Hahaha. Aku pula sejenis gabra. Kan sudah dimaklumkan entri sebelum-sebelum ini. Rasa pernah beritahu.

Paling tak boleh lupa, kereta tersadai tepi jalan. Kejadian berlaku tahun lepas masa bulan Ramadhan. Aku singgah pasar ramadhan masa itu. Berhenti kereta betul-betul tepi jalan. Masa tu ada parking. Memang tepi jalan betul. Usai membeli makanan, aku pun masuk kereta dan mahu menghidupkan enjin.

Tiba-tiba tak mahu pula enjinnya hidup. Beberapa kali juga aku cuba dan mengharapkan keajaiban waktu itu. Tapi tidak berjaya. Ah, sudah. Cuak sendirian dalam kereta. Sudahlah panas. Memang berpeluh-peluh. Dugaan bulan puasa. Capai telefon. Telefon suami. Disuruhnya aku buka bonet depan (tak tahulah istilah yang betul). Suruh aku gerak-gerakkan wayar dekat enjin.

Ah, sudah. Tak memasal aku nak buat. Aku yang tak pernah umur bukak bonet depan disuruhnya buat macam tu. Hahaha. Dengan baju kurung kemudian tepi jalan. Ye, tepi jalan. Lagilah aku cuak. Sudahnya, aku telefon jiran. Jiran perempuan. Dia pun macam aku. Pasangan jarak jauh juga. Dia nak datang kat aku. Dalam pada tu, aku telefon kakak sepupu aku. Waktu-waktu genting macam ni, semua orang aku telefon. Mujurlah kakak sepupu aku, anaknya balik Melaka masa tu. Dia yang datang dan tolong aku. Aku terus balik rumah mak jemput anak-anak dan terus balik rumah. Takut aku nak matikan enjin.

Itu fasal kereta. Memang serabut bila kereta meragam. Sudahlah itu sahaja kenderaan yang ada untuk aku ke kerja, hantar dan jemput anak-anak.

Dalam hal-hal berlaku, aku banyaklah minta tolong dengan kawan-kawan. Selagi boleh cari kawan perempuan aku akan minta tolong pada mereka. Melainkan kalau sudah diluar kemampuan kawan perempuan aku, terpaksa juga menggunakan kudrat lelaki aku terpaksalah mohon bantuan dengan lelaki. Itu pun setakat ini adalah seseorang yang aku selalu minta tolong.

Dia officemate aku tapi bila aku nak minta tolong dengan dia, aku akan beritahu isterinya dulu. Kebetulan aku kenal isterinya. Bukan apa pun, tak naklah ada apa-apa rasa yang tidak sepatutnya. Mana tahu isterinya kecil hati dan tertanya-tanya. Macam aku juga. Aku pun kadang macam annoying kalau tiba-tiba adalah pompuan yang tiba-tiba cari laki kita. Tapi aku jenis annoying lagu tu ajelah. Tidaklah sampai nak meroyan tapi aku aimlah kau sampai bila-bila. Hahaha.

Contohnya, macam lipan masuk bilik air. Telefon laki kita malam-malam. Kau dah kenapa? Kalau rumah sebelah-belah aku boleh terima lagi. Ini memang jauh. Agak lipan pun boleh lari masa laki aku sampai. Bersangka baik. Jiran kiri kanan tak ada barangkali. Itu yang jauh alam menelefonnya.

Jadi bila situasi begitu kita pernah rasa, harap aku tidaklah membuatkan orang lain terasa macam aku. Manusia ni kadang memang tak peka sensitiviti orang lain. Ini bukan perihal cemburu atau tidak. Ini berkenaan perasaan orang. Fasal respect orang lain. Itu saja. Belajar tinggi-tinggi pun tidak guna kalau tidak tahu hormat perasaan orang lain.

Oh ya, kebetulan juga. Ini gambar suami dan housematenya. Tiga tahun menjadi housemate, akhirnya mereka akan membuat haluan masing-masing. Housematenya sudah dapat pertukaran ke Putrajaya. Tinggal Tuan Apen. Jadi aku letakkan gambar mereka di sini sebagai kenangan. Semoga perhubungan ini tidak putus memandangkan aku kenal juga dengan isteri housematenya.

Rasanya setakat ini dulu coretan merangkap celoteh aku yang panjang lebar pula kali ini. Terpanjang pula entri kali ini. Biasalah kalau dah mula menaip mulalah idea datang mencurah-curah. Alangkah bagusnya kalau idea mencurah-curah macam ni masa tulis cerpen. Hahaha.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Sunday, August 26, 2018

Hari Berdua

Assalamualaikum.

Selamat petang.

Jumaat malam, anak-anak balik rumah mak mentua sebab sabtu tu mak uda dia orang nak bawa bercuti kat Grand Lexis. Jadi hantarlah dia orang ke sana. Aku dan suami tak ikut pun. Mak uda dia orang nak bercuti sebelum bersalin. Itulah dia angkut sekali anak-anak aku.

Bila anak-anak berjalan tinggallah, aku dan suami. Sesekali tinggal berdua apa salahnya. Boring juga bila anak-anak tiada. Aku pandang suami, suami pandang aku. Hahaha.

Begitulah agaknya nanti bila sudah tua. Bila anak-anak sudah membesar. Mungkin kerja jauh atau berumahtangga. Tinggal berdualah. Jauh sudah aku memikirkannya. Semoga dipanjangkan umur dapat merasa dan melihat anak-anak membesar.

Balik hantar anak-anak, kita orang singgah melepak McD.

Esoknya, suami ajak hiking. Setelah sekian lama aku tak berhiking, semalam berbekalkan semangat yang tak berapa nak ada, aku berjayalah hiking. Hiking kat Beruang Hill. Aku fobia sebenarnya nak memanjat kat sini. Tahun sudah pergi aku mampu panjat separuh jalan. Balik rumah muntah-muntah. Huh.

Dah alang-alang memanjat, marilah bergambar. Bukan senang nak sampai.

Sampai juga di atas. Aku dah ajak suami patah balik sebenarnya.

Hiking tanpa anak-anak.

Suami suruh bergambar lagi.

Gaya bergambar tu kena ada. Hantar kat geng lari. Kemahen posing katanya. Tak tahu betapa azab aku nak memanjat tadi sambil dihiburkan dengan bebelan pakcik apen.

“Macam inilah Ammar naik semalam. Macam mana perangai Ammar macam itulah perangai awak.”

Lalu kat satu tempat pakcik sambung lagi.

“Sinilah semalam suruh Ammar pijak terkial-kial dia nak memijaknya. Penakut sangat.”

Eh, bebel pulak dia. Nasib dalam hutan kalau tak aku tinggal dia.

Semalam, upload gambar ni di Insta dan itulah captionnya. Panjang gila. Biasalah kalau dah mula menulis sampai Insta pun jadi ruang cam menulis blog.

Aku siap duduk dulu. Tak larat nak kejar orang depan tu. Lepas hiking balik rumah. Terbongkang aku. Sampai rumah, sejukkan badan terus tertidur. Hahaha. Memang aku hentam tidur. Kaki sudah terasa sengal-sengal. Dalam jam dua aku bangun. Solat dan makan. Kemudian lepas Asar, kita orang keluar.

Makan rojak.

Minum cendol.

Kemudian ke AEON Bandaraya. Jalan-jalan cucimata. Terbeli sehelai t-shirt. Puas pusing kita orang pergi Old Town kat Bukit Beruang.

Suami makan roti aje. Diet.

Aku tak diet. Pesan semangkuk mi kenyal. Sedap. Aku memang suka makanan begini. Kemudian dah selesai makan terus balik rumah. Begitulah semalamnya. Sesekali dapat menghabiskan masa berdua dengan suami seronoklah walaupun hiking tu bukan kena dengan jiwa aku. 

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



Tuesday, September 5, 2017

Outing Laki Bini

Assalamualaikum.

Hai bloggerians.

Selamat pagi semuanya. Selamat memulakan hari ini yang pasti dalam keadaan mood isnin walaupun sudah selasa. Hehe. Bukan selalu dapat cuti panjang begini. Cuti merdeka sambung dengan cuti raya haji ditambah cuti sabtu ahad dan ditambah lagi cuti khas. Memang heaven sesangat. Tambah lagi minggu lepas cuti sekolah. Tidaklah aku terkejar-kejar menguruskan anak-anak.

Agak santailah sikit. Memandangkan anak-anak balik rumah neneknya (rumah mak mentua), aku dan suami berjalanlah. Dating kononnya. Tak kemana pun. Duduk bersantai kat kedai. Makan-makan, minum-minum dan borak-borak. Macam kat rumah ko tak boleh berborak. Haha.

Feeling amik angin malam gitu. Bukan selalu pun nak dapat masa begini. Sesekali ini yang sangat berharga. Teringat zaman bercinta. Jadi pupuklah kembali.

Wajah yang semakin berusia.

Ambil angin di tepi Sungai Melaka.

Saje aje suami aku tak pandang kamera.

Jus epal susunya sangat sedap.

Spageti aglio olio pun sedap.

Ini menu suami. Lupa dah namanya.

Malam tu kami sedondon mengenakan jeans. Kononnya. Suami suruh pakai sekali.

Lewat malam juga baru kami pulang ke rumah. Mengambil angin malam minggu yang begitu menenangkan. Menyaksikan suasana malam yang masih sibuk dengan kenderaan dan umat manusia. Itu sahaja titipan pagi ini. Sambung lagi dengan kisah lain. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Sunday, May 14, 2017

Santai Berdua Di Hard Rock Cafe

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa. Bismillah.

Hai semua.

Entri ketiga untuk hari ini. Gigih aku menulis. Semuanya jadi entri auto published. Ini entri lagi lapuk dari entri sebelumnya. Berlaku sekitar bulan Disember tahun lepas. Memandangkan aku dah upload gambar-gambarnya dan terperam dalam folder draf, aku gigihkan juga menulis. Lagi pun ini kali pertama aku menjejakkan kaki ke Hard Rock Cafe. Jadi haruslah aku titipkan sebagai kenangan. Nanti boleh tunjuk anak cucu.

"Eh, nenek pernah masuk Hard Rock Cafe."

Itulah yang nak dibanggakan sang nenek. Nenek jangan macam-macam. Ok, tak ada niat apa-apa pun. Ceritanya masa tu cuti sekolah. Kebetulan anak-anak balik rumah mak mertua. Memang itu kebiasaannya masa cuti sekolah dia orang. Jadi kami tinggal berdua. Keluarlah jalan-jalan. Asben ajak tengok live band. Serius, aku memang tak pernah tengok live band. Orang kampung. Manalah pernah nak berlive band bagai. Tak minat pun sebenarnya. Kalau suruh layan drama aku minat. Asben selalu pergi dan aku selalu dengar cerita dia aje. Dari dulu-dulu masa dia belajar. Aku tak nak tau dia pergi dengan siapa. Kahhhh..

Jadi malam tu, dia ajak pergi. Nak masuk Hard Rock pun dia yang uruskan. Aku memang tak tahu apa. Tercengang-cengang juga masuk. 

Masa ni jalan tepi Sungai Melaka.

Swafoto kami.

Melihat keindahan malam.

Dari seberang sungai sudah kelihatan.

Sebelum masuk haruslah bergambar. Buktinya sudah sampai. Kau tak habis dengan bukti.

Suasana dalam tu.

Bergambar lagi kerjanya. Pesan makan dan minum. Entah apa nama makanannya. Gambarnya pun entah ke mana. Tak lama pun aku duduk dalam tu. Dah bingit ditambah rimas, aku ajak asben keluar. Mahal jugak nak masuk dalam ni. Mungkin pertama dan terakhir aku masuk sini.

Sebelum keluar bergambar di ruang ini.

Bergambar lagi.

Kali ini, aku pula bergambar sorang. Sesekali bolehlah layan. Bak kata asben ni entah berapa tahun lagi kita masuk. Nak bawak bini tengok live band aje pun. Kalau aku tak pergi pun tak apalah. Lepas kedai mamak pun dah cukup. Apa-apa pun terima kasih husband!Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Tuesday, March 21, 2017

Apen Ida Berdating

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa. Bismillah.

Hai semua.

Minggu ini cuti sekolah. Memandangkan cuti sekolah, anak-anak mahu ke rumah neneknya. Nenek sebelah papa dia orang. Biasalah bila cuti sekolah kat sana ramai sepupu-sepapatnya. Waktu hari sekolah budak berdua tu dah selalu bergentayangan rumah neneknya, sebelah aku. Jadi biarlah cuti sekolah balik ke sana pula.

Minggu ini cuma tiga hari saja tinggal di sana memandangkan hari rabu, Adriana sudah mula kelas tuisyen mandarinnya. Petang nanti aku jemput kakak dan adik. lama-lama pun tak boleh nanti aku kesunyian. Ini pun dah kemurungan. Laki jauh, anak-anak jauh. Aku terkontang-kanting sendiri.

Bila sendiri, inilah masanya ber'me time'. Sehari bolehlah gunakan masa 'me time' tu. Bila masuk hari kedua, rasa nak mereput. Jadi sabtu malam kami hantar anak-anak. Usai hantar anak-anak pada mak mertua, aku dan suami menggunakan peluang bila berdua. Berjalan-jalan di Banda Hilir tengok permandangan malam di tepi Sungai Melaka.

Sesekali berdating. Bukan senang nak dapat waktu berdua begini. Sang suami sedang melihat menu.

Malam itu kami berdua lepak di The Street Kitchen.

Berswafotolah kami. Asben memang selalu gitu kalau di ajak bergambar. Bajet-bajet pandang tempat lain.

Menu aku malam itu. Tak sudah-sudah dengan spageti aglio olio. Tapi yang ini pedas gile. Berair mata nak menghabiskannya sebab dia guna cili padi.

Pagi ahad, asben potong rumput dan bersihkan laman. Aku duduk jadi mem. Berdatinglah kita orang di tepi rumah.

Si Oren yang sudah empat ke lima bulan dengan kami. Itu dia sedang merayau-rayau.

Oren, balik! Dia datang tuju kat aku.

Lepas Zohor, ke Kuarters Kastam di Ayer Keroh menghadiri jemputan orang kahwin.

Berdualah kami.

Kemudian kami ke rumah kedua pula. Jemputan kawan lama asben dari FAMA.

Berswafoto tak habis-habis. Dari kenduri kahwin kami ke Tesco. Beli barang kemudian ke Mydin sebab aku nak cari barang. Selesai beli barang kami terus singgah makan. Kemudian terus balik rumah. Sampai rumah malam jugaklah. Kita orang kalau sudah berjalan memang begitu gayanya. Selagi tak nampak bulan selagi itu tak nampak jalan pulang. Kahhhh.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Monday, February 20, 2017

Keluar Tanpa Anak-Anak

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa. Bismillah.

Hai semua.

Isnin kembali lagi. Moga tiada yang melalui isnin biru ye. Rutin seperti biasa. Bangun pagi siapkan sarapan dan bekalan anak-anak. Setakat ini anak-anak bawa bekal ke sekolah. Kalau datang malas aku tepis juga sebab rasa tidak sampai hati menyelinap dalam diri.

Hari ini aku berpuasa jadinya tidaklah aku ke mana-mana. Hanya duduk di tempat dan buat kerja. Hari ini lebih kepada melayan perasaan sendiri sambil bermuhasabah diri.

Jumaat lepas, aku kan cuti. Jadi hari itu aku meluangkan masa berjalan-jalan dengan suami. Anak-anak sekolah jadi tidaklah timbul perasaan tidak sampai hati pada diri.

Jam 12 keluar untuk makan tengahari.

Makan kat sini. Lauknya pelbagai hinggakan aku rambang mata. Selepas makan suami terus ke masjid. Aku hantar suami kemudian balik rumah mak jap untuk bersolat.

Aku dan suami di Dataran Pahlawan.

Apa lagi tengok wayanglah kita. Jenuh memujuk sebab suami tak layan cerita melayu. Selalu aku ikut dia tengok cerita omputih. Kali ni atas permintaan sang isteri. Hehe...

Orang tak ramai. Waktu bekerja tapi kita orang siap dah beli online. Senang. Sampai-sampai tunjuk aje.

Balik tengok wayang aku singgah kedai bakeri. Mahu beli butter. Lepas tengok Syurga Yang Tak Dirindukan 2, aku kemurungan. Suami ejek aku. "Laaa, itu pun nak nangis."

Dari kedai bakeri singgah makan di Bukit Baru. Keow teow basah yang sedap hingga licin pinggan. Hehe. 

Sesekali dapat meluangkan masa bersama pasangan adalah waktu yang terindah. Boleh mengimbau zaman-zaman bercinta dulu kan. Alangkah manisnya. Hehe.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim

Thursday, December 22, 2016

Sepuluh Tahun Sudah Ikatan

Assalamualaikum.

Hai.

Selamat pagi. Malam tadi gigih bersengkang mata untuk menulis entri ini. Selesai siapkan barang-barang candy booth untuk empat event hujung minggu ini, aku terus mengadap komputer. Walhal mata sudah sekejap mengecil, sekejap membesar. Tapi oleh sebab hari ini adalah hari istimewa aku sebagai seorang isteri, maka aku titipkan sebuah entri di sini.

Sepuluh tahun yang lepas, tarikh hari ini adalah tarikh keramat aku dan suami. Kami selamat dinikahkan dalam sebuah majlis yang sederhana di Masjid Al-Azim setelah beberapa hari berposak dan berperang dengan banjir.

Iya, aku berkahwin masa banjir. Tahun 2006, waktu itu banjir besar melanda Melaka dan beberapa buah negeri. Waktu itu aku hanya mampu berdoa. Sehari sebelum majlis, dapur sudah naik air. Waktu itu pengumuman dibuat agar penduduk berpindah. Aku sudah siap siaga mengemas beg baju masa tu. Tak tahu nak fikir apa lagi masa itu. Berserah aje kekdahnya.

Aku yang sudah risau tengok air yang sudah cecah pintu rumah, lantas telefon mak andam.

"Kak, bukaklah pelamin akak ni. Rumah saya ni dah nak masuk air."

Mak andam kata "Tak apa, itu bencana alam." Begitulah jawapannya. Termenung depan pelamin sambil menjaga air dengan penyapu.

Sadis tak sadislah majlis perkahwinan aku. Hari jumaat yang sepatutnya aku bernika di rumah dan sepatutnya aku bernikah malam telah diubah. Aku bernikah di masjid dan dibuat selesai solat Jumaat. Kebetulan atau suratan? Sebenarnya suami aku memang nak bernikah di masjid tetapi atas permintaan mak yang nak aku bernikah di rumah jadi buatlah kat rumah. Bila dah banjir, bernikahlah kami di masjid. Aku tak kisah mana-mana, janji menikah. Kahhhh. Getek sangat bunyinya.

Tengahari masa aku bersiap mahu diandam, tiba-tiba mak andam telefon kata tak boleh datang sebab laluan banyak tutup. Sudahnya aku ke kedai mak andam dengan bantuan kawan aku yang bawa ke sana. Sadis kan. Macam rupa pengantin nak lari rumah. Keluar pergi kedai hanya pakai seluar track dengan tshirt. Masa aku keluar rumah air masih lagi tinggi. Redah sajalah. Beberapa jam aku balik dari kedai mak andam, aku tengok air yang tadi tinggi sudah surut. Serius, aku terkejut. Kemanakah perginya air itu?

Dalam tertanya-tanya, aku bersiap salin baju kurung berona biru lembut kemudian terus ke Masjid Al-Azim. Sampai masjid, boleh pula jam tangan di kota hantaran tertinggal. Aku alihkan masa sibuk-sibuk kemas beg masa dengar suruh pindah. Huru-hara rasanya aku masa itu.

Rombongan pengantin lelaki lambat tiba di lokasi sebab jalan jammed akibat banyak laluan yang ditutup masa itu. Sadis lagi kan.

Ayah aku yang menikahkan.

Baru boleh senyum sampai telinga bila selesai akad.

 Sebentuk cincin dan seutas gelang buat batal air sembahyang.

Kami sah bergelar suami isteri setelah tiga tahun berkawan. Waktu ini umur aku 23 tahun ye dan suami 26 tahun.

Di atas pelamin yang hampir mahu dibuka.

Bersama keluarga aku.

Suasana di khemah. Aku terperasan dalam gambar ini, ada yang sudah tiada lagi.

Pengantin bersama pengapit.

Zaman-zaman ini laki aku kalau senyum memang senyum terpaksa, tak ikhlas. Gitulah senyuman dia kalau bergambar. Sekarang dia yang over senyum dari aku kalau bergambar. Sepuluh tahun kahwin, sudah pandai berselfie. Gara-gara bininya asyik sibuk ajak bergambar.

Begitulah sedikit rentetan kisah sepuluh tahun yang lepas. Semoga mahligai ini akan berkekalan hingga jannah dan diberi keberkatan kepada kami sekeluarga. Moga ikatan yang tersimpul ini akan tersimpul rapi.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim