Wednesday, May 23, 2018

Cabaran Buat Mama

Assalamualaikum.

Selamat tengah hari. Entri kedua untuk hari ini. Baiklah kat sini aku nak kongsikan cabaran seorang mama menghadapi anak-anak yang baru belajar berpuasa. Cabarannya lagi bila aku kena handle benda ni sorang-sorang. Yelah, suami jauh. Kenalah hadap sorang-sorang. Sebelum puasa lagi hati sudah resah. Macam-macam fikir. Bukan fikir apa pun. Fikir mampu ke aku nak uruskan anak-anak. Jadi macam kerisauan yang tinggi membelenggu diri.

Paling risau dekat Dak Adik. Tahun ini memang nak ajar dia berpuasa. Bukanlah nak paksa tapi aku nak dia cuba. Lagi pulak dia tu jenis pemakan. Ikut aku juga tu. Kemudian dia dah darjah satu. Waktu dia bukan macam dia tadika dulu.

Mampu ke dia nak berpuasa?

Itu soalan yang berlegar-legar dalam kepala. Aku berperang dengan perasaan sendiri. Risau dan aku memang berpisah tiada. Sana risau, sini risau. Sudahnya sendiri yang stres. Haha. Lagi satu perkara yang aku risau.

Senang ke dia nak bangun sahur?

Kalau aku cerita kat kawan aku, mesti dia kata, "Kita kena konfiden dengan anak."

Yelah, kadang mak ni terlalu memikirkan walhal anak-anak okey aje. Tak ada pun masalah. Masalah kecil tu biasalah. Budak-budakkan.

Masuk hari keenam berpuasa, Dak Adik alhamdulillah masih berpuasa. Aku pun tak sangka walaupun dia ada juga merengek lapar. Ada. Siapa kata tak ada. Ahad lepas masa puasa hari keempat, sedang aku leka masak di dapur dia bawa lari roti. Acah-acah nak makan.

Apa-apa pun urusan aku dipermudahkanlah juga. Anak-anak aku senang bila dikejutkan sahur. Setakat ini masih bersahur. Dak Adik pun masih gigih bangun. Sahur kita orang dalam jam lima sebab aku dan anak-anak terus bersiap untuk ke sekolah. Memang dia orang tak tidur lepas sahur.

Mampu lagi nak senyum masa sahur bila mama amik gambar dia. Mak dia semua nak ditangkap gambar. Ini nanti kenangan. Boleh tunjuk Ammar bila dia besar nanti.

Ini pula entah sahur hari keberapa. Aku main tangkap aje tapi tak ingat. Alhamdulillah. Apa yang difikirkan tidaklah terjadi pun. Kita ni selalu bersangka buruk. Kadang macam tak yakin dengan diri sendiri begitulah jadinya. Semoga urusan aku sentiasa dipermudahkan. Amin.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



No comments: