Wednesday, August 15, 2018

Review Pulang

Assalamualaikum.

Selamat pagi semua.

Entri pagi ini aku nak review fasal Pulang. Oleh sebab aku dah baca novel Pulang dan dah pun menonton filemnya juga, jadi memang aku nak review filemnya. Tempoh hari aku dah review sikit fasal novelnya yang ditulis oleh Lily Haslina Nasir. Kali ini aku nak juga review filemnya pula. Entri fasal novel boleh di baca di sini.

Baca novel pun aku boleh membayangkan watak hero heroinnya, Remy Ishak dan Puteri Aishah. Apa entah lagi bila aku tengok mereka berlakon. Cuma bila filem dengan novel permulaanya mesti sedikit lain.

Mula sahaja ceritanya ayat-ayat yang Thom ungkap sudah buat hati aku tersentuh. Air mata sudah bergenang. Oh, aku sudahlah cepat berair mata. Bila dengar ayat-ayat meruntun hati memang pasti membuatkan kelopak mata berair.

Antara dialog yang menyentuh hati.

"Ahmad cari di mana atok kau sekarang. Aku nak tahu sebelum aku pergi."

Cerita ini yang membuatkan aku terkesan sebab diilhamkan dari sebuah kisah benar. Sememangnya filem Pulang arahan Kabir Bhatia terbaik di abad ini. Garapan filem, sinematografi dan latar belakangnya yang sangat baik. Remy Ishak kiranya tunjang utama dalam filem ini.

Lakonan Remy Ishak tidak pernah mengecewakan. Memang berkesan dan bagus sekali Remy Ishak memegang watak Othman. Memang boleh menyelami watak dan jalan ceritanya. Sedangkan baca novelnya pun sudah cukup membuatkan hati ini sendu.

Pulang sebuah kisah kehidupan.

Sesuai ditonton seisi keluarga. Kisah percintaan nan abadi antara suami isteri dan kasih seorang abah dan anaknya.

Pulang juga mengisahkan sebuah pengorbanan.

Pengorbanan si suami yang terpaksa menjadi kelasi dan belayar merentasi lautan demi mengubah nasib keluarga. Dia mahu menyenangkan sang isteri dan anaknya. Dia terpaksa hidup mengenangkan isterinya.

Manakala si isteri pula terpaksa berkorban untuk melepaskan suaminya pergi walaupun terpaksa. Menunggu dengan penuh setia kepulangan suaminya. Namun Thom agak terkilan bila suaminya mengirimkan poskad tanpa memberitahu apa-apa di dalam poskad tersebut. Asyik ulang ayat yang sama.

Dari sisi anaknya, Omar pula dia yang selalu memujuk emaknya.

Aku yang menontonnya, macam dibawa pada mereka. Mereka terasa kehidupan waktu dulu amatlah susah. Terpaksa belayar jauh beribu batu daripada keluarga.

Babak yang paling aku terkilan dan geram pun bila mana Othman sebenarnya sudah pulang tapi sebab masa dia pulang itu ada kejadian yang berlaku. Thom bertunang dengan Cikgu Hassan. Itu yang membuatkan Othman berpatah balik. Sebenarnya isteri dia tak jadi berkahwin pun. Kiranya Othman membawa diri kerana kecewa. Sudahlah dia lepas melalui kapalnya karam. Habis segala wang simpanannya.

Part ini memang aku menangis teruk.
Entah berapa banyak air mata yang tumpah.
Memang lencun tisu yang aku pegang.

Begitulah pengakhiran mereka.
Othman dan Thom.
Takdir tidak menyebelahi mereka.

Hasil carian imej untuk pulang

Othman seorang yang setia.
Sepanjang hayat mengenangkan isteri.
Thom juga sepanjang hayat menunggu kepulangan suaminya.
Cinta mereka utuh dan sangat agung. Cuma nasib tidak menyebelahi mereka untuk bertemu hingga akhirnya.

Bayangkan bagaimana Othman menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Liverpool sehinggalah anaknya, Omar datang mencarinya. Mujurlah anaknya sempat berjumpa dengan abahnya.

Apa pun, filem Pulang adalah sebuah cerita yang menarik. Kalau pergi menonton untuk kali kedua pun tak akan rasa rugi. Oh, aku rasa tak mampu nak pergi lagi. Entah berapa banyak lagi air mata yang akan tumpah. Sedangkan dengar lagu OST Pulang pun air mata boleh mencurah-curah.

Itulah takdir yang Allah sudah tentukan buatkan Othman dan Thom. Al-fatihah buat kedua-duanya. Dari cerita ini, kesetiaan dan menghargai itu perlu diambil sebagai pengajaran.

Orang dulu, bukan main setia dan berpegang pada janji. Bukan main payah nak berhubung, kena guna surat tetapi tetap setia menanti. Orang sekarang, sudah ada macam-macam kemudahan itu pun ada aje yang berskandal sana sini.

Hargailah selagi di depan mata.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim

No comments: