Monday, January 23, 2017

Rutin Harian Yang Sibuk Atau Kelam Kabut?

Assalamualaikum.

Hai.

Selamat pagi semua. Isnin seperti biasa. Kembali dengan rutin harian dan tugas hakiki. Selamat memulakan kerja pada sesiapa saja. Baik yang keluar bekerja ataupun yang bekerja di rumah saja. Semuanya sama. Masih lagi dikategorikan bekerja. Minggu ini sudah minggu keempat anak-anak bersekolah. Sekejap saja masa berlalu. Setakat tiga minggu yang dilalui, aku masih lagi dapat menyediakan bekal anak-anak ke sekolah.

Walaupun adakalanya diri terasa letih namun perlu digagahkan juga diri demi anak-anak. Maklumlah bila terpaksa berdikari sendiri tanpa suami di sisi selama empat hari memang perlu kuat semangat. Jumaat adalah hari yang aku tidak perlu terkejar-kejar di waktu pagi.

Bila anak-anak mula bersekolah memang kepenatannya turut dirasai oleh mak-mak sekalian. Jadual yang padat membataskan masa yang ada. Tapi kita haruslah kreatifkan diri sendiri, menguruskan masa yang diberi dengan sebaik mungkin.

Aku pernah merungut bila mana aku katakan tak cukup masa.

Ada seseorang menegur aku. "Allah bagi kita masa 24 jam. Kalau kita tahu urus masa itu mesti cukup punya." Sejak dari itu, aku sebaik mungkin menggunakan masa yang ada. Kadang masa kita tak cukup sebab kita banyak isikan dengan perkara-perkara lagha.

Selitkan gambar-gambar bekalan anak-anak sepanjang minggu ketiga. Semuanya ringkas dan mudah disiapkan. Ini menu hari isninnya.

 Mee goreng dan cucur ikan bilis. Beli yang adabi punya.

 Nasi goreng.

 Roti dan biskut. Masa ini aku tak larat nak bangun masak.

Ini pula menu jumaat. Ulang menu isnin sebab bahan-bahan ada lagi.

Tahun ini, rutin anak sulung aku berubah. Dia sudah tukar tuisyen dan terus ke after school care. Situ, dia akan terus buat homework dan adalah masa untuk dia ulangkaji. Memandangkan dia sekolah aliran cina, mahu atau tidak memang kena hantar dia ke transit berkenaan. Isnin hingga rabu dia bersekolah agama cumanya hari rabu dia akan ke sekolah agama lewat. Jadi dia akan balik ke transit terus. Tak adalah balik rumah neneknya lagi. Khamis dan jumaat dia sepenuhnya di sana.

Aku pula, ahad dah kena hantar beg baju ke rumah mak. Beg baju Ammar dan baju sekolah agama Adriana sebab isnin dan selasa Adriana ke sekolah agama dari rumah mak aku. Aku pula hari selasa petang kena hantar beg sekolah agama dan baju sekolah agama ke transitnya pula sebab rabu dia ke sekolah agama dari sana. Kemudian hari rabu pula, sebelum menjemput Adriana di sekolah agama, aku kena singgah transitnya untuk ambil beg sekolah paginya. Rutin baru buat Adriana bermaksud menambah kerja maknya.

Bila hari khamis aku dah lapang sikit. Hari jumaat aku lagi lapang sebab suami yang hantar anak-anak ke sekolah. Itu saja hari yang dia ada. Begitulah kesibukan hari-hari aku dan ada masanya terasa kelam kabut juga bila ada perkara yang tidak terjangka terjadi.

Begitulah sedikit catatan untuk pagi ini. Bersambung lagi di entri lain. Cabaran untuk hari ini nanti akan aku siapkan. Nak gambar tulisan jawi. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


3 comments:

Linda said...

Rajinnyaa Fyda ni...untung anak2 :)

Kakcik Seroja said...

Seronok bila anak-anak tidak memilih untuk makan dan mahu makan apa sahaja yang ibu sediakan... :)

adianiez AIDA said...

jadi mak ni, sibuk & kelam kabut da takde beza, fida :)
me-time pun takde.
bila kita nak dating???