Friday, May 10, 2019

Rindu Yang Bersarang

Assalamualaikum.

Salam jumaat. 

Hari penuh dengan keberkatan. Penghulu segala hari. Semoga kita peroleh manfaat pada hari ini. Jangan berhenti untuk berbuat baik untuk peroleh ganjaran di sana. Minggu ini aku tidak pulang ke kampung halaman. Rindu sudah menjengah dalam diri. 

Tak tahu bagaimana mahu diungkapkan. Mujurlah ada suami sumber kekuatan diri. Kalau seorang diri mahu terumbang-ambing. Betul kata seseorang, ada masa akan rasa kosong. Itulah jawapannya bila aku bertanya pada beliau berapa lama yang dia ambil masa untuk okey bila dia pindah ke tempat orang. Jauh dari mak ayah.

"Sampai sekarang pun tak okey. Ada masa akan rasa kosong."

"Berapa lama dah akak kat BP?"

"5 tahun."

Lama dah kiranya 5 tahun itu. Tapi itulah jawapannya. Aku boleh rasa apa dia rasa dan dia boleh rasa apa aku rasa. Bila tiba Ramadan, perasaan itu makin menjadi-jadi. Bukan tidak balik Melaka pun tapi balik kejap-kejap tidak sama.

Ramadan menambah lagi kerinduan dalam diri. Rindu nak ke rumah mak berbuka di sana. Singgah bazaar yang memang tiap tahun aku pergi semata-mata nak beli sagu gula melaka sampaikan ada satu tahun itu masa bulan Ramadan kereta aku rosak tepi jalan.

Sejak tahun lepas, episod sedih bertimpa-timpa. Bermula dengan Obek Nah sakit, kemudian dia pergi mengadap Ilahi. Seminggu selepas itu adik ipar pula sakit dan masuk hospital bila dia batuk berdarah. Dua minggu di wad doktor sahkan dia mengidap TIBI.

Allah.

Bertimpa-timpa kisah sedih kami sekeluarga. Doa tidak putus-putus. Baru mahu menarik nafas lega, datang pula surat pertukaran suami sehinggalah penutupnya aku dan anak-anak berpindah ke JB. Orang yang tidak melaluinya tidak akan faham.

Kata seseorang, gembira untuk bersama. Sedih yang ditinggalkan.
Begitulah lumrah kehidupan. Pertemuan dan perpisahan itu pasti terjadi. 

Gambar ini pun dirakam pada hari jumaat. Tarikhnya aku sudah lupa. Waktu ini selepas pulang daripada farewell diri sendiri.

Aku letakkan gambar yang satu ini di blog. Tangisan dan pelukan perpisahan aku dan Myra Mokhtar. Mujurlah ada yang mengambil gambar. Dapatlah dibelek-belek bila rindu.

Perpisahan itu menyakitkan.
Namun perpisahan itu mengajar kita erti kekuatan.
Walaupun adakalanya tewas namun hidup perlu diteruskan.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


No comments: