Monday, November 21, 2016

Nasi Tomato Menu Hujung Minggu

Assalamualaikum.

Rasanya, sudah sekian lama aku tak kongsikan menu masakan di blog ini. Tak sempat nak kongsikan di sini. Masak pun kadang seminggu sekali. Hujung minggu je kadang aku masuk dapur. Hari kerja sekarang memang jarang nak ke dapur. Tak sempat. Sejak jadi isteri tinggal, aku uruskan semuanya. Sampai rumah pun matahari sudah menghilang dari pandangan. Sudahnya menapaulah kita. Bukan tak nak masak sendiri, tapi tak sempat bila uruskan semua seorang diri.

Jadi tak nak serabutkan diri sendiri, kita menapau. Kadang makan kat kedai siap-siap sebelum balik. Tapi ini sekolah dah nak tutup, ringan sedikitlah jadualnya. Oklah, mari berbalik pada tajuk entri. Aku kalau dah melalut memang panjang berjela.

Permintaan sang suami suruh aku masak nasi tomato. Dia dah siap-siap beli bahan-bahan untuk masak. Sekarang memang tak simpan stok bahan basah. Terasa nak masak barulah beli barang-barangnya.

Ini set menu nasi tomato. Gigih aku panjat kerusi nak tangkap gambar ini. Konsep menjengket dah tak ada. Panjat kerusi je senang.

Inilah nasi tomato. Kenalkan macam orang tak tahu. Aku kongsikan sekali resepinya. Pernah aku kongsikan resepinya dulu di blog. Tak apa, aku kongsikan lagi.

RESEPI NASI TOMATO

Bahan-bahan :

Bahan A

2 cawan beras (aku guna beras basmathi)
1/2 cawan susu cair
Setin tomato puri
3 sudu makan minyak sapi
2 1/2 cawan air
Kacang peas
Kiub ayam
Garam

Bahan B - Bahan Menumis

3 ulas bawang putih - dihiris
5 biji bawang merah - dihiris
1 inci halia
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang

Cara Memasak :

1) Panaskan minyak sapi di dalam kuali dan tumiskan bahan tumis.  Kemudian masukkan 3 sudu tomato puri dan biarkan seketika.  Kemudian letak sedikit garam.

2) Beras yang sudah dibasuh masak seperti biasa di dalam periuk nasi.  Sukat air dengan betul.
3) Kemudian bahan tumis itu dimasukkan ke dalam periuk nasi.  Gaulkan.  Masukkan susu cair dan kiub ayam.  Biarkan sehingga nasi masak.
4) Bila sudah masak barulah ditaburkan kacang peas.   Itu sahaja resepi ringkas aku dalam memasak nasi tomato.  Lain orang lain caranya.  Selamat mencuba!

Ini pula ayam masak merah.

Kari ayam.

Jelatah pula disediakan oleh sang suami sambil aku memberi arahan padanya. Aku bab memotong ni memang lemah sikit. Amik masa kalau disuruh potong-potong ni. Aku suka masak bila semua sudah siap dipotong. Kerja nak mudah ajekan. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


No comments: