Salam.
Pagi ini bumi Melaka dibasahi hujan rahmat. Alhamdulillah. Sudah beberapa hari hujan bertandang di pagi hari. Bila hujan di waktu pagi, agak mencabar sedikit untuk aku yang menjalankan rutin hakiki aku yang mana aku menghantar anak-anak ke sekolah. Kemudian bergegas ke pejabat pula.
Adakalanya sampai terdetik di hati.
Kenapalah hujan pagi-pagi ni.
Bila tersedar, cepat-cepat istigfar. Kena tampar pipi sekali atau berkali-kali mungkin untuk tidak merungut dan tersasar. Untuk aku yang menjadi ibu tinggal memang mencabar. Ibu tinggal ye jangan salah faham. Suami kerja jauh. Jadi kenalah berdikari untuk menguruskan semuanya sendiri. uruskan diri sendiri serta uruskan anak-anak.
Sudahlah perjalanan ke sekolah yang mana dulunya tidaklah jauh begini sekarang makin bertambah jauh. Disebabkan penambahan lampu isyarat di hadapan sekolah si kakak dan adik, maka aku terpaksa mengubah haluan yang baru. Kalau masih dengan haluan lama, aku akan tersekat dalam kesesakan jalan.
Sekali lagi pernah terdetik.
Alangkah bagusnya kalau aku surirumah.
Berangan tak salah. Berangan kan percuma jadi haruslah memasang angan-angan. Manalah tahu satu hari akan menjadi kenyataan.
Suasana pagi tadi sewaktu beberapa kali aku berhenti di lampu isyarat. Entah berapa kali berhenti sampai mendatangkan jemu pada diri sendiri. Menguap entah berapa kali sampai aku pasang radio kuat-kuat. Hah. Tiba di sekolah memang kena parking jauh. Belakang rumah orang. Dari mula-mula aku parking depan kedai dan sekarang kena parking belakang rumah orang. Kemudian berlengganglah tiga beranak.
Kalau tiba lambat, aku akan terjerit-jerit. Dari intonasi rendah boleh sampai ke tahap intonasi tinggi. Biasalah sindrom mak memang begini ke atau aku je mak yang begitu. Si kakaklah yang selalu jadi mangsa jeritan aku. Aku risau dia kena tulis nama. Si adik boleh lagi diampunkan sebab tadika.
Selesai hantar anak-anak, aku bergegas pula ke pejabat. Mahu sampai ke pejabat pun satu masalah juga. Jalan sini sesak, aku ubah jalan yang lain. Sudahnya semua jalan yang aku ubah pun sama sesak. Tahap bengang itu boleh menghantui diri sepanjang dalam kereta. Memang begitulah rutin hakiki aku selama ketiadaan suami di sisi. Bukan mudah sebenarnya namun aku cuba memudahkan diri sendiri agar kita gembira melakukannya.
Ada kata-kata menarik yang berbunyi begini.
Hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan.
Kadang-kadang kita kena susahkan diri kita untuk kesenangan orang lain. Biar ikhlas, itu baru namanya pengorbanan.
Salam pena,
Fyda Adim
No comments:
Post a Comment