Assalamualaikum...
Selamat petang semua. Tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Kak Suri ( betul kut namanya) editor majalah Mingguan Wanita di blognya. Setelah mendapat keizinan daripada tuan empunya blog maka aku kongsikan entrinya di sini buat tatapan semua. Yang baik boleh kita ambil dan yang tidak baik bolehlah dijadikan sempadan.
NURI SUPIAN
Setiap pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga, pasti
mempunyai pengalaman tersendiri. Sama ada ia seindah yang dibayangkan ketika belum hidup berumah
tangga ataupun jauh daripada apa yang diimpikan. Kebahagiaan dalam perkahwinan
bergantung sebanyak mana kita menghargai erti perkahwinan itu sendiri.
Ombak dan pantai, umpama suami dan isteri. Mereka saling memerlukan...
Sekiranya kita melihat perkahwinan akan
`merosakkan’ sesebuah percintaan sebenarnya kita tersilap, kerana perkahwinan adalah satu
ikatan suci yang membenarkan kita menikmati hidup berkasih sayang tanpa sepadan
bersama pasangan.
Biarpun dalam perkahwinan ada pelbagai ranjau duri, ada liku-liku dan ada pasang surutnya, namun dalam perkahwinanlah kita mampu membina pelbagai perasaan. Di dalamnya tersimpan rasa bahagia, cemburu, sedih, gembira, tangisan dan senyuman. Perkahwinan ada sejuta wajah. Di dalamnyalah kita mengumpul dosa dan pahala. Bersamanya kita belayar dalam lautan madu dan mengharungi ombak menderu.
Jangan ubah perasaan cinta tetapi ubahlah persepsi tentang cinta dalam rumah tangga...
Semakin lama usia perkahwinan kita semakin banyak yang
harus kita selesaikan. Dalam tempoh itu sudah pasti beberapa sikap kita dan
pasangan akan berubah. Kita tidak lagi boleh sentiasa hidup dalam
kepura-puraan. Tidak boleh lagi sentiasa mahu berkepit dan meliuk-lintuk manja
bersama pasangan. Kita harus maju memburu masa depan yang lebih realistik. Kita
tidak lagi boleh hidup dalam igauan atau mimpi. Kita mesti bangun dan bergerak
pantas. Kita tidak lagi sepatutnya terkongkong oleh sandiwara masa lalu.
Kecantikan dan ketampanan yang berubah kerana mengikut edaran masa, pasti
digantikan dengan kecantikan dan ketampanan yang lebih murni sifatnya. Kita
tidak akan lagi terjebak dengan pesona, sebaliknya kita mahukan kecantikan
hakiki.
Sifat penyayang, penyabar dan kebijaksanaan dalam
tanggungjawab memajukan rumah tangga mampu menggantikan beberapa perkara yang
mungkin pudar dibawa zaman. Tidakkah sifat-sifat ini lebih memberi manfaat
kepada kita dan keluarga? Jadi
bersyukurlah jika kita masih mampu mempertahankan sebuah ikatan suci yang
bernama perkahwinan, biarpun diancam gelombang dan gelora.
Satu pesan saya untuk semua pasangan yang sudah berumah
tangga, sebesar apa pun dugaan yang datang dalam perkahwinan, berikhtiarlah
untuk mengatasinya. Jangan lari daripada `medan perang’ selagi perang belum
tamat...
Ramai
yang menganggap perkahwinan itu umpama pokok mawar. Cantik tapi
berduri. Bagi saya kerana duri itulah mawar ini istimewa. Duri umpama
penjaga dan pelindung yang baik. Orang akan berhati-hati untuk memetik
dan menciumnya. Kadangkala berterima kasihlah pada perkara yang kita
anggap menyusahkan.
Credit : http://nurisupian.blogspot.com
No comments:
Post a Comment