Assalamualaikum.
Selamat tengah hari.
Baru datang kekuatan untuk menulis di sini setelah beberapa hari berhibernasi. Hati memberontak mahu menulis tetapi bila sign in aje mesti writer's block. Aku pula sedang sibuk dengan tugasan yang berderet-deret tu. Kemudian sibuk dengan nak pergi bercuti. Itu yang makin menjadi-jadi blog ini terbiar begitu sahaja.
Catatan entri ini mengimbas kenangan 21 hari menghadap mak saudara aku (kakak emak) yang terlantar di hospital. 21 hari juga kami penuh kerisauan. Entahlah, waktu itu perasaan masing-masing bercampur baur. Makan tidak selera, tidur pun tidak lena. Sepanjang mak saudara di wad, kakak sepupu dan satu-satunya anak mak long yang aku panggil obek yang menjaganya. Aku pula memang sentiasa berjaga-jaga telefon. Sepanjang waktu itu juga, bila ada saja panggilan kakak sepupu hati berdebar-debar mahu menjawabnya.
Beberapa panggilan yang mendebarkan aku terima sepanjang 21 hari itu. Tengah hari lepas makan, aku terima panggilan. Kakak sepupu kata obek sesak nafas. Aku keluar pejabat awal dan terus bergegas ke hospital.
Permandangan inilah yang kami lihat sepanjang 21 hari di hospital.
Masa ni aku hantarkan makanan pada kakak sepupu aku. Dia ni dah macam kakak aku. Dia pula anak tunggal. Aku membesar dengan dia. Beza kami 17 tahun.
Anak-anak pun aku angkut sekali.
Waktu ni obek (panggilan aku pada mak saudara) memang sudah berkhayalan. Dia banyak sebut nama orang yang sudah tiada. Doktor pun telah memaklumkan pada kami, bila-bila masa saja obek boleh pergi.
Setiap petang kami akan ke hospital. Dalam tempoh 21 hari ini, pernahlah aku dan adik naik hospital jam 12.00 tengah malam selepasa menerima panggilan daripada kakak sepupu aku.
Genggaman tangan yang terakhir. Dalam tempoh tu juga obek pernah dimasukkan darah sebab kurang darah. Lepas masuk darah tu, obek sedar. Dia tanya aku, "Da, boleh masakkan aku mi goreng? Dapat sikit pun jadilah." Serba-salah dibuatnya sebab obek tak boleh makan. Entahlah, masih teringat-ingat kata-katanya. Sebenarnya, petanda-petanda yang dia nak pergi tu dah ada. Salah satunya, dia asyik sebut nama arwah nenek dengan atok. Kemudian dia tanya lambat lagi ke nak kebumi?
Dah paling syahdu, aku dengan kakak sepupu aku berdua aje yang ada masa tu. Dia panggil kakak sepupu aku tu satu-satunya anak obek aku. Dia hulur tangan.
"Nak salam. Mana tahu ni salam terakhir."
Bergenang air mata aku. Rindunya pada obek memang tak terucap. Selain mak, aku belajar masak dengan obek. Masa zaman sihatnya, aku selalu telefon dia.
"Bek, macam mana nak masak nasi minyak?"
Dia cakap aku salin dalam buku.
Ini masa obek kat hospital sebelum sekali lagi dia masuk untuk 21 hari. Masa ni obek boleh duduk-duduk lagi. Aku masak spageti goreng dan bawa untuk dia.
"Mak tabber, Da?" (Kenapa tawar, Da?") - cakap bawean
Itulah kali terakhir dia merasa masakkan aku. Dan kali terakhir dia datang rumah aku setelah sekian lama dia tak datang sejak sakit masa bulan September. Masa tu aku masak nasi lemak.
Inilah kunjungan terakhir obek ke rumah aku dan gambar terakhir kami berdua. Sesungguhnya, kerinduan itu tidak terucap. Sesekali bila teringat zaman kecil aku bersama obek, memang akan menangis. Dia satu-satunya mak saudara aku yang paling rapat.
"Obek, along akan kenang obek selalu."
Nak berhenti dulu, sebab air mata sudah bertakung di kelopak mata. Itulah yang aku ambil masa untuk menulis kisah obek di sini.
Sekian dan wassalam.
Salam pena,
Fyda Adim
No comments:
Post a Comment