Sunday, August 26, 2018

Petang Raya Haji

Assalamualaikum.

Selamat tengah hari. 
Selamat hujung minggu.

Sudah selamat ibadah korban untuk tahun ini. Tak sempat nak buat entri ucapan sempena hari raya haji. Biasalah kalau hari cuti, habibi pun pulang, memang tak sempat nak menulis. Tempoh hari saja aku sempat pulun menulis blog dan sambung menulis manuskrip. Oh, entah bilalah nak siapnya. Macam-macam halangan dan dugaannya.

Petang raya, aku kerja. Tak cuti pun. Tapi dapatlah sekerat hari. Sudah rancang nak ke rumah mak sebab nak berbuka puasa di sana. Ayah aku dari minggu lepas dah pesan berbuka kat rumah. Mak masak macam-macam.

Dapat keluar pejabat jam dua petang. Terus balik rumah. Amik beg baju yang sudah aku kemaskan malamnya. Macam kampung jauh benar. Tak sampai setengah jam dah boleh sampai rumah mak. Itu yang seronok duduk dekat-dekat.

Mak buat karipap.

Karipap yang sedang digoreng.

Karipap yang sudah digoreng.

Sup tulang.

Kambing masak kurma.

Aku celur mee unutuk dimakan dengan sup tulang.

Rendang serunding. Pedas yang amat rendang mak aku.

Ketupat segera.

Kemudian aku order nona manis dengan officemate. Masa berkumpul memang seronok kalau ada makanan macam-macam.

Kemudian, aku sempatlah singgah rumah kakak sepupu aku. Hantar makanan kat mak long aku. Mak aku sambil makan dia cakap.

"Mak kalau makan-makan macam ni teringat kat Obek Nah kau."

Mak aku teringat kat kakak dia. Aku pun tak sampai hati mendengarnya. Aku cakap aku nak hantar makanan kat mak long. Terus mak bungkus-bungkuskan makanan yang dia masak. Mak aku dua beradik aje. Sekarang mak long dah tak sihat. Kalau dulu mereka suka masak sama-sama. Kalau kita orang buat kenduri, memang mak long dan mak yang masak. Orang yang paling teruja kalau bab nak menyusun menu makanan. Semuanya, tinggal kenangan. Masa telah mengubahnya.

Sedih.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Tuesday, August 21, 2018

Malaysia Membaca

Assalamualaikum.

Selamat tengah hari.

Entri kedua untuk hari ini. Aku nak menyahut seruan Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia berkenaan tanda pagar Malaysia Membaca. Beliau mahu jadikan Malaysia sebagai sebuah negara membaca tahun 2030. Memang bila sahaja aku lihat post ini lalulintas di dinding muka buku, perasaan teruja menerpa dalam diri. Kebanyakkan kawan-kawan muka buku menyahut seruan beliau.

Aku pun turut terjebak sekali. Memang kena sekali dengan jiwa aku. Sebagai seorang yang pencinta buku, aku mahu juga menyenaraikan 10 buah buku kegemaran. Namun untuk entri ini aku senaraikan 10 buah buku yang sedang dalam giliran untuk dibaca. Style membaca bila umur sudah meningkat. Tidak fokus kepada satu-satu buku.

#MalaysiaMembaca

No automatic alt text available.
Inilah 10 buah buku yang sedang dalam giliran untuk dibaca. Semoga aku dapat habiskan pembacaan aku untuk tahun ini. Kesemua buku-buku di atas kecuali Natrah adalah kepunyaan aku sendiri. Natrah tu aku pinjam daripada isteri kawan pejabat. Mujurlah ada yang berkongsi minat yang sama. Seronok tau kalau dapat jumpa dan berkawan dengan orang yang mempunyai minat yang sama. Boleh tukar-tukar buku.

Korang dah baca berapa buah buku tahun ini?

Aku sedang baca novel Surat Bersampul Perang sambil diselangi baca buku kumpulan cerpen remaja, Gadis dan Cermin Masa Depan.

Jom membaca! 
Selamat membaca korang.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Deko Raya

Assalamualaikum.

Selamat pagi.

Esok kita akan menyambut raya korban. Hari ini aku bekerja. Semalam aje aku cuti sebab ada perkara yang tidak dapat dielakkan membuatkan aku tidak mampu untuk ke kerja. Aku ni kalau dah serabut sangat memang ambil jalan ringkas aje. Habis cerita. Tak payah nak serabut panjang-panjang. Lagi pula cuti sekolah kan memang minggu untuk bertenang-tenang.

Baiklah, entri ini sudah lama terperam dalam folder draft. Aku kongsi jugalah memandangkan tajuknya pun berkaitrapat dengan raya. Entri ini sekadar berkongi sahaja. Lagi pun aku bukan blogger deko ke apa. Dekorasi rumah aku pun serba-serbi ringkas.

Ini pun deko masa raya yang baru sahaja berlalu. Nak buat kenangan sebab masa ni aku kemas rumah tak ingat. Daripada siang bawa ke malam. Memang beria aku kemas sorang diri. oh ya, perangai aku memang suka buat kerja sorang-sorang. Tak adalah perangai nak berkemas habis satu rumah aku kerah. Aku lagi serabut kalau buat ramai-ramai. Biarlah aku buat sendiri. Lagi cepat. Tak payah nak suruh-suruh. Tak payah nak tunggu-tunggu.

Kalau bab nak menggantung frame ke barulah aku akan suruh tok laki. Agaknya kalau aku reti nak drill bagai memang aku buat sendiri juga. Jomlah tengok ruang-ruang kesukaan aku dalam rumah.

Dapur aku tempat di mana aku beraksi menyediakan juadah untuk isi-isi rumah selagi perut mereka minta diisi.

Ruang sebelah sini memang beginilah aku susunnya. Barang-barang yang selalu digunakan hampir setiap hari.

Ruang tamu. Bunga lama. Alas meja lama.

Ini pun perabot lama. Bantal hijau tu aku beli tahun lepas masa nak raya. Beli kat AEON.

Genaplah setahun usia sofa aku ni. Beli tahun lepas sebab sofa yang ada memang sudah koyak-rabak. Jadi kami berpakat laki bini kongsi duit beli sofa.

Ruang tamu merangkap ruang menonton juga.

Ruang ini antara ruang yang aku minat. Ruang kecil untuk menghimpunkan gambar-gambar kami.

Suatu ketika dulu aku suka beli perhiasan berbentuk basikal. Dari bentuk kecil sampai ke besar gedabak aku beli. Tengoklah gambar kat atas. Nampak tak basikal besar tu?

Bilik anak dara. Cadar tu aku beli. Kebetulan jalan di AEON masa puasa ternampak cadar murah. Dua pasang hanya RM90 kalau tak silap. Apa lagi aku belilah untuk anak-anak. Jadilah kan. Lagi pun anak-anak dah lama minta tukar cadar.

Itu sahaja entri untuk pagi ini. Selamat hari raya haji!

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Monday, August 20, 2018

Perpustakaan Mini Di Rumah

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Bila malam adalah masa aku membelek buku-buku. Tak kisahlah buku apa sekali pun. Kadang baca novel. Kadang baca antologi cerpen. Kadang baca buku anekdot. Selagi boleh membuatkan hati ini berbunga riang selagi itu aku akan baca. Memang waktu malam aku suka duduk dalam bilik kecil merangkap perpustakaan mini. 

Situlah tempat menulis.
Situlah tempat membaca.
Situlah tempat melayan drama.

Ada masa aku suka susun-susun buku yang ada. Berapa kali susun pun tak apa. Janji aku kemas buku-buku yang ada. Kadang aku alihkan buku-buku yang ada pada rak lain. Hahaha. Tak ada kerja kau ni.

Menengok buku-buku yang tersusun kira terapi bagi aku. Bilik kecil ini pun kira sudut kegemaran aku. Tinggal lagi tempat terhad jadi kenalah susun ikut keluasan bilik. Alangkah seronoknya dapat buat satu bilik membaca. Mesti seronok. Memang aku terperuk aje dalam bilik tu ajelah nanti.

Mari aku kongiskan rak-rak buku aku.

Rak ini mulanya kat dapur. Tapi sebab nampak tak berfungsi aje rak ini duduk kat dapur aku angkut bawa masuk bilik. Mulanya aku susun barang-barang candy booth. Tapi aku tukar pula. Aku susun buku-buku pula.

Rak yang menyimpan koleksi buku-buku daripada Jemari Seni.

Ini pula rak lain. Bermacam-macam novel yang tersimpan. Aku mula membeli daripada tahun 2013 kalau tak silap.

Rak kedua tu dah melanyut aje. Itu pun aku cuba kurangkan bebannya. 

Rak cacamarba. Janji ada dalam almari. Tak larat aku nak menyusunnya.

Frame yang terletak di tepi komputer.

Inilah sudut kerja aku. Sinilah tempat aku menulis. Ada masanya tempat aku melayan drama-drama. Tempat terapi untuk diri sendiri. Tak payah keluar rumah pun tak apa. Sesekalilah. Kalau tak keluar rumah langsung mahu benak pula kepala. Hahaha.

Itu sahaja entri malam ini. 
Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Candy Booth Di Masjid Tanah Melaka

Assalamualaikum.

Selamat petang.

Saja nak berkongsi tentang job candy booth. Masih lagi menerima tempahan tetapi job ini telah diambilalih oleh adik-adik aku. Aku sekadar jadi orang belakang tabir aje. Tak turun padang pun. Sebenarnya nak berhenti dah bisnes ni tapi sebab jiwa masih lagi sayang dan aku suruh adik-adik aku ambilalih. Barang dah banyak, biarlah dia orang teruskan selagi dia orang berminat.

Semalam, job di Masjid Tanah untuk majlis perkahwinan. Setakat ini, untuk marketing dan menjawab segala mak nenek mesej masih aku lagi. Bila on baru aku serahkan pada adik aku. Aku nak berhenti bukan apa, sebab kesuntukkan masa. Memandangkan suami kerja jauh, masa untuk aku uruskan agak terhad. Ada banyak juga yang aku terpaksa tolak pada mulanya. 

Tapi bila adik-adik nak ambilalih aku on balik. Masuk tahun ini kiranya tahun kedua aku buat candy booth ni. Banyak juga yang aku belajar daripada menjalankan bisnes ini. Sebab minat. Itu aje. Aku ingat bagaimana aku memulakan bisnes candybooth ini. Mulanya aku cuba-cuba saja iklankan di instagram. Mungkin rezeki Allah bukakan ada pula orang nak tempah. Waktu itu pula barang kelengkapan belum sepenuhnya mencukupi. Aku sanggup beli e-book fasal candy booth daripada seorang kenalan blogger. Dia memang pengusaha bisnes candy booth. Aku banyak belajar daripada dia. 

Yelah, rezeki masing-masing telah ditetapkan Allah. Mungkin bukan rezeki aku sepenuhnya di sini. Sambil-sambil bolehlah. Walaupun dari sini aku banyak belajar berinteraksi dengan orang, jumpa macam-macam orang, cara berkongsi dalam berniaga telah banyak buka mata aku. Apa-apa pun perlu kita ingat di mana permulaan kita.

Mari tengok gambar candy booth semalam.







Beberapa keping gambar candybooth untuk tatapan. Hasil kerja adik-adik aku. Tahniah untuk team Defyra Crew. Untuk warga Melaka yang mahu menempah candy booth bagi sebarang majlis keraian, bolehlah sms/whatsapp pada aku di nombor 017-6741270 (Fyda Adim).

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Jangan Dikhianati Status Perkahwinan Kita

Assalamualaikum.

Selamat petang semua.

Tinggal sehari sahaja kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Petang ini aku mahu kongsikan sebuah status yang pernah aku kongsikan di laman muka buku. Status yang menyentuh sebuah status perkahwinan. Status Puan Fadhlina Sidek yang membuatkan aku tertarik. Masyarakat sekarang sudah tidak ambil sensitif tentang perkara ini. Lebih-lebih lagi yang bekerja di bawah sebuah organisasi yang bercampur lelaki perempuan.

Yelah, bila disebut tentang perkara ini orang akan kata macam itu tak payah bercampur. Tak payah kerja. Bukan tak boleh tapi biarlah berpada-pada. Tahu menjaga batas antara lelaki perempuan. Tahu menjaga batas antara suami orang dan juga isteri orang.

Jaga ikhtilat.

Defini ikhtilat adalah merupakan suatu bentuk pergaulan secara bebas antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (bukan muhrim) sama ada di tempat sunyi mahupun di tempat terbuka.

Zaman sekarang, memang dapat dilihat perhubungan suami orang dan isteri orang juga terlampau ketara dan mesra berlebih-lebihan. Itulah sekarang seperti sudah menjadi suatu trend hubungan 'terlarang' antara suami orang dan isteri orang ini terjadi.

Adakalanya seperti tiada apa-apa perasaan bersalah mahu pun berdosa wujudnya perasaan itu. Ditambah lagi ada pula isteri orang yang menghantar mesej 'bersayang-sayang' pada suami orang. Tidak malukah kita?

Di manakah letaknya maruah kita sebagai seorang perempuan?

Bukan sahaja isteri orang, malah ada juga suami orang sebegitu. Seolah-olah seperti melayari zaman-zaman bercinta. Takutlah pada Allah. Janganlah terlampau mengikut nafsu. Dunia sudah semakin tua, takutlah andai kita tidak sempat untuk bertaubat.

Suami, jagalah perasaan isteri.
Isteri, jagalah maruah suami.

Suami adalah cermin pada isteri begitu juga isteri adalah cermin pada suami. Baik suami, baiklah isteri. Begitulah sebaliknya. Apa yang kita lakukan, bukan sahaja memberi kesan negatif pada pasangan kita malah memberi kesan juga pada anak-anak.

Jagalah sensitiviti pasangan kita.

Pernah yang aku lihat, perempuan (isteri orang) kawan dengan suami orang tapi dengan isterinya bagai dibuat musuh. Dengan suaminya bukan main mesra, alih-alih dengan si isteri tiba-tiba menjadi bisu.

Ada juga perempuan, minta tolong dengan suami orang. Tapi biarlah berbatas. Kalau memerlukan sangat biarlah kita beritahu isterinya juga. Bukan apa, tidak mahu menimbulkan fitnah dan juga syak wasangka bagi sebelah pihak isteri.

Sebagai contoh, pernahlah dengar cerita daripada seseorang. Ada seorang kawan suaminya, perempuan dan juga isteri orang. Suaminya kerja jauh kekdahnya. Rumahnya masuk binatang. Alih-alih telefon suami dia. Rumahnya dengan rumah suami orang itu bukanlah dekat pun. Katanya takut.

Motifnya nak tolong halau binatang. Tak boleh minta tolong jiran ke atau hubungi kawan perempuan dulu. Semestinya isteri orang itu memikirkan bermacam-macam kebarangkalian.

"Kenapa telefon laki aku?"

Kalau aku dah lama aku sound. Hahaha. Berani ke? Kalau terasa hilang sabar sound aje kut.

Kita tak tahu tindak-tanduk kita adakalanya memberi kesan pada orang lain.  Kita tak tahu adakalanya tindak-tanduk kita membuatkan orang terasa hati. Kita hidup ini kenalah menjaga juga sensitiviti orang sekeliling seperti mana kita juga mahu orang menjaga sensitiviti kita. Belajarlah untuk peka terhadap sekeliling.

Jadi, hati-hatilah.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan membuka mata kita semua. Apa yang aku tulis sekadar pandangan daripada diri sendiri. Terpulang nak terima atau tidak.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim