Friday, January 12, 2018

Rutin Harian Yang Hectic

Assalamualaikum.

Salam sejahtera. Salam jumaat. Penghulu segala hari. Semoga hari yang penuh barakah ini mendatangkan keberkatan dan rahmat pada kita. Malam tadi terdetik mahu menulis blog. Saya tinggalkan aktiviti menulis saya. Ada sepuluh kisah anekdot yang perlu saya siapkan. Deadline sudah melepasi. Itu yang saya perlu fokus ke sana dulu.

Lagi pun sekarang banyak perkongsian aktiviti harian dikongsikan di Instagram dan menulis sedikit catatan di dinding muka buku. Medium sosial itu sahaja yang paling pantas dan mudah. Walaubagaimanapun, tetap tidak boleh menandingi blog. Kalau di blog, sepanjang lebar boleh ditulisnya. Mukadimah sahaja sudah panjang berjela.

Apakan daya, masa begitu pantas. Sangat suntuk. Sangat mencemburui. Walau apa pun, saya tetap akan menulis di blog ini selagi hayat dikandung badan. Cumanya, tidak sekerap seperti dulu sebab saya banyak tugasan lain.

Untuk tahun baharu ini, rutin saya dan anak-anak berubah 360 darjah. Tahun ini adalah tahun ketiga saya memegang status sebagai isteri perkahwinan jarak jauh. Alhamdulillah, saya semakin dapat menyesuaikan diri dengan keadaan ini.

Tahun ini, anak-anak saya bertukar ke sekolah baharu. Dulunya, mereka bersekolah di SJKC. Jarak rumah ke sekolah agak jauh. Kemudian dari sekolah ke pejabat pun agak jauh. Walhal kalau dari rumah ke pejabat hanya mengambil masa lima belas minit sahaja untuk tiba. Saya perlu menempuh jalan yang sesak. Adakalanya, saya tiba lewat di pejabat.

Kemudian, sekolah agama pun di sekitar sekolah pagi. Kemudian bila bersekolah SJKC sebelah malam saya hantar anak-anak untuk mengaji pula. Memang mengejar masa saja. Letihnya, usah dicakap. Kadang memang saya makan di kedai saja sebab memang tak sempat nak memasak pun. Bukan kadang tetapi selalunya.

Tahun ini, anak-anak saya tukarkan ke sekolah kebangsaan. Memandangkan anak sulung saya nampak agak memberat untuk bawa subjek bahasa cina dan si adik pun nampak tidak minat sebab dia pernah menyuarakan isi hatinya. Iya, semasa pra sekolah di tadika cina hampir setiap hari dia menangis bila saya hantar dia.

Oleh sebab, tidak mahu membebankan anak-anak dan untuk keselesaan kami bertiga, saya suarakan hasrat untuk tukarkan sekolah mereka pada suami. Oleh sebab saya yang nak kena galas tanggungjawab sepanjang ketiadaan suami, jadi suami akur.

Gambar kami pagi semalam. Gambar pertama kami bertiga berswafoto untuk tahun ini. Adik pun setakat ini nampak gembira bersekolah di situ. 

Tahun ini anak-anak saya sudah duduk di taska untuk urusan transit. Rumah nenek sudah ditinggalkan. Selalunya usai sekolah rumah nenek yang jadi transit. Sudah cukuplah menyusahkan nenek. Dulu masa tinggal dengan mak, si kakak memang tinggal dengan nenek. Itu yang mak saya sedih. Masa kecil nak dihantar ke pengasuh mak tak bagi.

Sekarang ini, rutin harian kami isnin hingga jumaat sama saja. Awal pagi bangun, lewat malam barulah tidur.

Saya bangun jam 5.00 pagi dan paling lewat jam 5.30 pagi. Tak boleh lambat dari itu. Bangun masak, siapkan bekal dan kemudian saya mandi. Selepas itu saya kejutkan si kakak. Saya solat dan siapkan diri. Kemudian kejutkan adik pula.

Jam 6.50 pagi, kena keluar rumah sebab nak singgah taska hantar beg dan baju sekolah agama. Taska tak jauh dari rumah. Dalam taman saja. Lebih kurang jam 7.10 pagi sampai sekolah. Lepas hantar mereka, saya terus gerak ke pejabat. Sampai dalam 7.30 pagi. Ada setengah jam saya boleh bersantai. Tidaklah saya terkejar-kejar thumb print. Ada masa nak menyiapkan diri yang tak semenggah dalam kereta. Kalau dulu, nak pakai stokin bila lampu isyarat merah. Sarung sebelah dulu lepas tu berhenti sarung lagi. Masa itulah nak membelek diri.

Keluar pejabat tepat jam 5.00 petang. Tak boleh lambat. Sebab nak jemput salah seorang di taska. Kalau isnin ke rabu, saya jemput si kakak di taska. Si kakak sudah tahap dua jadi sesi persekolahan petang tidak sama dengan adik. Begitulah sebaliknya. Lepas jemput di taska, balik rumah sekejap untuk solat. Jam 5.40 petang bergegas ke sekolah agama pula. Anak-anak keluar sekolah petang jam 6.15 petang.

Tiba rumah dalam 6.40 petang. Bersiap ke dapur. Masak yang ringkas-ringkas sahaja untuk anak-anak makan malam. Lepas makan, teman anak-anak buat homework dan ulangkaji pelajaran.

Jam 10.00 malam, saya suruh anak-anak tidur. Kena tidur. Saya kena teman si adik tu tidur dulu. Kalau saya tak baring sekali alamat dia pun tak tidur. Tapi sejak sekolah ini memang dia lelap dulu.

Bila anak-anak sudah tidur, barulah saya buat kerja saya. Gosok baju, kemas-kemas dapur, isi botol air, siapkan bekal-bekal yang nak dibawa, periksa beg sekolah dan kalau rajin barulah saya menulis. Kalau tidak saya akan membaca atau menonton drama.

Jam 12.00 malam saya akan tidur. Merehatkan diri untuk keesokkan harinya. Minggu depan pula ada tambahan tugas untuk saya. Si kakak sudah mula ada kokurikulum. Jadi saya yang akan jemput dia di sekolah. 

Begitulah rutin harian saya. Menguruskan rutin harian sendirian bukanlah sesuatu yang mudah. Semuanya dihempuk atas kepala. Atas bahu. Kena kuat. Apa pun kena belajar berdikari. Saya kagum lihat wanita yang tiada suami menggalas tugas-tugas sebegini. Kalau mereka boleh, kenapa saya tidak boleh.

Itu perkara-perkara asas sahaja. Belum masuk perkara sampingan. Hectic ke tidak? Maknya kena kuat barulah anak-anak ikut sama.

Semoga urusan saya sentiasa dipermudahkan. Saya selalu berdoa agar sentiasa diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik untuk saya pikul tanggungjawab ini. Bukan mudah tapi perlu dipermudahkan semuanya demi keselesaan bersama.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



No comments: