Sunday, April 22, 2018

Ada Hari Keletihan

Assalamualaikum.

Status FB aku minggu lepas kalau tak silap yang aku screenshot. Ada hari-hari keletihannya memang tidak mampu diungkapkan. Setiap hari menguruskan anak-anak memang perkara yang mencabar. Ada masa nampak macam tunggang-langgang. Tersangat.

Ini yang terjadi pada aku. Keletihan punya fasal dicampur dengan konfiden, aku keluar rumah tak bertudung sebab hari kerja memang suami jiran tak balik. Jadi dengan konfidennya aku yang dalam keadaan mamai ditambah dengan keadaan diri tidak sihat keluar sidai baju.

Aku memang sidai baju waktu malam. Terpaksa juga sidai sebab sebelah pagi aku tak sempat pun nak buat benda lain selain menyiapkan bekalan anakanda berdua dan bersiap asal boleh untuk diri sendiri.

Begitulah rutin harian aku.

Ini bukan kes merungut tau. Anggaplah sesi meluah perasaan. Haha. Adakalanya, manusia suka salah tafsir apa yang kita sampaikan. Kalau hujung minggu memang aku hentam berehat sakan. Bukan apa, setiap hari aku terkejar-kejar masa jadi biar hujung minggu aku berlalu dengan penuh ketenangan. Itu sebab kemalasan yang sangat meninggi untuk aku menulis blog dan menulis cerpen.

Bos merangkap editor sudah bertanya.

"Cerpen dah siap?"

"Bila nak mula misi 1000pp tu?"

Hati mahu buat tapi kudratnya tiada. Akan dicari semula kekuatan itu. Memang rindu nak kembali aktif menulis. Sekarang ini pun aku cuma bersantai sambil layan drama dan novel. Aku memang seorang yang addict dengan drama. Tengok drama juga dan tengok pelakonnya juga.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



Wednesday, April 11, 2018

Kursus Umrah Di Kediaman Datuk Hj Hamzah

Assalamualaikum.

Hai.

Sekali lagi entri kedua muncul untuk hari ini. Entri yang aku sudah siap taip semuanya malam tadi. Sekarang ini memang tak dapat nak menulis hari-hari di sini. Banyak sangat komitmen. Buat masa ini sedang mencari mood untuk sambung manuskrip yang tertangguh tempoh hari. Berbulan-bulan juga aku peramkan manuskrip itu. Adoi. Ada sahaja halangannya bila nak menulis. Bila sehari tertinggal memang nak mencari mood itu kembali terasa amat payah.

Baiklah, kali ini aku nak kongsikan serba sedikit tentang kursus umrah yang dianjurkan oleh Kaizen Travel & Tours Sdn. Bhd. Kursus tersebut telah diadakan di kediaman Datuk Hj Hamzah bin Hj Bajuri pada 4 Mac 2018 untuk para peserta yang akan berangkat ke tanah suci pada 13 Mac 2018.

Penceramah untuk kursus itu disampaikan oleh Ustaz Mohd Adi Hazman Bin Mazlan. Alhamdulillah Disertai seramai 18 jemaah yang akan dipimpin oleh Ustaz Mohd Adi Hazman Bin Mazlan sepanjang berada di sana.

Beberapa foto yang sempat dirakam sepanjang kursus umrah tersebut dijalankan.




Warga Melaka, pada yang mahu mencari pakej umrah bolehlah dapatkan khidmat dengan Pegawai Pemasaran Umrah Kaizen Travel & Tours Sdn Bhd. Nombor untuk dihubungi adalah seperti yang tertera di dalam gambar.

Semoga kita semua akan menjadi tetamu Allah suatu hari nanti. Sentiasalah berdoa agar diberikan rezeki untuk menjadi tetamunya. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Buang Undi Di DFKL

Assalamualaikum.

Hai.

Drama Tak Ada Cinta Sepertimu sudah pun habis khamis lepas. Aku sudah pun move on. Haha. Sejenis kalau melayan drama dia punya feeling macam kenapa dah ending? Gitu sekali. Dalam drama ini heronya memang menonjol lakonannya. Mantap sekali. Aku suka tengok dia berlakon dengan Zahirah. Itulah salah satu sebab aku malas nak terjebak dengan drama. Bila dah terjebak macam inilah jadinya.

Memandangkan drama itu trending, aku dan kawan sepakat nak membuang undi untuk artis kegemaran. Bajet diri remaja macam zaman sekolah. Kalau nak tahu, aku memang dari sekolah macam ini. Dulu fanatik dengan Siti Nurhaliza. Masa itu lagi fanatik. Setiap gambar Siti Nurhaliza yang ada kat majalah aku beli. Aku gunting dan tampal dalam buku. Gigih ke tak gigih. Anugerah Bintang Popular aku masuk jugak. Berlambak-lambaklah suratkhabar aku beli semata-mata nak pilih top 10 dulu dan kemudian top 5. Pernahlah sekali dapat saguhati. T-shirt ABPBH. Jadilah kan. T-shirt tu pun dah lesap ke mana.


“Arini punya busy sis lupa undi pulak.” Hantar whatsapp kat kawan yang sedang berkursus kat Putrajaya.

“Sis baru lepas...” Kawan pula balas.

“Tak diingatkan. Sungguh lupa gila. Sekarang jugak sis buat.”

“Dengan pantas.” Dia kembali membalas.

Kerjaan dua orang mama yang menggila mengundi seorang artis sempena DFKL. Her her her.

Ini antara sembang-sembang merangkap membawang. Gaya kami bergosip memang berkisahkan artis sahaja. Sekadar melepaskan stres. Apa-apa pun semoga apa yang kita lakukan biarlah yang menggembirakan hati dan tidak berlebihan daripada apa yang sepatutnya. 

Itu sahaja entri untuk pagi ini. Sekian dan wassalam. Semoga akan ada kerajinan untuk menulis, menulis dan menulis lagi.

Salam pena,
Fyda Adim



Thursday, April 5, 2018

Tak Ada Cinta Sepertimu

Assalamualaikum.

Malam ini episod akhir drama bersiri Tak Ada Cinta Sepertimu. Sebanyak 16 episod semuanya. Aku tak pernah terlepas satu episod pun drama bersiri ini. Kalau terlepas sanggup ulang di youtube atau tengok di televisyen sebab aku ada rekod drama ini. Drama lakonan Syafiq Kyle dan Zahirah Macwilson. Heronya memang aku minat cuma heroinnya aku tak berapa ikut kalau dia berlakon.

Itulah, orang kata kalau pada mulanya tak suka penyudahnya mesti suka. Aku bukan setakat suka aku jatuh hati dengan lakonan heroinnya lebih-lebih lagi digandingkan dengan Syafiq Kyle.

Kisah seorang gadis bernama Athea (Zahirah Macwilson) yang menjaga dua anak buah lelaki dan masyarakat sekeliling menganggap dirinya seorang ibu tunggal. Dipertemukan dengan seorang lelaki bernama Hazran (Syafiq Kyle) yang sudah mempunyai tunang bernama Bella (Ruhaines). Athea dan Hazran berjiran. Bermula dengan berebut panadol di pasar raya kemudian kucing Hazran hilang dicuri (baca:dijumpai) anak Athea. Dari situlah bermula persahabatan mereka yang orang sudah salah anggap dan mencari peluang untuk menabur fitnah.

Imej yang berkaitan
Aku suka sangat babak intro pegang payung ini. Rasa simbolik sangat. Dapat rasakan seorang gadis yang memerlukan tempat untuk berteduh kemudian datang seorang lelaki yang sudi memberi tempat untuk berteduh. 

Hasil carian imej untuk tak ada cinta sepertimu poster
Gambar mereka berempat itu pun aku suka tengok. Manis seperti sebuah keluarga yang sebenarnya. Bermakna, para pelakon dalam drama ini berjaya membawa watak masing-masing. Anak-anak Athea, mak ayah Hazran, Intan kawan Athea, Azam yang menjengkilkan, Kamarul yang gelojoh nak caras Bella memang semuanya menjadi. 

Aku dan kawan-kawan tak habis-habis berbalas whatsapp. Tak kira kawan dekat mahu pun kawan jauh yang kat Sarawak. Nampak sangat Hazran menyatukan kami. Hahaha. Datang babak Azam yang berbaju bunga-bunga memang beremosilah kita orang.

"Aku rasa macam nak cepuk si Azam ni."

"Baju Azam lagi berbunga dari baju umi Hazran."

"Azam yang tak berazam langsung."

Antara whatsapp aku dan kawan bila keluar watak Azam yang menjengkelkan. Kalau keluar watak Hazran lain pula.

"Eh, aku macam nak masuk bawah toto. Awat Capik sweet sangat."

"Eh, dia main acah-acah pulak dengan Athea."

"Lesung pipit Capik."

Semua di atas sekadar emosi tatkala menonton drama. Tanpa peminat siapalah artis. Gitcheww. Apa-apa pun tahniah buat para pelakon drama Tak Ada Cinta Sepertimu. 

Tak Ada Cinta Sepertimu Raya plisss!

Salam pena,
Fyda Adim


Sembilan Tahun Usia Blog

Assalamualaikum.

Tanggal 3 April 2018 genap sembilan tahun blog aku. Maknanya sembilan tahun sudah aku menjadi penulis blogger. Blogger suam-suam kuku tetapi daripada blog ini juga aku dapat ramai kenalan. Ada kenalan blog yang sudah bertemu dan ada yang masih berstatus kenalan alam maya. Daripada blog ini juga aku belajar banyak perkara. Daripada blog ini juga aku melangkah setapak menjadi seorang penulis cerpen yang pada mulanya aku terjebak menyertai pertandingan menulis ebook anjuran Maxis.

Penulisan pertama aku berjudul Dia, Pilihan Hatiku telah menjadi antara lima yang tertinggi undian waktu itu. Cerita ala-ala novelet. Kisah pendek. Tak silap ada 16 bab aje. Memang kenangan sungguh menulis kisah itu. Tak tahu tiba-tiba hati terdorong untuk menyertai pertandingan itu. Waktu itu aku masih kosong lagi tentang dunia penulisan. Sungguh kosong. Atas izin Allah, aku dipertemukan dengan seorang hamba Allah ini yang kebetulan menyertai juga pertandingan ebook itu. Perkenalan kami bermula dengan private message di laman muka buku. Rasanya aku yang mulakan dulu menegur dia. Sekarang kami dikira rapatlah juga. Sudah dianggap seperti seorang kakak.

Semoga aku terus istiqomah untuk menulis. Semoga aku terus istiqomah menulis yang baik-baik. Andai kata ada penulisan aku yang buat anda tidak selesa jangan segan silu menegurnya secara berhemah. Manusia adakalanya terlupa diri. Manusia adakalanya terlampau mengikutkan emosi. Semoga jalinan kita di laman blog ini akan terjalin sampai bila-bila. Pada rakan blogger yang selalu meninggalkan komen, aku sangat terharu. Terima kasih kerana sudi membaca blog yang tidak seberapa ini.

Sekian dulu entri untuk pagi ini. Oh ya, buku Anekdot Mak-Mak Lah Sangat sudah sampai proses yang terakhir. Doakan semoga diberikan kelancaran terhadap penerbitan buku tersebut. Kiranya itu adalah buku pertama aku tahun ini walaupun berkongsi dengan sembilan penulis yang lain. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Sunday, April 1, 2018

April Membuka Tirai

Assalamualaikum.

Entri pertama untuk bulan baharu ini. Mac sudah melabuhkan tirainya. Kini April pula membuka lembaran. Hari pertama dilalui biasa-biasa sahaja. Sehari sebelum penutup Mac, keluarga kami diduga bila mak long dimasukkan ke hospital. Jumaat lepas dimasukkan ke hospital atas sebab badan banyak air. Mak long adalah kakak kepada mak aku.

Jumaat lepas, kebetulan waktu rehat panjang aku pergi melawat dia di rumah sebelum dibawa ke hospital. Pagi itu memang mak long ada appointment di hospital. Bila diperiksa keadaan mak long, doktor pun arahkan untuk warded. Memandangkan belum ada katil kosong, mereka suruh balik dulu. Dalam jam 12.30 tengah hari pihak hospital telefon suruh datang. Kemudian kakak sepupu bersiap dan aku ke pejabat semula. Menunggu perkembangan dari grup whatsapp sahaja.

Balik dari hospital pagi itu, kakak sepupu sempat singgah rumah mak aku sebab mak long nak jumpa. Aku pun pergi tengok mak long sebab kakak sepupu kata dia dok menyeru nama aku aje. Yelah, mak long pernah jaga aku masa aku kecil. Memang mak long yang bela aku dan adik masa mak pergi kerja. Kami pernah tinggal serumah. Kalau masa raya mak long siap buatkan aku biskut candy. Berbotol dia buatkan aku. Itu masa dia sihat. Kalau aku buat kenduri dialah tukang masaknya.

Allah.

Rindunya zaman itu. Banyak yang sudah ditarik. Mengingatkan aku zaman akan berubah dari semasa ke semasa. Kadang bukan aku tak nak menjengah tetapi rutin aku yang ke hulu ke hilir uruskan anak-anak buat aku lelah. Tadi aku pergi bawak mak aku. Keluarga kami kecil. Anak mak long hanya seorang. Kakak sepupu aku tu jelah satu-satunya yang rapat dengan aku. Kalau dia susah, dia sedih aku turut terkena tempiasnya.

Minggu lepas, masa anak buah aku yang duduk Bangi balik dia dah beremosi. Whatsapp aku katanya dia sedih tengok nenek. Dahlah kita orang bersedih-sedihan di dalam whatsapp. Begitulah sedikit kisahnya.

Ini gambar kami petang tadi semasa melawat mak long aku. Hanya kami saja yang ada sebab anak cucu ada yang duduk jauh. Walaupun kami keluarga kecil tapi cukuplah membantu apa yang patut. Yang ada tadi berapa kerat ni pun macam nak terbalik. Kalau yang lain balik lagilah huru-hara. Mohon doakan mak long yang aku panggil obek (panggilan orang bawean) Fatimah Arippin cepat sembuh dan dipermudahkan urusannya.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim