Tuesday, August 28, 2018

Separuh Matiku Bercinta

Assalamualaikum.

Selamat pagi.

Aku kongsikan sedikit petikan daripada cerpen yang aku tulis bertajuk Separuh Matiku Bercinta. Cerpen ini terdapat dalam buku Antologi Suara Kekasih Cinta. Mengisahkan pengorbanan seorang wanita bernama Lia yang berhadapan dengan sebuah pengkhianatan daripada seorang lelaki yang bergelar suami.

Namun, akhirnya lelaki itu menerima balasan dengan kehilangan kudrat sebagai seorang lelaki. Cerpen ini aku tulis dengan ditemani lagu Dayang Norfaizah.

Sepasang kakiku melangkah ke Pantai Tanjung Aru. Menyusuri pasir-pasir pantai yang memutih. Ombak kedengaran memukul pantai hingga mengenai skirt labuh yang aku pakai. Terasa dingin hujung betis terpukul dek ombak kecil. Langkah terhenti lalu aku membuang pandang pada seluas hamparan laut yang begitu tenang. Dari jauh, kelihatan bot-bot nelayan yang berlepas ke tengah laut untuk mencari sumber pendapatan.

Aku pejamkan mata seketika. Nafas ditarik dalam-dalam kemudian dihela perlahan. Siapa sangka? Aku datang lagi ke tempat ini untuk kali kedua. Kalau dulu, aku seakan-akan bersumpah dengan diri sendiri. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu lagi menjejakkan kaki ke sini. Peristiwa lampau yang pernah terjadi di bumi di bawah bayu ini mematikan segala-gala rasa dalam diri.

Lia
Cerpen Separuh Matiku Bercinta

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



No comments: