Showing posts with label Filem Stories. Show all posts
Showing posts with label Filem Stories. Show all posts

Saturday, September 7, 2019

Menonton Filem Sangkar

Assalamualaikum.

Cuti sempena Merdeka, kebetulan filem Sangkar mula ditayangkan pada 29 Ogos 2019. Sedang elok waktu itu aku pun balik Melaka. Memandangkan suami tak berapa nak layan drama-filem tempatan jadi aku pun berkira-kira mahu mengajak kawan-kawan aku.

Kalau bab wayang ni, aku nampak sorang aje yang mesti boleh diajak runding. Apa lagi. Aku capai telefon bimbit dan menghantar mesej melalui aplikasi whatsapp.

"Kau balik Melaka tak Merdeka ni?"

Aku kirimkan mesej padanya yang aku kira waktu itu dia di Bintulu. Dia kerja di sana. Merantaulah kiranya seperti aku. Hahaha.

Dia balas, "Semestinya aku balik."

Sewaktu menerima jawapannya, hatiku berbunga-bunga. Wah, macam terima mesej daripada pakwe. Tidak ya. Aku masih waras. Hahaha.

"Jom tengok Sangkar." Aku balas. Memandangkan dia peminat Remy Ishak haruslah aku bunga-bungakan lagi mengajaknya. Begitulah sesi kami merancang untuk keluar menonton wayang.

Biasalah, kalau mak-mak yang nak keluar ni memang agak payah sedikit. Kena fikirkan dari semua sudut. Anak macam mana. Laki macam mana. Semua perlu diaturkan agar tidak ada yang terabai sewaktu ditinggalkan.

Jadi, jumaat itu bersamaan 30 Ogos 2019 menjadi hari pelepasan untuk aku berliburan bersama kawan-kawan. Pengetua bagi pelepasan. Terima kasih pada Tuan Kastam yang sudi memberi pelepasan itu. Aku siap beri tentatif untuk hari itu. Jadi pengetua boleh bajet aku balik pukul berapa.

Aku keluar dari tengah hari, mula-mula pergi karoke bersama Myra Mokhtar sebab dia rehat panjang jadi kami karoke di sekitar Bukit Beruang. Lepas karoke dengan Myra Mokhtar, kawan aku yang kerja kat Bintulu tu jemput aku di Kota Cemerlang.

Kami ke Aeon Bandaraya sebab tiket wayang kita orang beli jam 3.30 petang. Itu pun lewat sampai. Melaka jammed. Sana sini jammed masa tu. Tunggukan si Farah pun satu hal. Sudahlah sampai lambat. Aku pula suruh naik sampai tingkat 3 walhal wayang tingkat dua. Sebelum kawan aku bertukar hijau, aku cakap "Yang ini salah aku."

Kemudian selepas menonton wayang, aku karoke lagi. Kali ini karoke bertiga. Memang hari itu hari aku melepas gian menyanyi. Program kami diakhiri dengan aktiviti makan-makan sebelum pulang ke pangkal jalan. Hahaha.

Kami bertiga. Ini testing untuk nampak poster itu tidak dikepung oleh kami. Aku bersama Farah. Kami berkawan dari sekolah rendah.

Ini baru bertiga. Yang sebelah aku itulah yang kerja di Bintulu, Hanani namanya. Hari itu dia menjadi grab aku. Kawan Bintulu tu kami berkawan sejak tingkatan 1. Kalau sekolah rendah aku tak pindah sekolah aku boleh kenal dia dari sekolah rendah. Ceritanya aku memang satu sekolah rendah dengan Farah, kemudian darjah 2 aku pindah sekolah rendah lain sekitar Banda Hilir juga. Kemudian, Hanani pula masuk sekolah rendah lama aku. Bila darjah 5, Farah pula ke sekolah rendah yang sama dengan aku dan masuk menengah semuanya satu sekolah di Infant Jesus Convent. Nampak tak jalan ceritanya?

Gambar terus di tempat makan sebab dalam karaoke kita orang terlampau fokus melontarkan vokal sampai terlupa nak berselfie. Jadi hari itu kami makan di The Chicken Rice Shop.

Gigih si Farah mengambil gambar. Dia ni ahli angkat berat. Jangan main-main.

Hasil tangkapan gambar oleh Farah. Lapar gila dan inilah hasil kami bertiga memesan makanan.

Selesai makan semua menyandar.

Sebelum pulang ke pangkal jalan, bergambar di luar aeon pula.

Nak bayar tiket parking pun sempat bergambar.

Sebelum kami berpisah, tangkap lagi gambar. Biasalah kalau berjumpa haruslah menyimpan kenangan. Aku nak bersalaman kawan aku kata, tak nak. Salam macam tak jumpa lagi. Hahaha. InsyaAllah lepas ni akan ada perjumpaan lagi. Kawan Bintulu aku hantar aku balik memandangkan dia jadi grab aku. Sudahlah keretanya canggih aku pula jakun dot com.

Begitulah cerita sempena hari pelepasan aku. Seronok sesekali bila dapat meluangkan masa bersama kawan-kawan lama. Bila dah tua-tua ni cuba cari masa (make time) untuk bertemu dengan kawan-kawan. Kita bukan tahu bila penghujung kita. Ada masa ni, selain meluangkan masa bersama keluarga, kita boleh meluangkan masa bersama kawan-kawan yang masih sudi 'keep in touch' dengan kita.

"Persahabatan manusia yang didapati sesudah menempuh sengsara adalah persahabatan yang lebih kekal daripada yang didapat pada waktu gembira."
.
-Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.




Wednesday, August 15, 2018

Review Pulang

Assalamualaikum.

Selamat pagi semua.

Entri pagi ini aku nak review fasal Pulang. Oleh sebab aku dah baca novel Pulang dan dah pun menonton filemnya juga, jadi memang aku nak review filemnya. Tempoh hari aku dah review sikit fasal novelnya yang ditulis oleh Lily Haslina Nasir. Kali ini aku nak juga review filemnya pula. Entri fasal novel boleh di baca di sini.

Baca novel pun aku boleh membayangkan watak hero heroinnya, Remy Ishak dan Puteri Aishah. Apa entah lagi bila aku tengok mereka berlakon. Cuma bila filem dengan novel permulaanya mesti sedikit lain.

Mula sahaja ceritanya ayat-ayat yang Thom ungkap sudah buat hati aku tersentuh. Air mata sudah bergenang. Oh, aku sudahlah cepat berair mata. Bila dengar ayat-ayat meruntun hati memang pasti membuatkan kelopak mata berair.

Antara dialog yang menyentuh hati.

"Ahmad cari di mana atok kau sekarang. Aku nak tahu sebelum aku pergi."

Cerita ini yang membuatkan aku terkesan sebab diilhamkan dari sebuah kisah benar. Sememangnya filem Pulang arahan Kabir Bhatia terbaik di abad ini. Garapan filem, sinematografi dan latar belakangnya yang sangat baik. Remy Ishak kiranya tunjang utama dalam filem ini.

Lakonan Remy Ishak tidak pernah mengecewakan. Memang berkesan dan bagus sekali Remy Ishak memegang watak Othman. Memang boleh menyelami watak dan jalan ceritanya. Sedangkan baca novelnya pun sudah cukup membuatkan hati ini sendu.

Pulang sebuah kisah kehidupan.

Sesuai ditonton seisi keluarga. Kisah percintaan nan abadi antara suami isteri dan kasih seorang abah dan anaknya.

Pulang juga mengisahkan sebuah pengorbanan.

Pengorbanan si suami yang terpaksa menjadi kelasi dan belayar merentasi lautan demi mengubah nasib keluarga. Dia mahu menyenangkan sang isteri dan anaknya. Dia terpaksa hidup mengenangkan isterinya.

Manakala si isteri pula terpaksa berkorban untuk melepaskan suaminya pergi walaupun terpaksa. Menunggu dengan penuh setia kepulangan suaminya. Namun Thom agak terkilan bila suaminya mengirimkan poskad tanpa memberitahu apa-apa di dalam poskad tersebut. Asyik ulang ayat yang sama.

Dari sisi anaknya, Omar pula dia yang selalu memujuk emaknya.

Aku yang menontonnya, macam dibawa pada mereka. Mereka terasa kehidupan waktu dulu amatlah susah. Terpaksa belayar jauh beribu batu daripada keluarga.

Babak yang paling aku terkilan dan geram pun bila mana Othman sebenarnya sudah pulang tapi sebab masa dia pulang itu ada kejadian yang berlaku. Thom bertunang dengan Cikgu Hassan. Itu yang membuatkan Othman berpatah balik. Sebenarnya isteri dia tak jadi berkahwin pun. Kiranya Othman membawa diri kerana kecewa. Sudahlah dia lepas melalui kapalnya karam. Habis segala wang simpanannya.

Part ini memang aku menangis teruk.
Entah berapa banyak air mata yang tumpah.
Memang lencun tisu yang aku pegang.

Begitulah pengakhiran mereka.
Othman dan Thom.
Takdir tidak menyebelahi mereka.

Hasil carian imej untuk pulang

Othman seorang yang setia.
Sepanjang hayat mengenangkan isteri.
Thom juga sepanjang hayat menunggu kepulangan suaminya.
Cinta mereka utuh dan sangat agung. Cuma nasib tidak menyebelahi mereka untuk bertemu hingga akhirnya.

Bayangkan bagaimana Othman menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Liverpool sehinggalah anaknya, Omar datang mencarinya. Mujurlah anaknya sempat berjumpa dengan abahnya.

Apa pun, filem Pulang adalah sebuah cerita yang menarik. Kalau pergi menonton untuk kali kedua pun tak akan rasa rugi. Oh, aku rasa tak mampu nak pergi lagi. Entah berapa banyak lagi air mata yang akan tumpah. Sedangkan dengar lagu OST Pulang pun air mata boleh mencurah-curah.

Itulah takdir yang Allah sudah tentukan buatkan Othman dan Thom. Al-fatihah buat kedua-duanya. Dari cerita ini, kesetiaan dan menghargai itu perlu diambil sebagai pengajaran.

Orang dulu, bukan main setia dan berpegang pada janji. Bukan main payah nak berhubung, kena guna surat tetapi tetap setia menanti. Orang sekarang, sudah ada macam-macam kemudahan itu pun ada aje yang berskandal sana sini.

Hargailah selagi di depan mata.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim

Monday, August 13, 2018

Menonton Pulang

Assalamualaikum.

Selamat petang.

Sabtu lepas, aku berkesempatan untuk menonton filem Pulang di panggung wayang. Setelah beberapa bulan menunggu filem ini ditayangkan di panggung, akhirnya setelah beberapa hari filem itu ditayangkan barulah aku berkesempatan untuk menonton. Itu pun rancang punya rancang dengan member. 

Pada mulanya rancang, member akan bawa anak kecilnya yang berusia lima bulan. Aku pula nak bawak mak aku sebab mak kata dia teringin nak tengok kisah benar.

Jadi, aku pun rancang mahu meninggalkan anakanda berdua dengan apak dia orang. Hari sabtu apaknya ada di rumah. Sementara aku keluar kejap untuk menonton Pulang. Kalau ajak apaknya mesti tak mau. Orang tak tengok cite melayu kekdahnya.

Tersenyum sebab nak dating dengan Abang Remy Ishak.

Mujur tak ramai orang senanglah beli tiketnya.

Gambar aku lagi. Cerita ini yang paling aku teruja nak tengok dan sememangnya ternanti-nanti.

Kami bertiga. Gambar diambil oleh anak sulung aku.

Anakanda berdua ikut akhirnya sebab nenek ada. Bila kakak ikut adik mesti nak ikut. Sudahnya aku angkut semua. Dua jam aje pun tapi berharok nak keluar.

Tiket jam 3.40 petang. Sementara belum masuk bergambarlah selagi boleh.

Kami berempat. Pertama kali mak ikut tengok wayang dengan cucu-cucunya.

Ada baby pun sanggup kawan angkut sekali. Mujur dua orang anaknya lagi tidak dibawa sekali. Aku juga yang kalah dengan rengekan anakanda. Huh. Tak pelah, ada masanya memang nak ‘me time’ tapi kalau momen indah dan bahagia tak sampai hati nak tinggalkan anak-anak.

Itu sahaja perkongsian petang ini. Nanti aku review tentang Pulang. Entri tempoh hari review novelnya, aku akan review filemnya pula.

Jangan ditanya kami menangis atau tidak?

Dak Adik pun menangis. 
Seriously. 
Dia menangis. 

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim





Friday, May 25, 2018

Menonton Avengers Infinity War

Assalamualaikum.

Salam jumaat. Jumaat hari penuh barakah. Jumaat kedua kita berada dalam bulan Ramadhan. Semoga semuanya di bawah lindungan-Nya dan diberkati sentiasa dunia dan akhirat. Semoga ibadah kita diterima oleh Allah swt.

Sebelum berpuasa hari itu, kami empat beranak sempat meluangkan masa bersama dengan menonton wayang. Suami ajak tengok cerita Avengers. Walau aku bukanlah tegar sangat tengok cerita omputih ni. Kalau drama melayu tu aku memang semangat.

Tapi aku okey aje. Nak-nak suami yang belanja. Aku tengok jugak. Jadi hari sabtu tu kita orang pergilah jugak tengok wayang.  Tiketnya dalam jam 5.10 petang. Kalau tak silap. Dah lupa.

Hah. Dalam jam 5.10 petang. Kejapan aku dah lupa.

Samapi awal mohon bergambar dululah anak-anak.

Mak dengan apak pun nak bergambar sekali. Tengok aku tangan penuh barang. Orang sebelah relax aje siap berposing baik punya.

Swafoto dengan Adriana.

Macam biasa gambar empat beranak kenalah ada.

Masa ni dah masuk dalam panggung. Menunggukan cerita mula.

Aku tak tahu nak buat review fasal cerita Avengers ini. Tak pernah ikut atau aku pernah tengok tapi tak tahu perihal superhero dalam cerita Avengers tu. Tapi aku tengoklah sampai habis walaupun setengah jam pertama aku terlelap. Hahaha. Nasib duduk sebelah Ammar jadi tok laki tak tau yang bini dia bantai tidur.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Thursday, May 3, 2018

KL Special Force

Assalamualaikum.

KL Special Force aku sempat menontonnya di pawagam. Pergi menonton bulan Mac tapi nak cerita kat blog dah masuk Mei. Biasalah. Cerita banyak yang sudah basi gamaknya. Oleh sebab nak review sedikit, aku tulislah jugak entri ini. Sebenarnya, plan asal nak ke menonton KL Special Force dengan kawan. Filem melayu kalau nak diajak tok laki memang tak berbaloi. Dia akan kecam filem dan aku sekali yang membawa.

Nak dijadikan cerita, kawan yang sepatutnya aku pergi sekali boleh pula terbersalin sehari sebelum filem itu ditayangkan. Dia yang beria mengajak aku sebenarnya. Aku pula sebab pelakonnya Fattah Amin mahulah juga menontonnya.

Cari jalan nak ajak tok laki. Ajak punya ajak, tok laki setuju nak teman aku ke pawagam. Maka marilah kita tengok KL Special Force.

TOk laki hulur duit aku siap tolak. Haha. Gigih belanja sebab kalau aku belanja tak adalah dia nak mengutuk sangat kalau ceritanya tak menarik. Gitulah pada pemikiranku.

Kami empat beranak sebelum masuk wayang.

Aku sempat suruh anak aku tangkapkan gambar kat poster KL Special Force. Aku ceritakan dari sudut pandang aku. Ceritanya menarik sebab aku agak keliru siapa yang bersubahat dengan geng jahat lakonan Syamsul Yusof. Mulanya ingat macam si Rosyam yang ambil rasuah. Kemudian fikir pula si Fattah. Ada hook kat situ. Apa-apa pun dalam KL Special Force ini dapat dilihat bahawasanya Fattah sudah tidak kayu. Alah biasalah. Yang komen kayu tu cuba berlakon. Mula-mula kayu. Bila dah biasa berlakon mesti makin pandai melakonkan watak.

Cuma yang aku stres bila part polis datang dan cakap kami polis. Terus kena tembak. Huh. Menyirap tang tu aje. Apa pun aku bagi 4/5 bintanglah. Itu aje. Aku pun dah lupa watak-wataknya. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Monday, November 13, 2017

Menonton Tombiruo

Assalamualaikum.

Hai semua.

Sejak minat tengok lakonan Zul Ariffin dalam drama Titian Cinta, saya memang mengikutlah beberapa drama yang dilakonnya. Dulu tak berapa tengok kalau dia berlakon. Tambah lagi kalau dia berlakon dengan Ayda Jebat atau Fathia. Lagilah saya tak tengok. Cuma sekarang ini kalau AJ, bolehlah diterima lagi bila sekarang suka dengar lagu-lagu dia. Fathia memang tak boleh lagi sampai sekarang. Haha.

Jadi saya berminatlah nak menonton Tombiruo walaupun wajah Zul Ariffin takkan kelihatan pun hingga ke penghujungnya. Janji Zul Ariffin berlakon. Gitu sekali kekdahnya. Lagi pun baca review orang yang sudah menonton macam menarik. Itulah salah satu yang membuatkan saya teringin untuk menontonnya.

Pujuk sang suami. Saya kira kalau drama aksi dia tak keberatan nak teman saya memandangkan filem Bisik Pada Langit saya pergi sendiri. Memang tak nak ajak suami pun sebab filem tersebut kisah sedih. Sudah tentu saya akan berdrama air mata. Sebelum dijadikan bahan dek laki sendiri, baik saya pergi menonton bersama teman.

Akhirnya, suami setuju nak bawa menonton Tombiruo. Dengan anak-anak sekali kami pergi. Dah lama tak pergi menonton wayang empat beranak.

Kami menonton di MBO dekat Melaka Mall sahaja. Lagi pun dekat dari rumah.

Sebelum masuk panggung haruslah bergambar di luar.

Berswafoto bersama anak-anak.

Kami empat beranak.

Bukan main tekun orang belakang mengulit telefon bimbitnya.

Sempat bergambar di dalam panggung.

Ini sudah keluar panggung.

Lepak kat sini dulu sambil memikirkan mahu makan malam di mana.

Akhirnya, makan di McDonald sahaja.

Keluar wayang, anak-anak asyik bertanya. Sebenarnya dari dalam panggung wayang telah disuarakan rasa tidak puas hatinya.

"Ma, kata ada Zul Ariffin tak ada pun." Itu dialog Dak Adik.

"Ma, kenapa Zul Ariffin kena pakai topeng?" Itu Dak Kakak pula bertanya.

"Kenapa dengan muka Zul Ariffin?" Dialog bersama dua-beradik.

Jenuh juga saya nak menjawab dan menerangkannya. Hihi. Budak-budak biasalah. Tak lari daripada sesi bersoal jawab.

Secara keseluruhannya, saya puas hati dengan filem Tombiruo ini. Walaupun Zul Ariffin tidak menampakkan wajahnya namun lakonannya masih mantap berganding dengan Faizal Hussein yang sememangnya hebat. Cuma wataknya sebagai ayah sekejap sahaja.

Adalah sedikit babak-babak yang terkehel, itu biasalah. Mana ada keseluruhannya sempurna. Tidaklah memberi impak sangat pada filem tersebut dan tidaklah saya rasa terkilan menontonnya. Saya memang tak pernah ikut novelnya sebab saya tak gemar baca thriller. Tapi selepas menonton Tombiruo saya rasa saya perlu menukar gaya bacaan saya. Novel Tombiruo yang kulit bukunya gambar pelakon telah pun saya beli tempoh hari usai beberapa hari saya menonton filemnya. Nampaknya saya perlu hadamkan novelnya pula.

Inilah novelnya yang baru saya beli seminggu yang lepas. Belum sempat membacanya. Akan diselitkan juga masanya sebab sekarang sibuk menulis. Ada banyak benda nak kejar jadi aktiviti membaca perlu diperlahankan buat seketika waktu. Itu sahaja perkongsian saya untuk hari ini. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Wednesday, October 18, 2017

Bisik Pada Langit

Assalamualaikum.

Hai semua.

Jumaat lepas semasa Melaka cuti umum sempena Hari Jadi TYT, saya dan kawan mengambil kesempatan ke panggung wayang untuk menonton Bisik Pada Langit. Seminggu lebih merancang dan setelah mendapat keizinan suami masing-masing, makanya kami menjejakkan kaki ke MBO di Melaka Mall. Bukan senang dan berkelapangan seperti ini. Oleh sebab suami saya tidak meminati cerita melayu, jadi saya memang tidak merancang mahu menonton bersamanya tetapi kalau tidak ada geng saya paksa juga suami. Hehe.

Saya keluar rumah selepas solat jumaat. Siap masak tiga jenis lauk untuk suami dan anak-anak. Nak keluar punya fasal kenalah siapkan apa yang patut sebelum tinggalkan mereka. Saya jemput kawan yang tinggal setaman. Awal-awal saya dah survey tayangan jam berapa sebabnya kami tidak beli online. Kebetulan MBO saja yang masih lagi menayangkan Bisik Pada Langit. Dekat juga dengan rumah. Jadi kami ke sana saja.

Sebelum masuk panggung kenalah berswafoto dulu. Saya bersama mak buyung.

Haruslah bergambar sendiri jugak di posternya.


Kawan saya ini juga merupakan seorang blogger suatu ketika dulu. Saya kenal dia melalui blog juga sebenarnya. Kemudian kebetulan beli rumah setaman. Sekarang saya pembeli tegar apam polkadot dan creampuffnya. Dan sekarang dia adalah cikgu tuisyen pada anak saya. Gitu panjang lebar kronologinya.

Baiklah.

Berbalik pada tajuk di atas. Saya kan suka bermukadimah panjang lebar. Objektifnya tak sampai-sampai. Filem arahan Kabir Bhatia ini sangat bagus seperti biasalah. Jalan ceritanya biasa-biasa. Cerita kekeluargaan. Kasih seorang ayah kepada anak-anak. Bila sudah ramai anak akan wujud pilih kasih yang dirasai oleh anak-anak namun adakalanya ibu bapa ini tidak pun seperti itu. Pilih kasihnya mengikut pada kelebihan anak-anak barangkali.

Awal-awal lagi saya sudah terasa kesedihan bila lagu ostnya dimainkan. Lygophobia nyanyian Akim  The Majistret. Lygophobia itu bermaksud takut pada kegelapan. Lagu-lagu Akim & The Majistret macam biasa sedap didengar pada halwa telinga. Lagu Lygophobia ini mempunyai kekuatannya sendiri.

Semasa dalam panggung, kawan saya duduk di sebelah kanan saya. Saya mula menangis bila babak Hajar lakonan Ummi Nazeera sedang nazak dan ayahnya lakonan Jalil Hamid mengajar dia mengucap melalui telefon.

Iya, babak itu membuatkan air mata saya menderas laju membasahi pipi. Sapu tangan yang dibawa dalam beg tangan tidak sempat saya keluarkan. Sudahnya tudung bawal menjadi mangsa mengelap air mata. Saya tidak menoleh pada kawan di sebelah sebab saya kira dia pun sedang menangis. Hahaha.

Bawa geng ratu drama dan ratu air mata haruslah melayan perasaan sebegitu. Saya sempat bercakap pada kawan sewaktu lagu ost dimainkan pada awal cerita.

"Eh, lagu dia pun dah buat aku sedih ni."

Kemudian, masing-masing sudah menyepi dan sudah mula melayan perasaan sendu. Saya memang menangis sepanjang masa hinggakan pop corn dan minuman yang dibeli tidak sempat dijamah. Saya usik pop corn sikit aje masa belum mula menangis. Haha. Begitu sekali penangannya.

Para pelakonnya tidak mengecewakan. Semuanya sangat bagus. Beto Khusairy seperti biasa memainkan peranan yang bagus. Ummi Nazeera juga begitu dan juga lakonan Jalil Hamid, Fadilah Mansor, Naim Daniel dan Erwin Dawson.

Lakonan Beto yang memegang watak sebagai Zaidi yang berhubung baik lakonannnya dengan adik-beradiknya dalam filem itu. Seperti biasa, senario yang berlaku anak sulung sering kali mengalah demi adik-beradik.

Apa-apa pun Bisik Pada Langit adalah sebuah naskah yang baik. Cerita biasa yang selalu diangkat dalam masyarakat kita tetapi filem ini telah digarap dengan sebaiknya. Jangan dicari kekurangan dan kelemahan filem ini. Kalau dicari pasti kita akan menjumpainya. Kita ambil kebaikan dan kekuatannya. Pasti kita tidak sempat untuk mencari kekurangannya.

Filem ini juga menyelitkan perihal agama. Bagaimana kita menerima sesuatu dugaan. Bila mana babak perkhabaran Hajar sudah sedar dari koma. Ayahnya yang mahu membuat pasport ketika itu mengajak anaknya, Beto ke masjid dulu untuk sujud syukur. Itu juga salah satu babak yang menyentuh hati kecil saya.

Akhir kata, saya suka latar belakang tempatnya. Cantik-cantik semuanya. Baik di negara kita mahu pun di luar negara. Tahniah buat semua produksi Bisik Pada Langit dan juga para pelakonnya. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim