Friday, August 28, 2015

Ang Ni Takut Bini Ka?

Teks : Fyda Adim
Foto : Facebook

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...^___^

Selamat petang untuk semua. Semoga kita semua berada dalam keadaan baik-baik saja menjalani kehidupan harian yang agak padat. Dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing supaya kehidupan ini lebih bermakna. Hari tu dok ralit menengok wall facebook, aku terjumpalah benda alah ni. Ada orang yang share dekat wall facebooknya. 

Satu kenyataan yang menarik perlu dikongsikan. Isu 'takut bini' ni memang selalu kita dengar. Lebih-lebih lagi di kalangan kawan lelaki kan. Di kalangan kawan lelaki mesti macam tu. Mereka lebih suka cucuk kawan-kawan mereka konon tak macho sebab 'takut bini'.

Kenapa perlu timbul isu-isu begini. Aku paling tak gemar kalau terdengar orang bercakap begini. Memang kepantangan aku. Semak rasanya. Kadang pernah terdengar di kalangan kawan pejabat lelaki yang cakap begini. Pada pandangan aku lah kan kalau suami boleh berfikir tentang perasaan isteri memang tak akan timbul isu begini. 

Memanglah sesekali kita nak melepak dengan kawan-kawan tapi tengoklah keadaannya. Ini tidak si suami nak pergi melepak dengan kawan-kawan bini dok mengelek anak-anak kat rumah. Mana yang nak masak, mana yang nak tengok anak-anak buat kerja sekolah kan. Serba-serbi bini nak buat kerja rumah sorang-sorang. Bayangkanlah kalau bini tu kerja. Lagi sadis. Sedangkan si suami seronok dok bersantai dengan kawan-kawan. Port baik punya ngeteh kat kedai mamak. Menghabiskan masa. Kalaulah masa yang dibazirkan tu dibawa ke surau, dengar ceramah agama ke, belajar mengaji ke pasti tak siapa yang mahu. Boring! Yang kawan-kawan pula tak boleh berfikir ke? Jangan fikir perasaan sendiri saja fikirkan juga perasaan orang sekeliling juga.

Bini tu ada ke masa nak buat lagu tu? Nak bersantai-santai dengan kawan-kawan. Kalau tanya siapa yang tak nak. Heaven kut dapat melepak. Hilangkan stress bagai. Memang tak ada maknanya. Tunggang-langgangler kalau bini berpeel begitu. Anak-anak ke mana rumahtangga ke mana. Mestilah 1001 macam yang dilemparkan pada bini kalau berpeel sebegitu. Jadi sama-sama berfikir. Ini semua untuk keharmonian rumahtangga masing-masing. Jangan disebabkan kawan-kawan rumahtangga jadi huru-hara.

Seseorang pernah berkata pada aku, Biarlah takut bini... mungkin ada hikmah. Jauh lagi baik daripada tak takut bini lepas tu buat benda-benda tak baik. Jadi renung-renungkanlah untuk kebaikan bersama. Yang baik diambil sebagai pengajaran yang tak baik dijadikan sempadan. Sekian dan wassalam.

Salam pena,





Semoga Dipermudahkan Urusan Kami Sekeluarga

Teks : Fyda Adim
Foto : Carian Google

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...

Selamat pagi semua. Salam jumaat pembuka bicara untuk hari ini. Semoga hari ini lebih baik daripada semalam. Mudah-mudahan hendaknya. Itu yang selalu kita inginkan tetapi tidak semua benda yang kita suka atau hajati akan kita perolehi. Pasti ada kecundangnya.

Sejak semalam fikiran serabut selepas diberitahu yang tidak ada orang nak jemput adriana balik dari sekolah. Orang yang selalu jemput nana di sekolah sudah tak boleh menjemputnya lagi. Tak ke mendatangkan kekusutan pada aku. Sudahlah minggu depan encik suami sudah ke tempat barunya. Lapor diri 1 September ni.

Cuba bayangkan aku dan anak-anak? Memang kena struggle aku ni kalau tak dapat nak cari orang jemput adriana nanti. Pagi memang dah aku yang kena hantar adriana. Tengahari kalau nak keluar dari pejabat aku ni memang jauh jugak nak ulang-alik. Sekarang ni pun sedang mencari-cari lagi dan bertanya-tanya pada orang. Semoga dipermudahkan urusan aku utnuk menguruskan anak-anak aku tanpa suami di sisi nanti. Semoga dipermudahkan juga urusan suamiku nanti di sana.Semoga dipermudahkan urusan kami sekeluarga. Amin...

Sekian dan wassalam.

Salam pena,



Tuesday, August 25, 2015

Nayli Bawah Jagaan Aku

Teks : Fyda Adim
Foto : Koleksi Sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...

Selamat pagi selasa semua. Minggu akhir bulan ogos. Minggu depan sudah melangkah ke September yang bakal mengubah rutin harianku sepenuhnya. Nanti akan aku kongsikan bagaimana aku menguruskan anak-anak serta menguruskan diri sendiri tanpa suami di sisi. Moga semuanya dalam keadaan baik-baik saja.

Baiklah, entri pagi ini kisah anak buah aku yang aku jaga untuk beberapa hari dan beberapa malam. Masa tu adik ipar sudah sarat da menunggu masa melahirkan. Kemudian adik ipar dah kena admit sebab baby dok mengeras. Huh! Kak ipar yang over. Aku kan memang orang selalu cakap over. Jadi nayli di bawah jagaan aku. Nasiblah budak kecik tu okay. Pertama kali dia tu tidur dengan orang lain. Tak pernah lagi berasingan dengan umi dengan abinya.

Masa ni jemput dia orang kat sekolah. Aku drive kereta adik ipar sebab masa tu tidur rumah mak asben yang hantar.

Masa ni Nayli tidur rumah aku. Memang aku cukup menjaga emosi cik kak ni sebab dia ni penangis.

Kak long kawasan. Masa ni masing-masing sudah bersiap sebab mahu keluar makan.

Suka tengok gambar ni yang menunjukkan keceriaan anak-anak di wajah mereka.

Bawaklah makan kat sini. Boleh dia orang bermain kat playground.

Kak long berdua ni memang suka bergambar.

Dua orang lelaki yang penting dalam hidup aku. Ammar suka sangat buat mulut lagu tu kalau suruh bergambar. Sekian dan wassalam.

Salam pena,



Monday, August 24, 2015

Cerpen : Setulus Kasih

Teks : Fyda Adim
Foto : Koleksi Sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...


Selamat petang. Lebih kurang setengah jam lagi mahu pulang. Masa pulang adalah masa yang dinanti-nantikan. Entri ini sudah lama tersimpan. Bercadang dari sehari ke sehari mahu dikongsikan di blog ini namun masih belum terlaksanakan.


Hari ini aku cuba mencapaikan hajat dan misi yang tertunggak. Terimalah cerpen aku yang bertajuk 'Setulus Kasih' yang pernah tersiar di Mingguan Wanita. Jika ada terkurang di mana-mana harap dimaafkan.




CERPEN SETULUS KASIH


NUR Laila sudah menyandarkan badannya pada kerusi di meja kerjanya. Jam di tangan sempat dikerling. Lagi satu jam mahu ke angka lima. Baru dia terasa kepenatan setelah seharian ke hulu ke hilir menyiapkan kerja yang diserahkan bosnya pagi tadi. Kerja yang perlu disiapkan dengan kadar segera. Esok bos mahu menghadiri mesyuarat di Putrajaya. Hari ini dia terasa dirinya tersangatlah sibuk. Dia yang menaip minit mesyuarat, dia yang menjawab telefon malah dia juga yang membuat fotokopi surat-surat yang diterima. Terasa seperti tidak cukup tangan sehingga tidak sedar jarum jam bergerak pantas. Tahu-tahu sahaja sudah hampir tamat waktu kerjanya. Itulah hakikatnya kerja setiausaha.

Dia menarik nafas panjang lalu dilepaskannya perlahan. Saat dia masih lagi menyandarkan tubuhnya, tiba-tiba dia terasa tidak sedap perut. Terasa perutnya seperti mengeras-ngeras. Lalu diusap lembut perutnya yang semakin hari kian membesar. Setelah dua tahun dia dan suaminya menanti saat-saat ini. Kandungan kedua setelah keguguran, baru sahaja mencecah 28 minggu itu memang dijaga rapi. Sebaik sahaja dia disahkan mengandung, memang suaminya menatangnya bagai minyak yang penuh. Tangannya masih terlekap pada perut. Ketika dia sedang gigih mengusap perut yang membulat, dia terasa tendangan dari dalam. Terus sahaja tangannya meraba sebelah kiri perut. Kemudian tendangan itu beralih ke kanan pula. Dek kerana tadi dia terlampau sibuk dengan kerjanya membuatkan dia terlupa seketika pada insan di dalam rahimnya itu.

‘Anak mama pun penat ke?’ bisik Nur Laila pada kandungannya itu. Senyuman terukir di hujung bibirnya saat dia menerima tindakbalas dari dalam. Seperti mengerti akan kata-katanya. Nur Laila tersenyum bahagia.

Setelah lama dia menyandar, matanya beralih pada sesuatu di atas meja. Lantas tangannya mencapai kalendar. Dia membelek-belek kalendar yang sudah berada di tangannya.

‘Erm, tak lama lagi.’ Desisnya dalam hati.

Tidak puas hati dia mengira pada kalendar, dikira pula dengan tangannya. Hakikatnya dia bukan mengira tarikh untuk dia bersalin. Tetapi ada hal yang lebih penting dari itu. Dia termenung seketika. Saat itu matanya sudah tertancap pada skrin komputer. Tetikus di sebelah kanan sudah digerakkan. Mahu mencari sesuatu bagi merealisasikan hajatnya.

“Laila, awak tak balik lagi ke?” suara garau Encik Hairul yang menyapa secara tiba-tiba dari belakang membuatkan dia sedikit terkejut. Laila cepat sahaja memusingkan kerusinya menghala Encik Hairul yang sedang berdiri berhadapan mejanya. Bosnya itu baru sahaja selesai mesyuarat dengan klient dari syarikat luar. Kot hitam yang dipakainya tadi sebelum meninggalkan pejabat sudah berada di tangan.

“Belum lagi, bos. Saya tunggu suami saya jemput.” Balas Laila perlahan sambil tersenyum. Surat-surat di atas meja terus sahaja dihulurkan pada bosnya itu.

“Ooo...Awak dah tak memandu sendiri ke?” soal Encik Hairul lagi. Surat-surat yang sudah berada di tangannya dibelek satu persatu.

“Tak. Suami saya tak benarkan.” Jawab Laila lemah.

Sejak kandungannya mencecah lima bulan, suaminya tidak membenarkan dia memandu sendiri ke pejabat. Katanya bahaya. Apa yang bahaya Laila sendiri tidak tahu. Mahu ke mana-mana memang suaminya yang menjadi pemandu. Kalau ikutkan, dari awal suaminya tahu dia mengandung sudah tidak dibenarkan memandu. Tetapi Laila tidak mengendahkan tegahan suaminya. Kadang-kadang dia curi-curi juga memandu. Mana tahan mahu menunggunya sahaja. Terkadang suaminya itu juga sibuk dengan kerja.

“Betullah tindakan suami awak tu. Perut awak dah membesar, kalau apa-apa jadi kan susah.” Balas Encik Hairul bersahaja seakan-akan menyokong tindakan suaminya itu.

‘Ermmm...Yelah...” balas Laila pendek. Seakan akur dengan kata-kata bosnya itu.

“Okeylah, saya ada kerja sikit. Awak jangan balik lambat sangat.” Pesan Encik Hairul sebelum dia mengatur langkahnya ke bilik.

“Bos pun jangan balik lambat juga.” Laila sempat membalas kata-kata bosnya itu.

“Saya tak apa. Bukan mengandung pun.” Balas Encik Hairul sambil tergelak kecil. Laila juga turut tergelak. Bosnya itu kalau loyar buruk memang nombor satu. Ada sahaja yang dijadikan bahan.

Laila kemudiannya kembali memberi tumpuan kepada skrin komputer di hadapannya. Mahu menyambung kerjanya yang tertangguh tadi. Mahu mencari sesuatu untuk melaksanakan hajatnya. Matanya sudah ralit memandang skrin komputer. Di hujung bibir terukir senyuman. Laila seperti telah menjumpai apa yang dicarinya. Sewaktu dia sedang leka menghadap skrin komputer, Blackberry kepunyaan Laila yang dihadiahkan oleh suaminya sempena ulangtahun kelahiran berbunyi nyaring memainkan lagu ‘Sedang Bercinta lagi’. Menandakan panggilan masuk daripada suaminya. Memang lagu itu telah dikhaskan untuk panggilan daripada suaminya. Pantas sahaja tangannya mencapai telefon di atas meja.


“Assalamualaikum, abang.” Salam diberi saat punat jawab ditekan.
“Waalaikumsalam. Dah siap berkemas ke?” soal suaminya di hujung talian.
“Belum lagi. Abang dah sampai ke?” soal Laila. Kebiasaannya suaminya akan menelefon dulu sebelum tiba di pejabatnya.
“Belum lagi. Lagi lima belas minit abang sampailah. Tunggu di bawah ye.” Kata suaminya lembut.
“Ish abang ni. Laila ingat abang dah sampailah.” Kata Laila. Mendatar sahaja. Suaminya hanya membalas dengan gelakan kecil.
“Okeylah, Laila nak berkemas. Nanti abang dah sampai Laila tak habis kemas lagi.”
Kemudian talian dimatikan. Sepantas kilat Laila menyusun dokumen-dokumen yang bersepah di atas mejanya. Surat-surat yang telah diminitkan oleh Encik Hairul dimasukkan ke dalam fail keras. Cadangnya, esok sahaja baru diedarkan surat-surat itu pada kakitangan lain. Selesai mengemas mejanya yang agak bersepah sedikit seperti tongkang pecah, jari telunjuk runcingnya pantas menekan punat kecil di sudut kecil di sebelah kanan bawah monitor. Terus sahaja skrin pada monitor berwarna hitam sebesar televisyen 14 inci menjadi gelap.
“Bos, saya balik dulu.” Jerit Laila dari arah pintu bilik Encik Hairul yang terbuka luas. Encik Hairul memang jarang menutup pintu biliknya melainkan jikalau ada perbincangan penting sahaja.
“Okey, Laila. Jaga diri ye.” Jawab Encik Hairul yang sudah beralih pandang ke arahnya. Dia sememangnya ketuayang baik. Kebajikan setiap pekerja dijaga rapi.
Laila hanya mengukir senyuman dan dia mula mengatur langkah untuk beredar Langkahnya dipercepatkan kerana tidak mahu suaminya menunggunya pula. Terboyot-boyot Laila berjalan menuju ke arah lif.

Pintu kereta dibuka apabila Honda Jazz berwarna hitam berhenti di hadapannya. Suaminya sudah melemparkan senyuman dari dalam kereta. Laila membalas kembali senyuman itu hingga menampakkan lesung pipit di kedua belah pipinya. Tangannya dihulurkan pada suaminya ketika dia sudah berada di dalam perut kereta. Huluran Laila disambut lembut oleh suaminya itu. Beberapa saat selepas adegan bersalaman antara suami isteri itu, kereta meluncur laju meninggalkan perkarangan bangunan tempat Laila bekerja.
Setelah beberapa minit kereta itu bergerak, Laila cuba memejamkan mata. Tiada kata-kata yang terungkap antara suami isteri itu. Farid, suami Laila masih memfokuskan diri pada pemanduannya. Perjalanan mereka hanya ditemani celoteh DJ radio dan sesekali kedengaran DJ itu memutarkan lagu pula.
“Penat ke?” soal suaminya sebaik sahaja kereta mereka berhenti di lampu isyarat. Laila meluaskan bukaan matanya sebaik mendengar pertanyaan suaminya.
“Penatlah juga. Hari ini banyak kerja. Office boy cuti, itu yang kena buat macam-macam kerja.” Terang Laila panjang lebar. Sesekali Laila perasan suaminya melirikkan mata padanya.
“Ermm, tak apalah. Banyak gerak senang bersalin nanti.” Jawab suaminya bersahaja yang sudah mula menekan pedal minyak setelah lampu isyarat bertukar hijau.
Laila hanya mengangguk. Tanda dia bersependapat dengan kata suaminya itu. Laila kembali mahu memejamkan matanya tetapi dia teringatkan akan sesuatu. Terus sahaja dia bertanya pada suaminya itu.
“Abang, lagi dua minggu ulangtahun kelahiran abang. Abang nak hadiah apa?” Sahaja Laila bertanya. Memang setiap kali ulangtahun kelahiran ataupun ulangtahun perkahwinan memang masing-masing akan bertanya.
Farid hanya membisu tatkala Laila bertanya. Wajahnya kelihatan tenang sambil kedua belah tangannya masih tersemat erat pada stereng. Pemanduannya masih diteruskan dengan kelajuan biasa-biasa sahaja.
“Abang, Laila tanya abang nak apa?” soal Laila manja setelah menunggu lama jawapan daripada mulut suaminya itu.
“Cepatlah, bang.” Desak Laila apabila suaminya tidak memberi respon.
“Apa tak nak apa-apa. Abang nak Laila aje.” Jawab suaminya. Senyuman sudah terukir di bibir suaminya itu.
“Laila tanya betul-betul ni.”
“Betullah apa abang cakapkan tadi.” Jawab Farid. Tangan sebelah kiri sudah diusap lembut pada kepala Laila kemudian beralih kepada perut bulat Laila pula.
Laila tersenyum puas. Dalam benaknya sudah terfikirkan sesuatu. Tunggulah...


Kotak kecil yang berbalut dengan pembalut hadiah berwarna biru diperhatinya. Laila puas hati kerana dapat membeli dengan duit yang disimpannya setiap bulan daripada gajinya. Jam tangan jenama Titus sudah dibelinya semasa dia ke bandar tengahari tadi. Memang sudah lama dia mahu menghadiahkan pada suaminya. Kalau diharapkan pada gajinya memang tidak mencukupi. Silap hari bulan dia kena minta duit belanja daripada suaminya pula. Matanya masih tertancap pada kotak kecil itu. Lalu dia tersenyum lagi. Tanda puas hati.
Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Cepat-cepat telefon bimbit di hadapannya dicapai. Setelah nombor telefon orang yang mahu ditelefonnya ditekan, telefon bimbit dilekapkan pada telinga. Menanti dengan penuh kesabaran sehinggalah panggilan itu terjawab.
Laila menarik nafas lega. Dia mahu membuat kejutan buat suaminya.
“Assalamualaikum, abang. Hari ni abang tak payah jemput Laila dekat pejabat ye.” Beritahu Laila sewaktu menelefon suaminya.
“Waalaikumsalam. Eh, kenapa pula?Habis tu Laila nak balik macam mana?Nak naik apa?” bertalu-talu soalan yang terpacul dari mulut suaminya. Tidak sempat langsung Laila mahu memotong percakapan suaminya.
“Tadi Laila ada hal sikit di luar. Jadi Laila ambil teksi terus balik rumah. Abang jangan risau ye.” Jawab Laila perlahan dan bersahaja.
“Oh, iye ke?Buat abang risau je. Okeylah sayang, abang ada mesyuarat ni. Nanti kita jumpa di rumah ye.”
“Abang jangan balik lambat tau.” Pesan Laila sebelum mematikan taliannya. Sejak semalam lagi, Laila sudah minta kebenaran Encik Hairul untuk bekerja separuh hari. Encik Hairul dengan senang hati membenarkan. Bosnya itu memang tidak banyak karenah dengan pekerjanya.
Sebaik sahaja perbualan dengan suaminya terhenti, Laila menelefon sahabat baik suaminya, Fizrul. Mahu mengingatkan kembali pada sahabat baik suaminya itu tentang malam ini.
“Okey, puan. Aku tak lupa punya. Masak special sikit tau.” Fizrul berpesan tanda faham dengan pesanan dan arahan Laila tadi.
Laila terus ke dapur mahu menyiapkan beberapa juadah. Dia hanya menempah Kek Red Velvet kegemaran suaminya. Mahu membuat sendiri terasa tidak terlarat. Kudratnya yang hanya tinggal beberapa kerat dengan perutnya yang terboyot-boyot, membuatkan dia mengangkat bendera putih. Setelah beberapa jam Laila bertungkus-lumus di dapur, akhirnya siaplah beberapa menu yang sudah dirancang dari awal. Dengan perut yang membesar itu dia masih mampu bergerak walaupun agak terbatas. Nasi Tomato, Spageti Aglio Olio dan Puding Caramel sudah siap terhidang. Nugget juga ada digoreng untuk anak-anak kawan suaminya.
Selesai menghidang, Laila terus ke bilik. Mahu membersihkan diri dan bersolat Asar. Tidak lama kemudian, kedengaran loceng rumahnya berbunyi. Cepat-cepat dia melipat telekung dan sejadah lalu digantung.
“Assalamualaikum..” terdengar dari luar bertalu-talu memberi salam. Laila menjawab salam. Kelihatan Fizrul, Zarul dan Afiz bersama keluarga masing-masing di muka pintu. Mereka adalah kawan baik suaminya semasa di universiti. Laila terus menjemput mereka masuk.
“Jemputlah minum.” Pelawa Laila seraya meletakkan dulang yang berisi jug berwarna oren berserta gelas. Saat mereka sedang berbual, bertukar-tukar cerita sesama sendiri, kedengaran kereta Farid menderu masuk ke dalam garaj.
“Farid dah baliklah.” Kata Laila pada semua yang ada di situ.
Masing-masing menuju ke meja makan. Menunggu kelibat orang yang ditunggu.
“Selamat Hari Lahir!” jerit semua yang ada di situ sewaktu Farid muncul di muka pintu Farid kelihatan tergamam. Laila yang berada di sebelah kiri meja tersenyum melirik memandang suaminya yang masih tercengat di pintu.
“Selamat hari tua, bro!” Fizrul sudah merapati ke arah Farid yang masih terkejut.
“Hah, terima kasih.” Balas Farid teragak-agak. Terasa kekok dirinya dilayan seperti itu.
Kemudian, Farid didatangi Zarul dan Afiq pula Ucapan dan pelukan silih berganti antara mereka. Akhir sekali barulah Laila mendapatkan suaminya.
“Selamat hari lahir, bang.” Kata Laila yang sudah berada dalam pelukan suaminya.
“Terima kasih, sayang.” Dahi Laila dikucup lembut.
“Dah, jom potong kek.” Kata Laila yang agak segan diperlaku sebegitu di hapadan orang.
“Red Velvet?” soal suaminya sambil mengangkat keningnya saat mereka tiba di meja makan. Laila hanya tersenyum.
Sebaik sahaja suaminya mahu memotong kek yang sudah terletak elok di atas meja, tiba-tiba Laila terasa sesuatu yang mengalir dari celah kelangkangnya.
‘Basah.’ Bisiknya sendiri. ‘Takkan aku terkencing pula.’ Bisiknya lagi. Semakin banyak cecair itu mengalir membuatkan dia berasa cemas.
“Abang.” Panggil Laila sambil menunjukkan dirinya.
“Kenapa?” soal Farid cemas apabila dia terlihat gaun labuh Laila sudah basah.
“Eh, ini air ketuban.” Kata Mira, isteri kepada Fizrul sebaik sahaja dia mendapatkan Laila yang masih berdiri kaku. Masing-masing menjadi kalut.

Laila membuka matanya perlahan-lahan. Dia tertidur setelah beberapa jam bertarung nyawa mahu melahirkan permatanya. Bukan satu tetapi dua!Selama ini doktor tidak pernah mengesahkan dia hamil kembar.
“Laila.” Terdengar suara suaminya memanggil. Terpisat-pisat matanya mahu mengecamkan wajah suami yang berdiri sisinya.
“Anak-anak mana?” soal Laila lemah.
“Mereka diletakkan dalam inkubator di Unit Rawatan Rapi Bayi.” Terang Farid. Laila tersenyum lemah pula.
“Tak sempat abang nak potong kek.” Dalam sakit-sakit begini masih teringat lagi dia kejadian tadi. Semua terpaksa ditinggalkan semata-mata mahu ke hospital.
“Tak apa.” Balas Farid lembut sambil mengusap-usap dahi Laila.
“Hadiah pun tak sempat Laila nak bagi.”
“Ada hadiah ke?” soal Faris berkerut dahi.
Laila sekadar mengangguk.
“Tapi abang dah dapat hadiahnya.” Kata Farid sambil matanya memandang dalam ke anak mata Laila.
“Apa?” soal Laila seakan tidak mengerti maksud suaminya itu.
“Bukan satu tapi dua!Dia orang tak sabar nak menjengah dunia. Nak sama tarikh lahir dengan abang.” Kata Farid bersahaja. Laila tersenyum saat mendengar kata-kata suaminya itu. Baru dia mengerti.
“Terima kasih sayang. Abang terharu sangat hari ini. Sangat-sangat. Tak tahu macam mana nak diungkapkan dengan kata-kata.” Kata Farid sambil mengenggam tangan Laila.
“Nanti bawa Laila jumpa anak-anak ye.” Pinta Laila yang masih berbaring di atas katil.
Suaminya hanya tersenyum ceria sambil mengangguk kepala. Tangan mereka digenggam dengan lebih erat. Dahi Laila dikucup lembut beberapa kali oleh suaminya. Laila terasa amat bahagia waktu ini. Dia terasa dirinya sudah cukup sempurna menjadi seorang mama pada sepasang cahaya mata. Dapat memberi zuriat pada suaminya.
‘Semoga permata-permata hati kami akan terus menyinari kebahagiaan kami.’ Bisik Laila.

TAMAT







Rezeki Buat Encik Suami

Teks : Fyda Adim
Foto : Koleksi Sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...

Selamat tengahari semua. Lagi sejam mahu makan tengahari. Hari ini tak tahu makan apa tengahari nanti. Tengahari ini aku mahu kongsikan sedikit berita gembira untuk aku dan keluarga. Berita gembira kerana asben dinaikkan pangkat. Suratnya dapat pada minggu lepas.

Aku diberitahu melalui whatsapp. Waktu itu sedang berkemas-kemas mahu pulang. Selepas aku sudah thumb print, segera berlalu mahu menuruni tangga. Waktu itulah aku terdengar bunyi mesej masuk. Aku lihat skrin telefon bimbit dan tertera nama asben. Dia hantar whatsapp. Gambar pula tu. Aku berdetik dalam hati malasnya nak download. Kemudian mesejnya masuk lagi. Disuruh tengok juga.

Akhirnya mahu tak mahu aku download juga. Beberapa ketika juga aku tatap skrin telefon. Betul ke apa yang aku lihat. Sampai dalam kereta, siap boleh termenung. Hati melonjak gembira kerana kenaikan pangkat namun bila dilihat penempatan asben ada sedikit kelemahan diri.

Asben kena bertukar ke Johor dan dia akan melapor diri pada 1 September ini. Alhamdulillah syukur kepada Allah Taala. Bersyukur atas kurniaanNya da rezeki yang diberikan untuk kami.

Semoga dipermudahkan segala urusan kami sekeluarga. Selepas ini kami akan duduk berjauhan cuma berjumpa pada hujung minggu saja. Tak tahu macam mana keadaannya dan aku pun tak boleh nak gambarkan macam mana keadaan aku menguruskan anak-anak seorang diri. Moga diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik.

Sesungguhnya setiap kesukaran diiringi kemudahan. Amin...Biarlah bersusah-susah sekarang, bersenang-senang kemudian. Demi tugas kami terpaksa berkorban. Semoga kami dapat menjalani kehidupan kami sebaik mungkin dan diberi kekuatan untuk melaluinya. Amin...Sekian dan wassalam.

Salam pena,



Setia


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...

Selamat pagi isnin. Selamat bekerja pada yang bekerja. Pagi ini saja mahu suruh layan lagu. Lagu ni best, aku baru terdengar di corong radio beberapa hari lepas. Memang sedap didengar. Rentaknya dan suara penyanyi-penyanyinya. Tajuk lagu Setia nyanyian Elizabeth Tan dan Faizal Tahir.

Cuba baca bait-bait liriknya. Dan bawah sekali aku letakkan sekali video klipnya. Bolehlah layan. Gambar di atas saja pagi ni tuan tanah kedaung nak menonjol. 

^_____^


LIRIK LAGU : SETIA (ELIZABETH TAN & FAIZAL TAHIR)

Selamat pagi sayangku
Apa khabar dirimu?
Maafkan andai mengganggu lenamu

Andai pernah melukakan
Maafkan ku tak sengaja
Harus kau dan aku selalu bicara

Kau tahu kau satunya
Ku mahu kita selamanya

Kau dan aku
Mungkin tak sempurna
Kau dan aku
Tahu takkan mudah

Kau dan aku
Mahukan sempurna
Kau dan aku
Mengharap bahagia

Setia aku
Demi dirimu
Setia aku
Hanya padamu

Andai hatimu berubah
Pasti ku cuba fahami
Tetap ku melangkah terus berani

Kau tahu kau satunya
Ku mahu kita selamanya

Kau dan aku
Mungkin tak sempurna
Kau dan aku
Tahu tak semudah

Kau dan aku
Mahukan sempurna
Kau dan aku
Mengharap bahagia

Setia aku
Demi dirimu
Setia aku
Hanya padamu

Terima seadanya
Perbezaan kau dan aku
Biarpun apa saja
Ku percaya kau setia

Kau dan aku
Mengharap bahagia

Setia aku
Demi dirimu
Setia aku
Hanya padamu

Setiaku demi dirimu
Setiaku hanya padamu

Selamat pagi sayangku
Apa khabar dirimu?




Salam pena,




Sunday, August 23, 2015

Resepi Sotong Masak Hitam

Teks : Fyda Adim
Foto : Koleksi Sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...

Selamat malam semua. Jarang nak ada entri malam-malam ni. Ini kes terdampar aje. Hehehe..Tak ada maknanya pun terdampar. Entri ini adalah schedule entri makanya suka hatilah nak publish bila kan. Ini kes melepaskan gian menulis setelah beberapa tidak membelek blog sendiri.

Malam-malam begini aku mahu kongsikan resepi. Sotong masak hitam adalah lauk kegemaran asben. Aku memang tak minat langsung sejak kecil. Tetapi sejak asben selalu suruh masak dan aku sudah pun belajar-belajar makan. Aku tak makan sebab warnanya hitam. Hehehe..Rupanya sedap jugak. Kan orang kata hitam itu menawan. 

^____^


Sejak aku diminta masakkan lauk ini aku gigih google resepi-resepi yang mudah dan ringkas. Memang tak pernah masak pun. Jadi aku cuba resepi daripada blog Mat Gebu. Aku kongsikan resepinya di sini.

RESEPI SOTONG MASAK HITAM

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram sotong saiz sederhana
1/2 camca teh serbuk kunyit
1 camca teh garam
1/2 camca besar tepung jagung
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
2 ulas bawang putih, hiris halus
1/2 inci halia, hiris halus
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau, hiris
Garam dan gula secukup rasa
Hirisan daun bawang untuk hiasan
Hirisan cili merah untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
1) Sotong diasingkan kepala dan badannya, dibahagian kepala sotong, buang muncungnya dan berhati2 bersihkan bahagian kantung sotong yang berisi dakwat hitam, ketepikan. Badan sotong dibersihkan bahagian dalamnya dan kerat 3 - 4 bahagian bergantung pada saiz sotong, cuci dan toskan. 
2) Kemudian masukkan ke dalam belas sotong dan kepalanya, tambah serbuk kunyit, tepung jagung dan garam. Gaul rata2 dan ketepikan sebentar.Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 2 camca besar). Tumis bawang putih dan halia hingga harum, masukkan sotong dan gaul rata. Tambah bawang besar, cili merah dan cili hijau. Gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika perlu baru tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. 
3) Kacau dan masak sekejap (kurang lebih 2 minit). Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur dengan hirisan daun bawang dan hirisan cili merah sebelum dihidangkan bersama nasi, sambal belacan dan telur dadar...Selamat mencuba!!

Sekian dan wassalam.

Salam pena,



Kami Di Kampung

Teks : Fyda Adim
Foto : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...

Selamat petang semua. Kepenatan melanda. Baru selesai melakukan beberapa kerja rumah. Menyental bilik air dengan penuh kasih sayang. Berhenti rehat kejap. Kejap lagi sambung buat kerja. Ada beberapa kerja rumah yang belum dihabiskan. Hari ini bertenaga sedikit gara-gara minum Epyhra. Hahaha...

Ini kisah dua minggu mahu penutup Syawal. Kami pulang ke kampung asben. Bertangguh sangat nak balik. Sepatutnya raya kedua nak balik tapi sebab nak tunggu cukup korum. Tapi sudahnya balik pun tak cukup korum jugak. Lain kali tak boleh tunggu-tunggu. Rasa nak balik terus balik aje.

Okay, jangan bebel panjang-panjang. Mari lihat gambar biarlah gambar yang berbicara.

Aku dan ammar dalam kereta.

Sampai kampung teman asben kopek kelapa. Teman sambil bergambar. Hahaha..Solehah sangat isterinya.

Adik panjat abang tunggu bawah sebab si abang tu gayat. Nampak aje sado.

Seronok budah berdua ni kat kampung. Berlari ke sana ke mari.

Nak bergambar berdua ada aje yang menggacau. Tak bolehlah mama dengan papa nak bergambar berdua. Tetiba menyelit. Itu sahaja entri ringkas untuk petang ini. Sekian dan wassalam.

Salam pena,



Entri Random : Syawal Bersama Kawan-Kawan

Teks : Fyda Adim
Foto : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...

Selamat petang semua. Mari sambung lagi dengan cerita raya yang masih belum lagi habis diceritakan. Bersambung lagi ini pun aku sudah buat entri random. Sebelum kemalasan bertapa dalam diri baik aku habiskan cerita raya dalam entri ini.

Ini semua kisah beraya bersama kawan-kawan pejabat. Ada yang pergi beraya ke rumah dan ada beraya di pejabat. Jamuan raya pejabat di PKMD Melaka Tengah, RP4 dan jamuan raya pejabat sendiri.

Beraya ke rumah Afni. Orangnya yang buat peace.

Sebelum pulang memang harus bergambar.

Masa ni jamuan raya Kastam. Ini bergambar dengan Shuhada iaitu isteri kepada kawan asben.

Aku dan Mira semasa menghadiri jamuan raya PKMD Melaka Tengah.

Tiga sahabat yang bertemu di penghujung raya. Kebetulan Kak Nisah mahu hantar buku perkhidmatannya jadi jemputlah dia sekali.

Bergambar menggunakan prop IG. Nanti aku ceritakan tentang prop IG tu.

Ini pula kami menghadiri jamuan raya di RP4 iaitu Rumah Perlindungan di Tanjung Keling.

Bersama kawan-kawan yang ke jamuan raya RP4. Itu sahaja sambutan raya yang aku sertai. Kira okaylah daripada tahun lepas. Hehehe...Itu sahaja kisahnya. Sekian dan wassalam.

Salam pena,