Showing posts with label Dari Dapur Fyda Adim. Show all posts
Showing posts with label Dari Dapur Fyda Adim. Show all posts

Saturday, June 19, 2021

Mi Basah Bonda

Assalamualaikum.

Hai semua.

Hari ini masak apa? Entri kali ni cuma nak berkongsi resipi. Mi Basah ni mak selalu masakkan. Aku suka sangat mi basah ni. Ringkas saja cara menyediakannya. Bahan-bahannya pun tak adalah rumit mana. Boleh saja gunakan apa bahan yang ada dalam peti ais.

Mana tahu yang tak ada idea nak masak apa bolehlah mencubanya. Boleh saja tambah apa yang korang nak masukkan bahannya. Ikut suka. Nak masuk udang ke, sotong ke, ayam ke. Ini bahan yang ada dalam peti ais aku.


Mi Basah Bonda

Bahan-bahannya:
- 1 paket mi
- Bawang merah dan bawang putih (dikisar)
- Sotong
- Daging
- Bebola ikan
- Fishcake
- Kiub ayam
- Sos tiram
- Cili kisar
- Sos cili
- Sos tomato
- Kicap pekat
- Kicap masin
- Kicap manis
- Sawi
- Lobak (dihiris halus)
- Cili merah (dihiris)
- Bawang goreng
Cara-caranya:
  1. Panaskan sedikit minyak. Kemudian masukkan mi Numee dan letakkan kicap manis. Gaul bagi rata dan angkat ke dalam mangkuk.
  2. Tumis bawang kisar hingga kekuningan dan masukkan cili kisar. Ikut sukatan cili nak banyak mana.
  3. Tumis sehingga pecah minyak. Kemudian masukkan daging dan sotong. Terpulanglah nak masukkan udang ke ayam ke.
  4. Dah agak masak masukkan air. Ikut cili banyak mana. Jangan cair sangat.
  5. Masukkan bebola ikan dan fishcake. Apabila sudah mendidih masukkan kiub ayam.
  6. Masukkan sedikit sos cili dan juga sos tomato. Kemudian masukkan sos kicap pekat dan sedikit kicap masin. Letak garam sedikit sebab dah guna kicap masin.
  7. Jika nak pekat kuahnya boleh letakkan sedikit tepung jagung tapi saya tak letak.
  8. Tunggu sehingga mendidih dan boleh tutup api.
  9. Sedia untuk dimakan. Letakkan mi dalam mangkuk dan curahkan kuahnya. Taburkan cili merah yang telah dihiris dan bawang goreng.

Itu sahaja perkongsian untuk hari ini. Selamat mencuba!

Boleh layari blog aku satu lagi INI CERITERA AKU.

Xoxo.

Salam pena,
Fyda Adim


Saturday, June 12, 2021

Nasi Limau Purut Penutup Syawal

Assalamualaikum.

Hai semua.

Pejam celik hari ini sudah pengakhiran Syawal. Terasa Syawal kali ini sendu dan hambar. Harap kita dapat bertemu Ramadan dan Syawal lagi tahun hadapan. Marilah kita sama-sama berdoa. Sudahlah menahan rindu pada keluarga, pada saudara-mara, pada kawan-kawan. Rindu yang sering bertandang membuatkan diri tidak keruan menahan rasa.

Memandangkan hari ini 30 Syawal, kira penutuplah kan. Aku memilih untuk memasak sedikit juadah ala-ala Syawal. Rendang ayam dan ketupat segera sahaja. Kemudian aku masak sedikit nasi limau purut sebab makan ketupat saja ada yang tak kenyang.

Masaklah sikit-sikit buat rasa. Aku masak sekali harung sampai ke malam. Tak kuasalah nak masuk dapur dua kali. Ada kerjaan lain yang nak dibuat.

Mana nak baca buku.
Mana nak tulis resensi buku.
Mana nak buat video.
Mana nak buat photographer.
Mana nak menulis blog.
Mana nak siapkan manuskrip.

Betapa sibuknya walau di rumah. Dalam suasana sekarang, masing-masing terganggu emosi. Jadi kita kenalah sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti berfaedah agar diri tidak berada dalam keadaan kemurungan.

Nampaknya PKP bersambung lagi. Sudah setahun lebih pergerakan kita terbatas. Maknanya, lama lagilah nak balik Melaka. Semuanya serba tak kena. Sekarang, salah sikit memang jadi bahan kecaman. Memang manusia sekarang suka cari salah orang. Tengoklah beberapa cerita yang viral sepanjang PKP. Aku tak ambil port. Banyak benda lain yang perlu difikirkan.

Inilah pilihan menu aku sekeluarga. Alhamdulillah masih ada rezeki untuk menikmati makanan. Ada yang terpaksa ikat perut. Mana yang kita boleh bantu orang sekeliling kita cubalah bantu.

Aku kongsikan resipi Nasi Limau Purut.

RESIPI NASI LIMAU PURUT

Bahan-bahan:

  • Beras basmathi (ikut sukatan sendiri) - Rendam setengah jam 
  • Bawang besar ( hiris)
  • Bawang putih ( hiris)
  • Halia (Hiris)
  • Kayu manis
  • Bunga cengkih
  • Bunga lawang
  • Buah pelaga
  • Minyak sapi
  • Minyak masak
  • Daun limau purut
  • Susu cair
  • Kiub ayam
  • Serai
  • Pewarna hijau

Cara-caranya:

1)  Panaskan sedikit minyak sapi dan juga sedikit minyak masak.
2)  Tumiskan bawang-bawang yang telah dihiris bersama rempah-ratus.
3)  Masukkan serai yang telah diketuk dan juga beberapa helai daun limau purut. Lagi banyak lagi bau wangi.
4)  Kemudian tuangkan bahan tumisan ke dalam periuk yang telah dimasukkan beras dan disukat airnya. Boleh letakkan limau purut sedikit lagi untuk menaikkan aromanya.
5)  Tuangkan sedikit susu cair. Jangan terlebih susu. Sukat dengan air agar tidak lembik nasinya.
6)  Kemudian masukkan seketul kiub ayam bergantung pada beras.
7)  Tanak nasi sehingga masak dan letakkan sedikit pewarna hijau.
8)  Apabila sudah masak nasinya boleh digaul dengan garfu.

Itu sahaja perkongsian untuk malam ini. Selamat mencuba!

Boleh layari blog aku satu lagi INI CERITERA AKU.


Wednesday, April 29, 2020

Ramadan Dalam Perintah Kawalan Pergerakan

Assalamualaikum.

Selamat malam semua.

Salam 6 Ramadan 1441. Sekejap saja sudah nak seminggu kita berpuasa. Tahun kedua kami berpuasa di perantauan. Aku baru ada berkesempatan nak menulis di sini. Memandangkan Ramadan kali ini kita sambut dalam PKP dan duduk di rumah, jadi segala kerja-kerja di rumah agak tersusun dan tidaklah huru-hara.

Ada banyak masa nak solat, nak mengaji, nak membaca, nak memasak. Sesungguhnya ada hikmah di sebalik semua ini. Kita kena berlapang dada dan berfikiran secara positif. Jangan wujudkan suasana negatif kerana cukuplah yang kita lalui ini sudah memberi kesan pada diri kita.

Hari ini sudah 43 hari kiranya aku duduk di rumah. Kalau beranak esok hari terakhir pantang. Aku ada masa untuk melihat anak-anak aku. Dulu sibukkan nak uruskan anak-anaklah, nak cuti tanpa gajilah, ini sudah Allah berikan waktunya. Jadi tak perlu merungut walaupun dalam hati terselit rasa sedih sebab tak dapat balik Melaka, tak dapat tengok rumah, tak dapat jumpa mak ayah dan keluarga.

Selama enam hari berpuasa, cuma sehari aje aku tak memasak sebab tak sihat. Kami memesan di PH Delivery. Hari yang lain aku masih memasak seperti biasa.

Menu untuk puasa hari pertama. Nasi limau purut. Ulang masak atas permintaan Dak Nana. Tauhu begedil aku beli frozen aje.

Nasi ayam untuk hari kedua berpuasa.

Aku buat sagu gula melaka.

Aku beli susu Nilofa dengan kawan aku secara pos. Menyokong kawan-kawan meniaga.

Hari ketiga aku tak memasak. Beli pizza saja. Pertama kali beli delivery sejak duduk di JB ni.

Hari keempat aku cuma masak bihun Singapore.

Buat tepung pelita untuk Dak Nana.

Kebetulan boba yang dibeli dari Shopee pun sampai jadi suami buatlah teh boba.

Hari kelima aku masak nasi lemak. Bubur lambuk ada orang beri.

Kemudian masak ayam goreng pedas ala Korea.

 Aku buat kacang goreng sambal dengan ikan bilis dan kentang.

Menu untuk 6 Ramadan 1441, aku rebus ketupat segera, rendang daging dan lontong. Kemudian aku buat onde-onde.

Inilah rupa onde-onde aku. Pertama kali membuatnya. Sungguh berposak sebab nervous. Aku memang cuak sikit kalau bab buat kuih-kuih tradisional ni.

Itu saja serba-sedikit coretan sepanjang Ramadan dalam tempoh PKP ini. Harapnya kita dapat kembali dengan kehidupan asal kita. Rindu sangat-sangat.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim

Tuesday, April 21, 2020

PKP Hari ke-34: Juadah Tengah Hari dan Minum Petang

Assalamualaikum.

Selamat petang.

Semalam mood memasak rajin sikit, jadi aku masak awal. Suami kerja. Jadi semalam terus masak untuk makan tengah hari. Selalu suami kerja, memang aku lambat masak. Makan yang ringkas dan ringan-ringan saja.

Sebelah pagi kami bertiga makan roti sapu kaya saja. Kemudian aku terus masak tengah hari. Budak-budak ni kalau selagi mak dia orang tak masak selagi itu bertanya. Jadi semalam aku masak dua lauk. Biasa memang macma itu. Lauk dan sayur.

Masak lemak cili padi ayam dan kacang panjang goreng dengan telur.

Lepas makan tengah hari terus buat minum petang. Dapatlah rehat awal.

Popia carbonara dan popia maggi.

Sebelah petang terima bungkusan pos.

Aku ada beli kerepek secara online.

Jika ada sesiapa yang berminat boleh hubungi nombor yang tertera. Boleh juga layari Instagramnya di SINI.

Semalam dapat video call dengan ayah. Ayah tak dengar tapi jadilah dapat tatap wajah. Rindunya. Sebulan lebih tak jumpa.

Kemudian bervideo call dengan kawan JKM. Ex JKM dan JKM kiranya. Sorang tu warded sabtu ke ahad sebab slip disc. Jadi tadi bersiaran dari hospital. Tolong doakan kawan saya Mardiana Abu Hassan diberikan kesembuhan buat dirinya.

Walau jauh, kami tetap rasa dekat.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Wednesday, November 6, 2019

Jumaat Di Johor Bahru

Assalamualaikum.

Hai semua.

Minggu ini kami tidak pulang ke Melaka. Jadi habiskan masa saja di bandaraya Johor Bahru. Balik dua minggu sekali pun kena memikirkan fulus dan segala macam. Oleh sebab baru saja menghabiskan masa di Melaka jadi minggu ini kita bertenang-tenang saja di tempat mencari rezeki.

Dulu rajin juga balik dua minggu sekali tapi sekarang macam dah sebulan sekali tapi kalau terasa nak balik; bila rindu sudah tidak dapat dibendung - kami balik juga tak kira masa. Begitulah hidup di perantauan.

Di sana ada rumah sendiri.
Di sana ada keluarga sendiri.
Di sana semuanya ada.
Tempat jatuh lagi dikenang.

Baiklah, mari aku ceritakan kisah minggu ini. Aku kalau mukadimah memang selalu tersasar. Kalau sudah menaip beginilah jadinya.

Petang khamis, sewaktu dalam perjalanan balik ke rumah dari pejabat, encik suami ajak singgah Subway. Katanya ada promosi. Beli satu percuma satu. Aku ikut saja walaupun bukan kegemaran. Sejenis yang tak reti makan selain McDonalds; kalau bab burger.

Jadi kami singgah di Plaza Pelangi sebab situ adalah laluan untuk pulang ke rumah. Memandangkan malam itu kami merancang untuk membeli barang dapur jadi beli makan malam siap-siap. Boleh makan di rumah sebelum keluar membeli barang dapur.

Subway di Plaza Pelangi. Pertama kali aku menjejakkan kaki di bangunan ini.

Tiba giliran untuk memesan. Encik suami yang buat pesanan sebab puan isterinya tidak reti nak pilih sayur-sayurannya. Memang tidak pernah membelinya sendiri.

Sebelah malam kami ke pasaraya NSK untuk membeli barang dapur yang sudah kontang. Belilah sikit-sikit memandangkan kat sini menyewa rumah flat jadi tak larat nak memikul sampai ke tingkat 4. Memang kena menyadokan diri.

Pagi jumaat kami sempat beriadah di taman rekreasi berdekatan.

Kemudian singgah sarapan. Aku pekena sekeping tosai yang begitu sedap sekali.

Sebelah tengah hari aku mula memasak. Hari itu memasak menu istimewa sedikit. Ayam masak merah. kari daging dan jelatah.

Nasinya pula nasi tomato. Konsep makan hari itu dalam dulang.

Menu yang sudah sedia dihidang dan tunggu untuk dimakan.

Beginilah konsep makan kami empat beranak tempoh hari. Alhamdulillah. Semuanya berselera. Bertambah-tambah. Anak-anak yang minta makan dalam dulang. Bila waktu cuti bolehlah nak melayankan. Kata sahabat aku, waktu cuti yang boleh masak macam-macam dan sedap-sedap.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



Sunday, May 26, 2019

Kisah Ramadan: 17 Ramadan - 18 Ramadan 1440

Assalamualaikum.

Selamat pagi.

Kisah masak-memasak masih lagi diteruskan seperti  biasa. Permintaan daripada seisi rumah menambahkan kerajinan untuk aku meneruskan tugasan masak-memasak. Selalunya aku masak ikut permintaan. Malas nak masak ikut tekak sendiri nanti syok sendiri. Aku seorang sahaja yang makan.

Dah lama teringinkan oden. Tak tahu pun rasanya macam mana tapi sebab tengok ramai yang kongsi resipi jadi aku teringin juga nak mencuba. Jadi aku usulkan pada suami. Kena tanya dia dulu takut dia tak berkenan pula.

Bila suami kata on dan dia setuju untuk cari barang-barang nak masak barulah aku pun on memasaknya. Yelah, tekak orang dengan tekak kita mana nak samakan.

Bahan-bahannya.

Perencah Adabi Tomyam dan Asam Pedas.

fishball yang telah dicucuk.

Kemudian masukkan dalam kuahnya.

Aku goreng maggi goreng.

Inilah menu kami untuk 17 Ramadan 1440.

Esoknya pula, 18 Ramadan 1440 aku masak asam pedas ayam.

Dan juga makaroni tomyam. Murtabak itu suami beli Kampung Melayu Majidi. Sedap. Aku suka murtabaknya.

Itu sahaja coretan untuk dua hari. Aku coretkan di sini supaya akan dibaca kemudian hari bila ada yang merinduinya. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Kisah Ramadan: 15 Ramadan - 16 Ramadan 1440

Assalamualaikum.

Selamat pagi.

Hari ini sudah kerja. Lagi 3 hari lagi mahu balik Melaka. Khamis itu aku tak mahu kira dah. Hahaha. Teruk nau perangai. Pertama kali merasa nak balik kampung setelah 12 tahun tak merasa. Dah tua-tua bangka diberi peluang untuk merasanya lagi. Seksa rasanya.

Untuk 15 Ramadan 1440 aku masih lagi memasak. Pencapaian yang sangat baik setakat ini. Selalunya kat Melaka aku dah mengukur bazar. Memandangkan kat JB ini aku tak mahir lagi nak merayau makanya memasak sahaja pilihan yang ada. Kalau pergi bazar pun suami sahaja yang singgah dari pejabatnya.

Aku balik pejabat terus menonong balik rumah. Jangan nak suruh singgah mana-mana. Karang entah mana-manalah yang aku pergi.

Lauk rendang panaskan yang semalam punya. Aku tambah sambal sotong. Kemudian rebus ketupat segera.

Ini pula untuk 16 Ramadan 1440. Aku tambah daging black pepper sahaja.

Ammar suka pula lauk ini.

Sambal sotong. Gedabak-gedabak bawang aku itu sebab ada pembantu yang tolong potongkan. Mari ke cerita seterusnya. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Saturday, May 11, 2019

Kisah Ramadan: 5 Ramadan 1440

Assalamualaikum.

Macam mana semuanya? Sekejap sahaja sudah lima hari kita berpuasa. Minggu ini aku menghitung hari untuk balik Melaka. Tak sabar rasanya. Dua minggu sudah tidak menjengah semua kesayangan aku di Melaka. Rindu yang amat. Untuk tidak melayan sangat perasaan ini, aku menyibukkan diri. Walaupun bulan puasa, aktiviti menulis diteruskan. Aku menulis dalam sejam dua selepas solat tarawih.

Bulan puasa, biasalah sibuk dengan yang wajib dan sunat. Itu semua pasti lakukan. Menu berbuka untuk 5 Ramadan masih lagi yang ringkas. Bulan puasa ini tak berapa nak makan sangat. Aku masih lagi bertahan memasak untuk isi rumah.

Setakat ini tidak menjejak Bazar Ramadan lagi. Tak tahu tempatnya pun satu hal. Kalau kat Melaka panjang langkah aku. Bila kat tempat orang ini agak bataslah pergerakkan aku. Setakat ini hanya tahun pergi kerja balik kerja. Pergi sekolah anak-anak. Itu sahaja tempatnya. Aku ini bukan jenis berani. Baguslah aku dapat berjimat. 

Ayam masak lemak, terung goreng sambal, kek batik dan bubur lambuk Kg. Melayu Majidi. Sedap bubur lambuknya.

Ayam masak lemak.

Terung goreng sambal.

Kek batik.

Aku masak awal. Pukul 2.30 petang sudah siap masak. Bukan apa senang sikit masak awal. Lepas masak boleh rehat. Aku ajak suami aku keluar pergi Tesco nak beli kad raya. Dapatlah keluar kejap dan balik sebelum berbuka.

Sebelah malam, usai tarawih aku ajak keluar lagi ke Guardian. Guardian dekat saja depan kawasan rumah. Kemudian singgah Starbucks. Dekat juga. Depan rumah. Semuanya dekat. Sediakan duit sahaja. Merasalah air starbucks.

Dua beradik ini kalau dapat pegang telefon memang penuh gambar dia orang. Masa ini dua beradik ini berswafoto di dalam Starbucks. Selesai kisah 5 Ramadan kami di perantauan. 6 hari lagi mahu balik ke kampung halaman. Rindu yang bertamu.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim