Friday, April 3, 2020

Kami Bervideo Call

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Alhamdulillah. Hari ini genap 11 tahun usia blog ini. Ini bermakna sudah 11 tahun aku menulis di sini. Bermacam-macam cerita aku tulis di sini. Kisah diri sendiri, kisah keluarga, kisah kawan-kawan, kisah percutian, kisah hobi dan macam-macam lagi. Kira blog ini bagaikan diari. Nanti-nanti boleh diimbau segala kenangan.

Hari ini sudah hari yang ketujuh belas kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sudah dapat serasikan diri berada di rumah. Banyak masa yang diisi dengan bermacam-macam kerjaan. Dari pagi sampai ke malam. Kemudian tidur esok bangun sambung pula kerja yang ada.

Aku pula sibuk nak siapkan manuskrip novel yang kedua. Mahu kejar sebelum Ramadan. Kalau boleh nak habiskan. Jadi nanti boleh fokus benda lain. Begitulah perancangannya.

Walaupun aku bertenang saja berada di rumah bersama anak-anak tetapi adakalanya hati ini terkenangkan mak ayah dan keluarga di Melaka. Bukan saja terkenang mereka tapi terkenang rumah sendiri. Selalunya kami akan jumpa paling lama pun dalam tiga minggu sekali. Bila dah jadi macam ini, hanya doa saja yang mampu diselitkan setiap kali selesai solat.

Rindu!

Itu saja yang mampu aku ungkap. Hampir setiap malam aku susah nak tidur. Fikiran menerawang memikirkan macam mana Ramadan yang bakal disambut. Macam mana sambutan Aidilfitri. Hanya mampu berdoa saja.

Mujurlah sekarang ada teknologi canggih. Ada telefon pintar. Ada data internet. Semuanya di hujung jari. Masih lagi boleh berhubung. Masih lagi boleh melihat secara jauh. Sekurang-kurangnya rindu itu sedikit terubat.

Kami bervideo call. Mak dan anak buah aku, Nayli Firzanah. Mujur adik tinggal bersama mak dan ayah. Adalah yang menjaga mereka.

Setiap hari kami akan berwhatsapp. Bertanya khabar. Kadang tanya menu masakan. Macam-macam cerita. Kira ada saja ceritanya.

Gambar ini dihantar oleh mak masa minggu pertama PKP. Menu hari ini, katanya.

 Ini tak silap minggu kedua PKP. Mak teringin nak makan rendang.

 Ini pula mak hantar. Mak buat roti murtabak je malam ini.


Ini pula, dua hari lepas. Anak buah aku si Nayli yang hantar. "Obek cantik tak?"

Ini pula barang yang aku order dari Lazada untuk mak. Sudah selamat sampai tapi ada masalah pula pada pressure cooker tu. Kenalah pulangkan semula sebab kemeknya teruk.

Begitulah kami sepanjang PKP ini. Walau terpisah jauh sebegini namun didekatkan dengan cara begini. Hanya doa yang mampu dititipkan buat semua yang jauh di mata.

Semoga doa kita semua diperkenankan Allah dan kita akan kembali seperti dulu. Sesungguhnya rindu itu amat menyakitkan.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



1 comment:

SalbiahM said...

memang PKP ni rasa rindu betul dekat adik-beradik dan anak-anak sedara. Mak ayah saya hari-hari dok menyebut cucu-cucu