Wednesday, March 14, 2018

Sibuk Membaca

Assalamualaikum.

Saya sibuk membaca hinggakan sampai tidak ada masa untuk menulis. Ya. Memang sungguh saya tinggalkan kejap menulis ini sebab ralit dengan membaca buku-buku yang ada. Rehat kejaplah kan. Ini pun saya menulis sebab mahu siapkan biodata untuk dihantar bagi Projek Anekdot Mak-mak lah sangat. Dalam proses untuk diterbitkan awal April ini. Jadi saya kena siapkan seperti yang diminta oleh pihak editor.

Bermalas-malasan saya duduk di depan komputer menyiapkan biodata. Adoi. Gigihkan jugak menaip biodata sendiri. Alang-alang sudah depan komputer saya siapkan cerpen yang mahu dihantar dan tulis sekali satu entri di blog ini.

Rindu nak menulis. Tapi auranya belum kunjung tiba. Lama sangat dia menghilang. Hilang kejap sudahlah. Jangan lama-lama. Ada banyak projek tapi itulah masa amat mencemburui saya. Hari ini saya cuti sebenarnya. Badan tak berapa sihat. Jadi lepas saya hantar anak-anak saya balik ke rumah dan rehat. Saya tidur. Adoi rindu tidur yang berkualiti. Sesekali bila dapat memang nikmat.

Saya baru habiskan baca buku ini. Kumpulan cerpen yang ditulis oleh Hafizah Iszahanid. Cerpen-cerpennya memang menarik dan agak berat. Saya masih belum mampu untuk menulis dan berfikir seperti beliau. Memang kagumlah. Jadi kena lebih banyak membaca lagi lepas ini.

Sekarang sedang melayan dua buah novel ini. Ini versi tamak. Entah mana satu nak dibaca dulu pun tak tahu. Sebenarnya saya ikut dramanya di televisyen. Novelnya saya pinjam jiran merangkap kawan sekastam dengan suami. Sekarang sedang baca Tiada Arah Jodoh Kita. Tapi itulah, drama Tak Ada Cinta Sepertimu pun macam best. Jadi tak sabar nak baca novelnya jugak. Dah tua-tua baca buku pun sebanyak-banyak dalam satu masa.

Nanti bila dah ada masa, saya kembali menulis lagi di sini. Banyak cerita nak kongsi. Kisah hiking. Kisah Run Fit. Oh ya, sekarang saya aktif dengan aktiviti luar. Tak tahulah berapa lama sedangkan saya memang tak berapa aktif pun sebenarnya. Hahaha.

Doakanlah semoga semua urusan saya dipermudahkan. Lagi dua hari nak cuti sekolah kemudian anak-anak cuti seminggu. Maknya yang ho ho horey. Undur diri dulu. Semoga urusan kalian yang membaca entri saya ini juga dipermudahkan dan berjalan lancar ya. Amin...

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Monday, March 5, 2018

Orientasi Tahun Satu

Assalamualaikum.

Sudah masuk bulan ketiga, anak saya Muhammad Ammar Qayyum melangkah ke tahun satu. Sememangnya, pada mulanya perasaan susah hati banyak menghantui diri. Ditambah pula saya susah nak move on anak lelaki saya sudah masuk tahun satu.

Mungkin sebab nampak dia macam kecil lagi. Waktu kakaknya saya tak dihantui perasaan begini sebab nampak kakaknya lebih matang. Itulah orang kata, budak lelaki lambat matang. Mungkin ada benarnya sebab itulah perbezaannya.

Ditambah lagi masa enam tahun, tiap hari saya mengadap Ammar menangis sewaktu saya hantar ke sekolah. Memang emosi dia terganggu. Emosi maknya pun turut terjebak. Entahlah. Mungkin dia tidak serasi dengan sekolah cina. Sebenarnya saya sayang nak tukarkan mereka sekolah tetapi saya tak mahu memaksa anak-anak. Mereka yang nak ke sekolah.

Macam kita, kalau sudah hilang keseronokan di tempat kerja. Begitulah keadaannya. Jadi saya ikut minat mereka. Entah berapa kali saya nak ceritakan hal ini. Marilah tatap gambar-gambar yang sempat saya ambil sewaktu hari orientasi.

Anak mama sudah besar.

Mama dan kakak setia menemani Ammar. Hehe...

Masa ni kami mendengar taklimat. Ammar pergi ambil ujian.

Suasana masa itu. Masing-masing menunggu anak yang sudah habis menduduki ujian.

Dah nampak Ammar.

Selesai semuanya, baru mama berselera nak makan.

Begitulah cerita orientasi Ammar. Alhamdulillah. Ammar tidak menangis dan mama sudah senang hati. Hari ini saya terajin menulis cerita terobek lama ini sebab saya cuti kecemasan. Ammar demam hari ini jadi dia tidak hadir ke sekolah. Sekian dulu entri pendek untuk hari ini. Kejap lagi saya tulis entri lain pula.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Thursday, March 1, 2018

Pembuka Bulan Baharu

Assalamualaikum.

Selamat petang.

Selama 28 hari kita menusuri bulan Februari, kini Februari telah menutup tirainya. Mac kunjung tiba. Maknanya telah masuk bulan ketiga kita di tahun 2018. Semoga apa yang belum dikecapi sepanjang dua bulan lepas dapat diteruskan pada bulan ini dan bulan-bulan seterusnya. Saya masih mengumpul kerajinan dan memanggil mood untuk kembali menulis.

Sudah agak lama mood itu tidak bersekongkol dalam diri. Jenuh juga saya menunggu. Sesungguhnya saya amat merindui untuk menulis menulis dan menulis. Ada satu halangan saya di rumah. Ada masanya internet di rumah tersangatlah slow membuatkan saya tidak ada hati untuk menulis di sini. Sudahnya saya tutup komputer dan bergolek-golek layan drama atau baca novel.

Minggu ini banyak cerita panas. Tapi cerita panas yang mendatangkan kebahagiaan pada saya dan tak tahulah orang lain bahagia juga atau tidak adalah majlis resepsi Fattzura. Allahu. Tersangatlah manis pasangan merpeti dua sejoli itu. Memang nak ulang kali tengok segala macam gambar dan video yang diup di Instagram.

Kalah orang sedang kemaruk bercinta. Hehe. Suka tengok Fazura dan suka tengok Fattah. Semoga perkahwinan mereka diberkati, dirahmati dan berkekalan hingga ke jannah.

Kemudian dengan cerita pelancaran tudung. Saya tidak tahu nak komen. Saya memang tak pakai pun tudung dia. Adalah jugak baca kecaman netizen yang teruk juga bunyinya. Biarlah. Manusia kan tidak lari daripada melakukan kesilapan. semoga kesilapan itu tidak berulang.

Disusuli dengan kisah isteri pertama yang diceraikan setelah enam bulan hidup bermadu dengan seorang artis. Allahu. Saya memang tak boleh nak hadam kalau baca kisah-kisah isteri diceraikan, kisah curang, hidup bermadu yang tidak adil. Memang tersangatlah emosi. Semoga diberikan kekuatan fizikal dan mental paada isteri yang diceraikan itu. Sesungguhnya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kita hanya mampu mengucapkan kata 'sabar' sedangkan sabar itu perlukan kekuatan untuk mendapatkannya.

Itu sahaja yang mampu saya tulis untuk entri pertama bulan ini. Tak mahu komen panjang-panjang. Ada rupa makcik bawang pula. baiklah, buku antologi Suara Kekasih Cinta masih ada beberapa naskah pada saya. Boleh emel saya kalau berminat. Cerpen saya bertajuk Separuh mati Ku Bercinta ada di dalam naskah tersebut. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Wednesday, February 28, 2018

Cukuplah Sekadar Memahami

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Entri penutup kiranya untuk bulan Februari. Bulan ini paling sikit menulis di blog. Ini kiranya entri ketiga untuk bulan ini. Tersangatlah sedikit sepanjang saya menulis blog. Semakin hari terasa diri semakin sibuk. Walhal saya dah lama tak menulis. Bukan blog saja malahan menulis cerpen pun. Kiranya dua bulan ni berehat kononnya.

Mungkin satu sebab saya sibuk membaca. Membaca novel dan buku antologi. Kemudian ditambah dengan sibuk melayan drama-drama menarik yang ditayangkan di kaca televisyen. Itulah satu kerja tak menjadi.

Sibuk dengan rutin harian tu memang dah biasa. Saya sibuk melayan drama dari Kekasih Paksa Rela membawa ke Syurga Yang Kedua. Sekarang sibuk dengan Dia Anak General dan Lafazkan Kalimah Cintamu. Kalau terlepas tengok saya ulang menontonnya secara online.

Itulah yang bertambah-tambah santainya. Sebenarnya dalam masa membaca saya mencari momentum menulis kembali. Biasalah, kalau tidak menulis haruslah membaca. Kalau sudah menulis memanglah tidak sempat membaca.

Hari ini saya cuti. Bukan cuti nak berjalan ke mana-mana pun. Cuti sebab nak bawa mak ke Poliklinik untuk pemeriksaan berkala. Biasalah, dah warga emas haruslah membuat lawatan ke klinik. Kalau tidak dua bulan sekali pasti tiga bulan sekali. Bergantung pada keputusan yang diperolehi.

Gambar pagi tadi. Biasalah gaya saya bergambar. Suka ambil gambar begini. Saya bawa mak tidur rumah supaya mudah lepas hantar anak-anak ke sekolah saya boleh terus hantar mak ke klinik. Tiba di klinik dalam jam 7.30 pagi. Macam biasalah, ke kaunter pendaftaran. Kemudian ke makmal untuk ambil darah dan air kencing.

Cuma hari ini hampir setengah hari juga di klinik sebab mak kena cek jantunglah, kena X-Ray kemudian jumpa doktor lagi. Nasiblah saya mohon cuti. Dalam jam 11.00 pagi selesai. Kemudian saya dan mak pergi makan. Usai makan saya hantar mak balik dan saya terus balik rumah. Dalam kepala banyak kerja rumah saya nak buat. Sudahnya sampai rumah, saya jalankan mesin basuh kemudian berbaring di sofa. Rupanya saya terlelap. Jam 3.00 petang baru tersedar.

Allahu.

Betapa letihnya. Bila dapat letak kepala dan bersendiri memang lena tidurnya. Bila bangun cepat-cepatlah siapkan kerja sebelum petang sebab nak menjemput anak-anak pula di taska dan sekolah. Begitulah perjalanan kisah untuk hari ini.

Ada masanya bila begini kita mahu orang fahamkan situasi kita. Walau tidak mampu menghulurkan bantuan cukuplah sekadar memahami. Tahu tak betapa strugglenya kita menguruskan pelbagai urusan.

Semoga kita pun akan memahami orang lain yang punya masalah dan kesempitan. Berhenti sini dulu. Nanti akan saya tulis lagi. InsyaAllah. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Sunday, February 11, 2018

Hujung Minggu Bersama Anak-Anak

Assalamualaikum.

Selamat pagi.

Salam ahad.

Sekejap sudah ahad. Kalau hujung minggu, alahai masanya berjalan dengan begitu pantas. Sekarang ini saya kurang menulis. Menulis blog, menulis cerpen dan menulis manuskrip. Sama saja seiring jalannya. Hati dan semangat tidak bersekongkol. Entahlah masa agak mencemburui saya. Rutin hari bekerja sudah cukup melelahkan saya.

Adakalanya, hati seakan meronta-ronta mahu menulis namun dalam masa yang sama tugasan rumah lebih diutamakan. Walaupun sekolah anak-anak sudah berada di sekitar tempat tinggal dan tempat kerja tetapi balik kerja saya sibuk dengan urusan anak-anak dan urusan rumah. Basuh bajulah, masaklah, itupun kadang saya ke dobi untuk keringkan sebab tenaga dah berkurangan untuk menjemur baju.

Begitulah kehidupan saya.

Hari ini, saya seperti biasa bersama anak-anak. Bila ahad beginilah kami tiga beranak di kala suami keluar ke kerja. Kalau ada masanya saya datang rajin, saya akan kelur bawa anak-anak ke shopping mall. Kadang terus keluar jenjalan dan makan sekali. Begitulah.

Macam dalam gambar ni. Ini entah gambar bila. Saya dah lupa. Sama ada hujung tahun lepas atau gambar di awal tahun.

Bawaklah dua beradik ini makan di food court Aeon Ayer Keroh.

Menu kami bertiga.

Ini kakak sepupu saya. Beza kami 17 tahun tapi kami sangat rapat. Dari kecil saya bersama dia.

Kami suatu ketika dulu sewaktu membawa anak-anak berkaroke. Saya suka karaoke jadi bila terasa nak pergi karaoke saya angkutlah anak-anak sekali.

Adriana dan Afiqah. Ramai orang tegur muka mereka berdua seiras. Afiqah ni anak bongsu kakak sepupu saya tu.

Budak berdua ni pun suka menyanyi. Dak Ammar asyik suruh cari lagu Aiman Tino. Memang jenuh nak melayan dia dengan Aiman Tino dia aje. Begitulah. Hari ini Ammar ada tuisyen. Jadi saya nak kena hantar dia tuisyen kemudian nak cari tempat melepak. Satu jam aje dia tuisyen. Itulah sedikit catatan untuk hari ini. Semoga diberi kelapangan untuk saya terus menulis di sini. Doakan ya.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Thursday, February 1, 2018

Februari Membuka Tirai

Assalamualaikum.

Salam sehati sejiwa.

Salam buat bloggerians.

Saya kembali bersiaran di sini. Selamat datang Februari. Semoga pembuka bulan baharu ini memberi semangat pada saya untuk menulis. Bulan Januari sekadar berlalu begitu sahaja/ Saya hanya sibuk dengan rutin harian yang tidak pernah berpenghujung. Menguruskan anak-anak sekolah sudah cukup memberi lelah. Ditambah lagi dengan kesibukan di pejabat. Sungguh penat. Adakalanya, waktu malam saya dihabiskan dengan anak-anak. Masak, makan, buat kerja sekolah, kemas beg sekolah, gosok baju dan kemudian terus tidur.

Sebab awal pagi saya sudah kena bangun untuk siapkan bekal anak-anak pula. Saya menulis juga cerpen tapi mood itu agak ke laut. Tak tahulah karam kat laut mana. Tak kunjung tiba lagi moodnya. Angin monsun pun tidak mahu tiup ke darat semula. Haha.

Setakat ini saya hanya siapkan Projek Anekdot Mak-mak Lah Sangat yang akan diterbitkan sebelum Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Jadi saya fokuskan pada projek itu terlebih dahulu. Harap lepas ini saya akan terus bekerja keras lagi untuk menulis.

Blog pun saya seakan sudah tidak ada masa. Bukan tidak mahu menulis tapi internet kat rumah yang adakalanya tidak mahu bekerjasama mematikan hasrat saya untuk menulis. Sudahnya banyak cerita-cerita yang tertangguh.

Saya berhenti dulu di sini. Nanti saya sambung lagi dengan entri yang terbaru. Kali ini swafoto seorang diri. Gambar di pejabat. Semoga apa yang diimpikan kita akan tercapai dan dipermudahkan setiap langkah kita. Amin.

Sehingga bertemu lagi. Oh ya, bulan ini bulan kelahiran Dak Adik. Bersiap sedia dengan sambutan yang dibuat seperti Dak Kakak. Ringkas sahaja untuk kami empat beranak. Sekian dan wassalam.

Xoxo.

Salam pena,
Fyda Adim