Pages

Wednesday, October 18, 2017

Bisik Pada Langit

Assalamualaikum.

Hai semua.

Jumaat lepas semasa Melaka cuti umum sempena Hari Jadi TYT, saya dan kawan mengambil kesempatan ke panggung wayang untuk menonton Bisik Pada Langit. Seminggu lebih merancang dan setelah mendapat keizinan suami masing-masing, makanya kami menjejakkan kaki ke MBO di Melaka Mall. Bukan senang dan berkelapangan seperti ini. Oleh sebab suami saya tidak meminati cerita melayu, jadi saya memang tidak merancang mahu menonton bersamanya tetapi kalau tidak ada geng saya paksa juga suami. Hehe.

Saya keluar rumah selepas solat jumaat. Siap masak tiga jenis lauk untuk suami dan anak-anak. Nak keluar punya fasal kenalah siapkan apa yang patut sebelum tinggalkan mereka. Saya jemput kawan yang tinggal setaman. Awal-awal saya dah survey tayangan jam berapa sebabnya kami tidak beli online. Kebetulan MBO saja yang masih lagi menayangkan Bisik Pada Langit. Dekat juga dengan rumah. Jadi kami ke sana saja.

Sebelum masuk panggung kenalah berswafoto dulu. Saya bersama mak buyung.

Haruslah bergambar sendiri jugak di posternya.


Kawan saya ini juga merupakan seorang blogger suatu ketika dulu. Saya kenal dia melalui blog juga sebenarnya. Kemudian kebetulan beli rumah setaman. Sekarang saya pembeli tegar apam polkadot dan creampuffnya. Dan sekarang dia adalah cikgu tuisyen pada anak saya. Gitu panjang lebar kronologinya.

Baiklah.

Berbalik pada tajuk di atas. Saya kan suka bermukadimah panjang lebar. Objektifnya tak sampai-sampai. Filem arahan Kabir Bhatia ini sangat bagus seperti biasalah. Jalan ceritanya biasa-biasa. Cerita kekeluargaan. Kasih seorang ayah kepada anak-anak. Bila sudah ramai anak akan wujud pilih kasih yang dirasai oleh anak-anak namun adakalanya ibu bapa ini tidak pun seperti itu. Pilih kasihnya mengikut pada kelebihan anak-anak barangkali.

Awal-awal lagi saya sudah terasa kesedihan bila lagu ostnya dimainkan. Lygophobia nyanyian Akim  The Majistret. Lygophobia itu bermaksud takut pada kegelapan. Lagu-lagu Akim & The Majistret macam biasa sedap didengar pada halwa telinga. Lagu Lygophobia ini mempunyai kekuatannya sendiri.

Semasa dalam panggung, kawan saya duduk di sebelah kanan saya. Saya mula menangis bila babak Hajar lakonan Ummi Nazeera sedang nazak dan ayahnya lakonan Jalil Hamid mengajar dia mengucap melalui telefon.

Iya, babak itu membuatkan air mata saya menderas laju membasahi pipi. Sapu tangan yang dibawa dalam beg tangan tidak sempat saya keluarkan. Sudahnya tudung bawal menjadi mangsa mengelap air mata. Saya tidak menoleh pada kawan di sebelah sebab saya kira dia pun sedang menangis. Hahaha.

Bawa geng ratu drama dan ratu air mata haruslah melayan perasaan sebegitu. Saya sempat bercakap pada kawan sewaktu lagu ost dimainkan pada awal cerita.

"Eh, lagu dia pun dah buat aku sedih ni."

Kemudian, masing-masing sudah menyepi dan sudah mula melayan perasaan sendu. Saya memang menangis sepanjang masa hinggakan pop corn dan minuman yang dibeli tidak sempat dijamah. Saya usik pop corn sikit aje masa belum mula menangis. Haha. Begitu sekali penangannya.

Para pelakonnya tidak mengecewakan. Semuanya sangat bagus. Beto Khusairy seperti biasa memainkan peranan yang bagus. Ummi Nazeera juga begitu dan juga lakonan Jalil Hamid, Fadilah Mansor, Naim Daniel dan Erwin Dawson.

Lakonan Beto yang memegang watak sebagai Zaidi yang berhubung baik lakonannnya dengan adik-beradiknya dalam filem itu. Seperti biasa, senario yang berlaku anak sulung sering kali mengalah demi adik-beradik.

Apa-apa pun Bisik Pada Langit adalah sebuah naskah yang baik. Cerita biasa yang selalu diangkat dalam masyarakat kita tetapi filem ini telah digarap dengan sebaiknya. Jangan dicari kekurangan dan kelemahan filem ini. Kalau dicari pasti kita akan menjumpainya. Kita ambil kebaikan dan kekuatannya. Pasti kita tidak sempat untuk mencari kekurangannya.

Filem ini juga menyelitkan perihal agama. Bagaimana kita menerima sesuatu dugaan. Bila mana babak perkhabaran Hajar sudah sedar dari koma. Ayahnya yang mahu membuat pasport ketika itu mengajak anaknya, Beto ke masjid dulu untuk sujud syukur. Itu juga salah satu babak yang menyentuh hati kecil saya.

Akhir kata, saya suka latar belakang tempatnya. Cantik-cantik semuanya. Baik di negara kita mahu pun di luar negara. Tahniah buat semua produksi Bisik Pada Langit dan juga para pelakonnya. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


1 comment:

Warisan Petani said...

Ambillah pengajaran daripada sesuatu filem yang ditonton.