Thursday, June 1, 2017

Resepi Daging Masak Merah

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa. Bismillah.

Hellooo...

Entri ketiga untuk hari ini. Bila datang mood nak menulis di sini, kau akan rasa seperti jin merasuk dalam badan. Tiba-tiba ada saja idea mahu menulis. Lagi pun sedang bersantai dan merehatkan minda daripada menulis cerpen. Rehat kejap. Walhal tengah banyak projek sebenarnya. Bak kata suami aku, "Buatlah setakat mana yang mampu."

"Baiklah, bang." Itu sahaja yang mampu aku lontarkan.

Entri petang ini aku nak kongsikan resepi. Dah lama blog ini tidak berkongsi resepi masakan. Bukan apa kadang masa amat mencemburui aku. Tulis pun setakat yang senang aje. Kadang update melalui telefon. Tapi kepuasan menulisnya memang tak sama. Aku tak suka kut! Jadi tengah ada masa senggang ni, bolehlah aku kongsikan resepi.

Mari aku kongsikan resepi daging masak merah. Aku bukanlah pakar memasak. Selalu cari ilham memasak melalui MrG ataupun buku-buku resepi mak yang aku cilok. Bising mak aku. Haha. Resepi daging masak merah ni aku dapat daripada Majalah Mingguan Wanita. Dah lama masak guna resepi yang ini aje. Jom tengok resepinya.

RESEPI DAGING MASAK MERAH

Bahan-Bahan :

1 kg daging - direbus dengan pewarna sehingga lembut
1 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
2 biji cili merah
1 inci halia
1 tangkai daun bawang atau daun sup
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos tiram
Garam

Cara Memasaknya :

1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar, bawang putih dan halia sehingga kekuningan. Kemudian masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram.

2. Masukkan garam. Apabila sebati barulah masukkan daging yang telah direbus. Kalau pekat sangat boleh tambah sedikit air.

3. Kemudian taburkan daun sup dan hirisan cili merah.

4. Sedia untuk dihidang.

Itu sahaja entri untuk petang ini. Kalau ada yang kebuntuan tidak tahu nak masak apa untuk berbuka nanti, bolehlah mencubanya. Sedap. Pasti menjilat jari. Aku pasti. Hehe. Semoga resepi ini dapat menghilangkan kebuntuan kalian dalam mencari menu nak masak. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


No comments: