Saturday, May 25, 2019

Makeover Ruang Tamu

Assalamualaikum.

Selamat petang.

Raya ini kononnya tak ada persediaan apa sangat. Memang tak fikir pun. Dalam kepala aku hanya fikir nak balik Melaka sahaja. Lain-lain ala-kadar sahaja. Janji dapat beraya dengan mak ayah dan keluarga itu sudah memadai.

Projek makeover ini adalah idea suami. Aku ikut sahaja. Mungkin rumah Melaka nak buat homestay jadi kenalah buat makeover sikit. Alang-alang buatlah sebelum raya. Projek homestay itu pun kalau menjadi kiranya. Bergantung pada keadaan juga.

Projek makveover ini hanya di ruang tamu. Suami nak tukar konsep. Kalau sebelum ini konsepnya lebih english style walaupun tak berapa english tapi itu semua aku yang buat. Konsep english selalu orang perempuan yang lebih gemar.

Segala macam frame sudah diturunkan.

Ini pun sudah ditanggalkan.

Alihkan perabot di luar rumah.

Perabot-perabot sudah di ubah untuk memudahkan adik ipar mengecat.

Ruang ini juga sudah dikosongkan dindingnya.

Alihkan barang-barang ke dining hall.

Kabinet televisyen.

Kosong-sekosongnya.

Membongkar memang senang nanti nak mengemas memang bercinta.

Susun jangan tak susun. Ada pula yang kena cat nanti.

Tak sabar nak balik kemas rumah. Suami yang kemas. Aku nak mengulit segala butter kat dapur. Kenalah bahagikan kerja. Buat seorang diri mana terlaratnya.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Kisah Ramadan: 14 Ramadan 1440 - Balik Ke Johor Bahru

Assalamualaikum.

Selamat petang.

Ahad lepas, kami gerak balik ke JB semula sebab Isninnya kerja. Mujurlah cuti Wesak Day dapatlah bercuti dua hari lebih di Melaka. Itu pun tak cukup rasanya. Hati masih sedih kalau nak balik ke JB. Siapalah yang tak sedih kan bila kita kena tinggalkan rumah sendiri.

Kemas-kemas beg pagi itu suami tanya.

"Sedih tak nak balik JB?"

Soalan meminta sangat. Mahu tak sedih. Sedih gila. Selalu masa-masa ini aku sibuk deko-deko rumah. Sibuk dengan buat kuih raya. Tahun ini macam suam-suam kuku saja walaupun ada saja keinginan nak membuatnya. Tunggu minggu depan balik cuti lama aku nak buat kuih.

Kami sampai JB dalam jam 3.30 petang. Memang bertolak awal sebab esok anak-anak sekolah. Jadi tak nak letih. Sebelum balik rumah singgah shopping beli barang basah.

Aku masak nasi lemak. Lauknya rendang ayam dan paru goreng sambal.

Paru goreng sambal kegemaran suami dan anak-anak.

Rendang ayam yang ringkas. Aku guna saja apa yang ada di dalam peti ais. Tiba-tba suami aku cakap nak rendang. Jadi aku pun masaklah. Mujurlah ada kerisik. Kalau tidak tak jadi juga rendang aku.

Menghitung untuk balik ke Melaka. Lagi 5 hari sahaja lagi. Hati sudah ada di Melaka. Jasad sahaja yang ada di JB ini.

Balik Kampung!
Oh, oh, oh Balik Kampung!
Oh, oh, oh Balik Kampung!
Hati Girang!
Oh, oh, oh Balik Kampung!
Oh, oh, oh Balik Kampung!
Oh, oh, oh Balik Kampung!
Hati Girang!

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Kisah Ramadan: 13 Ramadan 1440 - Iftar Dengan Kaum Keluarga

Assalamualaikum.

Selamat tengah hari.

Cerita sabtu lepas aku baru dapat berbuka puasa dengan keluarga aku. Baru dapat berbuka di rumah mak. Maklumlah sudah duduk jauh. Kalau dekat Melaka awalan Ramadan aku dah berbuka rumah mak. Memandangkan masa kita orang balik, anak-anak buah yang di Subang pun balik bercuti apa lagi kita orang pun merancang untuk iftar beramai-ramai di rumah mak. Jadi merancanglah dengan kakak-kakak sepupu aku. Bila dah ramai-ramai haruslah potluck.

Mak dan aku dok memikirkan nak masak apa. Sudahnya mak suruh aku masak nasi tomato dan mee kari. Lauk sampingannya ayam masak merah, acar, sup tulang. Dessertnya pula kek batik cadbury dan popia carbonara. Sepupu aku yang lain ada bawa murtabak maggi, kuih pelita, roti john dan tembikai.

Sudah siap dibentang tikar.

Lauk-pauk yang sudah disusun.

Cucu-cucu mak ayah aku. Lima orang semuanya.

Kakak sepupu dan bibik aku.

Sementara menunggu waktu berbuka masing-masing dengan hal sendiri.

Waktu berbuka beginilah suasananya.

Untuk keluarga kecil macam ini pun sudah cukup meriah.

Ini pun sebahagiannya duduk di ruang depan televisyen.

Masa ini sudah sesi kedua makan selepas solat.

Anak dara tiga orang. Dari belakang: Adriana (11 tahun), Nayli (7 tahun) dan Naura (4 tahun).

Kek  atik cadbury air tangan adik ipar.

Lazat sekali. Aku makan berkali.

Nasi tomato yang aku masak.

Ayam masak merah mak masak.

Acarnya.

Mee kari yang aku masak.

Popia goreng carbonara.

Nasi tomato yang aku tapau bawa balik untuk makan masa sahur.

Seronok sangat hari itu walaupun tidak cukup korum. Ada anak buah kat Bangi tak balik. Ramadan kali ini tanpa obek. Kalau makan-makan macam ini aku suka teringat dia sebab dia pemakan dan suka masak-masak. Kalau dulu masa kenduri memang arwah obek dan mak yang masak. Kini aku cubalah juga masak sikit-sikit kalau ada sesi berkumpul macam ini.

Al-fatihah buat mereka yang telah pergi.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Kisah Ramadan: 11 & 12 Ramadan 1440 - Balik Melaka

Assalamualaikum.

Salam sabtu.

Seperti entri sebelum ini, aku janji nak bawa anak-anak ke KFC. Jadi hari itu, usai jemput anak-anak di sekolah kita orang terus ke KFC yang berdekatan dengan rumah. Beli siap-siap sebelum balik rumah. Tak kuasa aku nak keluar balik lepas dah panjat tangga sampai tingkat 4. Kalau kat rumah Melaka sanggup aku keluar balik. Hahaha.

Begitulah bezanya di sini dan di Melaka. Ada masa kena keluar dari zon selesa. Banyaklah perubahan kita orang duduk di JB ini. Memang konsep hidup bersederhana sungguh. Dari rumah besar ke rumah kecil. Oh ya, rumah Melaka tidaklah besar istana. Maksud aku ruangnya lebih besar dari sini.

Singgah KFC berdekatan dengan rumah.

Berbukalah kami tiga beranak dengan KFC sementara tunggu suami balik kerja untuk gerak balik ke Melaka. Kita orang bertolak dari JB dalam pukul 12.00 tengah malam. Puas aku dengan suami telan nescafe yang dalam tin. Mujurlah berkesan. Sepanjang perjalanan kita orang tak mengantuk dan kita orang sampai Melaka lebih kurang jam 3.30 pagi.

Terus ke kedai mamak berdekatan rumah untuk bersahur. Selesai bersahur balik rumah. Memang letih juga tapi memandangkan nak balik Melaka memang gigihlah. Rindu semuanya sebab sudah dua minggu tak balik Melaka.

Siangnya hari jumaat, aku hantar suami ke masjid untuk solat jumaat di Masjid Al-Azim kemudian aku jemput mak pula untuk ke kedai barang kuiih. Aku nak beli butter untuk buat kuih raya.

Singgah AEON sebab aku nak beli setem. Sini senang sikit pejabat posnya.

Balik rumah, aku buat puding roti untuk dibawa balik ke rumah mak mertua sebab hari itu kita orang berbuka puasa di sana.

Sudah beratur untuk dibakar.

Banyak juga yang dapat dengan dua buku roti.

Puding roti sedang dibakar.

Puding roti sedia untuk dimakan. Masa ini aku dah balik dari rumah mak mentua. Dah selesai berbuka pun. Gambar ini post dulu.

Singgah beli ayam golek untuk dibawa balik ke rumah mak mentua.

Menu hari itu yang mak mentua masak. Aku balik tukang makan saja. Menantu hantu. Hahaha.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Kisah Ramadan: 10 Ramadan 1440

Asslamualaikum.

10 Ramadan 1440 tiada apa yang istimewa pun. Hari itu seingat aku punya keletihan sebab aku balik masak ala-kadar saja. Mulanya, anak-anak ajak makan KFC tapi aku betul tak larat nak keluar balik. Kononnya nak pergi lepas maghrib tapi sebab hujan tak jadilah kita orang keluar.

Belum biasalah nak keluar memalam kat tempat orang. Suami kerja pula itu. Sudahnya hari itu kami berbuka goreng nugget sahaja. Cuma tak ingat aku ada masak nasi ke tidak. Dah tak boleh nak recall sebab banyak sangat cerita tangguh.

Siap tulis kad raya.

Ini sahaja yang aku goreng. Makan ini pun dah kenyang. Itu yang tak meneruskan niat ke KFC. Aku cakap dengan anak-anak esok sahaja kita pergi sebab esok nak balik Melaka jadi aku tak masak. Begitulah ceritanya.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Kisah Ramadan: 9 Ramadan 1440 - Pulangnya Ke Negeri Abadi

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Lama sudah tidak menulis blog. Minggu lepas memang sibuk. Nak tulis entri untuk seminggu pun rasa malas. Sebab sudah sibuk dengan rutin harian, jadi nak menulis pun lemau. Aku memilih untuk berehat sahaja. Minggu lepas ada berita sedih yang aku terima dari Melaka.

Tak sempat jumpa sebab aku nak balik Melaka khamisnya. Tanggal 14 Mei 2019 iaitu hari Selasa sewaktu mahu pulang ke rumah, kakak sepupu aku telefon menyatakan tentang kepulangan bibik kita orang ke negeri abadi. Lima bulan selepas pemergian obek aku, bibik pula menyusul walhal masa obek aku pergi, bibik kita orang ini sihat sahaja. Dia yang selalu ingatkan kakak sepupu aku jangan tinggalkan obek.

Semua seperti tidak dijangkakan. Kiriman doa dari JB sahaja buat bibik yang telah pergi. Malam itu aku menanti cerita daripada kakak sepupu aku sahaja tentang urusan pengembumian jenazah. Alhamdulillah semua berjalan lancar.

Mati itu pasti. Mati itu semakin menghampiri. Sudahkah kita bersedia?

Bibik kita orang yang tengah itu. Ini gambar raya tahun lepas semasa aku dan kakak sepupu pergi beraya ke rumahnya. Nampaknya Syawal lalu kali terakhir kami bersama.

Mujurlah hari itu aku order laksa dengan kawan suami. Sudahlah tidak ada mood mahu memasak.

Ini menu untuk hari itu. Aku cuma goreng nasi sahaja dan sambal sosej pula suami telah siap masak sebelum dia pergi kerja petang.

Itulah serba sedikit coretan untuk 9 Ramadan yang mahu dititipkan buat kenangan. Hanya coretan ini yang akan mengenangkan aku pada masa lalu. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim