Thursday, November 30, 2017

Hari Kanak-Kanak Tadika Keh Seng

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa.

Hai semua.

Momentum menulis datang dan pergi. Sekejap semangat itu penuh di dada. Sekejap semangat itu mengendur. Kebelakangan ini, situasi sekeliling yang kurang positif memberi kesan pada diri. Kata kawan, pucuk pangkal hati kita. Saya sedang menyesuaikan dengan suasana baru buat diri sendiri. Baiklah, berbalik pada tajuk di atas.

Dua minggu sebelum cuti sekolah, sekolah anak-anak adakan sambutan Hari Kanak-kanak. Ammar pula eritahu saya dia ada menyertai pertunjukkan. Mulanya, dia kata "Ammar masuk menari, ma tapi kan cikgu suruh Ammar berjalan je."

Jenuh juga maknya nak menghadamkan apa yang disampaikannya. Rupanya dia masuk pertunjukkan fesyen. Adoilah. Saya tanya cikgu kelasnya. Memandangkan ini tahun terakhir Ammar di sekolah cina, saya teruja untuk melihat dia beraksi di atas pentas.

Jadi hari itu, saya minta kebenaran untuk keluar sekejap dan ke sekolah Ammar. Saya sampai mereka belum ke dewan. Masih di dalam kelas.

Saya tinjau dari luar. Dia sedang makan masa tu. Makan mcdonald.

Masa ini dah bersiap keluar untuk ke dewan. Suruhlah bergambar beramai-ramai dulu.

Sekejap dah besar anak lelaki saya.

Kawan kelas Ammar. Entah apa namanya. Saya dah lupa. Budak ini cukup murah dengan senyuman setiap kali berselisih dengan saya semasa saya hantar Ammar ke sekolah. Datang moodnya elok dia akan tegur, "Hai aunty."

Ini beg goodies yang anak-anak dapat.

Dapat vitamin pula tu. Eloklah sangat untuk stok bulan ini.

Begitulah ceritanya kisah Ammar menamatkan zaman tadikanya. Tahun depan dia sudah melangkah ke sekolah rendah. Betapa cepatnya masa berjalan. Bila anak-anak semakin membesar, kita juga semakin tua sebenarnya. Semoga saya diberikan kesihatan yang baik untuk membesarkan anak-anak saya.

Antologi Cerpen Suara Kekasih Cinta sudah tiba. Karya kecil saya berjudul Separuh Mati Kubercinta ada di dalam naskhah ini. Berminat mahu mendapatkannya boleh hubungi saya. RM25 tidak termasuk posa beserta cenderahati daripada saya khas buat pembeli.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Monday, November 27, 2017

Ilmu Manusiawi

Assalamualaikum.

Hai semua.

Selamat pagi semua. Selamat cuti sekolah pada anak-anak. Selamat bekerja pada mak pak yang sememangnya makan gaji. Saya bekerja seperti biasa. Dua tiga minggu ini saya berhadapan dengan manusiawi spesis rare. Allahu. Memang dugaan kali ini berat juga sepanjang saya sudah sebelas tahun berkhidmat. Saya menangis bila terpaksa memikul beban sebegini tetapi terpaksa berselindung di sebalik senyuman.

Sejak baca komen seseorang, di pejabat tiada istilah kawan baik semua jaga periuk nasi sendiri je. Cukuplah bersederhana itu lebih tepat. Memang benar. Kata-kata itu saya akui sangat-sangat. Saat semua orang mengata atau mengkondem tak ada siapa yang tampil untuk mempertahankan. Saat kau seorang diri terkontang-kanting menguruskan tugas hakiki yang berlambak-lambak tak ada seorang pun yang tampil menghulurkan tangan.

Apa yang tahu, tanya kerja dah siap? Tanya dah baca emel atau belum? Namun nak bertanya apa masalah yang sedang dihadapi memang jangan diharapkan. Situasi ini sama sahaja kau kerja seorang diri kat bahagian itu. Tak perlu ramai-ramai kalau seorang pun tak membantu. Sudahnya markah kau menjunam ke gaung.

Isu markah tak mahu saya ulas. Hujung tahun biasalah. Markah menjadi nilai ukuran pada kerja kita sepanjang tahun. Penilai itu, manusia. Dia menilai selain dari pengetahuannya mungkin juga dengan emosi. Memang tak ada manusia yang boleh adil. Lebih kita terkilan bila markah orang yang kerja entah apa-apa, asyik dok menghilang lebih tinggi. Situ memang terselit rasa sedih dan kecewa. Saya tidak mahu mempertikaikan kerja orang. Noktah!


Kecewa?

Memang mengecewakan sebab kita rasa dah buat sehabis baik. Tapi kena ingat satu hal. Ada orang yang bekerja berpuluh tahun, langsung tidak dihargai. Saya pernah melihat situasi begini. Dia sudah berkhidmat berpuluh tahun namun bila tiba waktu persaraannya, dia tidak diraikan. Tetapi bila dilihat dari sudut lain, sekarang nampak dia lebih bahagia. Sebelum dia bersara lagi, ada orang tawarkan dia untuk berkhidmat di rumah orang tua di Paya Ikan. Kira penjaga rumah orang tua tersebut. Allah gantikan dia dengan cara yang lain. Orang luar lebih menghargai dia.

Lagi satu, ada orang kerja jujur tapi orang yang belot jugalah yang dapat naik pangkat. Sebab apa? Sebab Allah sudah pilih kita untuk diuji. Allahu.

Lagi yang mengecewakan?

Saya paling kecewa bila mana ada orang yang jadi penyampai sedangkan dia sendiri 'kawan kita.' Kalau kita tahu sejauh mana sikap dan perangai kawan kita tak perlu dikhabarkan berita yang tidak enak didengar olehnya. Menyedihkan kalau situasi begini terjadi.

Down beberapa hari. Hahaha.

Kadang orang sekeliling tak tahu pun hujung pangkalnya tapi buat ulasan seolah-olah dia ada dari awal sampai akhir. Contohnya, seseorang ini tiba-tiba dijerkah dengan ketua dan dia sedang menahan diri supaya tidak menangis. Kemudian bila ketuanya bercakap dia tidak menunjukkan respon. Orang sekeliling pula buat kesimpulan dia kurang sopan. Walhal masa awalan dia tak tahu pun puncanya. Cuba letakkan diri kita pula. Apa reaksi kita?

Memang secara logiknya, dia perlu tidak menunjukkan perangai sebegitu di hadapan seorang ketua. Tetapi andai itu yang boleh kuatkan diri agar dia tidak menangis di khayalak ramai, apa lagi yang perlu dia buat? Ketuanya pun patutnya tidak perlu menjerkah. Begitulah. Cuma pandangan saya yang tidak seberapa.

Kadang-kala, kalau kita menjatuhkan air muka orang di hadapan orang lain takut berbalik pada kita pula satu hari nanti. Kalau kita jaga aib orang, insyaAllah aib kita juga terjaga. Manusia sememangnya tidak sempurna.

Kau ketua.
Kau kuli.

Sama sahaja.
Semuanya tidak sempurna.

Andai hari ini kita berada di atas, mana tahu esok lusa kita berada di bawah pula. Tiada siapa yang tahu melainkan Allah swt. Semua urusannya. Jadi jagalah diri kita sendiri daripada sibuk mencanang keburukan orang.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



Friday, November 24, 2017

Hari Terakhir Sesi Persekolahan

Assalamualaikum.

Hai semua.

Selamat pagi.

Salam jumaat. Hari yang penuh barakahnya. Semoga hari ini menjadi lebih baik daripada semalam. Begitulah selalu yang diharap-harapkan. Bukan hanya pada hari jumaat sahaja malah untuk hari-hari lain juga biarlah menjadi baik-baik untuk kita semua.

Hari ini adalah hari terakhir sesi persekolahan untuk tahun 2017. Hari ini juga adalah hari terakhir anak-anak saya bersekolah di SJKC Keh Seng. Semalam pula adalah hari terakhir rutin harian saya menjadi mama supir memandangkan hari ini suami saya yang hantar anak-anak ke sekolah. Perasaan sedih itu ada membelenggu diri. Tiga tahun Adriana sekolah di situ, dua tahun Ammar tadika di situ juga. Dua tahun lebih saya yang menguruskan menghantar anak-anak setiap pagi selama empat hari.

Sedih.

Adriana terutamanya. Dia sedih sebab nak berpisah dengan kawan-kawannya. Tapi keadaan memaksa untuk saya tukarkan Adriana ke Sek Kebangsaan. Perkara utamanya, saya sudah tidak larat terkejar-kejar menghantar mereka. Sekolah mereka jauh dari rumah dan saya kena berpatah balik ke pejabat. Dulunya sebab sekolah kini dekat dengan rumah mak.

Perkara kedua, Adriana sudah tidak mampu nak mengikuti subjek Bahasa Cina walaupun dia sekarang sudah pandai bercakap cina. Saya tak nak dia tertekan. Sebab dia tidak boleh nak kejar memandangkan saya hantar dia ke sekolah agama sebelah petang. Dari situ dia banyak ketinggalan. Begitulah serba-sedikit kronologinya.

Semalam, sewaktu menunggu mahu melintas jalan saya sempat rakamkan gambar ini. Sedihlah juga. Saya ni sudah perangai jenis susah nak move on. Tapi ini semua dilakukan untuk kebaikan dan keselesaan kami anak-beranak.

Jadi, tahun hadapan saya dan anak-anak akan menghadapi suasana baru, kawan-kawan baru dan rutin harian yang baru. Semua yang tinggal akan menjadi kenangan. Semua yang datang akan menjadi harapan. Semoga urusan saya dan anak-anak dipermudahkan sepanjangan berjauhan dengan suami. 

Jalan hidup ini banyak cabarannya. Pandai-pandailah melangkah. Andai jatuh, bangunlah sendiri. Itulah kehidupan. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Monday, November 20, 2017

Minggu Akhir

Assalamualaikum.

Hai semua.

Selamat makan tengahari. Saya setakat jam ini masih berpuasa. In sha Allah. Semoga dipermudahkan urusan hari ini tanpa sebarang halangan. Minggu ini minggu akhir sesi persekolahan Tahun 2017. Hanya berbaki empat hari sahaja lagi untuk meneruskan perjuangan menjadi makcik supir. Lpeas ini, sebulan lebihlah makcik supir berehat. Jadilah kan.

Alhamdulillah. Pertukaran telah dibuat. Urusan pertukaran persekolahan anak-anak semuanya sudah diproses. Berjanlan lancar. Jadi tahun depan, saya dan anak-anak bakal menghadap suasana baharu. Semoga perubahan ini menjadi yang lebih baik kepada kami. In sha Allah. Mudah-mudahan hendaknya. Harapnya begitulah kan.

Selingan seketika. Memperkenalkan, ini ahli keluarga kami yang baru. Jumpa dalam longkang. Saya panggil dia Putih. Manja macam Dak Oren. Minggu ini bukan setakat minggu akhir sekolah, minggu ini juga saya sibuk dengan tugasan saya. Pusingan sudah tiba ke pusingan 14 namun saya tersekat di skala 7. Haha. Yang sekumpulan dengan saya sahaja yang tahu tentang apa. Mereka pun sebegitu. Mengejar target. Semoga impian kami akan terlaksana hendaknya.

Kebelakangan ini, hati sedikit tercalar. Tapi tak apa. Saya dalam proses merawatnya sendiri. Betul kata orang, Allah akan menggantikan sesuatu dengan yang lebih baik. Kini saya dikelilingi dengan sahabat-sahabat penulisan saya yang begitu ambil berat antara satu sama lain walaupun kami berkenalan hanya dalam alam maya. Semoga ukhwah ini terjalin selama-lamanya. Hati kita Allah yang pegang. Berdoa sentiasa agar tidak berbolak-balik.

Menulis kan salah satu terapi buat diri. Pesan seorang kawan, senyum tak perlu kata apa-apa. Dia sempat kirimkan mesej melalui aplikasi whatsapp.

Tak apa Fidah. Jadilah diri sendiri. Itu lebih baik.

Rupanya ada juga yang boleh rasa saya sedang berperang dengan perasaan sendiri. Bila jadi begini, baru saya sedar mimpi yang dialaminya memang sudah menjadi kenyataan. Cuma dia sahaja yang tidak sedar.

Sekian catatan ringkas saya tengahari ini. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Tuesday, November 14, 2017

Jangan Terlalu Rapat Dengan Seseorang

Assalamualaikum.

Hai semua.

Selamat pagi. Semoga hari ini lebih baik daripada semalam. Semalam sudah tentu monday blues. Biasalah kan bila hadap hari isnin mulalah dengan penuh kesenduan. Kemurungan. Kesadisan. Entah apa-apa lagi perasaan yang membelenggu diri. Isnin anda-anda semua semalam bagaimana? Adakah berada dalam neuron-neuron keceriaan?

Isnin saya?

Monday blues ditambah dengan cerita yang tidak enak menjadi santapan halwa telinga. Semalam memang belajar sesuatu. Kena jadikan iktibar buat diri sendiri. Begitulah kehidupan. Saya pun sedang berperang di pejabat sebab menguruskan hal tanggung kerja. Sebenarnya, tak menang tangan tetapi apa boleh buat. Suka atau tak kena juga memikul tugasan tersebut. Tak payah cerita sebab takkan ada orang faham situasi itu sekarang.

Berbalik pada tajuk di atas. Saya ingin berkongsi tentang sebuah cerita yang pernah diceritakan pada saya. Hal ini berkait rapat tentang sahabat. Bukan fokus terhadap pasangan bercinta atau sahabat berlainan jantina.

Bukan ya.

Ini berkait rapat dengan sahabat kita. Setiap orang pasti akan ada seseorang sahabat yang akan ada dalam kehidupan mereka. Itu sudah pasti. Semua orang pasti ada. Paling kurang pun seorang sahabat kerana sahabat itu diumpamakan sebagai matahari. Menyinari. Ada ketika senang dan ada ketika susah. Itu baru namanya sahabat. Bukan yang ada ketika senang dan hilang ketika kau dilanda kesusahan. Itu tak layak pun digelar sahabat.

Bukan senang hendak dapat seorang sahabat begini. Yang ada ketika senang dan ada ketika susah. Pada yang mempunyai ciri-ciri sahabat sebegini, hargailah kewujudannya. Mungkin kita akan menyesal andai satu hari sahabat ini tiada lagi dalam hidup kita. Bak kata orang, sahabat datang dan pergi.

Pernahlah seseorang bercerita dengan saya.

"Kak, saya terkilan sangat. Mula-mula kita orang sangat rapat tapi bila dia dah ada kawan baru dia rapat dengan kawan baru dia dan menjauhkan diri daripada saya. Walhal mula-mula dulu dia yang beria menjaga persahabatan ini."

Manusia boleh berubah. Hati manusia berbolak-balik. Ini bukan kira pada pasangan kita sahaja dalam soal hati. Dalam persahabatan juga diambil kira juga soal menjaga hati bukan. Jadi perkara itu lebih kurang sama sahaja.

Pernah rasa situasi ini?

Kau rapat dengan seseorang. Tapi bila kawan kau tu dah ada kawan lain dia dah mula ignore kau walaupun dia kata tak ignore dalam erti kata lain yang kononnya dia masih anggap kau kawan baik dia dunia akhirat. Gitu. Tapi kita boleh rasa. Kita boleh rasa suasananya sudah berbeza. Mustahil lah dia tak rasa. Dulu dan sekarang itu adalah sangat berbeza. Tipu sangat-sangat.

Sebagai contoh, dulu kau berkawan berdua sahaja. Tapi satu masa akan datang dua tiga orang kawan datang dan menjadi rapat antara kau berdua. Kat situ pun dah berbeza suasana dan situasinya. Nanti akan timbul isu kalau kau rapat dengan kawan baru dan kawan kau pula mempertikaikannya. Begitu juga sebaliknya.

"Aku tengok kau sekarang rapat dengan Si Peah. Macam sesuatu."

Ini bukan zaman sekolah lagi. Kau nak berebut kawan. Nak kawan siapa. Tak nak kawan siapa. Zaman dah tua-tua ni suka hatilah. Rapat jadi isu, tak rapat pun jadi isu. Buat hal sendirilah. Kita berkawanlah dengan siapa yang selesa nak berkawan dengan kita. Apa yang penting dalam persahabatan adalah sebuah keikhlasan.

Jadi kesimpulannya, berpada-padalah kalau hendak rapat dengan seseorang. Kalau hari ini kau boleh rapat, esok lusa kau boleh ada jurang. Samada kawan kau jumpa kawan baru atau kau yang jumpa kawan baru. Kata orang, orang yang paling rapat dengan kita yang akan mengecewakan kita. Jadi biarlah berpada-pada supaya kau tidak akan kecewa.

Sebabnya, kalau kita rapat dengan seseorang kita akan expect macam-macam dari dia. Tapi saat kau tak dapat apa yang kau fikirkan tentang dia, kau akan kecewa. Sampai satu tahap nanti, kau akan lebih selesa berseorangan. Bukan berkawan-kawan kerana bukan senang nak menjaga hati orang.

Kau rapat dengan sini, salah. Kau rapat dengan sana pun salah juga. Baiklah sendiri. Bersahabat secara bersederhana. Dalam bersahabat ini ada beberapa adab yang perlu dijaga. Nanti kita sambung lagi. Sayangilah sahabat anda!

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim



Monday, November 13, 2017

Menonton Tombiruo

Assalamualaikum.

Hai semua.

Sejak minat tengok lakonan Zul Ariffin dalam drama Titian Cinta, saya memang mengikutlah beberapa drama yang dilakonnya. Dulu tak berapa tengok kalau dia berlakon. Tambah lagi kalau dia berlakon dengan Ayda Jebat atau Fathia. Lagilah saya tak tengok. Cuma sekarang ini kalau AJ, bolehlah diterima lagi bila sekarang suka dengar lagu-lagu dia. Fathia memang tak boleh lagi sampai sekarang. Haha.

Jadi saya berminatlah nak menonton Tombiruo walaupun wajah Zul Ariffin takkan kelihatan pun hingga ke penghujungnya. Janji Zul Ariffin berlakon. Gitu sekali kekdahnya. Lagi pun baca review orang yang sudah menonton macam menarik. Itulah salah satu yang membuatkan saya teringin untuk menontonnya.

Pujuk sang suami. Saya kira kalau drama aksi dia tak keberatan nak teman saya memandangkan filem Bisik Pada Langit saya pergi sendiri. Memang tak nak ajak suami pun sebab filem tersebut kisah sedih. Sudah tentu saya akan berdrama air mata. Sebelum dijadikan bahan dek laki sendiri, baik saya pergi menonton bersama teman.

Akhirnya, suami setuju nak bawa menonton Tombiruo. Dengan anak-anak sekali kami pergi. Dah lama tak pergi menonton wayang empat beranak.

Kami menonton di MBO dekat Melaka Mall sahaja. Lagi pun dekat dari rumah.

Sebelum masuk panggung haruslah bergambar di luar.

Berswafoto bersama anak-anak.

Kami empat beranak.

Bukan main tekun orang belakang mengulit telefon bimbitnya.

Sempat bergambar di dalam panggung.

Ini sudah keluar panggung.

Lepak kat sini dulu sambil memikirkan mahu makan malam di mana.

Akhirnya, makan di McDonald sahaja.

Keluar wayang, anak-anak asyik bertanya. Sebenarnya dari dalam panggung wayang telah disuarakan rasa tidak puas hatinya.

"Ma, kata ada Zul Ariffin tak ada pun." Itu dialog Dak Adik.

"Ma, kenapa Zul Ariffin kena pakai topeng?" Itu Dak Kakak pula bertanya.

"Kenapa dengan muka Zul Ariffin?" Dialog bersama dua-beradik.

Jenuh juga saya nak menjawab dan menerangkannya. Hihi. Budak-budak biasalah. Tak lari daripada sesi bersoal jawab.

Secara keseluruhannya, saya puas hati dengan filem Tombiruo ini. Walaupun Zul Ariffin tidak menampakkan wajahnya namun lakonannya masih mantap berganding dengan Faizal Hussein yang sememangnya hebat. Cuma wataknya sebagai ayah sekejap sahaja.

Adalah sedikit babak-babak yang terkehel, itu biasalah. Mana ada keseluruhannya sempurna. Tidaklah memberi impak sangat pada filem tersebut dan tidaklah saya rasa terkilan menontonnya. Saya memang tak pernah ikut novelnya sebab saya tak gemar baca thriller. Tapi selepas menonton Tombiruo saya rasa saya perlu menukar gaya bacaan saya. Novel Tombiruo yang kulit bukunya gambar pelakon telah pun saya beli tempoh hari usai beberapa hari saya menonton filemnya. Nampaknya saya perlu hadamkan novelnya pula.

Inilah novelnya yang baru saya beli seminggu yang lepas. Belum sempat membacanya. Akan diselitkan juga masanya sebab sekarang sibuk menulis. Ada banyak benda nak kejar jadi aktiviti membaca perlu diperlahankan buat seketika waktu. Itu sahaja perkongsian saya untuk hari ini. Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim