Thursday, January 6, 2022

Selamat Datang 2022

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Aku kembali di sini setelah mengharungi pelbagai dugaan dan menahan emosi tahun lalu. Kali terakhir aku menulis di blog ini pada Oktober tentang entri selamat merentas semua. Setelah boleh merentas negeri, aku kembali sibuk. Balik ke Melaka dengan tenang tanpa sekatan kaedahnya.

Tahun lalu, banyak dugaan buat keluarga kami di mana adik ipar disahkan positif Covid-19. Adik, anak-anaknya dan ayah dikuarantin. Mak? Sebelum kejadian itu, aku bawa mak jalan-jalan ke JB. Kononnya nak duduk seminggu dan adik akan datang jemput mak di Batu Pahat tetapi bila mereka kena kuarantin, aku kena tahan mak duduk dengan kami di JB.

Diduga lagi apabila rumah adik ipar di Bemban banjir. Sewaktu itu belum disahkan positif. Mereka kuarantin selepas banjir. Banyak juga barang rumah yang rosak. Kemudian, ayah pula dimasuki ke hospital kerana tempat dialisisnya bocor dan darah memancut keluar.

Ayah?

Ada cerita lain tentang ayah. Tahun lalu adalah tahun kesedihan buat kami. Tahun yang menduga dan mengajar aku erti kehilangan dan erti kasih sayang yang sebenar.

Dan semestinya mengajar aku agar doa itu adalah senjata kita sebagai orang mukmin. Allah dengar doa aku. Terima kasih Allah.

Tahun ini tidak ada apa yang diharapkan sangat. Cuma apa yang diimpikan tahun lalu akan dimakbulkan tahun ini. Risau juga jika tidak berjalan lancar.  Semoga yang baik-baik untuk keluarga kami. Tahun ini memang sudah lain apabila ayah sudah pulang ke negeri abadi pada 4 Disember 2021. 

Al-Fatihah buat Hj. Adim bin Ahmad.

Dan selamat datang 2022.



No comments: