Pages

Wednesday, December 13, 2017

Pulang Ke Negeri Abadi

Assalamualaikum.

Salam sehati sejiwa. Hai semua.

Saya baru berpeluang untuk mencoretkan sesuatu di sini. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini aksara bertempiaran tidak mahu bersekongkol dengan saya. Bila mahu menulis cerpen, fikiran kosong. Larilah ke blog pula. Kononnya nak menulis entri-entri yang tertunggak dalam fail draf. Sama juga kejadiannya.

Lama saya memandang skrin dan sudahnya saya ambil keputusan untuk tutup sahaja. Kalau tidak tidur, saya bacalah novel, kalau tak membaca saya menonton televisyen. Begitulah kesudahannya. Minggu ini pula selsema menyerang. Badan terasa sakit-sakit. Jadi semalam saya ke klinik dan doktor pun bagilah cuti sakit sebanyak dua hari. Kemudian, semalam juga atok suami meninggal dunia.

Saya menerima panggilan sebelah malamnya daripada suami menyampaikan khabar duka. Atok sudah seminggu di hospital. Ahad lepas, ulangtahun kelahirannya yang ke 91 tahun. Isninnya atok meninggal. Sudah sampai masanya atok pergi.

Ini pun saya menggagahkan diri untuk menaip entri ini. Banyak sebenarnya benda nak dikejar. Deadline yang berderet-deret. Tengoklah mana yang termampu dek diri ini.

Gambar yang sempat saya rakam. Perjalanan terakhir atok. Selamat pulang ke negeri abadi. Walaupun saya hanya cucu menantu, kesedihan itu turut terasa.

Usai jenazah dikebumikan, hujan rahmat turun membasahi bumi seakan tahu bahawa kami juga bersedih atas pemergian atok lebih-lebih lagi insan-insan yang menjaga atok siang dan malam. Semoga kebaikan mereka dibalas dengan pahala daripada Allah Taala.

Sekian dulu coretan ringkas untuk hari ini. Kisah duka yang lain biarlah saya simpan. Apa yang berlaku saya perlu jadikan iktibar. Ego manusia tidak ke mana. Sejauh mana mahu hidup di atas bumi ini dengan sikap bongkak. Setiap kelakuan kita pasti dibalas. Andai baik, baiklah dapatnya. Semoga dijauhkan sikap-sikap sebegitu dalam diri.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


2 comments:

Warisan Petani said...

Semoga rohnya dicucuri rahmat

paridah said...

Salam takziah buat keliarga fyda...alfatihah...moga fyda juga sht pulih segera,