Wednesday, April 15, 2015

~Yong Taufu Mengisi Perut~

Teks : Fyda Adim
Foto : Fon Sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...

Selamat malam semua. Esok sudah kembali ke kerja. Nikmat sehari bercuti ini memang dihabiskan di rumah saja. Malam je keluar sekejap pergi Family Store. Bawang dah kehabisan. Nak tak nak kena jugak keluar.

Semalam kita orang empat beranak keluar pusing-pusing Melaka. Memang cadang nak makan luar. Esoknya tak kerja bolehlah jenjalan.
Mula-mula asben ajak makan murtabak singapore dekat Muar. Akhirnya tak jadi. Kita orang keluar lepas solat maghrib. Puas cari tempat makan semuanya macam tak berapa nak berkenan di hati. Terfikir nak makan KFC tapi seharian dok makan ayam sebab siang tu aku masak nasi ayam. Hujan pun turun lebat dalan masa kita orang mencari tempat makan.

Waktu tu dah dekat nak jam 10 malam. Aku cadangkan pada asben nak makan yong taufu. Akhirnya kereta meluncur ke Batu Berendam.


Kedai ni tutup jam 11 malam. Nasiblah waktu kita orang sampai masih dibuka. Ada juga beberapa pelanggan lain.


Datang makan sini mesti nak pesan coconut shake special.


Semangkuk besar yong taufu untuk kami empat beranak. Mangkuk kecil yang isinya mee tu aku punya. Makan panas-panas waktu hujan memang menyelerakan.

Itu sahaja perkongsian untuk malam ini. Pada orang Melaka nak cuba bolehlah ke kedainya yang terletak di Batu Berendam berhadapan warung yang jual coconut shake tepi jalan. Memang sedap yong taufunya. Cubalah.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim
posted from Bloggeroid

~Hari Ini Hari Cuti~

Teks : Fyda Adim
Foto : Fon Sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...

Selamat tengahari semua. Selamat bekerja pada yang bekerja. Hari ini warga Melaka bercuti sempena cuti Melaka Bandaraya Bersejarah. Jadi bersantai-santai saja di rumah. Mendobi baju-baju, menyapu. Buat kerja yang biasalah. Kerja rumah memang takkan habis.


Sebahagian permandangan negeri Melaka. Gambar lama ni ditepi Sungai Melaka. Jadi selamat bercuti pada warga Melaka. Pada sesiapa yang mahu datang ke Melaka dialu-alukan. Melawat Melaka bererti melawat Malaysia.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim

posted from Bloggeroid

Monday, April 13, 2015

~Hari Berjimba-jimba~

Teks : Fyda Adim
Foto : Fon Sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...

Selamat petang semua.Salam isnin buat semua. Moga tadi tidak diselubungi dengan isnin biru ye. Aku hari ni tak adalah dilema monday blues cuma keadaan aku je yang menyebabkan aku agak lemau. Mengalami sakit gigi dari semalam. Berdenyut-denyut uolls. Dapat rasa tak apa aku rasa? Memang sesiapa yang tersalah cakap dengan aku hingga buat kemarahan memang ada bagi makan selipar. Huh!!Dia punya emo sampai macam gitu sekali ye.

Baiklah berbalik kepada tajuk di atas, ini entri agak basi. Cerita dua tiga minggu lepas aku ikut kakak sepupu dan anak-anak daranya keluar. Modus operandi mahu membeli barang-brang hantaran anak sulung kakak sepupu aku yang akan bertunang pada bulan Mei nanti.

Bukan sennag nak dapat pelepasan sebegini. Aku hantar permohonan pada asben seminggu sebelum hari kejadian. Nasiblah lulus. Hehehe...

Kami berlima hari tu berjimba-jimba. Ketawa, tergelak, lepak makan.

khuyusk dua beradik ni memilih. Bertekak-tekak. Entah yang mana nak bertunang aku pun tak tahu bila tengok si adik pun beria-ia. Hehehe...

Mereka tiga beradik.

Pening jugak kepala masuk sini. Aku pun rambang mata. Apa-apa pun bergambar dulu.

Selesai membeli yang dicari, kita orang pergi makan roti john.

Inilah kami pada hari itu.

Lepas makan kita orang pergi karaoke. Melalak sampai dua jam. Aku sampai sakit-sakit tekak. Itu sahaja kisah aku keluar berjimba-jimba bersama mereka. Selesai berkaraoke kita orang balik. Aku tunggu asben dan anak-anak datang jemput di rumah kakak sepupu aku. Sekian dan wassalam.

Salam pena,



Thursday, April 9, 2015

~Belajar Dari Sebuah Kekecewaan~

Teks IG SimpeHijab
Foto : Repost IG SimpleHijab

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...

Selamat tengahari semua. Seperti biasa sejak kebelakangan ni aku seperti biskut chipsmore. Kejap ada, kejap hilang. Jiwa menulis masih lagi bermain-main tarik tali dengan aku. Untuk tidak mahu blog ini dibiarkan begitu sahaja, aku kongsikan sedikit kata-kata yang aku petik dari Intsagram SimpleHijab.

Semoga dapat dimanfaat oleh semua. Sama-samalah kita renung-renungkan.


Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai dan kenyataan yang tidak sesuai dengan harapan.
Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis zikir yang akan memberikan ketenteraman jiwa.

Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar pelbagai keinginan dan impian. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak serta mempunyai keinginan. Tetapi bukan semua yang kita inginkan dapat dicapai. Sesungguhnya tidak mudah menyedari bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus yang lain.

Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa hakikatnya semua itu pemberian Allah sehingga membuatnya sombong dan bertindak sewenang-wenangnya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan betul. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi milik kita di dunia, samada rezeki, jawatan atau kedudukan, pasti Allah akan berikan. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, kita tidak akan mampu miliki; walaupun ia nyaris menghampiri kita atau meskipun kita bermati-matian berusaha mendapatkannya.

Allah SWT berfirman, "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.."(Surah Al-Hadid: 22-23)

Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!

Salam pena,



Tuesday, April 7, 2015

~Berkelah Di Sagil~

Teks : Fyda Adim
Foto : Fon Sendiri

Assalamualaikum dan bismillah...^____^

Selamat tengahari semua. Hari ini mata agak terang dan punya semangat sikit untuk menitip sesuatu di blog ini. Selalunya masa rehat begini aku bantai tidur. Aku dan tidur memang tidak dapat dipisahkan. Blog aku ini sudah dianaktirikan. Memang rasa malas semacam mahu bercerita di sini. Ini seru menulis dah masuk dalam badanlah.

Ini kisah cuti sekolah tempoh hari. Kami tidak bercuti ke mana-mana. Cuma hari sabtu, sehari sebelum sekolah dibuka asben ajak berkelah. Kami hanya ke Sagil aje. Tak jauh mana pun. Bangun pagi seperti biasa siapkan bekalan makanan yang mahu dibawa.

Masa ni dalam perjalanan ke Sagil. Kakak merajuk tak mau bergambar.

Tiket masuk ke Gunung Ledang Resort.

Pengunjung ramai juga waktu tu. Asben dan anak-anak sudah mandi. Aku jadi mem jaga beg dan makanan. Kerja aku asyik makan je waktu tu.

Antara bekalan makanan yang dibawa hari tu. Ada nasi goreng, sandwich, kentang goreng. Apa lagi aku tak ingat.

Dah boring dok sorang-sorang aku turun amik gambar kita orang. Bolehlah style gini. Janji nampak kami berempat.

Mereka bertiga aje yang mandi. Aku tak mandi pun.Dah mandi kat rumah. Hehehe...Ok, tak lawak!

Setelah dua jam berendam, bersiap sedia mahu pulang. Dalam jam 3 petang juga kita orang bersiap-siap untuk balik. Aku adalah beli fridge magnet buat kenangan. Balik dari berkelah, kita orang singgah makan dekat Jasin. Kisahnya ada di entri INI. Tetiba teringat pada pastanya yang sedap. Itu saja titipan untuk tengahari ini. Bersambung lagi kemudian ye. Sekian dan wassalam.

Salam pena,



Friday, April 3, 2015

~Memaafkan Bererti Melupakan~

Teks : Fyda Adim
Foto : Carian Google

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...

Selamat pagi semua. Salam jumaat hari penuh barakah. Hari ketiga di bulan April dan ini adalah entri pertama setelah seminggu lebih juga menyepi diri dari menulis di blog ini. Hujung minggu pun yang sudah aku perasan dalam dua minggu juga aku tidak berjaga malam untuk melakukan aktiviti aku seperti biasa iaitu menulis. Ketiadaan mood mahu menulis.

Apa yang menarik pada pagi ini ingin aku kongsikan tentang sebuah kemaafan. Memaafkan seseorang yang telah melukakan hati kita tak kiralah sejauh mana atau sedalam mana lukanya hati kita itu. Bukan mudah sebenarnya untuk memaafkan apabila hati kita sudah terluka. 

Terkadang kita rasa marah, geram dan macam-macam rasa yang bersarang dalam diri kita. Sejauh mana kemarahan itu mahu kita wujudkan dalam diri kita. Demi menjaga sesebuah perhubungan mahupun pertalian, memaafkan adalah jalan yang terbaik tetapi sejauh mana keikhlasan kita dalam memberi maaf itu.

Memaafkan bererti turut melupakan. Melupakan dan memadamkan terus apa yang pernah terjadi. Jangan disimpan di dalam hati. Sejauh mana kita boleh menjadi seperti itu. Harus belajar memaafkan. Jika masih tersimpan di dalam hati, kemaafan yang diberikan bukanlah dengan seikhlas hati. Jadi mulai hari ini kita harus belajar memaafkan sesiapa sahaja yang pernah menyakitkan hati kita.

Aku juga perlu memaafkan mereka. Memaafkan dia dan dia. Seikhlas mana maaf itu aku pun tak tahu kerana aku belum dapat melupakannya. Satu pun belum pernah lenyap dalam kotak fikiranku. Semuanya masih segar dan aku harap satu hari nanti semuanya akan lenyap.

Salam pena,