Sunday, September 13, 2015

Monolog Di Malam Hari

Teks : Fyda Adim
Foto : Carian Google

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa. Bismillah...

Selamat malam semua. Bukan senang nak tulis entri hujung-hujung minggu ni. Selalunya memang tak berkesempatan nak menaip bagai pada hujung minggu ni. Setakat bermedia sosial melalui IG aje. Tapi sekarang sebab ada masa-masa terluang jadi eloklah aku melakukan aktiviti yang boleh menghilangkan kebosanan yang menghantui diri.

Bukan setakat bosan malah kadang dirinya terasa down. Dengan keadaan yang banyak berubah dengan rutin harian yang aku kena lakukan sendiri memang sesekali akan timbul perasaan itu. Kadang emosi boleh dikawal, adakalanya emosi di luar jangkaan. Kalau dilayan memang semakin menjadi-jadi.

Itulah, adakalanya sesuatu yang diberikan kepada kita tidak semestinya dapat menenangkan hati kita. Salah satu nikmatnya akan hilang dan percayalah ada kemanisannya nanti. Cuma kita perlu bersabar. Ini dugaan namanya. Dugaan kalau kita lalu dengan sabar, kita lagi kuat. Seseorang pesan pada aku, dia hanya pinjaman Allah je. La ni Allah ambik sekejap.


Bila mendengar rintihannya hati pun jadi pilu. Jadi aku tak boleh nak tunjuk sangat kesedihan yang membelenggu diri aku ini. Walaupun adakalanya diri tidaklah kuat mana. Mahu atau tidak aku perlu juga hadapinya. Cuma aku selalu berdoa biarlah derita ini cepat berakhir. Biarlah kehidupan ini kembali seperti sediakala. Seperti dulu walaupun aku tahu ia mengambil masa. Semoga apa yang aku korbankan akan diberikan sebuah kemanisan. Aku hanya mampu menitipkan doa buat dirinya di sana agar dia pun tidak berada dalam tekanan.

Semoga kami sama-sama kuat mengharungi hari-hari kami ini. Semoga segala urusan kami sentiasa dipermudahkan oleh Allah. Adakalanya apa yang sukar pada kita tidak semestinya sukar pada orang lain. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Hanya kata-kata semangat aje yang diperlukan jangan kata-kata kondem pula yang diberikan. Sekian sahaja entri untuk malam ini.

Wassalam.

Salam pena,




Friday, September 11, 2015

Pemaaf kah Anda?

Teks : Fyda Adim
Sumber dan Foto : http://www.ainizakaria.my

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa. Bismillah...

Selamat pagi semua. Salam jumaat hari yang penuh barakah. Entri untuk pagi ini perkongsian sedikit daripada hasil aku berblogwalking. Sekadar mahu menghilangkan mengantuk akibat memakan sebungkus nasi lemak yang berlaukkan sambal paru.

Jadi entri untuk kali ini tentang pemaaf kah anda? Adakah kita seorang pemaaf andai kita telah disakitkan hati, dilukai oleh seseorang? Sudah cukup kuatkah kita untuk menjadi seorang yang pemaaf? Bukan mudah sebenarnya untuk memaafkan andai hati yang terluka mencengkam hati. Lebih-lebih lagi andai hati kita terluka dek orang yang kita sayang mahupun orang yang rapat dengan kita.

1. Orang yang mudah memaafkan tapi sukar melupakan itu dia memang orang yang bijaksana tapi dalam satu masa dia susah nak bahagia dan kemungkinan besar dia seorang yang pendendam. Mungkin juga dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Jadi dia mengambil "inisiatif" dengan memaafkan tapi tidak melupakan.

2. Orang yang tidak memaafkan dan sukar melupakan dia mungkin menjadi orang yang zalim kerana kita haruslah sedar setiap manusia tidak terlepas dari melakukan sebarang kesilapan dan dosa. Orang selalu kata, sedangkan nabi ampunkan umat ini kan pula kita manusia biasa.

"Aku bukan nabi". 

Ya lah, kita bukan nabi, tapi kita ingat balik, apa tujuan Allah melantik Rasul dan Nabi di atas muka bumi ini? Sebagai teladan kepada umat manusia kan. Jadi apa kata, kita amalkan sifat-sifat baik yang di tunjukkan dan di ajarkan oleh Rasul dan Nabi kita.

3. Ada juga individu yang mudah memaafkan dan juga mudah melupakan. Sebenarnya dia bukanlah orang yang bodoh tapi lebih kepada lurus. Orang yang sebegini sebenarnya lebih bahagia berbanding dengan orang yang bijaksana itu. 

Mungkin juga kerana dia tidak suka menyimpan dendam dan berfikiran bahawa yang berlalu biarlah berlalu. Ambil yang jernih buang yang keruh. Orang yang begini selalu positif, tetapi dalam satu masa, dia juga mudah di tipu.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Walaupun kalimah maaf, sukar untuk dilafazkan, tapi berusahalah untuk menjadi pemaaf. Beruntunglah orang yang memiliki sifat pemaaf kerana dalam sifat pemaaf itulah terkandung kemuliaan, keberanian dan kekuatan.

Ketahui dengan sifat ini, anda mungkin di kurniakan ganjaran syurga, yang tidak ternilai harganya. Jadilah seperti Rasulullah yang selalu tersenyum dan sentiasa memaafkan meskipun telah banyak hatinya dan tubuhnya di sakiti.

Padamkan api kemarahan sebelum tidur mu, hulurkanlah kemaafan sebelum ianya berlalu, kerana tanpa sempat memberitahu, ajalmu tiba tidak menentu. 

Pekerjaan dan ganjaran yang berat dan besar adalah memberi kemaafan.
Setakat ini aku masih lagi berada di no satu tu. Masih boleh memaafkan tapi belum boleh melupakan. Itu sahaja entri ringkas untuk pagi ini. Jika ada yang menarik akan aku panjangkan di sini lagi. Sekian dan wassalam.

Salam pena,








Thursday, September 10, 2015

Mencintaimu

Teks : Fyda Adim
Foto : Carian Google

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa. Bismillah...

Selamat petang. Jarum jam sudah menunjukkan 4.50 petang. Berbaki sepuluh minit saja lagi untuk balik. Mata pun sudah terpisat-pisat. Menguap jangan dicakapkan lagi. Aduhai..Tenaga bila menjelang petang sudah sampai ke penghujung. dalam kepapa sudah memikirkan sampai rumah mahu berbaring sebentar sebelum menguruskan anak-anak.

Seperti biasa, sampai rumah kena siapkan dulu kerja yang penting. Mandikan anak-anak dan kemudian barulah bersantai sekejap depan tv sebab nak tengok drama Mencintaimu. Siapa tengok drama bersiri ni? Aku memang mengikuti sebab pelakonnya Sharnaaz Ahmad. Hahaha...Dah lama tak juga tak ikut drama bersiri secara bersungguh-sungguh.


Sinopsis Drama Mencintaimu

Mengisahkan tentang Anissa yang begitu teruja untuk menyambung pengajiannya di Universiti setelah 2 tahun dia bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga dan pengajiannya. Semasa hari pertama sesi suai kenal di kolej, Anissa mula jatuh hati dengan Hisham Dato Hanafi. Hisham dan kawan baiknya, Helmi sering membuli Anissa. Hisham dicabar oleh kawan-kawannya untuk keluar bersama Anissa. Namun Anissa menolak pelawaan tersebut sehingga Hisham bertindak untuk menyiasat latar belakang Anissa. Rupa-rupanya, Ibu Anissa merupakan pembantu rumah keluarga Hisham. Semenjak itu, Hisham sering merendah-rendahkan Annisa. Lama-kelamaan pergaduhan membawa kepada percintaan. Helmi membuat rancangan jahat untuk mengenakan Anissa. Rancangan tersebut membawa kepada Anissa dirogol oleh Hisham. Kehidupan Anissa selepas itu terus gelap dan dibuang Universiti. Selepas beberapa tahun, Anissa berubah penampilan. Dia bekerja di syarikat keluarga Hisham. Pelbagai rintangan di antara mereka akhirnya mereka berkahwin dan dikurniakan seorang anak bernama Fayad. Dalam masa yang sama, Asyikin (tunang Hisham semenjak kecil) berterusan mengejar cinta Hisham dan sering menggugat perhubungan Anissa dan Hisham.
 
Sama-salah kita menonton apa kesudahan mereka. Selamat menonton. Sekian dulu entri ringkas untuk petang ini. Wassalam.
 
Salam pena,



Tuesday, September 8, 2015

Kehidupan

Teks : Fyda Adim
Foto : Carian Google

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa. Bismillah...

Selamat petang semua. Kesibukan diri membataskan aku untuk melakukan segala hobiku. Menulis memang sudah jauh ketinggalan. Ini pun sudah sekian lama tidak menghantar cerpen kepada majalah. Akhir sekali cerpen yang tersiar tempoh hari. 

Begitulah kehidupan adakalanya kita terpaksa melepaskan perkara yang kita suka untuk perkara yang lebih penting. Dalam kehidupan kita ini penuh dengan onak dan ranjau yang perlu kita tempuh. Bergantung kepada diri kita sendiri untuk mengatasinya.

Setiap dugaan yang diberikan dalam setiap kehidupan adalah untuk mengajar kita erti sebuah kehidupan yang sebenar. Dugaan itu adakalanya membuatkan kita jatuh. Jatuh? Bangunalah sendiri. Itulah kehidupan. Carilah sebanyak mana kekuatan untuk kita bangkit meneruskan kehidupan walaupun perjalanan mencari kekuatan bukanlah sesuatu yang mudah.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,



Sunday, September 6, 2015

Ahad Pertama Dia Bekerja

Teks : Fyda Adim
Foto : Fon Sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...

Selamat pagi ahad. Selamat berhujung minggu di samping keluarga tersayang. Satu jam aku dok melangut depan komputer ni, kononnya memang nak update blog, nak menulis sesuatu tetapi idea tak kunjung tiba. Ini barulah datang ideanya.

Satu jam tu sesi memanaskan badan. Sepatutnya awal pagi minda lebih segar tapi aku sebaliknya pula. Aku bangun awal pagi tadi sebelum azan Subuh berkumandang. Bangkit awal seperti anak-anak mahu ke sekolah. Tapi hari minggu ni bangkit awal sebab asben mahu kerja. Johor kan kerja pada hari ahad. Itulah sebabnya aku bangkit awal. Siapkan sarapan untuk dia. Masakkan nasi goreng, nugget dan buatkan teh o. Dalam jam 7.00 pagi tadi asben bertolak ke tempat kerjanya. Dari Melaka ke Batu Pahat.

Jadi semalam aku siapkan barang-barang asben umpama melayan anak yang mahu masuk asrama. Siapkan dua biji bantal, sarung tilam, lipatkan baju-bajunya. Siang semalam pergi beli tilam bujang dan kelmarin beli kipas berdiri tu.

Sayang isteri tinggal-tinggalkan. Relevan lagi tak zaman sekarang ni?

Ini gambar kami semalam. Hujung minggu harus dijadikan hujung minggu yang berkualiti. Dalam hatiku hanya Allah sahaja yang tahu. Suka mahu tidak terpaksa juga merelakan. Terpaksa belajar untuk berdikari tatkala suami tiada di sisi. Itu pun aku bersyukur sebab asben dapat dekat sikit dengan Melaka walaupun mengharapkan yang lebih dekat. Tapi semuanya telah diaturkan Allah sebaik-baik perancangan. Semoga Allah permudahkan urusan kami sekeluarga.

Itu sahaja entri untuk pagi ini. Nak siapkan tugasan daripada seseorang. Kerja senang pun ambil masa nak melaksanakan. Alahai...Sekian dan wassalam...

Salam pena,



Tuesday, September 1, 2015

Bulan September Rutin Harian Yang Baru

Teks : Fyda Adim
Foto : Fon Sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...

Selamat petang semua. Entri pertama di bulan baru. Selamat datang September. Bulan yang penuh cabaran. Permulaan hidup dan rutin harian yang baru untuk kami sekeluarga. Untuk aku memang agak mencabar kerana perlu menguruskan semuanya sendiri tanpa suami di sisi. Hanya hujung minggu saja yang kami akan berjumpa. Itu pun cuti hujung minggu kami sudah tidak sama. Dia cuti hujung minggu hari jumaat dan sabtu. Aku pula sabtu dan ahad. Kat situ je dah banyak perubahan masa kami empat beranak.

Namun untuk kebaikan dan memikirkan masa hadapan perlukan pengorbanan. Moga akan ada sinar bahagia daripada pengorbanan kami ini. Dugaan jika dilalui dengan sabar, kita akan menjadi lebih kuat. 

Jadi hari ini aku sudah pun masuk kerja jam 8.00 pagi kerana menghantar anak-anak dulu. Keluar rumah pun seawal pagi. Mahu mengelakkan kesesakan jalan. Semoga aku terus kuat menjalani hari-hari mendatang ini. Amin. Sekian dan wassalam.

Salam pena,