Tuesday, May 26, 2015

Bahu Untuk Kusandar

Teks : Fyda Adim
Foto : Carian Google

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bismillah...

Selamat tengahari semua. Lama aku menyepi. Sepi bukan bererti hilang, diam bukan bererti lupa. Masih lagi diberi peluang bernafas di muka bumi Allah. Cuma kekangan masa bersama keluarga membataskan aku untuk menulis. Lama juga dah aku tinggalkan aktiviti menulis. Baik menulis di blog mahupun penulisan kreatif.

Minggu lepas aku terima perkhabaran duka. Sedih juga bila surat pertukaran sahabat baik sudah berada di tangan. Namun apa yang boleh dilakukan. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Sembilan tahun bersama di bawah satu jabatan. Berkongsi suka dan duka. Serapat mana pun antara aku dan dia tetapi ada juga perkara-perkara yang kami masih simpan sendiri. Aku cuba membayangkan bila dia sudah bertukar nanti. Sewaktu aku jatuh terduduk dia yang banyak memberikan aku semangat. Aku tidak akan lupakan segalanya.

Nasiblah ketiadaan dia nanti ada juga sahabat aku yang seorang lagi. Masih ada lagi ruang-ruang untuk aku bersandar. Kawan umpama bermain jongkat-jongkit. Dia juga sama seperti sahabat baik yang bakal meninggalkan aku. Berkongsi suka dan duka. Bukan dengan semua orang kita boleh lakukan begitu. Bukan senang kita boleh mendapat seorang sahabat baik yang ada waktu kita senang dan juga susah.


Sewaktu aku belajar di politeknik aku dapat juga seorang kawan baik. Memang sangat baik. Tak pernah lupakan aku. Kadang siap basuhkan baju aku yang dah pakai selepas kuliah. Memang dimanjakan. Pernah sekali tu kaki aku kena kudis tak ingatlah dia yang tolong sapukan ubat. Sampai sekarang kami masih lagi berhubung. Dah lama juga tak berjumpa. Akhir pertemuan sewaktu aku ke rumahnya di Perak. Ini pun sudah dihantui perasaan rindu yang menjalar dalam diri.

Itulah perkongsian aku untuk entri tengahari ini. Merekalah yang ada untuk meminjamkan bahu di saat aku memerlukan. Alhamdulillah. Bersyukur kerana diberikan sahabat-sahabat yang baik. Semoga aku juga boleh menjadi sahabat baik kepada mereka. Sekian dan wassalam.

Salam pena,



1 comment:

Assalamualaikum..
Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen anda di SINI..
Silalah datang lagi yea..